Riwayat Hidup Rasulullah SAW

Ke arah pertengahan abad keenam masihi dunia semakin gelap dan hodoh dengan khurafat dan tahyul yang telah menutupi kehidupan kerohaniannya. Sifat tamak dan kekejaman telah membungkus keadaan moral, dan penindasan telah melemaskan majoriti manusia yang tinggal di dalam Mekkah. Manusia yang sebelumnya pernah merdeka dan produktif, tamadun tertua di dunia, iaitu orang-orang Assyriah, Phoenik dan Mesir menderita dibawah cengkaman serigala Rom, manakala orang Babylon pula kesengsaraan mengalami kekejaman yang sama dari kerajaan Farsi. (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 21)

Mereka tinggal dalam kesengsaraan dan putus asa, dari sehari kesehari sehinggalah suatu hari Allah merasa kasihan keatas kedudukan mereka yang menyedihkan itu lalu menguruskan nabi yang paling agung, seorang rasul yang selalu berdoa,

“Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan orang-orang yang teraniaya dan Engkaulah Tuhanku”

Suatu cahaya agung dan mulai menembusi langit dari timur ke barat; dari perbatasan China ke pantai-pantai Maghribi, dari Atlantik ke Pasifik, satu cahaya lurus menembusi dunia ini – cahaya yang membawa keadilan dan ilmu pengetahuan kepada umat manusia, ini kerana cahaya yang telah diturunkan melalui rahmat dari Yang Sangat Memberi Rahmat. Allah berfirman di dalam al-Qur’an “ Dan Kami tidak mengutusmu (Muhammad SAW melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”. (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 21)

Kelahiran Nabi Muhammad SAW
Ketika orang ramai bergembira dengan kemenagan mereka. Abdul Mutalib mendapat berita yang mengembirakan. Aminah telah berkirimsalam kepadanya dengan memberitahu bahawa seorang cucu lelaki telah dilahirkan. Orang tua itu sangat gembira lalu segera datang dan terus meletakkan cucunya itu ditangannya. Dia membawanya terus ke Ka’bah dan mengelilinginya sebanyak tujuh kali bersama bayi itu lalu berkata

“ Hai anak yang diberkati, aku akan namakan engkau Muhammad. Kelahiran anak ini mengiringi kemuliaan dan kemenangan untuk Rumah Suci, semoga ia diberkati” (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 21)

Rasulullah SAW dilahirkan di Syuib Bani Hashim di Makkah pada pagi Isnin 9 Haribulan Rabiulawal dipermulaan Tahun Gajah, dan tahun keempat puluh dan pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan bersamaan 20 atau 22 April 571 Masihi mengikut perkiraan Ulama Agung Muhammad Sulaiman al-Mansurpuri dan pentaklik falak Mahmud Basya (Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 69)

Sebelum Nabi Muhammad SAW lahir ayahnya telah terlebih dahulu kembali kerahmatullah

Penyusunnya yang pertama selepas ibunya, Thuwibbah hamba Abu Lahab bersama anaknya Masruh dengan itu beliau menjadi saudara sepenyusuan baginda. (Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 69). Thuwibbah hanya dapat menyusu Muhammad SAW selama bebrapa hari sahaja. (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 21) Halimah al-Sa’diyyah akhirnya telah menjadi ibu susuan Muhammad SAW pada hari kelapan kelahirannya (Abdul Hamid Jaudah al-Sahhar, 1993, hal 192) sehingga usianya dua tahun dan bercerai susu. Halimah kemudian membawa Muhammad SAW kepangkuan ibunya Aminah untuk tinggal bersamanya beberapa lama.

Suatu hari, apabila Muhammad SAW berumur kira-kira emam tahun, ibunya bercadang membawanya pergi menziarahi saudaranya, Bani Najjar di Yathrib. Dia turut membawa Ummu Aiman, hamba abdi bapa Muhammad SAW bersama mereka. Apabila sampai di Yarhrib Aminah menunjukkan kepada baginda tempat di mana bapanya telah dikebumikan. Dalam perjalanan kesebuah kampung bernam al-Abwa, Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia. Dia dikebumikan disana, beberapa batu jauhnya dari tempat di mana bapa Muhammad SAW dikebumikan. (Tahia Al-Ismail, 1996, hal. 36)

Sebelum Kematian Abdul Mutalib beliau mengamanahkan anaknya Abu Talib supaya menjaga Muhammad SAW. Abu Talib mempunyai keperibadian yang mulia, dihormati dan dipandang tinggi oleh seluruh kaum Quraisy. (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 37) Abu Talib memelihara Muhammad seperti anaknya sendiri. Muhammad memiliki sifat-sifat yang mulia dan jujur, sehingga tidak lama kemudian baginda mandapat gelaran ‘Al-Amin’.

Ketika usia Muhammad dua belas tahun, Abu Talib membawa Muhammad SAW berdagang bersama kafilah Quraisy dekat dengan al-Sham, mereka telah singgah di sebuah biara kepunyaan seorang rahib kristian bernama Bahira. Bahira memberitahu Abu Talib bahawa kanak-kanak ini akan menjadi seorang yang terkemuka suatu hari kelak dan menasihati Abu Talib supaya jangan keluar dari negerinya bersama kanak-kanak tersebut. Jika kaum Yahudi mengetahui hal ini sebagaimana dia mengetahuinya, sudah pasti mereka akan membunuh kanak-kanak itu. Muhammad pun kembali sengan selamatnya ke Mekkah bersama Abu Talib dan tidak lagi mengikuti perjalanan dagang ke al-Sham. (Tahia Al-Ismail 1997, hal. 40)

Berbagai perkara pelik berlaku sekitar kehidupan baginda Rasullullah SAW seteleh kelahiran baginda. Semua ini menjadi tanda-tanda keistimewaan baginda sebagai Rasul. Hamimatul Sa’adiah dikurniakan susu yang banyak yang membolehkan dia menyusu Muhammad SAW bersama anak-anaknya sehingga kenyang dan tidur nenyak. Kambing-kambingnya juga memperolehi susu yang banyak dan rezeki mereka mencurah-curah sejak Muhammad tinggal bersama mereka.

Setelah Rasulullah SAW berusia 25 tahun baginda berkahwin dengan Khadijah Binti Khuwailid ketika itu berusia 10 tahun tua dari baginda dan dua kali menjadi janda. Mereka berkahwin dan menikmati kehidupan bahagia dan dikurniakan dua orang anak-anak lelaki (kedua-duanya meninggal ketika masih kecil) dan empat orang anak perempuan. Sepanjang perkahwinan mereka Khadijah merupakan isteri tunggal. Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh selepas kebangkitan Rasulullah SAW. Ketika itu beliau berusia dalam lingkungan 56 tahun (sofiy al-Ralman al-Mubarakfuri, 2000, hal. 186) manakala Rasulullah berusia 51 tahun (Afzalur Rahman, 1993, hal. 29) Kemudian baginda berkahein dengan Swadah binti Zam’ah setelah kematian suaminya as-Sakran bin Amru selepas berhijrah ke Habsyah.

Baginda berkahwin sebanyak sepuluh kali selepas pemergian Khadijah. Semua isteri baginda kecuali Aisyah merupakan balu atau janda. Sebahagian perkahwinan baginda adalah kerana untuk membantu wanita-wanita tersebut. Sebahagiannya pula bertujuan untuk memenangi sokongan daripada kabilah-kabilah yang sedang bermusuhan atau bertujuan untuk menyatakan rasa hormat kepada ketua satu-satu kabilah (Afzalur Rahman, hal. 29)

Ketika kota Mekkah rosak teruk akibat banjir besar, baginda menyelesaikan pertengkaran di antara suku-suku Quraisy hendak meletakkan Hajar Aswad ditempatnya semula. Baginda juga menguruskan perniagaan Khadijah. Setelah genap usia baginda empat puluh tahun. Disebutkan pada usia beginilah para rasul diutuskan, tanda-tanda kenabian mula bertapak dan muncul di dalam kehidupan. Mimpi-mimpi yang mendatangi baginda adalah dalam bentuk mega-mega subuh. Mimpi ini berulang-ulang dalam tempoh enam bulan (as-Asqalani, Ibn Hajr, 1994). Bertepatan pada bulan Ramadhan tahun ketiga baginda beruzlah di Gua Hira’ Allah SWT telah mengutuskan Jibril AS untuk menurunkan wahyu yang pertama kepada baginda iaitu turunnya ayat 1 hingga 5 surah al-Alaq.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang paling pemurah. Yang mengajar dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”

Hari yang bersejarah itu pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 10 Ogus tahun 61011. Usia baginda ketika itu empat puluh tahun enam belas hari, menurut perkiraan bulan Qamariah (Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 88). Allah SWT telah menangguhkan penurunan wahyu selama tiga tahun atau dua tahun. Di hari-hari penagguhan wahyu Rasulullah SAW hidup dalam keadaan muram dan berduka. Baginda dilanda kehairanan dan kebimbangan. (lihat al-Asqalani, Ibn Hajr dan Sahih al_bukhari, kitab al-Tabir). Allah SWT menurunkan wahyu yang kedua dimana Jibril AS kembali menemui baginda dengan memperdengarkan suara dari langit dan baginda menceritakan bahawa baginda melihat Jibril duduk di atas kursi di antara langit dan bumi (Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal. 93) selepas itu wahyu terus turun.

Sepanjang menjadi Rasul baginda menghadapi berbagai dugaan. Penentangan dan penyiksaan terus diterima dari kaumnya yang enggan menerima kebenaran. Isteri baginda orang pertama menerima dakwah. Kemudian sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bajar al-Siddiq, Uthman ibn Affan dan Ali bin Abi Talib. Kemudian diikuti oleh Bilal bin Rabah dan keluarga Yasir. Manakala ninda dan bapa saudara baginda iaitu Abdul Mutalilb dan Abu Talib atas sebab-sebab peribadi mereka tidak bersama-sama menyahut seruan baginda. Namun mereka sentiasa memberi perlindungan kepad baginda.

Peristiwa pemulauan keluarga Bani Hashim berlaku antara tahun ke 7 hingga kesepuluh kerasulan baginda. Mereka menderita selama tiga tahun hidup tanpa air dan makanan selama beberapa waktu. Keluarga Bani Hashim terus dipulau kerana Abu Talib enggan manyerahkan Muhammad SAW (Afzalur Rahman, hal 31). Setelah berakhirnya pemulauan, baginda Rasulullah kehilangan bapda saudara yang sangat dikasihi oleh baginda dan isteri yang sangat dicintai. Abu Talib telah meninggal dunia pada bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah, iaitu enam bulan setelah keluar dari pengepungan dari lorong Abu Talib, Khalijah pula kembali kerahmatullah meninggalkan Rasulullah SAW (Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hal 186). Baginda terus berdakwah.

Baginda mengemukakan pandangan supaya umat yang kecil bilangannya berhijrah ke Habsyah setelah menghadapi penyiksaan daripada kaum Quraisy. Kaum muslimin pun berhijrah beramai-ramai termasuklah Uthman bin Affan bersama isterinya Ruqaiyah puteri Rasulullah SAW, Abu Huzaifah dan isterinya, Al-Zubair bin Awwam, Mas’ab bin Umar dan Abdul Rahman bin Auf. Kesemua mereka ialah lapan puluh orang. Mereka kemudiannya pulan ke Mekkah setelah mendapat berita ramai pendudukk Mekkah memeluk Islam, namum berita itu adalah palsu. Kemudian umat Islam berhijrah ke Madinah secara bersembunyi-sembunyi. Kecuali Saidina ‘Umar yang berhijrah secara terang-terangan. Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Saidina Ali disiksa di dalam kurungan dan mereka yang tidak berdaya sahaja belum berhijrah. Rasulullah dan Saidina Abu Bakar kemudiannya menyusun strategi penghijrahan mereka. Mereka bersembunyi di gua Thur, meredah padang pasir yang dilingkungi musuh dan melalui pesisir pantai dan sampai di Quba’. Di Quba’ baginda mengasaskan sebuah masjid, yang merupakan masjid pertama di tanah Arab. Rasulullah menjejak kaki di Madinah pada dua belas Rabi’ul Awwal (Muhammad Said Ramadhan al-Buti, 1985, hal. 225)

Segala keistimewaan yang berlaku kepada Rasulullah merupakan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk membuktikan kenabian dan kerasulan baginda, seperti memancar air dari celah-celah jari sehinggan menghilangkan dahaga para askar yang kehausan, sebatang pohon yang pernah Rasulullah SAW berkhutbah di atasnya menangis setelah dibuatkan mimbar khas baginda tidak lagi berkhutbah di atasnya, baginda memberitahu Fatimah bahawa beliau merupakan orang pertama akan menyusul selepas kewafatan baginda dan ini benar-benar berlaku, peristiwa Israq Mikraj dimana Rasulullah bertemu dengan Allah SWT dan diperlilhatkan berbagai-bagai keajaiban di “langit” kepada baginda dalam masa semalaman sahaja.

Setelah dakwah Islamiyah sempurna dan Islam menguasai suasana. Dalam bulan Ramadhan baginda beriktikaf di dalam masjid selama dua puluh hari. Sedangkan sebelun itu baginda beriktikaf hanya sepuluh hari sahaja. Di dalam tempoh ini Jibril AS menemuii baginda untuk membuat ulangan dan tadarus al-Quran sebanyak dua kali. Di dalam Hajjah al-Wada’ beginda telah mnyebut “sebenarnya berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu lagi selepas pertemuan kita di tahun ini” Semasa di Jamrah al-Aqabah baginda berkata “Ambillah peribadatan Haji ini dariku Boleh jadi aku tidak akan mengerjakan haji lagi selepasa tahun ini” (Sofiy al-Rahman al-Mebarakfuri, hal. 835) Surah al-Nasr turun dipertengahan hari-hari tasyrik darinya baginda mengetahui tentang pemergian baginda untuk mengadap Allah SWT. Peristiwa kewafatan nabi Rasulullah SAW berlaku pada pagi Isnin 12 Rabuil Awwal tahun kesebelas Hijrah di waktu usia baginda 63 tahun 4 hari. Rasulullah wafat dipangkuan Aisyah RA.

Abu bakar terus membaca ayat-ayat al-Quran yang memberi kegembiraan dimasa mereka sedang menghadapi kebenaran yang sangat pahit, kerana pada saat-saat sedemikian hanya al-Quran, kalimah dari Allah yang telah diajar oleh Muhammad SAW kepada mereka untuk mencintai dan memahami dapat menerangkan kesedihan hati. Hanya al-Quran sahajalah yang dapat membawa keamanan dan janji pertemuan di dunia di mana kematian tiada lagi, dimana usia tidak menjadikan mata bertambah kabur dengan airmata dan di mana kehilangan tidak mencengkam hati dengan kesedihan (Tahia Al-Ismail, 1996, hal 519)

Demikianlah sejarah perjuangan Rasulullah SAW mengembangkan dakwah Islam. Seorang pejuang yang mengorbankan hidupnya untuk menegakkan agama Allah. Seorang ketua negara yang mendayung teraju pemerintahan dengan cekap dan pintar. Seorang suami yang halus pergaulannya. Seorang bapa yang amat memahami, perihatin, teliti serta bijak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap anak isteri. Seorang panglima perang yang tangkas dan bijak menyusun strategi. Seorang hamba yang bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah SWT, keluarga, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya. Itulah Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah yang dikurniakan segala kemuliaan.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com