Saturday, April 12, 2008

Konsep Wasatiah Dalam Islam -

Pendahuluan
Islam mempunyai keistimewaan berbanding dengan agama lain yang terkenal di dunia ini seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya yang mana Islam menekankan keseimbangan dan intergrasi antara dunia dan akhirat serta mengawal dasar keseimbangan dan keadilan di antara tuntutan atau kehendak rohaniah dengan jasmaniah.

Penganut Islam tidak dilarang untuk menikmati harta benda dan tuntutan jasmani selagi yang diperolehi itu menurut cara yang halal dan diambil dalam kadar yang sederhana dan munasabah.

Oleh itu, adalah penting di sini untuk memahami konsep “ummatan wasatan” dan ciri-ciri utama masyarakat Islam demi melahirkan umat Islam madani seperti mana yang diidamkan.

Definisi Ummatan Wasatan
Perkataan wasatan adalah daripada kalimah Arab yang membawa erti pertengahan, kebaikan, keadilan dan kesederhanaan antara dua pihak. Apabila kita merujuk kepada al-Quran, kita akan dapati Al-Quran menyifatkan umat Islam sebagai umat yang sederhana atau mempunyai konsep pertengahan dalam segala aspek kehidupan mereka. Ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT. yang bermaksud : “demikianlah pula kami telah jadikan kamu umat yang adil (pertengahan) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia……” (Surah al-Baqarah: 143)

Pengertian wasatan di dalam ayat di atas mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu duduk di tengah-tengah. “
Wasatan juga diertikan dengan adil dalam erti kata meletakan sesuatu pada tempatnya. Pastinya sesuatu yang adil itu adalah bersifat sederhana antara dua pihak yang melampau. Di dalam bahasa Arab wasatan juga membawa erti adl iaitu benar, lurus dan betul.
Kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat untuk mencari kebenaran atau Al-Haq. Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya akal semata-mata tidak mampu untuk memimpin manusia mencapai kebenaran yang mutlak. Roh kesederhanaan dalam Islam ditiup oleh Al-Quran yang merupakan wahyu Ilahi untuk mengimbangi di antara kehendak manusia dan agama. Keseimbangan ini tidak mungkin akan kita dapati di dalam ajaran agama atau kitab-kitab suci yang lain selain Al-Quran.

Dasar Perimbangan
Manusia terdiri dari dua unsur iaitu roh dan jasad atau rohani dan jasmani. Salam yang diarahkan oleh Allah terhadap naluri manusia bukan untuk jasad sahaja dan bukan untuk roh sahaja tetapi untuk kedua-duanya sekali, iaitu untuk jasmaniah dan rohaniah. Ertinya salam yang berimbangan antara keduanya. Oleh yang demikian Allah mengarahkan setiap salam supaya memohon kepadaNya sekali pada tiap-tiap kali selepas sembahyang agar berdoa. FirmanNya yang bermaksud: “Wahai tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jagalah kami (jauhkan kami) dari keazaban api neraka. ” (al-A’ raf, 7:31)

Salam dalam kehidupan hanya terwujud jika manusia tidak melewati batas dalam usahanya mewujudkan salam atau kesejahteraan kepada jasmani sahaja atau rohani sahaja. Apabila jasad sahaja yang diutamakan mungkin ia selamat atau senang tetapinya tersiksa, sebaliknya jika roh sahaja yang dipentingkan mungkin rohaniah selamat, tetapi jasmaniah merana dan tersiksa di dunia. Oleh itu Allah melarang manusia batas. Firman Allah yang bermaksud: “Makan minumlah kamu dan kamu jangan melewati batas, sesungguhnya Ia tidak kasihkan orang-orang yang melampaui batas. ” (Al-A’ raf, 7:31)

Prinsip ilmu kesihatan bersesuaian dengan ayat ini sebab makan minum yang sederhana itulah yang dapat mencegah penyakit daripada badan, makan dan minum yang berlebihan akan mendatangkan penyakit. Allah menyeru ahli kitab dalam al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad supaya mereka mereka tidak melewati batas atau melampaui sempadan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu. ”

Apabila manusia tidak boleh melewati batas dalam urusan rohaniah dan jasmaniah dan tidak berlebih-lebihan dalam urusan akhirat dan tidak berlebihan dalam urusan dunia, maka jalan seperti itu akan membawa manusia kepada “jalan tengah” di antara dua jalan yang bertentangan.

Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam agama, membantah ajaran-ajaran penyeksaan diri demi agama. Ini dibuktikan dengan kebenaran memakan makanan yang lazat-lazat dan memakai perhiasan, asal tidak berlebih-lebihan dan tidak bersikap sombong.

Sebagaimana Allah telah menjadikan Rasul-Nya tauladan yang baik bagi umat manusia, maka umat Islam pula harus menjadi tauladan atau contoh yang baik kepada umat yang lain. Apabila kita mengikuti jalan tengah, tidak melewati batas ke kiri atau ke kanan maka perseimbangan antara ke duanya telah tercapai. Seterusnya tertempuhlah jalan lurus yang diistilahkan oleh Al-Quran dengan “al-sirat al-mustaqim” iaitu pada setiap kali sembahyang dan pada setiap raka’at ketika membaca al-Fatihah.

Aspek-aspek Kesederhanaan Islam
Walaupun lahirnya berbagai mazhab dan perbezaan pandangan di kalangan umat Islam, namun kesederhanaan masih menjadi tunggak kepada mereka dalam berijtihad atau mengemukakan pandangan. Terdapat tiga aspek yang menjadi pembahagian utama kepada ilmu-ilmu Islam :

Pertama : Pemikiran Islam dan Aqidah
Medan pemikiran Islam dan Aqidah juga diresapi oleh roh kesderhanaan di mana ajaran Islam selari dengan fitrah semulajadi manusia yang dicipta oleh tuhan. Konsep paksaan tidak diamalkan oleh Islam dalam seruannya untuk mengajak manusia beriman kepada Allah. Bahkan Islam memberi pengiktirafan yang selayaknya terhadap akal sebagai jalan untuk manusia menerima Islam. Islam mengajak manusia berfikir dengan melihat kepada alam kehidupan mereka dan rahsia-rahsia alam untuk mendorong mereka menerima ketuhanan Allah.

Keseimbangan di antara wahyu dan akal dalam persoalan aqidah merupakan kesederhanaan Islam menggabungkan fitrah manusia yang sempurna untuk menerima Allah sebagai tuhan dan hujah-hujah akal yang diterima oleh semua manusia. Ibn Hazm menegaskan bahawa “ tidak benar sekiranya mereka ingin membuktikan kesahihan iman dengan mengemukakan dalil-dalil akal semata-mata. ” Pandangan Ibn Hazm itu menerangkan kesederhanaan Islam dalam mengimbangi antara tuntutan akal dan wahyu mengenai persoalan aqidah.

Kedua : Tasawuf
Jika ditinjau pada aspek akhlak, Islam tidak hanya mengetengahkan teori akhlak yang berbentuk ideal kerana pada pandangan Islam, akhlak merupakan tingkah laku dan amalan seharian manusia. Kesempurnaan akhlak pada pandangan Islam diukur pada hukum wajib yang ditentukan oleh agama berpandukan kepada sifat dan nama Allah yang maha agung.

Ketiga : Aspek Perundangan (Fekah)
Perundangan Islam mempunyai ciri yang tersendiri dalam memastikan keadilan terlaksana dalam pelaksanaannya. Ianya tidak dapat diubah walaupun berbeza keadaan dan tempat kerana ianya adalah suatu yang tetap dan pasti dari Allah. Hukukm-hukum perundangan Islam mempunyai ciri keseimbangan antara wahyu dan akal, Nas dan realiti masyarakat, matlamat dan cara.

Kesederhanaan Perundangan Islam
Ciri kesederhanaan Islam dalam perundangan dapat dilihat dengan jelas antara Syariah Islam dan undang-undang ciptaan manusia. Syariah adalah perkara-perkara yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia melalui RasulNya yang berkaitan dengan aqidah, akhlak dan perundangan. Fekah pula bererti hukum-hukum yang diambil daripada Al-Quran dan hadis Nabi serta sumber-sumber yang disepakati oleh ulama Islam. Ini bererti Fekah merupakan hasil ijtihad ulama Islam daripada wahyu dan hadis Nabi sedangkan syariat pula adalah suatu yang pasti dan mutlak datangnya dari Allah. Menurut kata lainnya syariat Islam adalah terpelihara dan pasti kebenarannya berbeza dengan hukum-hukum fekah yang bersifar ijtihad semasa daripada nas-nas tersebut.

Undang-undang sivil ditakrifkan sebagai himpunan kaedah dan peraturan umum yang menghukum tingkah laku individu dalam masyarakat manusia dan hubungan sesama mereka. Hukumannya adalah berbentuk lahiriah dengan ditentukan oleh hakim. Undang-undang sivil yang dijalankan mengikut waktu dan tempat tertentu akan berubah apabila masyarakat dan suasana berubah.

Walaupun terdapat persamaan antara undang-undang sivil ciptaan manusia dengan fekah Islam, namun masih terdapat perbezaan yang ketara di antara Al-Quran dan hadis sedangkan undang-undang sivil berubah mengikut tuntutan keperluan masa dan tempat.

Konsep kesederhanaan diterapkan dalam perundangan sivil. Konsep tersebut bukannya suatu pengukuran yang universal dan mutlak malah sentiasa berubah mengikut situasi dan keadaan.

Ciri-ciri Kesederhanaan Syariah Islam
Jika dirujuk kepada kaedah usul fekah dan mazhab fekah Islam yang berbagai-bagai kita akan dapati terdapat petunjuk yang jelas mengenai kesederhanaan syariah Islam. Kesederhanaan itu pastinya dari Al-Quran dan hadis Nabi yang telah disaring dan ditafsirkan oleh ulama Islam mengikut suasana dan fahaman mereka. Namun pentafsiran tersebut tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ciri-ciri kesederhanaan syariah Islam adalah seperti berikut:
1. Keseimbangan antara Nas Syarie dan realiti kehidupan
Nas-nas yang datang dari Al-Quran dan hadis yang sohih merupakan hukum yang pasti. Hukumnya adalah pasti dalam soal yang diperkatakan oleh nas tersebut. Sebahagian ulama Islam berpendapat bahawa ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang sahih tidak datang dalam bentuk pasti melainkan dalam soal-soal ibadah tauhid sahaja. Manakala aspelk lain seperti sosial, pemerintahan, perniagaan dan hubungan antara manusia datang dalam bentuk zanni. Perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia tidak disebut hukumnya dalam syariah Islam dalam bentuk pasti kerana tabiat kehidupan manusia itu berubah-ubah. Nyatalah bahawa Islam dalam perundangannya mengambil kira soal hubungan kehidupan manusia yang berubah-ubah dengan tuntutan agama iaitu dengan mengimbangi antara nas dan realiti kehidupan.

2. Perbezaan antara ideal dan realiti
Islam mengambil kira keadaan manusia dan kemampuan mereka sebelum sesuatu hukum dilaksanakan. Islam juga menggalakkan umatnya melakukan perkara-perkara yang membawa mereka ke suatu tahap yang paling ideal, contohnya amalan sunat. Amalan tersebut bukanlah suatu yang diwajibkan oleh Islam tetapi ia lebih bersifat sukarela dari hamba yang mencari keredhaan tuhannya. Kesemua hukum taklif yang diwajibkan oleh Islam terhadap umatnya adalah dalam lingkungan kemampuan dan upaya manusia. Sebagai contoh dalam pemilikan harta, Islam mengiktiraf pemilikan harta individu dan kekayaan kerana ianya adalah naluri manusia.

3. Keseimbangan antara kehendak individu dan masyarakat
Ciri perundangan Islam itu dapat dilihat pada nas-nas syara’ (Al-Quran dan Sunnah) di mana nas-nas tersebut mengimbangi antara kehendak individu dan maslahat umum, tidak dipinggirkan kehendak individu kerana maslahat umum seperti sistem sosialis dan tidak diabaikan maslahat umum kerana kepentingan pemodal seperti sistem kapitalis. Dalam persoalan hubungan kekeluargaan, segala hukum tanggungjawab yang dikenakan ke atas semua ahli keluarga adalah untuk kepentingan bersama dan pembinaan sebuah keluarga yang harmonis.

4. Keseimbangan antara matlamat dan cara
Hubungan antara cara dan matllamat hampir tidak terdapat di dalam perundangan yang lain selain Islam. Kesederhanaan hubungan antara matlamat dan cara hanya terdapat dalam perundangan Islam sahaja. Perundangan Islam mampu mencapai matlamat yang sempurna untuk menggabungkan antara cara dan matlamat dengan pendekatannya yang tersendiri iaitu melalui kaedah “Sadul zaraie”. Pendekatan ini tidak terdapat dalam mana-mana perundangan sivil yang menilai matlamat suatu hukum itu terpisah dari cara pelaksanaannya. Sedangkan Islam pula melihat kepada pendekatan “cara berpandukan matlamat”. Ianya menrupakan lunas akhlak di samping perundangan yang adil yang menggambarkan kesederhanaan perundangan Islam yang sempurna.

Kesimpulan
Umat Islam adalah ummatan wasatan, umat di tengah, umat pengimbang, pembimbing dan teladan kepada manusia sejagat. Ummatan wasatan menjadi saksi ke atas manusia dalam erti membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah dengan sikap seadil-adilnya. Rasulullah SAW sendiri menjadi saksi kepada umat Islam. Junjunganlah yang memberikan petunjuk mana yang benar dan mana yang salah.

Rujukan

Dr. Haron Din (1990) Manusia dan Islam Kuala lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Rasyid Ridha (1991) Wahyu Ilahi Kepada Muhammad Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

1 comment:

farah said...

Salam ustaz, sy mendapat blog dari seorang sahabat dan mereka menganggap maksud sederhana itu sebagai sesuatu yang mudah tetapi tidak menyedari jika kesederhanaan pada pandangan Islam adalah bukan semakin menjadikan Islam itu miskin malah lebih kaya daripada apa jua aspek..saya pasti banyak org menyalahgunakan kesederhanaan Islam ini untuk kepentingan diri mereka..apa pendpat ustaz??