Riwayat Hidup Baginda Rasulullah SAW

Muqaddimah:
Rasullullah SAW merupakan jambangan yang tersusun seluruh keistimewaan dan kebaikan yang ada pada semua manusia. Baginda adalah seorang pemikir yang unggul dimana baginda mempunyai pandangan yan waras, kecerdikan dan juga kebijaksanaan yang tersendiri. Sifat berdiam, kesuburan berfikir dan keheningan naluri menjadikan kebenaran sentiasa berpihak kepada baginda.

Baginda selalu menjauhkan diri dari perkara-perkara khurafat tetapi baginda tetap berinteraksi dengan orang ramai juga baginda sentiasa bersirah dan berwaspada terhadap tindakan mereka dan juga dirinya.

1. Pengenalan
Tujuan pengkajian riwayat hidup Rasullullah SAW ialah supaya kita dapat melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah disamping dapat menyakini serta memahami bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya terdapat didalam kehidupan Rasullullah SAW itu sendiri.

Gambaran dan anggapan ini wujud setelah seseorang itu memahami segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam. Kajian riwayat hidup Rasulullah SAW adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian menyesuaikannya dengan Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan kepada umat manusia yang lain.

2. Definisi
Muhammad SAW ialah seorang rasul yang terulung dan nabi pengakhir zaman. Baginda mempunyai berbagai keistimewaan dan kebaikan yang terdapat pada semua manusia. Antaranya ialah baginda seorang yang bijaksana, mempunyai pemikiran yang waras dan contoh pemikir yang unggul. Baginda seorang yang disenangi oleh semua semenjak kecil sehinggalah baginda dewasa dan wafat. Baginda juga telah di turunkan wahyu oleh Allah SWT untuk kesenangan umat manusia di muka bumi ini. Setiap perjuangan baginda kearah menegakkan Islam sentiasa mendapat kemenangan dan Allah sentiasa merestui setiap apa yang baginda lakukan, dimana para sahabat dan pengikut amat menghormati dan menerima setiap keputusan yang baginda arahkan.
Selain daripada itu baginda juga seorang yang pengasih dan penyayang kepada semua isteri, anak-anak dan para sahabat baginda. Baginda berjuang ke jalan Allah sehingga ke akhir hayat baginda

3. Riwayat Hidup Rasulullah SAW

3. 1 Kelahiran Rasulullah SAW
Sebelum kelahiran Rasulullah SAW, ayahandanya telah meninggal dunia. Ayahanda baginda iaitu Abdullah telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang dari Syam. Aminah yang ketika itu sedang mengandung enam bulan berasa sangat sedih apabila mendengar beritan kematian suaminya. Bayi yang akan lahir itu sudah tentu tidak akan berpeluang melihat wajah ayahandanya.

Pada hari Isnin tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi, bayi yang dikandung Aminah selamat dilahirkan. Tanpa merasa Sakit, Aminah telah melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat dan cemerlang wajahnya. Berita gembira itu segera disampaikan kepada Abdul Muttalib yang sedang berada di Kaabah. Abdul Muttalib sungguh gembira menerima kehadiran seorang cucu lebih-lebih lagi cucu lelaki hasil zuriat anak kesayangannya. Bayi suci itu terus didukung dan dibawa ke kaabah kemudian dinamakan ‘Muhammad’ iaitu nama yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum ini.

Beberapa irhasat kebangkitan seorang rasul telah berlaku sebelum kelahiran rasullullah diantaranya terjadi runtuhan 14 anjung dewan Kisra Parsi, api yang disembah penganut agama majusi terpadam dengan sendirinya, gereja-gereja disekitar Tasik Samah yang penuh sesak dengan pengunjung telah roboh, riwayat oleh al-Baihagi tetapi tidak di persetujui oleh Muhamad al-Ghazali. Ketika kelahiran bayinya Aminah telah melihat suatu cahaya keluar daripada dan cahaya itu seperti memenuhi bumi. Apa yang dialami oleh Aminah adalah sesuatu yang benar. Perkara yang sama telah dialami oleh Syifa’ ibu Abd Rahman bin ‘Auf dan Barakah, Jariah Abdullah.

Selepasa kelahiran Muhammad, Abu Lahab telah membebaskan jariahnya iaitu Thuwaibah.

Selepas tiga hari Muhammad dilahirkan ibunya telah cuba menyusukan baginda tetapi baginda tidak mahu menyusu dari susuan ibunya sehinggalah Thuwaibah telah datang kerumah Aminah dan berjaya menyusukan baginda. Selepas tiu Muhammad diserahkan pula kepada Halimah binti Abi Zuaib, isteri kepada al-Harith bin Abdul al-Qira bergelar Abu Kabsyah dari khabilah yang sama. Adalah menjadi adat bagi golongan bangsawan Quraisy menyerahkan anak yang baru lahir kepada wanita kampung untuk disusui supaya anak itu tahan lasak dalam menempuh segala rintangan alam. Semenjak itu Muhammad tinggal bersama ibu susuannya Halimah dan diasuh oleh Syaima, saudara susuannya. Pada tahun kelahiran Muhammad, Abrahah dan tenteranya menuju ke Mekah dengan niat untuk meruntuhkan Kaabah. Abrahah adalah seorang nasrani dari hasyah dan dia telah berjaya mendirikan sebuah kerajaan di Yaman. Dengan niat mahu menyaingi kehebatan Kaabah, Abrahah telah membina sebuah gereja yang besar dan indah di Sanaa, ibu kota Yaman dengan harapan dapat mengalih tumpuan bangsa Arab. Malangnya percubaan itu tidak berjaya malah semakin ramai orang-orang Arab mengunjungi Kaabah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim. Akhirnya Abrahah telah kalah di dalam peperangan yang mana Allah telah mengutuskan sekumpulan burung dari laut dengan membawa batu dimuncung masing-masing. Batu-batu itu kemudian dilemparkan kearah Abrahah dan tentera-tenteranya dan membakar seluruh badan mereka sehingga hangus
Abrahah mengalami nasib yang sama apabila badannya gugur sedikit demi sedikit sebelum mati di dalam keadaan seperti dedaun yang dimakan ulat. Peristiwa ini menggambarkan kebesaran Allah dan tanda munculnya nabi akhir zaman.

3. 3 Kehidupan Muhammad Sebelum Menjadi Rasul

Ketika masih bayi, Muhammad SAW dipelihara oleh ibu susuannya Halimah. Halimah mengasihi Muhammad SAW lebih dari anaknya sendiri. Sejak Muhammad SAW tinggal bersamanya, pintu rezeki Halimah sentiasa terbuka luas. Kehadiran Muhammad SAW membawa keberkatan kepada seluruh keluarga Halimah. Mereka tinggal di perkampungan Saad dan Muhammad SAW berada disitu selama dua tahun. Selepas itu Halimah membawa Muhammad SAW berjumpa dengan ibunya. Tetapi Halimah memohon kepada bonda Muhammad SAW agar mengizinkan baginda tinggal lebih lama lagi. Permintaannya dikabulkan dan Muhammad SAW kembali tinggal di perkampungan Bani Saad.

Pada suatu hari, ketika masih di bawah asuhan Halimah Muhammad SAW telah didatangi oleh dua orang malaikat. malaikat itu diutuskan oleh Allah untuk membelah dada baginda dan membersihkan hati serta segumpal darah sebagai persiapan untuk menerima Risalah Ilahi di kemudian hari. Kemudian dada baginda disembuhkan kembali. Selama tinggal di bani saad Muhammad SAW memelihara kambing kepunyaan Halimah bersama saudara susuannya.

Ketika baginda berumur enam tahun bondanya telah wafat semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah dari menziarahi makam ayahandanya dan dikebumikan di satu tempat yang bernama Abwa’. Setelah kewafatan ibunya, Muhammad SAW tinggal pula bersama datuknya Abdul Muttalib. Namun datuknya sempat memanjakan baginda hanya dalam tempoh dua tahun sahaja. datuknya iaitu Abdul Mutalib pula meninggal dunia di Makkah tetapi sebelum kewafatannya beliau telah mewasiatkan agar Muhammad diserahkan kepada bapa saudaranya Abu Talib. Keberkatan yang ada pada diri Muhammad SAW bakal utusan Allah itu telah mengubah corak kehidupan Abu Talib dimana keluarga Abu Talib yang miskin telah menjadi senang.

3. 4 Perkahwinan Rasullullah SAW

Apabila Muhammad dewasa dan mencapai umur 25 tahun baginda telah berkahwin dengan seorang perempuan yang sangat kaya bernama Khadijah binti Khuwailid. Sepanjang perkahwinannya itu baginda merasa amat bahagia dan dikurniakan dengan enam orang anak, 4 perempuan dan 2 lelaki (keuda-duanya meninggal ketika kecil). Selepas Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan dan apabila memasuki bulan syawal, baginda telah berkahwin dengan Swdah binti Zam’ah iaitu wanita yang terulung memeluk agama Islam. Beberapa tahun selepas tiu, baginda berkahwin pula dengan Aishah binti Abu Bakr dan seterusnya sehingga perkahwinan baginda yang ke sepuluh. Walaupun mempunyai isteri yang ramai, baginda tetap bersikap adil terhadap isteri-isterinya dan anak-anak baginda.

3. 2 Tanda-tanda Muhammad SAW akan menjadi seorang Rasul

Semenjak kelahiran Muhammad SAW, berlaku peristiwa-peristiwa aneh dan ajaib dimana berlakunya peristiwa tersebut adalah sebagai pentanda bahawa baginda akan menjadi rasul. Peristiwa anih berlaku bermulanya Halimatul Saa’diah yang telah menyusukan baginda, beliau telah dikurniakan air susu yang banyak dan membolehkan beliau menyusu Muhammad dan anaknya sehingga kenyang. Peristiwa yang kedua ialah dimana penduduk di kota Makkah menghadapi kemarau yang agak teruk tetapi apabila Abu Talib membawa Muhammad keluar dan menuju ke Kaabah dan secara tiba-tiba langitpun berawan, mendung berarak kelangit kaabah dan hujan turun dengan lebat melimpahi bumi Makkah. Tanda-tanda kerasulan baginda lebih terserlah apabila bersama Abu Talib keluar untuk berniaga di negeri Syam dan disana baginda telah ditemui oleh seoleh seorang padri yang dikenali sebagai Bukhaira. Bukhaira mendapati baginda adalah orang yang telah diutuskan Allah sebagai rahmat untuk manusia sekelian alam. Baginda akan menjadi seorang nabi dan akan dikenali sebagai “Khatam al-nubuwah” iaitu penutup segala kenabian atau nabi yang terakhir.

3. 4 Penghijrahan Rasullullah SAW
Penghijrahan baginda yang pertama adalah ke Habshah. Raja Habshah (Ethiopia) pada ketika itu ialah Najasyi, seorang raja yang baik dan akhirnya telah memeluk agama Islam. Daripada penghijrahan ini terdapat beberapa pengajaran iaitu berpegang teguh dengan agama dan menegakkan hukum-hukumnya merupakan perisai segala kekuatan. Selain daripada agama, harta benda, kebebasan dan kemuliaan serta negara mestilah dipertahankan daripada sebarang pencerobohan. Manakala penghujrahan baginda yang seterusnya ialah kekota madinah tetapi keadaan dikota Makkah menjadi hura-hara dan semakin orang islam yang diseksa oleh orang-orang kafir Quraisy. Selepas tiu, secara bersembunyi, para sahabat baginda berpindah pula ke Yathrib. Baginda dan para sahabat yang lain meneruskan penghijrahan hingga sampai ke Quba dimana mereka telah disambut dengan meriah. Penghijrahan ini kemudian disusuli dengan berbagai usaha mulia yang dilaksanakan oleh baginda demi masyarakat baru Madinah Al-munawarah.

3. 5 Mukjizat Rasullullah SAW
Segala keistemewaan yang berlaku kepada Rasullullah SAW merupakan mukjizat yang dikurnia Allah, diantaranya ialah:

3. 5. 1 Rasulllullah SAW telah memberitahu puterinya Fatimah bahawa beliau akan menjadi orang pertama akan menyusul selepas kewafatan baginda dan perkara ini telah menjadi kenyataan.

3. 5. 2 Terpancar air dari celah jari jemari baginda sehingga dapat menghilangkan dahaga para askar yang sedang kehausan yang amat sangat


3. 5. 3 Peristiwa Israk dan Mikraj dimana Rasullullah SAW bertemu dengan Allah SWT dan diperlihatkan berbagai keajaiban dilangit kepada baginda dalam masa semalam sahaja.

3. 6 Kewafatan Rasullullah SAW

Rasulullah wafat pada pagi Isnin 12 Rabiulawal tahun kesebelas Hijrah ketika baginda berusia 63 tahun 4 hari. Baginda wafat dipangkuan isterinya Aishah r. a. Sebelum kewafatannya baginda telah menunjukkan tanda-tanda yang baginda akan meninggalkan dunia ini, antaranya ucapan dan perbualan baginda yang berbeza melalui tingkah laku baginda. Didalam bulan Ramadan tahun kesepuluh Hijrah, baginda beriktikaf dimasjid selama dua puluh hari berbeza pada hari sebelumnya baginda hanya beriktikaf hanya sepuluh hari sahaja dan juga peritiwa dimana baginda telah didatangi oleh Jibrail a. s

4 Penutup

Rasulullah SAW merupakan seorang nabi yang diutuskan oleh Allah untuk kesenangan umat Islam dimuka bumi ini. Baginda merupakan seorang yang penyabar, bijaksana, berani dan lemah-lembut. Seorang pejuang dan ketua negara yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk menegkkan agama Allah dan mendayung teraju pemerintahan dengan cekap dan pintar, seorang suami dan bapa yang penyanyang serta perihatin terhadap tanggungjawab. Baginda seorang yang bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah SWT, sahabat handai, keluarga dan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com