Manusia Sebagai Hamba Allah

1. Manusia adalah hamba, hamba kepada Allah Maha Penciptanya, kerana setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada yang menciptanya.

2. Sebagai hakikatnya hamba maka ia tidak mempunyai apa-apa di atas dirinya, atas tenaganya dan juga atas apa yang dihasilkannya.

3. Hidup dan matinya, sembahyang dan nusuknya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah, yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah.

4. Hidup manusia adalah pengabdian kepada Allah.

5. Menepati hakikat ini, maka sudah pastilah manusia tunduk patuh, taat setia, mengikut Allah Maha Penciptanya.

6. Allah berfirman,
Dan tiadalah orang yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas) Al – Nisa 125

Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menjadikan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar Tauhid (Mengesakan Allah) dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Al – An’am 79

MANUSIA MAKHLUK YANG PALING MULIA

1. Manusia adalah makhluk termulia yang dicipta oleh Allah.

2. Allah berfirman:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya cara Kami menjadikan sesuatu, berkelengkapan sesuai dengan keadaannya. Al-Tin 95

3. Kemuliaannya itu antara lain kerana ia dianugerahkan Allah akal. Tanpa akal darjat manusia jatuh ke tingkat binatang.

4. Riwayat sebahagian Ahli Sunnah
Tidak dijadikan oleh Allah suatu makhluk yang terlebih mulia disisi-Nya daripada akal.

5. Islam diturunkan unutk menunjuk ajar manusia dan menuntun dia kepada kesempurnaan. Akal menjadi alat menuju kepada kesempurnaan itu.

6. Akal dan Islam merupakan “dua yang satu”.
“Sesungguhnya Din itu akal. Tidak ada Din bagi dia yang tidak mempergunakan akal”.

7. Din ialah Islam. Tidaklah seseorang itu menganut Islam yang tidak mempergunakan akal. Peningkatan Islam seseorang bergantung pada peningkatan akalnya. Untuk itu:
i) Pemikirannya perlu diperkaya dengan ilmu pengetahuan.
ii) Kalbunya perlu diisi dengan agama.

8. Dengan hidup menurut syari’at manusia hidup sesuai dengan hak dan kewajipannya sebagai manusia.

9. Dengan mengamalkan prinsip-prinsip yang dikandung oleh al-Quran,
manusia mewujudkan kemanusiaanya, kerana ayat-ayat al-Quran itu ditentukan oleh Allah sesuai dengan hakikat ciptaan-Nya

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH


1. Manusia diangkat oleh Penciptanya menjadi khalifahnya.

2. Firman Allah
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”.
Al-Baqarah 30

3. Yang dikehendaki dengan khalifah dalam ayat di atas ialah makhluk yang berkuasa yang dijadikan Allah untuk memakmurkan dunia melalui penyusunan kehidupan makhluk berpandukan hukum-hukum Allah.

4. Untuk itu Allah telah mengutuskan rasul-rasulnya bagi memimpin manusia seluruhnya bermula dari Nabi Adam a. s. sebagai manusia pertama yang dijadikan Allah, lalu diangkat sebagai rasul hinggalah kepada Nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

5. Semuanya adalah khalifah-khalifah Allah yang bertugas menyampaikan hukum-hukum Allah bagi mengatur individu, masyarakat dan negara berdasarkan perintah-perintah Allah yang diwahyukan kepada mereka.

6. Pengertian khalifah ialah menguasai dan memerintah ataupun mempunyai sifat “al-Siyadah @ ketuhanan”. Sifat ini diakui Allah dalam al-Quran.

7. Perkataan khalifah bererti penyambung, penghubung dan diserahi untuk menyampaikan dan mengerjakan sesuatu.

8. Manusia layak untuk menjadi khalifah kerana antara hamba-Nya maka manusialah yang lebih hampir kepada Allah yang melantiknya, tentang sifat-sifatnya kerana biasanya dilantik itu ialah orang yang lebih hampir kepada yang melantik demi untuk menjadi penggantinya.

9. Sebagai hakikatnya, hambaNya dan khalifahNya maka manusia tidak berhak mencipta yang diizinkan. Sebaliknya manusia hanyalah menerima, menyampaikan dan melaksanakan apa yang telah termaktub dan tertulis.

10. Khalifah adalah satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia, dan tidak diberikan kepada malaikat, jauh lagi diberikan kepada jin. Dari sini dapat diyakini bahawa bukan hamba itu layak dan berhak menjadi khalifatullah.

11. Seterusnya bukan semua manusia yang pada hakikatnya hamba itu dengan sendirinya adalah khalifah.

12. Manusia yang layak dan berhak menjadi khalifah itu ialah manusia yang telah melaksanakan konsep kehambaan diri kepada Allah, dan telah melaksanakan konsep penyerahan diri kepada Allah dalam empat ciri:-
i) Akidah
ii) Akhlak
iii) Ibadah
iv) Syariah

13. Sebagai khalifah manusia diberikan mandat oleh Allah seperti yang termaktub dalam perlembagaan suci al-Quran untuk menjadi tuan kepada segala makhluk dan segala ciptaan di atas muka bumi ini. Sifat itu hanya sebagai alat atau jalan kepada manusia untuk melaksanakan tugas khalifah tersebut.

14. Jika ketuanan dan kekuasaan itu digunakan bukan untuk melaksanakan tugas khalifatullah di muka bumi ini maka manusia itu tidak lagi lulus sebagai khalifah tetapi manusia yang menentang dan melawan, menderhaka dan memberontak kepada Allah, kepada kekuasaan Allah, kepada pemerintahan Allah, kepada kesultanan dan kehakiman Allah, alangkah betapa kerdilnya manusia untuk melakukan perbuatan tersebut.

15. Walaupun manusia itu pada hakikatnya hamba tetapi oleh kerana ia tidak melaksanakan konsep pengabdian kepada Allah dalam hidupnya maka dengan sendirinya ia bukan khalifah Allah.

16. Manusia yang layak menjadi khalifatullah ialah manusia yang menerima dan mengakui kehambaan dirinya dan melaksanakan konsep pengabdian.
Tegasnya konsep penyerahan diri kepada Allah.

17. Menepati dengan hakikat tadi maka untuk mempergunakan ketuanan dan kekuasaan yang diberikan untuk menguasai alam benda dan alam semesta ini bagi kepentingan dan tugasnya itu, manusia memerlukan ILMU.

18. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang alam benda demi untuk menguasai alam benda ini bagi dipergunakan untuk melaksanakan tugas khalifah dan untuk melaksanakan tugas pengabdian dan penyerahan.

19. Ilmu yang menjadi asas penting kepada manusia dalam menjalankan tugas khalifah, yang menjadi kompas panduan dan menjadi tali penghubung dengan Allah yang telah meletakkan tugas/amanah khalifah.

20. Tanpa ilmu manusia tidak akan mencapai hakikat tamadun, kerana antara Islam dengan erti kesejahteraan tidak dapat dipisahkan

21. Hakikat akan lebih jelas dirasakan manakala Allah menegaskan kepada umat manusia bahawa Islam itu adalah fitratullah atau sunnatullah pada alam ciptaannya.

22. Islam itu juga fitrah manusia, dan fitrah alam semesta, penafian manusia kepada Islam sebagai asas falsafah tamadunnya adalah bertentangan dengan sifat fitrah kemanusiaannya, yang pasti akan mengakibatkan kerosakan dan penderitaan manusia sendiri.

23. Kekhalifahan manusia di muka bumi mempunyai syarat tertentu, yakni selalu iltizam dengan ketaatannya terhadap Rabb yang memiliki perintah dan larangan.

24. Manusia sentiasa dituntut melaksnanakan segala perintahNya kerana mengharap pahalaNya;dan menjauhi segala larangannya kerana takut siksaanNya. Semua ini dalam rangka menghormati, menjunjung tinggi, mencintai dan mengagungkanNya.

25. Oleh kerana itu masalah khalifah di muka bumi ini tidak lain adalah masalah ibadah manusia kepada Allah yang Maha Kuasa. Seperti firmanNya:
“Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaku”.
Adz Dzariyat 56

26. Allah menciptakan hamba-hamba untuk beribadat hanya kepadaNya dan tidak mempersekutukannya. Maka barangsiapa mentaati Allah, ia akan mendapat balasanNya yang paling sempurna ; dan barangsiapa menentangAllah, ia akan mendapat siksaanNya yang amat pedih.

27. Allah telah menciptakan manusia dengan tabiat untuk mengenal Rabbnya, mentauhidkanNya, mentaatiNya serta beribadah hanya kepadaNya dengan tidak mempersekutukanNya. Allah berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika Rabbmu mengeluarkan keturunan anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) :’Bukankah Aku ini Rabbmu? Mereka menjawab:Betul (Engkau Rabb kami), kami menjadi saksi. ’ (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada hari kiamat kelak akmu tidak mengatakan:
‘Sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang yang lengah terhadap ini. ’Atau agar kamu tidak mengatakan :’Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Rabb sejak dahulu, sedangkan kami ini anak-anak keturunan yang (datang) sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu. ’Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu, agar mereka kembali (kepada kebenaran). ”Al A’raf 172-174

28. Dengan pemberian akal kepada manusia maka ia melebihi makhluk-makhluk lain. Dengan akal ia dapat mengatasi temapt dan waktu, sedangkan tumbuhan terikat oleh tempat dan waktu dan haiwan terikat oleh waktu.

29. Manusia dapat mengembara di permukaan bumi bahkan mampu keluar dari bumi. Manusia melepaskan waktu yang dialaminya kini dengan mengingat kejadian-kejadian pada masa yang lalu dan menyusun rancangan-rancangan yang akan dikerjakannya pada masa yang akan datang. Maka terbahagilah masa di atas kelmarin, hari ini dan besok.

30. Dengan jasadnya manusia melebihi makhluk-makhluk halus yang berakal, kerana ia dapat mencipta dalam alam material. Pengalaman yang dijalani manusia diubah oleh akalnya menjadi pengetahuan. Fikiran dan perasaan memungkinkannya membentuk pengetahuan. Akal membentuk tangggapan (gambaran dalam fikiran, idea), konsep dan teori.

31. Allah adalah pencipta pertama. Dari ketiadaan diciptakanNya lah alam ini. Dengan kemahakuasaanNya cukuplah Dia mengucapkan ayat yang bermaksud:
“Jadilah! Maka terciptalah. ”

32. Manusia dijadikanNya pencipta kedua. ia mencipta atas ciptaan Allah. Allah mencipta alam. Manusia mencipta dari bahan-bahan alam itu. Allah mencipta akal, selaput suara dan lidah, manusia mencipta bahasa dari unsur-unsur itu. Allah mencipta pohon dan batu, manusia mencipta rumah dari benda-benda itu. Allah mencipta tumbuhan dan haiwan, manusia menciptakan makanan daripadanya. Dari tumbuhan, kimia dan pelikan yang diciptakan Allah, manusia mencipta ubat-ubatan. Allah menciptakan bulan untuk menerangi kegelapan malam. Manusia mencipta lampu unutk menerangi kegelapan rumahnya.

33. Akal bukan sahaja membina kehidupannya, tetapi ia juga merosakkan kehidupannya. Dengan senjata-senjata perang yang diciptakannya, manusia membunuh sesama manusia dan merosak alam.

34. Apabila otak sahaja yang diperkaya dengan ilmu pengetahuan tetapi kalbu dibiar kosong dari agama, maka bisikan halus syaitan menggerakkan tangan, menciptakan alat-alat yang akan merosak diri manusia sendiri dan pesekitarannya.

35. Oleh itu dengan diberikan kekuasaan dan diangkatnya menjadi khalifah manusia juga dibebankan dengan tanggungjawab, raja dari sekelian raja akan meminta di akhirat nanti pertanggungjawab manusia yang diangkatNya menjadi penggantinya sebagai raja di dunia. Apabila akal tidak diasaskan atas naqal atau wahyu dalam pemikirannya, maka manusia akan menyeleweng, bahkan berlawanan dengan perlembagaan (al-Quran) yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan khalifah dalam menjalankan kekuasaanya sebagai raja di dunia yang fana ini.

36. Dengan akalnya manusia dapat berbuat baik, tetapi juaga dapat berbuat jahat. Ia mungkin mentaati khaliqnya, tapi juga mungkin mengingkariNya. Semuanya itu bergantung kepada isi kalbu dan pemikirannya.

37. Lantaran itu akal perlu petunjuk, perlu tuntutan dan kawalan, dan Allah yang pengasih lagi Penyayang menurunkan wahyuNya untuk petunjuk, tuntutan dan kawalan itu.

38. Keteguhan kekuasaan manusia di bumi yang menguasaimlapangan kehidupannya adalah berkat kebudayaan, yang dihasilkan oleh tangan dan akalnya.

39. Suatau kebudayaan ialah cara berfikir dan cara merasa, yang menyatakan diri dalam seluruh segi kehidupan sekelompok manusia yang membentuk masyarakat.

40. Kehidupan ialah segala sesuatu yang berhubungan dengan hidup. Bidang-bidang kebudayaan itu membina kehidupan manusia dalam mencapai keperluan-keperluan asasnya. Pembinaan itu dengan mengatur sistem atau tata hubungan dengan perkara-perkara yang dihadapi dalam kehidupan:
i) Sosial
ii) Ekonomi
iii) Politik
iv) Pengetahuan dan teknik
v) Seni
vi) Falsafah
vii) Agama

41. Kesemua tata hubungan itu membentuk cara hidup, bertujuan untuk memenuhi keperluan asasi manusia. Kebudayaan adalah ciptaan akal manusia, hubungan dengan benda, dengan kekuasaan, dengan alam dan kerja, dengan bentuk-bentuk yang menyenangkan, dengan hakiakt setiap perkara yang dimasalahkan dan dengan konsep-konsep nilai. Gagasan ini diwujudakan oleh laku perbuatan melalui tangan terwujudlah kebudayaan material dalam bentuk benda-benda.

42. Fikiran manusia dengan norma-norma logik yang dipeganginya sebagai pangkal sains dan tangan manusia dengan susunannya yang sempurna sebagai asas teknik, mampu (dan memang telah berhasil sekali) mengkaji alam material, dan memperalatkannya bagi kehidupan manusia.

43. Penyelidikan dan eksperimen sebagai kaedah sains moden telah berjaya memaksa alam membukakan rahsia-rahsianya. Banyak sekali perkara yang lama sekali dihadapi manusia sebagai bersifat ghaib, ditembus oleh cahaya ilmu, sehingga lenyap keghaibannya, menjadi perkara nyata sekarang.

44. Kejayaan demi kejayaan yang dihasilkan oleh sains dan teknologi inilah yang menimbulkan akhirnya kesombongan pada manusia moden, bahawa akhirnya semua perkara ghaib akan dapat di selesaikan oleh sains dan teknologi. Sekarang ia perkara ghaib, tetapi besok ia akan menjadi perkara nyata.

45. Kebudayaan adalah gagasan akal dalam usaha manusia dalam menyelaraskan hubungan-hubungannya dalam kehidupan, hingga dapat dibina keperluan-keperluan, sedangkan agama adalah gagasan wahyu dalam mengatur hubungan manuisa dengan Allah mnedapat petunjuk, tuntutanNya dan redhaNya untuk mewujudkan salam dalam kehidupan manusia di dunia ini dan di akhirat nanti.

46. Dengan demikian jelaslah bahawa agama Islam berasal dari Allah, bahkan prinsip-prinsip kebudayaan Islam pun berasal dari Dia, yang diserahkan kepada akal manusia sebagai khalifahNya untuk pemikiran dan perlaksanaannya.

47. Tentang kepercayaan yang berlebih-lebihan daripada sains terhadap perkara-perkara ghaib itu, Islam memberikan pembatasannya. Tidak dinafikan, bahawa memang ada perkara-perkara ghaib yang telah dan akan berjaya diselesaikan oleh sains. Perkara-perkara itu digolongkan oleh Islam ke dalam ghaib Idafi, atau ghaib Nisbi yang terhad dan terbatas.

48. Selama sesuatu perkara itu dapat dilakukan penyelidikan atas eksperimen ke atasnya, sekalipun sampai sekarang sains belum berhasil membukakan tabir rahsianya, selama itu pula perkara itu termasuk ke dalam ghaib Idafi.

49. Dalam perkembangan sains dan teknologi, suatu ketika rahsuanya dapat dibongkar, maka berpindahlah ia ketika itu dari jenis alam ghaib Nisbi ke dalam jenis alam nyata.

50. Dalam dunia moden alam ghaib itu memang telah menyempit, berkat kemenangan-kemenangan sains dan teknologi. Namun demikian masih tidak terhitung perkara yang masih tergolong ke dalam alam ghaib. Dikatakan menyempit, apabila diperbandingkan dengan alam ghaib dua tiga abad yang lalu, sebelum berkembangnya sains dan teknologi moden.

51. Dari banyak perkara ghaib yang dihadapi manuisa kini, sebahagian memang dapat dimasukkan ke dalam ghaib idafi, tetapi sebahagiannya lagi termasuk ke dalam ghaib hakiki, yang tidak akan mampu sains dan teknologi membuka rahsianya, kerana ke atasnya tidak mungkin dilakukan penyelidikan dan atau eksperimen.

ii) MANUSIA SEBAGAI PEMEGANG AMANAH

1. Allah telah mengamanahkan kepada manusia tanggungjawab sebagai khalifah supaya melaksanakan Din Allah di muka bumi ini.

2. Menurut jumhur ulama, amanah yang dimaksudkan itu ialah kewajipan menegakkan agama Allah (Islam) atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap syariat Islam yang diberikan kepada manusia.

3. Kandungan amanah yang terdapat dalam Islam terdiri dari dua jenis:
i) Amanah untuk beribadah kepada Allah
ii) Amanah kekhalifahan untuk memakmurkan bumi serta lingkungan hidup.

4. Kesimpulannya Allah telah mengamanhkan kepada manusia untuk mentadbir dan mengurus alam buana ini kerana manusia mempunyai ciri-ciri kelayakan dan kelebihan berbanding dengan
makhluk yang lain.

5. Sehubungan itu Allah telah memberikan ganjaran pahala dan balasan syurga pada sesiapa yang melaksanakan tugas tersebut, sebaliknya kelalaian dan keengganan manusia untuk melaksankannya akan mendapat kemurkaanNya dan akan menyebabkan berlakunya kerosakan serta kemusnahan.

6. Manusia diberi kekuatan, kekuasaan dan kemampuan untuk memanfaatkan alam ini sebanyak mungkin.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com