Matlamat Kejadian Manusia

PENDAHULUAN
Maha sucilah Tuhan Yang Maha Tinggi, penuh rahmat dan kasihan belas. Ia menciptakan segala, termasuk insan. Kepada Insan Ia kurniakan kedudukan istimewa dalam kejadian –Nya. Ia muliakan Insan untuk menjadi sebagai Khalifah-Nya. Dan untuk tujuan itu, dikurniakannya dengan akal, Dimurnikannya perasaan dan kasih dan sayangnya, dan dikurniakannya pemandangan rohaniah, supaya dengan itu Insan boleh memahami Alam Tabii, memahami dirinya sendiri, dan mengenali Tuhan malalui tanda-tanda-Nya nan ajaib, dan mengagungkan-Nya dalam kebenaran, dengan rasa gerun dan hebat dalam tauhid.

Bagi menjayakan amanah nan agung ini, Insan tambahan lagi, dikurniakan dengan kehendak, supaya dengan itu perbuatan-perbuatannya membayangkan kehendak dan hukum Tuhan yang semesta. Tetapi, walaupun ianya diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, Insan terjatuh daripada Tauhid bila kehendaknya terpesong. Tetapi Tuhan dengan rahmat dan kasih-Nya tidak terhingga yang memberi keampunan dan memberi hidayat kepada orang-orang perseorangan dan bangsa-bangsa dan mengubahkan menjadi kebaikan walaupun apa yang kelihatan pada kita kejahatan.

Dan demikianlah cahaya keesaan Allah nan kekal abadi ini telah memancar dalam semua bangsa. Melalui Rasul-Rasul pilihan Tuhan yang talah datang sebagai manusia-manusia hidup dikalangan manusia, untuk sama-sama mengecapi kesukaan dan kedukaan. Dan boleh menjayakan tujuan yang kekal abadi dan yang tidak berubah –ubah dari Tuhan Yang Maha Tinggi untuk membawa insan kepada tujuan hidupnya yang paling mulia.

Matlamat kejadian manusia.

Insan yang diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi ini adalah mempunyai matlamat dan misi untuk dicapai iaitu semata-mata untuk mengabdikan dirinya kepada yang Maha Esa. Agama yang dicipta juga adalah satu sistem yang merangkumi segala aspek kehidupan mencakupi akidah dan syariah. Oleh itu segala perbuatan manusia dikira ibadah dan mendapat ganjaran daripada Allah Taala.

Aktiviti seharian yang dilakukan seperti pergaulan kemasyarakatan, sosio-ekonomi, pendidikan dan pelbagai lagi termasuk dalam konteks ibadah jika ia dimaksudkan untuk menegakkan kalimah Allah dan tauhid. Jadi jelaslah kepada kita bahawa Islam tidak memisahkan keduniaan dan ukhrawi sebagaimana yang didakwa oleh Barat. (DAKWAH, APRIL 1998. 11)

Tujuan penciptaan manusia.

Manusia adalah makhluk paling istimewa diciptakan oleh Allah SWT. Pengistiharan ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud :”Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk kejadian yang paling indah”-Al-Tin:4.

Sesungguhnya manusia tidak diciptakan sia-sia. Firman Allah yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan begitu saja?” (tanpa tanggungjawab) -al-Qiamah:36. Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menjadikan kamu sekalian hanya main-main sahaja dan bahawa kamu akan dikembalikan kepada Kami?” –al- mu’minun:115. Satu persoalan yang mengajak manusia berfikir bahawa kehidupan di dunia menuntut mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap pencipta mereka. Sesungguhnya beribadah kepada Allah adalah menjadi tujuan utama manusia diciptakan. Allah tidak menciptakan manusia melainkan semata-mata agar manusia tunduk mengabdikan diri kepada-Nya. (Muslimah Mei 2000)

Demikian penegasan Allah dalam Firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (Terhadap –Ku) ”-al-Zariyat :56. Manusia menurut Islam mestilah memutarkan roda hidupnya berkisar di sekitar tujuan ini. Jika hidupnya diputar kearah lain, nescaya perjalanan hidupnya akan tergelincir dari landasan fitrahnya. Implikasi daripada itu, manusia akan sesat dari laluan hidup sebenarnya, mereka akan meraba-raba dalam kegelapan, kekeliruan mengharungi samudera bagai kapal tidak berkemudi, lambat launnya akan tenggelam di dasar lautan batiniahnya.

Kesempurnaan dan kemuliaan hidup manusia itu bergantung kepada kesempurnaan ibadahnya terhadap Allah. Dalam hal ini Ibn Taimiyah pernah berkata; “Kesempurnaan makhluk adalah berada dalam perlaksanaan ibadahnya kepada Allah. Setiap kali manusia meningkatkan kesempurnaan ibadahnya, setiap kali pulalah meningkatkannya kesempurnaan dan ketinggian darjatnya. Sesiapa yang menyangka ada jalan lain atau menyangka manusia dapat membebaskan diri daripada pengabdian dirinya atau keluar dari lingkungan itu untuk mendapatkan kesempurnaan yang lebih, dia adalah orang yang paling jahil dan sesat “. (Muslimah Mei 2000)

Kedudukan dan kemuliaan manusia

Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah kerana mempunyai akal dan fikiran serta dapat mentadbir alam. Para rasul juga dipilih daripada kalangan manusia. Allah menjadikan manusia semata-mata untuk beribadat iaitu menyerah diri sebagai hamba kepadaNya.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada-Ku. ” (Surah az-zariat:56)

“Aku tidak menghendaki sebarang rezeki pun dari mereka dan Aku tidak sekali-kali menghendaki mereka memberi makan kepadaku. ” (surah az-zariat:57)

“Sesungguhnya Allah itulah satu-satunya pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan dan Maha teguh kekuasaan-Nya. (Surah az-zariat :58)

Ayat yang pendek ini mengandungi satu hakikat yang paling besar di antara hakikat-hakikat yang wujud di alam ini. Tanpa memahami dan menyakini hakikat ini, kehidupan manusia di bumi ini tidak mungkin berdiri lurus sama ada kehidupan individu atau kehidupan kelompok atau kehidupan umat manusia seluruhnya di setiap peringkat perkembangan dan zaman.

Ayat yang pendek ini membuka segala aspek dan sudut yang mempunyai berbagai-bagai konsep dan matlamat yang semuanya terkumpul dibawah hakikat ‘Ubudiyah yang agung yang menjadi asas kehidupan manusia. ’

Aspek utama dari aspek-aspek hakikat ini ialah kewujudan makhluk jin dan manusia mempunyai satu matlamat yang tertentu, yang terserahlah pada satu tugas tertentu. Sesiapa yang melaksanakan tugas ini beerti dia telah melaksanakan matlamat kewujudannya dan sesiapa yang cuai atau tidak melaksanakannya beerti dia telah mensia-siakan matlamat kewujudannya, dan beerti dia seorang manusia yang hidup tanpa tugas, hidupnya kosong dari tujuan asal yang menjadi sumber nilai hidup utamanya, dan beerti dia telah terpisah dari undang-undang yang menjadi matlamat dia diwujudkan di alam ini dan beerti dia akan berakhir dengan kehilangan dan kerugian yang mutlak yang menimpa setiap makhluk yang terpisah dari undang-undang kewujudan yang mengikatnya, memelihara dan menjamin kewujudannya.

Tugas yang mengikatkan jin dan manusia dengan undang-undang kewujudan ialah pengabdian diri kepada Allah atau melaksanakan ‘Ubudiyah kepada Allah, iaitu tugas yang menentukan ada hamba dan ada Tuhan, ada hamba yang menyembah dan ada Tuhan yang disembah, dan menentukan bahawa kelurusan hidup sekalian hamba itu pastilah ditegakkan di atas asas Ubudiyah itu. Kerana itu timbul pula satu aspek yang lain bagi hakikat ‘Ubudiyah yang agung itu dan ternyata pula bahawa pengertian ibadah itu pastilah lebih luas dari semata-mata melakukan upacara-upacara ibadat yang tertentu sahaja,
kerana, makhluk jin dan manusia tidak ditaklifkan Allah supaya menghabiskan seluruh hidup mereka di dalam upacara-upacara itu, malah Allah mentaklifkan mereka dengan berbagai-bagai kegiatan yang lain yang mengambil sebahagian terbesar dari masa hidup mereka.

Walaupun kita tidak mengetahui jenis-jenis kegiatan yang ditaklifkan Allah kepada makhluk jin, tetapi kita mengetahui sempadan-sempadan kegiatan yang dituntut dari makhluk manusia. Kita mengetahui hakikat ini dari firman Allah Taala:
“Dan kenangilah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan mengadakan khalifah di bumi ini. “ (Surah al-Baqarah;30) Tafsir Fi Zilalil Quran. Jilid 15;215.

Nyatalah dari ayat ini bahawa tugas mengendalikan urusan khilafah di bumi merupakan kerja yang dituntut dari makhluk manusia. Dan kerja mengendalikan urusan khilafah ini memerlukan kepada berbagai-bagai kegiatan penting untuk memakmur dan memajukan bumi, iaitu kegiatan mengenalpasti segala kekuatan dan tenaga yang wujud di bumi dan segala isi perbendaharaan dan kandungannya, serta mempastikan terlaksananya kehendak Allah dalam usaha-usaha mengguna dan mengembang tenaga-tenaga dan memajukan kehidupan di bumi. Tugas mengendalikan khilafah juga memerlukan usaha menegakkan syariat Allah di bumi untuk mewujudkan sistem hidup ilahi yang sesuai dengan undang-undang alam buana.

Skop ibadah

Dari itu ternyatalah bahawa pengertian ibadat yang menjadi matlamat kewujudan insan dan tugas utamanya adalah lebih luas dari semata-mata menunaikan upacara-upacara ibadat yang tertentu sahaja. Juga ternyata bahawa tugas mengendalikan urusan khalifah itu termasuk di dalam pengertian ibadat. Jadi, hakikat ibadat itu adalah terjelma dalam dua unsur yang pokok:

Pertama: Menanamkan di jiwa seseorang pengertian ‘Ubudiyah kepada Allah, iaitu menanamkan kesedaran adanya hamba dan Tuhan, adanya hamba

yang menyembah dan Tuhan yang disembah. Inilah sahaja kedudukan dan pertimbangan yang wujud. Tiada suatu yang lain lagi selain dari kedudukan ini. Tiada dialam ini melainkan ‘abid dan ma’bud, melainkan Tuhan Yang Tunggal dan segala yang lain adalah hamba-Nya.

Kedua: Bertawajjuh kepada Allah dengan setiap harakat hati nurani, dengan setiap harakat anggota jasmani dan dengan setiap harakat kehidupan, atau bertawajjuh dengan keseluruhan harakat kepada Allah semata-mata dengan mengosongkan jiwa dari segala perasaan yang lain dan dari segala pengertian beribadat kepada Allah semata-mata.

Dengan kedua-dua unsur ini terserlah pengertian ibadat dan seluruh kegiatan hidup menyamai upacara ibadat dan upacara-upacara ibadat menyamai kegiatan memakmurkan bumi dan kerja memakmurkan bumi menyamai ibadat berjihat fi sabilillah, dan ibadat berjihat fi sabilillah sama dengan kesabaran menanggung kesusahan dan sama dengan keredhaan terhadap takdir Allah. Semuanya merupakan kegiatan-kegiatan ibadat belaka. Semuanya merupakan usaha-usaha melaksanakan tugas utama yang menjadi matlamat diciptakan jin dan manusia. (Tafsir Fi Zilalil Quran :Jilid 15;216)

Ketika inilah baru seseorang insan itu sedar bahawa tujuan dia berada di bumi ini ialah melaksanakan tugas yang ditentukan Allah. Tujuan kedatangannya ke dunia ini untuk memikul tugas itu selama masa yang tertentu. Iaitu dia datang untuk melahirkan ketaatan beribadat kepada Allah dan dia tidak mempunyai tujuan yang lain dalam kehidupan di bumi ini, dia tidak mempunyai matlamat yang lain lagi disebaliknya melainkan semata-mata menjunjung ketaatan. Dan dia akan mendapat balasannya di dalam jiwanya sendiri dalam bentuk ketenteraman dan kepuasan terhadap kedudukan dan amalannya, juga dalam bentuk kerinduan dan kemesraannya mendapat keredhaan Allah dan pemeliharaan-Nya, kemudian dia akan mendapat balasan di Akhirat dalam bentuk penghormatan, dan nikmat-nikmat kurniaan Ilahi yang besar dan melimpah ruah.

Ketika ini barulah beerti dia benar-benar berkejar kepada Allah, benar-benar melarikan dirinya dari belenggu-belenggu bumi dan dari godaan-godaan kehidupan dunia yang mengganggu dan mempersona. Dan pelarian itu beerti dia benar-benar telah membebaskan dirinya dari segala ikatan dan bebanan berat dan menumpukan dirinya kepada Allah semata-mata dan mengambil tempat semulajadi di dalam kedudukan alam buana iaitu kedudukan seorang hamba kepada Allah, kedudukan seorang hamba yang diciptakan Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, kedudukan seorang hamba yang berkewajipan melaksanakan satu tugas yang menjadi matlamat dia diciptakan Allah dan kedudukan seorang hamba yang melaksanakan matlamat kewujudannya.

Di antara komitmen-komitmen ialah dia berkewajipan mengendalikan urusan khalifah di bumi, melaksanakan segala tugasnya dan menghasilkan faedah-faedahnya yang maksima juga melepaskan dirinya dan membersihkan hatinya dari segala godaan dan tarikan kehidupan di bumi, kerana tujuan dia mengendalikan urusan khalifah dan mendapatkan hasil dan faedahnya bukan untuk kepentingan dirinya atau kepentingan khalifah itu sendiri, malah untuk merealisasikan pengertian pengabdian diri di dalam kegiatan khalifah dan menjadikan kegiatan khalifah sebagai titik tolak menuju kepada Allah.

Diantara komitmen-komitmen pengabdian diri kepada Allah lagi ialah nilai amalan –amalan dalam hati seseorang itu harus diambil dari niatnya bukan hasil amalannya biar apa sahaja hasilnya, kerana mutu insan tidak bergantung kepada hasil-hasil amalannya, malah bergantung kepada penunaian pengabdian diri kepada Allah dalam amalan-amalan itu, dan kerana balasan yang diberikan kepada seseorang itu bukan kerana hasil-hasil amalannya bahkan kerana ibadat yang ditunaikannya dalam amalan itu.

Oleh kerana itu sikap seorang insan mukmin terhadap kewajipan-kewajipan, tugas-tugas dan amalan-amalannya akan mengalami satu perubahan yang sempurna. Ia hanya memandang dengan tujuan pengabdian diri kepada Allah yang tersirat di dalam seluruh kewajipan-kewajipan dan amalan-amalan itu saja. Apabila tujuan pengabdian diri kepada Allah itu terlaksana, maka tamatlah tugasnya dan terlaksalah matlamatnya tanpa memandang kepada hasil-hasil yang terbit dari amalannya selepas itu, kerana hasil amalan itu tidak termasuk dalam bidang kewajipannya, dalam hisabnya dan dalam urusannya, malah hasil amalan itu adalah tertakluk kepada ketetapan takdir Allah dan kehendak iradat-Nya, sedangkan dirinya, usahanya, niatnya dan amalannya merupakan sebahagian dari ketetapan takdir Allah dan kehendak iradat-Nya.

Al-Quran menyubur dan memantapkan perasaan yang luhur ini dengan membebaskan insan dari belenggu kerungsingan memikirkan persoalan rezeki dan dari belenggu tamak dan kikir, kerana rezeki itu sendiri telah dijaminkan Allah kepada sekalian hamba-Nya, sedangkan Allah sudah tentu tidak meminta makanan dan rezeki dari mereka apabila Dia mentaklifkan mereka supaya membelanjakan harta mereka kepada orang-orang miskin yang memerlukannya.

“Aku tidak menghendaki sebarang rezeki pun dari mereka dan Aku tidak sekali-kali menghendaki mereka memberi makan kepada-Ku. ’” (Surah al zariat :57)

Jadi, niat atau pendorong yang menggerakkan seorang mukmin itu mencurahkan segala usahanya untuk menegak dan mengendalikan urusan khalifah itu bukannya untuk mendapat rezeki, malah untuk merealisasikan konsep pangabdian diri kepada Allah dalam usaha-usaha itu dan ini akan terlaksana apabila dicurahkan segala daya dan tenaga. Oleh itu hati seorang mukmin adalah terletak pada matlamat untuk merealisasikan konsep pengabdian diri kepada Allah dalam usaha itu bukannya mengiringi hasil-hasil dari usaha itu,
ini adalah satu perasaan yang luhur yang hanya wujud dibawah naungan persepsi yang luhur sahaja.

Andainya umat manusia tidak dapat memahami dan menikmati perasaan luhur ini, maka sebabnya ialah kerana mereka tidak hidup sebagaimana hidupnya angkatan pelopor Islam yang pertama di bawah bayangan Al-Quran, dan kerana mereka tidak mengambil dasar-dasar hidup mereka dari perlembagaan yang agung.

Apabila seseorang itu dapat meningkatkan dirinya ke kemuncak konsep pengabdian diri kepada Allah ini atau ke kemuncak konsep”Ubudiyah yang luhur ini, maka tentulah jiwanya tidak akan tergamak menggunakan wasilah yang keji untuk mendapatkan tujuan yang luhur, walaupun tujuan itu ialah untuk mencapai kemenangan dakwah dan meninggikan kalimat Allah, kerana wasilah yang keji itu dalam satu aspek menghancurkan konsep pengabdian diri kepada Allah yang bersih dan luhur, dan dari satu aspek yang lain ia tidak berhasrat untuk mencapai matlamat-matlamat yang lain selain dari matlamat menunaikan kewajipannya untuk merealisasikan konsep pengabdian diri kepada Allah yang tersirat dalam penunaian itu, kerana pencapaian matlamat adalah terserah kepada Allah. Dialah yang akan menentukannya mengikut ketetapan takdir-Nya dan kehendak iradat-Nya.

Kesimpulan.

Oleh itu seseorang tidak perlu menggunakan wasilah-wasilah dan cara-cara yang sembarangan untuk mencapai sesuatu matlamat yang urusannya terpulang kepada keputusan Allah dan tidak pula termasuk dalam perkiraan seorang mukmin yang menghambakan dirinya kepada Allah. Kemudian seseorang yang menghambakan dirinya kepada Allah itu akan menikmati kerehatan dhamir, ketenteraman jiwa, kebaikan hati dalam segala keadaan sama ada dia melihat hasil perjuangannya terlaksana menurut sebagaimana yang dirancangkannya atau sebaliknya, kerana dia telah pun menyelesaikan usaha
perjuangannya dan terjamin mendapat balasannya setelah direalisasikan konsep pengabdian diri kepada Allah dalam usaha perjuangannya itu kerana inilah hatinya tenang dan beristirehat.

Dan segala apa yang berlaku selepas itu adalah di luar batas tugasnya. Kini dia sedar bahawa dirinya adalah seorang hamba kerana itu perasaan dan tuntutannya tidak melebihi batas seorang hamba. Dia juga sedar bahawa Allah itu Tuhan dan kerana itu dia tidak akan menceroboh dalam perkara-perkara yang berada dalam bidang urusan Allah. Disinilah sahaja batas perasaannya. Dia redha terhadap balasan Allah dan Allah redha terhadap usaha perjuangannya. (Tafsir Fi Zilalil Quran: Jilid 15:219).

Islam sebagai agama wahyu yang menepati kehendak fitrah manusia, cuba sedaya upaya membentuk tabiat dan perilaku manusia supaya tidak melampaui batas dengan cara mengajak mereka kearah mengenal hakikat diri dan hakikat kewujudan mereka didunia ini.

Mereka tidak diciptakan sia-sia, bahkan mereka dituntut mengabdikan diri kepada-Nya semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Pun begitu setiap amalan yang dikerjakan olah manusia dinilai sebagai ibadah apabila menepati syarat-syaratnya. (Muslimah Mei 2000).



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com