Tanggung Jawab Manusia Kepada Allah SWT

Siapakah manusia itu pada hakikatnya? Manusia adalah hamba, hamba kepada Allah Maha Pencipta, kerana setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada Allah yang menciptanya. Sebagai hamba, maka manusia tidak mempunyai apa-apa ke atas dirinya, tenaganya dan juga ke atas apa yang dihasilkan olehnya. Kesemuanya itu adalah menjadi hak milik kepada tuannya, iaitu Allah SWT. Hidup dan matinya, senbahyangnya dan musuhnya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah, yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah.

Menepati hakikat sebagai hamba, maka sudah pastilah manusia mesti tunduk patuh, taat setia, mengikut dan menurut perintah Allah Maha Pencipta. Jika segala ciptaan di langit dan di bumi pada hakikatnya menyerah kepada Allah; maka alangkah lebih layak dan berhak manusia itu, sebagai sifatnya hamba Allah yang istimewa itu sujud dan menyerah diri kepada Allah itulah intipati atau saripati Islam sebagai Agama Allah.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menjadikan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar Tauhid (Mengesakan Allah) dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukanNya (dengan sesuatu yang lain) ”.
 (Al-An’am; 79)

Sesungguhnya umat manusia diberikan kewajipan utama pada hari pertama mereka diberi hak tinggal di bumi ini. Di antara kewajipan-kewajipan pokok ialah bahawa mereka mesti patuh mengabdikan diri kepada Allah dan mesti berpandukan kepada panduan Allah. Allah SWT juga telah memberi amaran yang tegas dan nyata supaya mereka jangan sekali-kali mengabdikan diri kepada syaitan, sebaliknya mereka mestilahmengabdikan diri kepada Allah sahaja. Maksudnya: “Bukankah aku telah memerintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan mengabdikan diri kepada syaitan? Sesungguhnya ia terhadap kamu adalah musuh yang nyata! Dan (Aku perintah) hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Ku; inilah jalan yang lurus. (Yasin; 60-61)

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan dengan tujuan untuk mereka menyembah dan mengabdikan diri kepada Ku. (adz Dzariat; 56)

Manusia adalah makhluk Allah SWT yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk Nya yang lain. Ini jelas sebagaimana yang terdapat dalam Firman Allah SWT dalam Surah al-Tin ayat 4;

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia yang sebaik-baik kejadian”.
Justeru kerana keistimewaan dan kesempurnaan kejadian manusia ini, maka sudah tentulah manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu yang perlu dilaksanakan di dalam memenuhi matlamat penciptaan mereka itu.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP ALLAH SWT
Pada dasarnya, tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah SWT ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepada Nya. Justeru itu semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT adalah mempunyai risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT dan menjauhi thagut. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat itu seorang rasul supaya mereka (menyerukan) : Sembahlah Allah dan jauhilah thagut.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Iman al-Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal r. a katanya : saya mengekori Nabi SAW. yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba baginda bertanya kepada saya : “Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab : “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda : “Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak menyengutukan sesuatu apapun dengan-Nya.

Beribadah kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Firman Allah SWT di atas tidaklah terbatas kepada apa yang lazim difahami oleh masyarakat umum, iaitu hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadat khusus sahaja. Sesungguhnya ibadah yang dikehendaki adalah lebih luas dari itu, mencakupi kepatuhan kepada setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Ibadah atau pengabdian diri kepada Allah SWT mempunyai beberapa takrifan. Dari segi bahasa ibadah bererti merendah diri, tunduk patuh, taat, setia dan mendambakan diri kepada sesuatu. Dan menurut syarak, ibadah diertikan seagai taat, tunduk patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Dalam kitab ‘Ubudiyyahnya ada menyatakan bahawa: ibadah asal maknanya kehinaan tetapi ibadat yang diperintahkan Allah atau yang disyaratkan ke atas manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaanya kepada-Nya. Juga terdapat ahli tafsir seperti At-Tabari yang menjelaskan maksud beribadah kepada Allah seperti berikut: iaitu khusyuk kepadaNya merendah diri dan tetap hati kepadaNya. Al-Maudidi menyatakan ibadah bermaksud pengabdian hati yang digambarkan melalui perlaksanaan atau amalan. Ibn Taimiah berpendapat ibadah merangkumi perasaan hina diri dan cinta kepada Allah SWT yang melahirkan ketaatan kepadaNya.

Skop ibadah dalam Islam adalah cukup luas, merangkumi segenap aspek kehidupan, malah semua amalan yang dilakukan sama ada amalan anggota, perkataan dab hati akan dikira ibadah selama mana ia menepati syarat-syarat yang ditentukan. Ulama Islam telah membahagikan ibadah keada dua, iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusus yang juga dikenali sebagai ibadah yang formal adalah ibadah yang mana struktur, sistem dan peraturan-peraturannya telah ditentukan oleh syariat Islam secara lengkap dan terperinci. Bentuk dan cara perlaksanaannya tidak boleh direka-reka atau dilakukan mengikut kehendak sendiri, malah ia mestilah menepati syarat-syarat sahnya sesuatu ibadah itu. Umpamanya ibadah solat, puasa, zakat dan haji yang mempunyai syarat-syarat sahnya dan perkara-perkara yang membatalkannya yang tersendiri.

IBADAH SOLAT
Perkataan solat berasal dari bahasa Arab yang bererti doa dan pujian. Dari segi istilah pula solat bermakna menghadapkan jiwa kepada Allah SWT dalam keadaan taqwa yang menimbulkan rasa keagungan-Nya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Kewajipan solat adalah berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 103:
Yang bermaksud: “Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu diwajibkan ke atas sekelian
orang-orang yang beriman untuk melakukannya dalam waktu-waktu yang tertentu”.

Antara kesan dari perlaksanaan ibadah solat yang sempurna ialah:
1) Solat dapat mencegah seseorang dari melakukan sesuatu amalan yang keji dan mungkar. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 45 :
Maksudnya: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari kekejian dan kemungkaran”.
2) Solat dapat membersihkan seorang muslim dari segi zahir dan batin. Dari segi zahirnya melalui penyucian diri dari hadath kecil dan besar, tempat dan pakaian serta wudhu. Dari segi batinnya pula ialah dengan pembersihan hati dari sesuatu yang lain dari Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.
3) Ibadat solat juga akan dapat mendidik seorang muslim tentang pengurusan masa dan perlunya menepati waktu dalam semua perkara. Sewajarnya umat Islam mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya sesuai dengan Sabda Rasullullah saw yang bermaksud :
“Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara ; masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.
4) Ibadat berjamaaah pula akan dapat melatih umat Isalam supaya taat kepada pemimpin (imam), manakala pemimpin pula wajib mengambil berat terhadap rakyatnya (makmum). Disamping solat berjamaah juga dapat membentuk perpaduan, kasih saying, ukhuwah dan persamaan sesama mereka. Ia juga akan dapat menghapuskan rasa hasad dengki, dendam dan permusuhan di kalangan umat Islam.

IBADAT PUASA

Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri dari sesuatu. Dari segi istilah ia bererti menahan diri dari sesuatu yang boleh membatalkan puasa bermula dari tertib fajar sehingga tenggelam matahari dengan syarat-syarat tertentu.

Ibadah puasa ini diwajibkan kepada semua orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183 hingga 184 :
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”.

Ibadah puasa ini mempunyai kean yang besar di dalam kehidupan seorang Muslim, jika ia dilaksanakan dengan sempurna dengan menjaga adab-adabnya antaranya ialah;
i. Puasa akan dapat menundukkan nafsu jahat dan dapat memelihara diri dari kejahatan syaitan. Keinginan hawa nafsu dan tuntutan jasmani yang melampau akan dapat dihindarkan.
ii. Akhlak mulia akan terbentuk dengan berpuasa, sifat-sifat mahmudah seperti sabar, ikhlas, menepati waktu, pemurah memelihara lidah dan amalan keji akan menjadi perhiasan diri mereka.
iii. Puasa akan melahirkan sifat taqwa dengan memperbanyakkan amalan tilawatul Qur’an, berdoa dan ibadah-ibadah sunah yang lain.
iv. Dengan berpuasa juga jamani akan menjadi sihat, di samping menguatkan rohani.
v. Puasa akan dapat melahirkan sifat kasihan belas, tolong menolong dan sanggup menghadapi cabaran hidup.

IBADAT ZAKAT
Zakat dari segi bahasa bermakna subur, bersih dan berkembang. Menurut istilah syarak pula, zakat bermaksud kadar yang harta tertentu yang wajib dikeluarkan kepada golongan yang berhak mnerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Kewajipan zakat adalah jelas dari firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 103 :
Maksudnya : “Ambillah zakat sebahagian dari harta mereka, dengan zakat itu dapat mensuci dan membersihkan mereka”.
Kesan yang boleh didapati dari perlaksanaan amalan zakat ini ialah :
 Zakat akan dapat membersihkan jiwa dari terlalu mencintai harta dan sifat tamak haloba dan kedekut. 
 Zakat akan memberi jaminan sosial terhadap masyarakat kerana dengantiu harta benda akan diagih dengan seimbang kepada semua golongan dalam masyarakat. 
 Zakat akan menguatkan kedudukan politik dan ekonomi negara di samping dapat merapatkan hubungan antara orang-orang kaya dan miskin. 

IBADAT HAJI
Dari segi bahasa haji bererti pergi atau menuju. Dari segi istilah pula ia bermaksud mengunjungi Baitullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat yang tertentu dan dikerjakan pada masa yang tertentu.
Antara kesan yang boleh didapati dari perlaksanaan ibadah haji yang sempurna ialah :
 Ibadah haji akan dapat memperteguhkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT di samping mewujudkan rasa keagungan dan kebesaran Allah SWT terutama melalui ucapan talbiah. 
 Ia juga adalah perhimpunan tahunan umat Islam di seluruh dunia yang akan mewujudkan rasa perpaduan, persamaan dan ukhuwwah sesama mereka. 
 Ibadah haji ini juga dapat membentuk disiplin yang tinggi melalui tegahan dan larangan ketika berihram yang merupakan satu cabaran kepada fizikal dan spiritual manusia. 
 Iktibar dan sejarah juga boleh didapati oleh orang-orang yang melaksanakan ibadah haji di mana mereka berada di tempat awal kewujudan Islam di samping memenuhi perintah Allah seperti mana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a. s. dan putera baginda, Nabi Ismail a. s. 
Kesemua ibadah-ibadah khusus akan menjadi rukunIslam yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT. Di samping itu juga terdapat banyak lagi ibadah-ibadah khusus yang perlu dilakukan untuk memperlengkapkan lagi tuntutan terhadap dua kalimah syahadah yang dilafazkan seperti membaca al-Qur’an, ibadat-ibadat sunat yang lain yang kesemuanya akan menambahkan keimanan kepada Allah SWT.

Selain daripada ibadah khusus yang dibincangkan dengan agak terperinci terdapat pula ibadah umum yang merupakan pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah SWT melalui urusan kehidupan dunia yang menyangkut hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah SWT yang lain yang berlandaskan akidah dan syariat Islam.
Pendeknya semua amalan yang dilakukan dikira sebagai ibadah asalkan ia menepati syarat-syarat yang ditentukan, antaranya:
• Pekerjaan atau perbuatan itu mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Perbuatan yang dilakukan kerana riya’ atau mempunyai muslihat yang tertentu tidaklah dikira sebagai ibadah.
• Amalan yang dilakukan juga mesyilah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, kerja-kerja yang haram seperti menjual arak, menguruskan kedai-kedai judi atau kelab-kelab malam adalah dilarang dalam Islam.
• Pekerjaan atau amalan yang dilakukan itu tidak menghalang seseorang dari melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Nur ayat 37 :
Maksudnya : “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jualbeli dari mengingati Allah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat”.
• Amalan yang dilakukan juga mestilahdilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah SWT suka jika seseoarang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun (memperelokkan kerjanya).
Kesimpulannya, ibadah ialah keyakinan, sikap, amalan dan keadaan yang memenuhi makna-maknanya yang disebutkan tadi dalam hubungan manusia dengan Allah SWT. Sesungguhnya beribadat kepada Allah tidaklah terbatas kepada mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan perkara yang ada kaitan dengannya seperti membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa dan beristighfar sebagaimana fahaman setengah-setengah golongan orang Islam. Kebanyakan mereka talah menyempurnakan segala hak Allah dan kewajipan ubudiyyah terhadap-Nya.

Sebenarnya syiar-syiar agama yang besar dan rukun-rukun asasi bagi pembentukan Islam itu walau bagaimana penting dan tiggi statusnya ia hanya sebahagian daripada jenis ibadat kepada Allah, bukanlah ianya merupakan seluruh ibadat yang dikehendaki Allah daripada hamba-hamba-Nya. Benarlah bahawa manusia yang dicipta Allah atas asas dan tujuan beribadat kepadaNya dan menjadikan ibadat itu matlamatnya dalam hidup dan tanggungjawabnya di atas muka bumi adalah mempunyai daerah ibadat yang amat luas sekali iaitu daerah yang meliputi seluruh urusan kehidupan manusia.

Sebagai kesimpulan kepada tajuk ini, dapatlah dikatakan bahawa setiap manusia mempuyai tanggungjawab yang tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka tinggal dan di zaman bila mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut, sama ada mereka adlah hamba kepada Allah SWT, atau sebagai pengatur kepada diri sendiri, ibu bapa, isteri, suami, anak, anggota masyarakat, rakyat kepada sesuatu negara ataupun pali tidak, satu makhluk Allah SWT yang kerdil di muka bumi ini.

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com