Asas-Asas Pemikiran Politik Islam

SISTEM POLITIK ISLAM

Definisi politik
Perkataan “politik” adalah berasal daripada perkataan Bahasa Yunani “politikos” atau Bahasa Latin “politica”. Dalam Bahasa Perancis ditulis “politique”, dalam Bahasa Jerman ditulis “politik”, dalam Bahasa Belanda ditulis “politiek”. Asal katanya ialah dari “polis”bererti “negara kota”. “Polis” juga membawa erti kemajuan.
Perkataan politik sudah digunakan selama 25 Abad sejak ianya mula diperkenalkan pada 5 sebelum Masihi.

Beberapa pengarang telah mentafsirkan perkataan politik tersebut seperti berikut: St. Mohd. Zain menyebut : Politik dalam Bahasa Belanda ialah ; Siasat, tipu muslihat ; pemerintahan, siasat pemerintahan ; peperangan ;tipu muslihat peperangan dan mengetahui sesuatu dengan memakai tipu muslihat.

E. St. Haraphap pula menjelaskan politik ialah perkara keamanan negeri;akal dan muslihat sesuatu pergerakan dan perhimpunan.. Husain Manaf pula menulis ; politik asalnya daripada Bahasa Latin ; “politica”, dalam Bahasa Yunani disebut “politikos”ertinya dari atau atau kepunyaan negara dan dalam Bahasa Arab, politik dinamakan siasah. Dalam kamus al-Munjid, takrif siasah ialah mengendalikan urusan sesebuah negara., memperbaiki keadaan dan urusan manusia dan mentadbirkan urusan sesebuah negeri.

Terlalu banyak perbezaan pendapat dan fahaman terhadap pengertian politik mengikut tafsiran masing-masing. Pengertian politik ini telah diterangkan didalm kamus –kamus Bahasa Parsi yang memberi pengertian terhadap kerja-kerja atau kegiatan untuk penipuan dan pemalsuan.
Negara Islam di Madinah adalah contoh tertua suatu politik masyarakat yang disusun dalam bentuk “negara” Dakwaan ini berdasarkan fakta bahawa ia adalah satu masyarakat yang tersusun berpandukan rule of law. Keagungan rule of law adalah faktor penentu sesebuah “negara” dan bentuk-bentuk lain politik masyarakat yang tersusun.

Negara Islam di Madinah adalah entiti politik pertama yang mengaturkan dan mengamalkan prinsip ini. Kaedah-kaedah perundangan yang terdapat di dalam al-quran dan sunah diinstitusikan oleh suatu kuasa yang lebih tinggi kekuasaannya daripada setiap negara di dunia. Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap individu dan badan-badan rasmi di negara Islam untuk mematuhi kedah-kaedah tersebut.
Undang-undang dalam politik masyarakat yang mendahului negara Islam di Madinah atau sezaman dengannya merupakan kehandak seorang diktator atau satu kelas sosial yang berkuasa dalam masyarakat. Beginilah keadaannya di Mesir Purba, Parsi, dan Empayar Romawi. Oleh sebab itu apabila sistem politik Islam yang berdasarkan rule of law dipraktikkan, ia merupakan suatu langkah terkehadapan dalam pembentukan konsep moden “negara”.

ASAS-ASAS PEMIKIRAN POLITIK ISLAM.

Asas pemikiran politik Islam boleh dibahagikan kepada 6:
i) Al-hakimiah
ii) Kebebasan
iii) Persamaan
iv) Keadilan
v) Kesatuan
vi) Syura

i) AL-HAKIMIAH

Asas ini membawa satu konsep bahawa al-hakimiah ; yakni kekuasaan juruduksidan kedaulatan hukum tertinggi di alam semesta ini hanyalah milik Allah. Allahlah yang mempunyai wewenangan untuk menentukan sesuatu hukum atau sesuatu ketentuan keatas alam sejagat. Hukum yang mesti diterima oleh manusia hanyalah hukum Allah. Oleh itu manusia hanyalah wajib patuh, taat, dan tunduk kepada hukum Allah semata-mata.

Di antara ayat-ayat kumpulan pertama yang menjelaskan prinsip hakimiah Allah ialah:

“katakanlah: Sesungguhnya aku (berada) di atas hujjah yang nyata (al-Quran) dari Tuhanku sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa (azab) yang kamu minta supaya disegerakan kedatangannya. Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan sebenarnya dan Dia pemberi keputusan yang baik. ” (al-An’aam:57)

Dalam ayat kedua pula Allah berfirman:
“Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah, penguasa mereka yang sebenarnya, ketahuilah bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaannya dan dialah pembuat perhitungan yang paling cepat” (al-An ‘aam:62)

Manusia tidak akan dihisab di atas perbuatan mereka di dunia kecuali setelah wujudnya satu undang-undang yang menentukannya halal dan haram itu. Manusia akan dihisab berdasarkan ketentuan halal dan haram itu. Manusia juga tidak dihukum kecuali setelah tegaknya di dunia dan di akhirat satu kuasa yang tegak diatas asas ini.

Ada dua bentuk kesan yang akan berlaku dalam kehidupan manusia jika mereka menolak prinsip hakimiah ini:

PERTAMA:
Berlakunya kepincangan dalam diri individu. Ini adalah kerana dia beriman kepada dua tuhan dalam satu ketika iaitu manusia yang beriman dan mengakui rububiyah Allah dan pada waktu yang sama beliau mengiktiraf adanya satu kuasa lain yang berhak menyusun dan menentukan sistem kehidupannya di bidang siasah, akhlak, ekonomi dan menentukan nilai-nilai hidup, yang mana dengan perbuatannya ini dia telah mempertuhankan selain Allah.

KEDUA:
Berlakunya kecacatan dalam pengukurannya terhadap sesuatu. Ini adalah akibat daripada kegoncangan yang berlaku pada dirinya. Kadang –kadang dia merasakan dia perlu mengikut hukum, dasar-dasar akhlak dan kebenaran mengikut hukum Allah dan kadang-kadang dia merasakan tidak boleh melakukannya. Ini semua membawa kepada kehancuran dalam diri individu dan masyarakat.

ii) KEBEBASAN

Kebebasan merupakan satu nilai yang tinggi dalam kehidupan manusia. alam bidang politik, definisi kebebasan agak jelas iaitu”para pemimpin mesti tidak menzalimi rakyat” tetapi jarang sekali definisi tersebut akan terus menjadi jelas, khususnya apabila pihak berlawanan mempunyai definisi yang berbeza. Para sarjana moden membahagikan kebebasan kepada dua iaitu kebebasan untuk berfikir dan mempercayai, hak untuk pendidikan dan harta benda, dan kebebasan peribadi.
Firman Allah:

“Tetapi sekiranya datang petunjukku kepada kamu, dan sesiapa yang mengikuti petuntukku, ia tidak akan sesat dan jatuh kepada kesengsaraan. Tetapi sesiapa yng enggan mengingatiku, kemahuannya adalah hidupan yang sempit”.
 (Al-Baqarah, 2:35-39)

Terdapat bukti-bukti yang al-quran mengiktiraf hakikat kebebasan manusia, contohnya kaum Muslimin diperintah bagi mempertahankan kebebasan kepercayaan dengan meninggalkan tanahair walaupun tidak ke negara bukan di bawah pemerintahan Islam, asalkan mereka dapat menyembah Allah dan melakukan amalan-amalan agama mereka. “Dan inilah penghijrahan yang tidak harus terhenti sehingga hari Akhirat”.

iii) PERSAMAAN

Prinsip persamaan adalah satu daripada prinsip perlembagaan yang paling penting yang menjadi dasar sistem politik semasa. Prinsip persamaan bermaksud individu-individu yang terdapat dalam sesuatu masyarakat adalah sama dari segi hak, kebebasan tanggungjawab dan tugas-tugas awam yang akan dinikmati oleh semua orang tanpa diskriminasi terhadap bangsa, asal, bahasa atau kepercayaan.
Persamaan ini dianggap satu daripada prinsip umum Islam seperti yang ditentukan oleh teks-teks al-Quran yang merupakan asas kepada prinsip ini di dalam undang-undang Islam.

iv) KEADILAN

Islam telah meletakkan keadilan pada kedudukan yang utama dalam perundangannya iaitu pada tahap yang belum pernah dibuat oleh sebarang sistem undang-undang sebelum ini. Keadilan merupakan sifat Allah dan neracanya di dunia.

Para Rasul telah di utuskan diantara lain membawa prinsip ini. Semua syariat Ilahi telah membawa prinsip keadilan untuk kedamaian hidup

Firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. ” (Al-Hadid:25)

Firman Allah:“Allah menyeru supaya melakukan keadilan dan kebaikan dan memberi kepada saudara-mara, serta mencegah sumbangan, kebencian, dan kekejian “ (Al-Nahl, 16:90)

Dalam ayat Lain Allah berfirman:
“Allah memerintahkan kamu supaya memulangkan harta amanh kepada tuannya, dan sekiranya kamu mengadili diantara manusia, adililah dengan saksama” (AL-Nisa, 4:58)

Di samping menyeru supaya menegakkan kedilan dikalangan kaum muslimin, Al-Quran juga memerintah supaya melakukannya terhadap musuh.

“Dan janganlah membenarkan sesiapa mempengaruhi kamu berlaku adil” (Al-Ma’idah, 5:9)

v) KESATUAN

Persoalan kesatuan merupakan asas yang terpenting dalam pemikiran politik Islam. Jatuh bangunnya umat Islam banyak bergantung kepada kesatuan. Kesatuan ini akan mewujudkan rasa kasih sayang, kecintaan, keinsafan dan pengorbanan yang membentuk kekuatan umat

Umat yang kita maksudkan ialah umat Islam yang mempunyai nasab keturunan sejak zaman berzaman. Ia bermula daripada Nabi Adam diikuti oleh para rasul dan para mukminin yang beriman kepada Allah hinggalah kepada Nabi akhir zaman Muhammad SAW.
Umat Islam istimewa dengan kesucian akidahnya terhadap Allah.

Firman Allah:
“Katakanlah : “ Sesungguhnya aku diperintahkan untuk menyembah Allah dan mempersekutukan sesuatu pun dengannya. Hanya KepadaNya aku seru (manusia) dan hanya kepadanya aku kembali” (ar-Raad:36)

Kesatuan umat Islam ini dibina diatas dua asas yang amat kukuh:
 (i) Akidah
 (ii) Persaudaraan

Firman Allah :
“Sesungguhnya ini adalah umat (agama tauhid) kamu, umat (agama tauhid) yang satu dan Aku adalah Tuhanmu maka bertaqwalah kepadaku. ” (AL-Anbiya : 92)

Tentang asas kedua pula Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang –orang mukmin itu bersaudara”. (Al – Hujurat:10)

vii) SYURA

Diantara prinsip perlembagaan Islam, al-syura dianggap yang paling penting. Syura merupakan lambang negara dan umat Islam. Syura merupakan cara berfikir tersendiri yang telah dididikkan dan disebatikan keatas mereka yang menganut agama Islam.
Bukti-bukti tentang kepentingan syura terdapat didalam Al-Quran dan sunah. Dalam satu daripada dua ayat Al-Quran yang jelas tentangnya, syura disebut sebagai mandatori dan pada ayat yang lain mereka yang mengamalkan akan dipuji.
Dalam ayat yang pertama, kitab suci Al-Quran mengamanatkan Rasullah dan memberitahu baginda :
” Adalah dengan Rahmat Allah bahawa kamu lembut dengan mereka, kerana sekiranya kamu berkasar dan keras hati, mereka akan menjauhi kamu. Oleh itu ampuni mereka dan mohonlah pengampunan kepada mereka dan berundinglah dengan mereka tentangnya. ”
` (Ali-Imran, 3:159)

Dalam ayat kedua, al-Quran menyatakan dalam surah al-syura (43:38) :

”Dan sesiapa yang menuruti perintah Allah dan melakukan sembahyang dan melaksanakan hal-hal mereka dan perundingan dan sesiapa yang berbelanja apa yang telah Kami berikan keatas mereka “.

Terdapat dua syarat yang harus dipatuhi di dalam syura :
i) Syura tidak boleh digunakan kepada persoalan-persoalan yang terdapat perintah di dalam kitab suci al-Quran atau sunah yang mana kedua-duanya merupakan perundangan yang mengikat.

ii) Apabila sesuatu persoalan dirujuk kepada syura, para penasihat tidak dibenarkan membuat keputusan yang bertentangan dengan perintah Al-Quran dan sunah Rasulullah. Sekiranya belaku, pertentangan sedemikian adalah dilarang mengikuti pandangan yang dicapai oleh Syura, dengan itu menjadikan tidak bernilai.

“Sesungguhnya syura tidak akan berguna sekiranya pandangan majoriti tidak diikuti, apabila mandat syura keatas ummah Muslimin memerlukan pandangan majoriti dipatuhi…dan golongan minoriti yang pandangannya tidak diterima, harus yang pertama menyegerakan perlaksanaan majoriti dan menguatkuasakannya denagn ikhlas, kerana itulah pandanagn yang harus dipatuhi. Oleh itu adalah salah untuk mengikuti pandangan yang lain …dan golongan minoriti tidak harus mempersoalkan pendapat golongan majoriti. “

Ini adalah sunah Rasulullah yang harus diikuti oleh setiap umat Muslimin. Jelasalah bahawa syura adalah suatu prinsip asas dalam teori berpelembagaan Islam, suatu prinsip yang diasaskan oleh ayat-ayat Al-Quran dan wahyu Rasulullah yang telah diikuti dengantegas oleh baginda dan para sahabat.

POLITIK ISLAM DI ALAM MELAYU.

Pengislaman raja-raja telah menyebabakan turut berlaku pengaruh Islam dalam sosiopolitik Di Alam Melayu. Perubahan yang ketara ialah tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam hasil daripada gerakan dakwah para mubaligh.

Hamka mengatakan masyarakat Islam yang pertama sekali wujud di Nusantara ialah masyarakat ‘Ta-Shih’ yang wujud sekitar tahun 674Masihi. Golongan ini juga dikatakan wujud di Sumatera dan juga di Jawa. Pada abad ke 8 pula tertubuhnya Kerajaan Sribuza Islam dan runtuhnya Kerajan Hindu Srivijaya. Pada abad ke 9 wujud Kerajaan Islam Perlak, kemudian Kerajaan Samudera Pasaipada 1042. Seterusnya Kerajaan Pattani di Selatan Thai pada abad ke 13.

Kerajaan Islam Melaka pula wujud pada 1414 apabila Parameswara memeluk agama Islam, seterusnya di Acheh, dam kemudian wujud pula di kerajaan Johor Riau.
Selepas kedatangan Islam, sosio politik di Alam Melayu mula memasuki era antarabangsa serta menjalinkan hubugan dengan dunia luar Nusantara seperti India dan Turki. Hubuingan yang rapat telah terjalin pada abad ke 13 dan 16 Masihi. Ia membawa kepada masuknya Nusantara dalam blok negara-nagara Islam serta menganggotai Pan Islamisme.

Siddiq Fadhil menyatakan bahawa Islam telah berjaya ‘memanusiakan’ raja-raja yang dianggap’dewa’ sebelum ini. Islam juga telah membawa transformasi nilai dan etika pemerintahan kepada raja-raja. Karya-karya ketatanegaraan seperti kitab’Tajul Salatin’ karya Bukhari al-Jauhari (1603M) menunjukkan dengan jelas pemikiran Islam dalam politik Islam di Alam Melayu. Ia memperincikan tatasusila serta kod etika yang harus dipakai oleh raja-raja.

Institusi raja bertukar menjadi ‘sultan’ iaitu sebagai orang yang memikul amanah, khalifah Allah, dan kataatan kepada sultan yang bersyarat dengan ketaata itu sebagai syariat. Sultan juga menjadi lebih positif, cintakan ilmu, serta gemar berdampingan dengan ulama’. Islam jugalah menjadi nadi penggerak kepada kesedaran menentang penjajahan Barat dirantau ini.

PEMBENTUKAN PARTI-PARTI POLITIK

Malayan Union menjadi “catalyst” kepada kebangkitan sistem politik moen di Malaya. United Malays National Organization (UMNO) ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh Dato Onn Jaafar. UMNO telah berjaya menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu dan menjadi kuasa politik yang dominan di Malaya.

Malayan Chinese Association (MCA) ditubuhkan pada 27 Februari 1949untuk menjaga kepentingan kaum cinadan presidennya yang pertama adalah Tun Tan Cheng Lok. The Malayan Indian Congres (MIC) pula ditubuhkan dalam bulan Ogos 1946 dan presidennya yang pertama ialah John Thivy.
Parti-parti politik di Sabah mula wujud dalam tahun1961 dan pilihanraya pertama telah diadakan pada bulan Disember 1962. Contoh-contoh parti politik yang wujud adalah United National Kadazan Association (UNKO), Pasok Momogun Organization (PM), Sabah Chinese Association (SCA), dan Sabah Indian Congres (SIC). Contoh-contoh parti politik di Sarawak ialah Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Parti Negara Sarawak (PANAS), Sarawak United Peoples Party (SUPP), Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan The Sarawak Nationalist Party (SNAP).
Diantara parti–parti pembangkang yang wujud adalah seperti Parti Negara (PN), Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), The United DemocraticParty (UDP), dan The Peoples Action Party (PAP) serta The Democratic Action Party (DAP).
Malaysia merupakan sebuah negara Islam dimana Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi negara ini. Oleh itu kita seharusnya melaksanakan objektif –objektif Kerajaan Islam :

 (i) Objektif didalam masyarakat Islam yang disimpulkan dalam perlaksanaanundang-undang Islam keatas rakyat. Caranya ialah dengan menegakkan keadilan dikalangan mereka, melaksanakan persamaan dan menegakkan syariat Islam ke atas seluruh bidang kehidupan masyarakat, ekonomi, politik dan keluarga

 (ii) Objektif di luar kerajaan Islam. Iaitu mendakwah masyarakat-masyarakat lain kepada agamaAllah dan menjelaskan hukum-hukumnya kepada mereka. Ini memerlukan jihad pada jalan Allah secara lisan dan kekerasan jika kalimah Allah itu disekat dari sampai kepada masyarakat –masyarakat lain.

RUMUSAN
KEPUTUSAN MAJLIS SYURA

1. Dengan ‘inayah dan taufiq Allah Subhanahu wa Ta`ala dan berdasarakn kepada menegakkan “baldatun tayyibatun”, maka Majlis Syura Pusat Masyumi mengeluarkan fatwa sebagai berikut :
i) Mengdakan pemilihan umum untuk membentuk parlimen Kostiuante adalah wajib hukumnya
ii) Kerana kemenangan Islam dan umatnya bergantung kepada turut serta tiap-tiap seseorang (individu) Muslim laki-laki dan wanita dalam perjuangan pemilihan umum, maka adalah wajib`ain hukumnya atas tiap-tiap Muslimin dan muslimat yang mukallaf dari segala golongan, kalangan dan tingkatan turut serta berjuang dalam pemilihan umum tersebut.
iii) Kerana pemilihan itu bergantung kepada pemberian suara
 (undi) buat memilih pemuka-pemuka (tokoh-tokoh) Islam, maka:
a) Wajib atas tiap-tiap pemilih Muslim hanya memilih calun-calun yang tidak apalagi yang bercita-cita politik Islam.
b) Terlarang hukumnya memilih calun-calun yang tidak, apalagi yang anti cita-cita Islam.
iv) Buat melaksanakan perjuangan pemilihan yang menjamin kemenangan, maka wajiblah tiap-tiap Muslim dan Muslimat itu menyiapkan segala alat kelengkapan yang diperlukan oleh perjuangan itu, baik zahir atau pun batin.
v) Ummat Islam seluruhnya dianjurkan memperkuatkan persatuan kerjasamadan saling mengertiyang sebaik-baiknyayang menjamin kemenangan Islam.

BAHAN RUJUKAN
1. Asas-Asas Pemikiran Politik Islam, Alias Othman, Pustaka Salam Sdn. Bhd, KL, 1992.
2. Sistem Politik Negara Islam, Muhamed S. El-Awa, DBP, KL, 1991
3. Sejarah Dan Tamadun Islam, UIS 251, Pusat Pendidikan Islam, UiTM Cawangan Perlis.
4. Sistem Politik Malaysia, Pusat Pendidikan Luar, Pendidikan Jarak Jauh, Petaling Jaya, 1991.
5. Penyelesaian Islam Dari Sudut Sistem Politik, Dr. Abu Al – Maati Abu Al Futuh, Pustaka Fajar, Shah Alam, 1985.,
6. Kewajipan Umat Islam Dalam Pilihanraya, K. H. M Isa Ansory, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, 1986.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com