Manusia Sebagai Khalifah Allah

Hakikat bahawa manusia sebagai hamba Allah bukanlah satu penghinaan kepada manusia. Sebaliknya, gelaran sebagai hamba Allah adalah satu gelaran yang paling tinggi kepada manusia seperti yang ditegaskan oleh Allah sendiri dalam Al-Quran kerana itulah gelaran yang diberikan kepada setiap Nabi dan Rasul. Al-Quran juga menyatakan bahawa maksud ‘ISLAM’ itu ialah “tunduk dan patuh kepada Allah. [1] Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud:
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepada-Nya. ”

Tugas manusia sebagai khalifah kepada Allah Maha Pencipta hakikatnya adalah kemuliaan, keagungan dan kekuatan. Perlu dihuraikan dengan lebih mendalam dengan menyentuh soal pentadbiran sesama manusia yang memerlukan satu sistem tauhid. Penjelasan pendek mulai akan membawa kepada ketiadaan ketaatan seseorang manusia yang lain.

Kehinaan yang paling hina ialah kehambaan manusia kepada sesama manusia atau makhluk. Inilah yang ditentang dan cuba dibasmi oleh Islam melalui asas dan konsep tauhid. Salah satu dari keistimewaan atau kemuliaan manusia sebagai hamba Allah ialah manusia yang sebenarnya hamba kepada Allah itu telah dianugerahkan satu tugas / amanah yang tidak dipunyai oleh seluruh makhluk lainnya, iaitu tugas Khlifahtullah di muka bumi. Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah 2 : 30 bermaksud :

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di atas muka bumi itu seorang khalifah. “

Manusia sebagai hamba Allah boleh dilantik untuk memegang jawatan khalifah Allah. Dan perlantikan itu adalah kerana kelayakan manusia untuk memegang jawatan tersebut. Antara kelayakan tersebut ialah bahawa diantara hambaNya, manusia adalah lebih hampir kepada Allah yang melantiknya iaitu tentang sifat-sifatNya kerana biasanya yang dilantik itu ialah orang yang lebih hampir kepada yang melantik demi untuk menjadi penggantinya.

Sebagai hakikat, hambaNya dan khalifahNya, maka manusia tidak berhak mencipta yang diizinkan. Sebaliknya manusia hanyalah menerima, menyampaikan dan melaksanakan apa yang telah termaktub dan tertulis. Tugas khalifah yang dipertanggungjawabkan kebahu manusia merupakan suatu penghormatan dan amanah yang amat berat untuk dipikul oleh seluruh generasi manusia sepertimana Firman Allah dalam Surah al-Ahzab 33: 72 bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah bentangkan tanggungjawab amanah tersebut kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), tetapi mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat (kebanyakan) manusia suka melakukan kezaliman dan (dia juga) jahil. “

Khalifah adalah satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia, dan tidak diberikan kepada malaikat, jauh lagi untuk diberikan kepada jin. Dari sini dapat diyakini bahawa bukan setiap hamba itu layak dan berhak menjadi khalifatullah. Seterusnya bukan setiap manusia yang pada hakikatnya hamba itu dengan sendirinya adalah khalifah walaupun dari segi hakikatnya manusia itu hamba dan khalifah Allah. Namun dari segi konsep dan perlaksanaannya adalah tidak. Oleh kerana itu, manusia yang layak dan berhak menjadi khalifah itu ialah manusia yang telah melaksanakan konsep kehambaan diri kepada Allah, dan telah melaksanakan konsep penyerahan diri kepada Allah dalam keempat-empat ciri itu iaitu :[2]
*Syariat
*Akhlak
*Akidah
*Ibadah


Maksud khalifah menurut bahasa

Khalifah ialah menguasai dan memerintah ataupun mempunyai sifat : Al-Siyadah @ ketuanan “Sifat ini diakui oleh Allah dalam Al-Quran. Sebagai khalifah, manusia diberikan mandat oleh Allah seperti yang termaktub dalam perlembagaan suci Al-Quran untuk menjadi”Tuan”ke atas segala makhluk dan segala ciptaan di atas muka bumi ini. Tetapi sifat ini bukan menjadi sifat yang istimewa dan asasi dalam tugas khalifah. Sifat tersebut hanya sebagai alat atau jalan kepada manusia untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah tersebut.

Khalifah berasal dari kata “ khalafa” bererti ganti ; iaitu seseorang menggantikan seseorang yang lain sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya semasa ketiadaannya. Tugas khalifah merangkumi :

-Menggantikan orang yang telah mati.
-Menggantikan orang yang telah tiada
-Mengambil alih tempat bagi orang yang tidak mampu menjalankan sesuatu tugas
-Menggantikan tempat seseorang sebagai memuliakannya. -[3]

Maksud khalifah menurut istilah
Menurut istilah, khalifah ialah manusia turun-temurun yang telah dipilih oleh Allah SWT. sebagai penggantiNya untuk mentadbir, mengurus, dan memulihara serta memakmurkan alam ini sebagai amanah Allah SWT. dengan menggunakan nikmat Allah ini dengan sebaik-baiknya.

Kesimpulannya, khalifah merupakan suatu tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepada setiap manusia sebagai wakil-Nya untuk memulihara dan memakmurkan alam ini berdasarkan syariah-Nya.


Kriteria utama sebagai khalifatullah

Jika ketuanan dan kekuasaan itu digunakan bukan untuk melaksanakan tugas khalifatullah di muka bumi maka manusia itu tadi tidak lagi lulus sebagai khalifah tetapi manusia yang menentang dan melawan, menderhaka, dan memberontak kepada Allah, kepada kekuasaan Allah, kepada pemerintahan Allah, kepada kesultanan dan kehakiman Allah, alangkah betapa kerdilnya manusia untuk melakukan perbuatan tersebut. Pernyataan ini diperkuatkan lagi dengan Firman Allah dalam Surah al-An’am 1: 49 bermaksud :

“Tidakkah mereka melihat berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal Kami telah teguhkan kedudukan mereka di bumi yang tidak Kami berikan kepada Kamu. Kami turunkan hujan yang lebat ke atas mereka dan Kami jadikan sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain”.




Dari sini jelaslah apa yang telah ditegaskan dahulu bahawa bukannya setiap hamba Allah itu dengan sendirinya atau semestinya menjadi khalifah. Walaupun manusia itu pada hakikatnya hamba tetapi oleh kerana ia tidak melaksanakan konsep pengabdian kepada Allah dalam hidupnya maka dengan sendiri ia bukan khalifah Allah. Jadi manusia yang layak menjadi khalifah Allah ialah manusia yang menerima dan mengakui kehambaan dirinya dan melaksanakan konsep pengabdian iaitu konsep pengabdian diri kepada Allah. [4]


1) Memiliki ilmu pengetahuan
Menepati dengan hakikat tadi maka untuk mempergunakan ketuanan dan kekuasaan yang diberikan demi untuk menguasai alam benda dan alam semesta ini bagi faedah dan kepentingan tugasnya itu, maka manusia memerlukan “ILMU”.

Al-Quran dengan jelas sekali mengakui bahawa salah satu dari asas terpenting untuk melaksanakan tugas khalifah ialah ILMU. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang alam benda demi untuk menguasai alam ini bagi dipergunakan untuk melaksanakan tugas khalifah dan untuk melaksanakan konsep pengabdian dan penyerahan. [5]

Pengubahan kepada kedudukan ilmu tersebut bererti telah mengubah kedudukannya yang tabii dan semulajadi, yang dengan sendirinya akan mengakibatkan kepincangan, kerosakan, dan kefasadan kerana ilmu yang selayaknya menjadi”Nur” atau cahaya sudah bertukar corak kepada ilmu yang menjadi “Api” yang membahang yang memusnahkan manusia dan tamadunnya.

Memiliki ilmu pengetahuan menjadi asas penting kepada manusia dalam menjalankan tugas sebagai khalifah yang menjadi kompas panduan dan menjadi tali penghubung dengan Allah yang telah meletakkan tugas/ amanah khalifah.

Ilmu yang dimaksudkan bukan hanya berkaitan dengan alam tabii dan fizikal malah ia merangkumi :

 (i) Ilmu tentang alam syahadah
 (ii) Ilmu tentang alam ghaib
 (iii) Ilmu tentang alam fizik
 (iv) Ilmu tentang alam metafizik (ghaib)
 (v) Ilmu tentang alam benda
 (vi) Ilmu tentang Pencipta alam benda.

Itulah seperti yang dimaksudkan oleh Firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah 2 : 31 bermaksud :

Dan Dia (Allah) telah mengajarkan kepada Nabi Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, yang kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman : “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu orang yang benar. ”

Selain dari firman di atas, Allah juga telah berfirman di dalam surah al-Rahman 1:4 yang bermaksud :

“ (Tuhan) yang Amat Pemurah serta melimpah-melimpah rahmatNya. Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dialah yang mencipta manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima penyataan. ”


2) Pengabdian kepada Allah SWT. dan Pembangunan Bumi

Islam telah menentukan tujuan kewujudan alam ini dan mewujudkan perseimbangan hubungan antara manusia dengan Pencipta-Nya dan antara Pencipta dengan alam. Kita dapati banyak ayat Al-Quran yang memaparkan hubungan ini seperti Firman Allah SWT. dalam surah al-Zariyat 56 : 57 bermaksud :

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku. Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka dan tidak juga Aku meminta mereka memberi Aku makan. “

Al-Ustaz ‘Ilal al-Fasi menerangkan maksud hubungan ini, katanya :

“Sesungguhnya Tuhan menjadikan ibadat sebagai hikmat kepada kejadian manusia tetapi ibadat itu bukan bermakna memisahkan manusia dari bekerja atau menyisih diri dari hal-hal keduniaan, yang tidak sesuai dengan risalah Tuhan yang menghendaki manusia memakmurkan muka bumi dan menyebarkan hokum-hukum Tuhan serta peraturannya selaras dengan kehendak syariat, bahkan manusia itu sendiri bertanggungjawab mempelajari hokum Allah, sebelum mempelajari sesuatu yang lain. ”[6]

Demikian juga manusia hendaklah memahami bahawa Allah tidak meredhai hamba-Nya yang bersikap menjauhi kemewahan keduniaan dengan mengurung diri mereka di dalam rumah-rumah ibadat dan masjid semata-mata untuk tujuan beribadat dan bermunajat di mana-mana sahaja ; di kebun, di tempat-tempat perniagaan, dalam masyarakat atau di mana sahaja kerana semua munajat itu dapat di dengar oleh Allah dan dengan cara itu juga manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah SWT. [7]


Hubungan manusia dengan Allah adalah berasaskan satu perjanjian atau kesanggupan yang azali. Manusia telah mengakui ketuhanan Allah serta menyatakan kesanggupan untuk mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Perjanjian ini dibuat semasa manusia itu masih berada di alam roh lagi. Hal ini diceritakan oleh Al-Quran sebagaimana Firman Allah SWT. dalam surah al-A’raf, ayat 172 bermaksud :

“Bukankah Aku Tuhan kamu ? “ Maka jawab roh, “Ya, kami menjadi saksi, supaya Engkau tidak menyatakan pada hari Qiamat : Sesungguhnya kami lupa terhadap hal ini. ”

Pengakuan dan pengiktirafan itulah menyebabkan Allah mengurniakan kepada manusia muka bumi ini untuk diperintah dan membangunkannya. Manusia dibekalkan dengan kuasa dan pelbagai kemudahan termasuklah bumi dan laut serta isi perutnya sebagai punca rezeki agar manusia sentiasa bersyukur dan mengingati Allah. Pernyataan ini diperkuatkan lagi dalam ayat-ayat Al-Quran berikut yang bermaksud :

Firman Allah SWT. dalam surah Hud ayat 61 bermaksud :

“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dan bumi serta memakmurkan kamu di. dalamnya. ”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Baqarah 30 : 32 bermaksud :

“ (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. Maka jawab mereka : Adakah patut Engkau menjadikan di atas muka bumi orang yang berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau ? Allah berfirman : Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu ketahui. Allah mengajarnya semua nama barang kemudian dibawa barang-barang itu kepada malaikat, lalu Allah berfirman : Khabarkanlah kepada-Ku nama-nama barang ini, jika kamu yang benar. Jawab mereka : Maha Suci Engkau tidaklah kami tahu sesuatu itu kecuali apa-apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. ”

Allah SWT menciptakan alam seperti langit, bumi, tumbuhan, binatang, dan sebagainya untuk kepentingan dan kemudahan manusia dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah. Allah SWT. telah berfirman dalam surah al-Nahl ayat 10 bermaksud:

“Dialah (Tuhan) yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan ; di sana kamu mengembala ternakan. ”

Semua kemudahan tersebut hanya diberikan kepada manusia berbanding makhluk Allah SWT. yang lain dengan objektif yang khusus iaitu melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi. [8] Firman-Nya dalam surah al-Isra’ 17 : 70 bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami telah berikan kenderaan di daratan dan lautan serta rezeki yang baik-baik kepada mereka, dan telah Kami lebihkan dengan sesungguhnya dari kebanyakan (makhluk lain) yang telah Kami jadikan.

Segala kemudahan yang diberikan hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan bersyukur di atas segala kurniaan-Nya. Seperti dalam Firman Allah SWT. dalam surah al-Nahl ayat 14 yang bermaksud :

“Dialah (Tuhan) yang memberi kemudahan laut supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal layar di laut dan supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu bersyukur. ”



3) Anugerah Akal Fikiran
Imam Syairazi mentakrifkan akal merupakan satu sifat di mana dengannya kita dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Manakala Ahli Sunnah Wal-Jamaah pula memberi pendapat bahawa akal merupakan satu cahaya rohani yang dengannya jiwa dapat mencapai ilmu-ilmu yang bersifat dharuri dan nazari. [9]

Manusia menggunakan akal fikiran untuk mengetahui perkara-perkara yang lebih jauh lagi. Manusia mampu melakukan pemikiran untuk memikirkan perkara yang akan datang dengan mengkaji sejarah masa silam, dengan itu manusia boleh mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. [10]

Manusia seharusnya menggunakan akal fikiran untuk memperhambakan diri kepada penciptanya iaitu Allah.

Manusia perlu menggunakan akal fikiran untuk mengimarahkan bumi ini sesuai dengan tujuan ia dijadikan oleh Allah SWT. sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Zariyat ayat 56 yang bermaksud :

“Dan tidak sekali-sekali Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. ”

Manusia yang tidak menggunakan akal fikirannya untuk memahami kebesaran Allah sesungguhnya telah meletakkan dirinya lebih rendah daripada taraf binatang kerana manusia memiliki kemampuan akal yang tinggi sedangkan binatang memang tidak berakal atau memiliki akal bertaraf rendah.

Pengurusan Sebagai Khalifah Dalam Islam


Sebagai seorang khalifah, Islam tidak menggalakkan umatnya menyisihkan diri dari urusan-urusan keduniaan atau bersikap memadai dengan apa yang ada, lebih-lebih lagi Islam melarang manusia bersikap memutuskan hubungan dengan keduniaan sehingga ia menjadi terasing dari manusia lain dan masyarakatnya. Bahkan Islam lebih-lebih lagi melarang manusia bersikap sebaliknya, iaitu mengambil semua harta keduniaan dengan menggunakan kuasa, bakat dan kebolehan yang ada pada mereka untuk membolot, memonopoli dan mengaut segala kemewahan dan keseronokan dunia untuk kepentingannya sendiri hingga hilang perasaan kasih sayang, belas kasihan, dan sikap tolong-menolong. Islam menganggap golongan ini sebagai golongan yang zalim, bongkak, cuai, dan lalai. Seperti Firman Allah dalam surah Hud 15:16 bermaksud :

“Barangsiapa mencari hidup keduniaan dan perhiasannya, Kami sempurnakannya pekerjaannya di dunia mereka tidak mendapat apa-apa di akhirat melainkan neraka. Dan hapuslah segala yang mereka perbuat di dunia, dan binasalah apa-apa yang mereka amalkan. ”

Dari aspek kebendaan dan pekerjaan umpamanya, manusia mempunyai tugas untuk menyusun dan melaksanakannya sejajar dengan peranan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi ini. Meskipun begitu, sesuatu usaha itu tidak akan bernilai sekiranya usaha itu mengarah kepada sesuatu yang menghilangkan keistimewaan manusia atau memutuskan perhubungan manusia dengan masyarakatnya.

KESIMPULAN

Hanya dengan Islam maka manusia berhak menjadi khalifah di dunia. Tanpa Islam, manusia telah menentang dan memberontak terhadap kekuasaan, pemerintahan, kesultanan dan kehakiman Allah. Hanya dengan Islam yang berpandukan kepada dua jenis Ilmu tadi manusia akan mencapai kesejahteraan yang menjadi saripati tamadun umat manusia.

Tanpa ilmu manusia tidak akan mencapai hakikat tamadun kerana antara Islam dengan erti kesejahteraan tidak dapat dipisahkan. Hakikat akan lebih jelas dirasakan manakala Allah menegaskan kepada umat manusia bahawa Islam itu adalah fitratullah atau sunnatullah pada alam ciptaan-Nya.

Islam itulah juga fitrah manusia dan fitrah alam semesta. Penafian dan keingkaran manusia kepada Islam sebagai asas falsafah tamadunnya adalah bertentangan dengan sifat fitrah kemanusiaannya yang pasti akan mengakibatkan kerosakan dan penderitaan manusia sendiri.


RUJUKAN
Ilal al-Fasi. (tanpa tahun). Maqasid as-Syari’ah wa Makarimu-ha. Kuala Lumpur. Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Afif Abd. Fatah Tabarah (Dr. ) (1992). Nadi Ajaran Islam. Kuala Lumpur. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Mahmud Syahout. (tanpa tahun). Tawjihat al-Islam. Kuala Lumpur. Pustaka Salam.

Musa Muhammad (1987). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur. Pustaka Salam.

Haji Muhamad bin Endut. (2000). Pendidikan Islam PMR. Selangor. Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Insan dan Manhaj Ketuhanan. (IMK 102). (tanpa tahun). Arau. Pusat Pendidikan Islam, UiTM Cawangan Perlis.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com