Monday, April 14, 2008

Islam sebagai al din

ISLAM SEBAGAI AD DIN
1) Pendahuluan

Islam merupakan agama anutan ummah seluruh dunia. Ia menjadi pegangan serta asas budaya hidup berbagai bangsa. Agama islam adalah satu agama yang lengkap. Dikenali sebagai agama yang menyusun cara hidup yang meliputi aspek keimanan, ibadah, mua`malah, siasah, sosial dan ekonomi. Seluruh kehidupan dan keperluan manusia disusun secara lengkap oleh ajaran islam. Islam disifatkan sebagai peraturan dan menu terbaik untuk manusia dan alam seluruhnya. Disisi Allah hanya agama islam yang diterima sebagai anutan dan pegangan. Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama(yang diredai) disisi Allah hanyalah Islam". (Al-Imran:ayat 19).
Islam berbeza dari agama-agama lain yang terdapat di muka bumi ini kerana perkataan “Islam” tidak mempunyai hubung kait samada dengan individu-individu, golongan atau tenpat tertentu.

2) Pengertian Islam

Islam dari perkataan Arab bermula huruf alif, sin, lam, alif, mmim, yang membawa makna dari menurut bahasa ialah selamat, sejahtera atau kedamaian. Dari sudut istilah, bermaksud taat, patuh, sejahtera dan kedamaian. Makna secara umumnya islam merupakan satu perilaku atau tindakan dan amalan taat dan patuh kepada seluruh perintah Allah melalui ajaran yang disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w. Secara khususnya nabi Muhammad s.a.w pernah menjelaskan makna ‘islam’ semasa menjawab pertanyaan malaikat Jibrail. Sebagaimana maksud hadis tersebut seperti berikut:
Sabda Nabi s.a.w. ; “Islam ialah mengucap(kalimah syahadah; “Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhamad itu Rasululullah”). mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika berkemampuan”.

3) Definisi Islam Dari Sudut Hadis

Semasa Jibril datang bertanya Rasulullah tentang islam:
“Ceritakan padaku(wahai Muhammad) tentang Islam,” Rasulullah S.A.W. menjawab; “Kau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hambaNya dan Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah jika engkau kuasa”

Definisi islam mengikut Syara' adalah patuh dan menyerah diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan serta mematuhi segala peraturannya dan menjauhi segala larangannya. Penyerahan secara terpaksa tidak mendatangkan balasan pahala. Malah penyerahan secara ini tidak sesuai untuk makhluk manusia yang mempunyai akal fikiran. Firman Allah s.w.t. ;
“Barang siapa yang mencari agama selain dari islam, tidak tidak akan diterima daripadanyadan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. ”(Surah Al Imran: ayat 85)
Islam juga adalah peraturan hidup, kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia, yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Sabda Rasulullah:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasul".
Dari maksud hadis di atas, dapatlah kita huraikan cara hidup islam melalui Al-Qur’an dan Sunnah(amalan hidup Rasulallah) kepada 3 faktor asas:
1. Sistem kerohanian yang terbit dalam bentuk ucapan syahadah. Ini menunjukkan Islam bukanlah agama yang jumud dan kaku, malah ia merupakan agama yang lurus, benar dan harmoni.
2. Di atas asas kerohanian yang mantap terbina pula sistem perundangan(Hudud) yang luas skopnya, samada dalam konteks individu atau dalam konteks kemasyarakatan. Hal ini tergambar dalam ibadah-ibadah asas yang disyaria`tkan.
3. Di atas sistem kerohanian yang mantap dan sistem syaria`tnya yang menyeluruh, suatu perkara yang tidak dapat dipisahkan ialah pelaksanaan kedua-dua sistem ini secara serentak.

4) Islam Sebagai Cara Hidup

Sesungguhnya agama yang Allah terima adalah islam. Islam juga dimaksudkan sebagai 'aman', 'damai' & 'tenang'. Ajaran Islam bukannya disebarkan bersama 'pedang' keganasan seperti yang diburukkan oleh Barat. Islam adalah rahmat Allah yang manusia tidak sedar kerana islam sahaja agama yang diterima Allah.
Islam juga adalah peraturan hidup, peraturan yang bersifat Syumul(intangible)* yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Sabda Rasulullah.
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul".
Agama islam telah diwariskan(wahyu) kepada bangsa Arab. Sebab itulah bahasa utama ibadahnya dalam bahasa Arab. Bagaimanapun penggunaan bahasa Arab dalam ibadah solat atau berdoa, melambangkan penyatuan umat melalui satu bahasa.

*(intagible-gambaran/kepercayaan tidak wujud dalam bentuk yang dapat dikesan oleh deria, contoh; dosa, pahala, syurga dan neraka. )

5) Penganut Islam

Penganut Islam ialah mereka yang telah menerima akidah Islamiah secara menyeluruh saperti yang termaktub didalam rukun Iman dan melaksanakan tuntutan beribadah saperti yang termaktub didalam rukun Islam. Penganut islam juga merupakan mereka yang sentiasa merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadis dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan Rasul terutama dalam hal-hal berkaitan dengan pegangan akidah dan perlaksanan ibadah.

6) Dasar Utama Ajaran Islam

Dasar utama ajaran Islam meliputi aspek berikut:
a) Akidah ialah konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah dan Rasul serta beriman kepada para malaikat, hari akhirat, syurga dan neraka.
b) Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah. Ibadat juga meliputi perilaku melaksanakan ketaatan kepada Allah melalui cara kebaikan kepada manusia dan alam seluruhnya.
c) Muamalah ialah pertaturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek kemasyarakatan, keadilan, akhlak,siasah, ekonomi dan kewangan.

7) Perinsip Utama Ajaran Islam

Setiap orang islam wajar memahami kehendak setiap ajaran islam berasaskan perinsip-perinsip berikut:
a) Islam dan akidah islam ialah satu agama yang berteraskan akidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah yang Maha Esa, kepada malaikat,rasul-rasul, kitab-kitab, adanya hari Qiamat, dan kepada Qada' dan Qadar. Hasil dari keyakinan ini membawa kepada lahirnya kesedaran untuk sahadahnya dengan kesanggupan untuk menunaikan segala yang wajib dan menjauhi segala yang dilarang.
b) Islam dan manusia islam amat mengutamakan kesejahteraan manusia dan seluruh alam ini. Sebab itu seluruh ajaran islam amat mempertahan hukum-hukum keadilan, persaudaraan, penjagaan zuriat, perlindungan wanita dan pembangunan bumi.
c) Islam dan halal/haram islam memperkenalkan hukum halal dan hukum haram sebagai landasan untuk membebaskan manusia dari belenggu kezaliman, penganiyaan, sama ada ke atas diri sendiri dan kepada orang lain. Sebagai contoh pengharaman arak untuk menyelamatkan akal manusia, pengharaman zina bagi menyelamatkan zuriat manusia, pengharaman pembunuhan bagi menyelamatkan nyawa manusia, pengharaman riba bagi membina ekonomi secara adil, pengharaman merompak dan mencuri bagi menyelamatkan harta dan pemilikannya.

8) Konsep Fardhu A`in dan Fardhu Kifayah

Dalam ajaran Islam terdapat dua konsep kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Konsep ini dikenali sebagai fardhu a`in dan fardhu kifayah.
a) Fardu A`in bermaksud kewajipan diri, setiap individu bertanggung jawab melaksanakan perintah Allah melalui hukum fardu ain. Kewajipan ini tidak boleh diwakilkan kepada orang lain atau ditanggung oleh orang lain. Contohnya kewajipan bersembahayang lima waktu, kewajipan belajar, kewajipan beriman.
b) Fardu Kifayah juga merupakan kewajipan keatas diri setiap individu, tetapi ia mesti telah dilaksanakan oleh orang lain dalam sasebuah kelompok masyarakat saperti kewajipan berdakwah, kewajipan mendalami sesuatu bidang ilmu, kewajipan membina kemudahan awam, kewajipan membina tempat ibadah, kewajipan memimpin negara dan rakyat, dan kewajipan menguruskan jenazah.

9) Tanggungjawab Asas Seorang Islam

Semua umat islam mempunyai tanggungjawab khusus yang mesti dilakukan disepanjang hayatnya. Tanggungjawab tersebut meliputi aspek kewajipan terhadap diri, terhadap keluarga, terhadap masyarakat, ummah dan terhadap negara. Berikut di rengkaskan sebahagian dari tanggung jawab individu muslim:-
a) Mesti sentiasa beriman dan mempunyai akidah yang kukuh mengikut seperti yang tertera didalam rukun iman.
b) Mesti menunaikan segala yang termaktub didalam rukun islam
c) Mesti sentiasa berusaha mempertingkatkan rasa taqawa kepada Allah dengan cara memperbanyakkan amalan yang disuruh.
d) Mesti sentiasa meneruskan tradisi belajar ilmu pengetahuan terutama ilmu-ilmu yang membangunkan ummah dalam aspek ibadah dan kesejahteraan ummah.
e) Mesti menghormati kedua ibu bapa, orang tua, jiran tetangga dan sentiasa memperkukuhkan tali persaudaraan dikalangan umat islam.
f) Mesti menyayangi kedua ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga.
g) Mesti berusaha mempastikan amalan kemungkaran dan kerosakan dicegah.
h) Mesti berkerja bersungguh-sungguh untuk mencari nafkah untuk diri dan ahli keluarga.
i) Mesti sentiasa mempunyai semangat untuk membantu, tolong-menolong dikalangan ahli masyarakat.


10) Tiada Paksaaan Untuk Memeluk Islam

Ayat ini terdapat didalam Al –Qur`an. Setiap manusia di muka bumi perlu mengetahui kewujudan islam dimuka bumi ini. Walaupun islam tidak memaksa mana-mana manusia memeluk agama ini, penyelarasan agama islam mestilah dibuat secara global.
Apabila islam disebut di Malaysia, istilah ini lebih berkait rapat dengan orang Melayu. Maka majoriti orang bukan islam adalah bukan melayu. Akhirnya apabila orang bukan melayu ingin memeluk islam telah dikaitkan masuk ke kelompok orang melayu. Tanggapan ini adalah salah.
Apabila kita ingin menjadi penganut islam yang setia kepada tuhan, perbezaan bangsa mestilah diketepikan. Agama islam adalah untuk semua bangsa tanpa mengira warna kulit serta mementingkan penyatuan semua bangsa yang menyembah tuhan yang sama(Allah).
Apabila kita menganuti islam, kita mesti mengimbangi ibadah kepada Allah dan mua`malah untuk kehidupan dunia. Ibadah kepada Allah ialah seperti mengerjakan prinsip-prinsip rukun Islam, rukun Iman dan penghayatan Al-Qur’an.
Mua`malah untuk dunia pula adalah seperti berkerja dan berkahwin dalam meneruskan hidup. Agama islam telah mengingatkan supaya berusaha mengecap kesenangan dan kekayaan untuk hidup. Tetapi ajaran Allah perlu diutamakan.
Berbanding dengan agama lain, mereka masih pergi rumah ibadat untuk mengadakan upacara keagamaan. Tetapi ibadat yang di lakukan amat jarang sekali masanya. Mungkin mereka hanya mengingati tuhan pada masa dan ditempat yang tertentu sahaja. Tidak pula bagi agama islam, penganutnya mestilah mengingati Allah sepanjang masa. Tidak hanya mengingat Allah di rumah atau di masjid. Sebab itu islam telah mensyariatkan kepada penganutnya untuk mengerjakan solat 5 waktu(rukun Islam kedua). Solat bukan sahaja boleh dilakukan di masjid, tetapi di mana-mana sahaja kawasan yang selamat dan bersih.
Bagi seseorang yang sengaja meninggalkan solat dalam keadaan sihat dan mampu, hukumnya adalah berdosa besar. Melainkan dengan sebab yang tertentu. Puasa juga wajib ditunaikan kerana ia menahan diri seseorang dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran. Kedua jenis ibadah yang disebutkan adalah antara yang penting dilaksanakan.
Apabila kita mengkaji semula, perlunya ibadah yang kerap supaya kita mengingati Allah sepanjang hari bermula Subuh(pagi) hinggalah ke Isyak(malam).
Tidak patut mengingati Tuhan pada masa dan tempat yang tertentu sahaja seperti yang diamalkan oleh agama kristian cuma mengingati tuhan di gereja dan pada hari sabtu sebagai hari tertentu.
Tuhan mestilah di ingati sepanjang masa dan bukan sementara! Mengapa ? Ini kerana Tuhan itu Maha Pencipta, Dia yang menghidupkan dan mematikan segala-gala makhluk.
Kehidupan yang perlu dititik beratkan melalui cara hidup mestilah berlandaskan Al-Qur’an sepenuhnya. Kesimpulannya, penerimaan Al-Qur’an mestilah diterima secara keseluruhan, bukan sebahagian sahaja yang perlu diamalkan. Mungkin sesetengah penganut islam menerima ajaran islam sebagai identiti, dalam masa yang sama ia tidak menerima hukum islam sebagai tuntutan agama. Alasan mereka, tiada paksaan dalam memeluk islam. Ini hanya munasabah jika seseorang bukan islam bertanya tentang agama. Memang tiada paksaan untuk memeluk agama islam, tetapi apabila kita telah pun islam semua syariat mesti diikuti samada suka atau tidak.
Islam bukannya agama kuno yang primitif seperti dakwaan sesetengah orang. Setiap hukum yang Allah turunkan menerusi Al-Qur’an adalah untuk kebaikan manusia sendiri.
Malang sekali apabila islam dipandang sebagai agama yang bercorak ganas dan kejam. Contohnya, hukuman bagi penzina atau perogol menurut Al-Qur’an, hukuman yang dikenakan ialah direjam atau dibaling batu sampai mati. Memang manusia yang cetek akalnya akan berkata "kejam". Jika ia dipandang dari kebaikannya, hukuman ini adalah amaran dari Allah. Apabila hukuman ini dilaksanakan, manusia pastinya terfikir sebelum melakukan maksiat. Penegasan ini sangat penting kerana ia akan mengurangkan masalah jenayah rogol dan zina. Lihatlah apa yang berlaku hari ini, penzinaan bebas menyebabkan wujudnya pelbagai jenayah seks. Apabila tiadanya kedaulatan syaria`h, semakin galaklah aktiviti perzinaan ini dan kadar ini semakin bertambah. Begitu juga dengan hukuman bagi orang yang mencuri, mereka ini mesti dipotong tangannya bersama saksi yang sah. Memang tidak dinafikan ramai yang bersimpati jika pesalahnya dijatuhi hukuman potong tangan ini.
Mungkin orang ramai berasa kasihan melihat akan nasib si pencuri yang akan atau telah dipotong tangannya. Apabila berasa simpati maka ramailah yang menolak hukuman ini. Apabila hukuman ini ditolak maka sipencuri tidak pula takut mengulanginya. Tetapi bagaimana pula dengan mangsanya? Majoritinya mangsa pencuri akan setuju jika penjenayah ini dihukum. Lebih jelas jika dikatakan bahawa mangsa mahu perbuatan dibalas semula dengan hukuman yang setimpal. Bagi mereka(mangsa) tiada lagi simpati untuk pencuri. Golongan seperti pencuri menyusahkan sahaja kita. Fikirkan semula jika ramai yang bersimpati diatas hukuman mencuri, maka bertambah ramailah menjadi pencuri kerana tidak takut hukumannya.
Hukuman ini telah Allah turunkan untuk keselamatan manusia. Semua hukuman bukannya sengaja dibuat dan direka, hukuman ini adalah sebagai amaran Allah kepada manusia supaya menjauhi kemungkaran atau kejahatan. Allah bukannya kejam kepada hambanya. Setiap hukuman yang ditentukan adalah yang terbaik. Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana, mengetahui semua perkara yang telah, semasa dan akan berlaku.
Islam tidak terletak dalam soal hukuman syariah sahaja. Ia merangkumi hubungan antara manusia dengan Allah serta manusia, ekonomi, politik dan pendidikan. Penghayatan islam sangat luas serta membentuk ketamadunan yang seimbang lagi terbaik.

11) Islam Sebagai Ad-Din

Apakah makna ‘ad-din’? Apakah makna ‘syariat’? Dan apakah perbezaan antara ‘Din’ dan ‘syariat’? Makna ‘ad-din’,yang selalu kita jadikan wirid selepas kita menunaikan sembahyang. Antara wirid kita itu ialah daripada Surah Al-Imran ayat 19 yang bermaksud, “Sesungguhnya ad-din di sisi Allah hanyalah Islam. ”
Malah dalam Surah Al-Imran itu sendiri, kita bertemu dengan banyak ayat yang menyentuh tentang persoalan addin. Antaranya, pada ayat 85 yang bermaksud; “Barang siapa yang mencari selain daripada Islam sebagai ‘Din’nya, maka tidak akan diterima daripadanya, dan menjadi golongan orang yang rugi di negeri akhirat kelak. ”
Ataupun kita lihat dalam Surah Al-Bayyinah di akhir ayat ke 5 yang bermaksud;
“Itulah dia ‘Din’ yang lurus. ”
Dan ada banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan kepada kita akan perkataan ‘ad-din’ itu sendiri, samada dalam hadis Rasulullah s.a.w. mahupun dalam Al-Qur’an.
Kalimah ‘ad-din’ itu juga, yang difahami dengan agama Islam itu, Sebagaimana yang diberitahu oleh Allah bahawa tidak ada ‘Din’ melainkan Islam; ia perlu dibahas secara umum. Maksudnya, ulama mengajar kita bahawa yang dimaksudkan dengan ‘ad-din’ itu, bukan hanya sekadar ugama. Yakni, maksudnya dalam konsep kepercayaan dan penghambaan. Tetapi dihuraikan dengan begitu jelas dalam bab ini, apa dia ‘addin’ itu. Antaranya;
i) Pertamanya ialah ketundukkan, penghambaan dan penyerahan. Maknanya, setiap makhluk, baik dia manusia ataupun tidak, dia mesti tunduk dan menjadi hamba kepada Allah s.w.t. Termasuk juga menyerahkan urusan hidupnya kepada Allah s.w.t. Maksudnya ‘menyerahkan urusan hidupnya’ ialah dia tidak ada hak dalam perkara yang telah ditentukan oleh Allah. Manusia hanya boleh menyerahkan urusan itu kepada Allah s.w.t. sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Qur’an dan hadis junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Sebab itu, manusia tidak ada hak untuk membatalkan penghambaan itu. Jadi, inilah yang dimaksudkan dengan makna yang pertama, yakni ‘ketundukkan, penghambaan dan penyerahan’ kepada Allah secara dzon(keyakinan menyeluruh) dan secara mutlak; yang tidak ada ditengah-tengahnya perasaan syak, ragu-ragu atau bimbang terhadap penyerahan kepada Allah s.w.t.
Sebab itu, dalam Al-Qur’an, kita akan bertemu dengan ayat-ayat Allah yang mengajar kita bahwa bukan kita sahaja manusia yang sujud kepada Allah, tetapi makhluk-makhluk yang lain juga, yang tidak ada nyawa dan yang tidak ada akal yang dicipta oleh Allah itupun, tunduk dan menyerah kepada Allah. Sebagai contoh daripada ayat-ayat Al-Qur’an itu ialah Allah berfirman,
“Dan pokok-pokok kayu, tumbuh-tumbuhan; semua mereka itu sujud kepada Aku. ”
Inilah yang dikatakan sampai kepada peringkat pokok-pokok kayu dan tumbuh-tumbuhan pun sujud kepada Allah, yakni mereka juga patuh kepada prinsip qada ketentuan Allah yang menjadikannya sebagai tumbuh-tumbuhan. Ini juga adalah makna ‘ad-din’ yang dibahas oleh para ulama.
Kemudian firman Allah dalam Surah Al-Imran :ayat 82 yang bermaksud;
“Apakah kamu nak cari agama selain daripada Islam? Apakah kamu nak batalkan ketundukkan kamu kepada Allah? Sedangkan, telah tunduk seluruh penduduk langit dan bumi kepada Allah, samada secara sukarela ataupun terpaksa. Dan kepadaNyalah(Allah) kamu semua akan kembali. ”
Allah beritahu, jangankan kita yang kerdil ni, tetapi matahari yang besarnya berpuluh-puluh kali ganda daripada bumi yang dipijak ni pun, dia juga adalah islam dan memahami erti ‘ad-din’, yakni menyerah patuh kepada Allah s.w.t. Dalilnya boleh kita lihat dalam Surah Yasin:ayat 38-40 yang bermaksud;
“Dan matahari itu, beredar ia mengikut undang-undang peraturan. ”
Maksud ayat ini, sewaktu penciptaan matahari, Allah telah pun menetapkan undang-undang untuk matahari; seperti bagaimana matahari beredar, bagaimana matahari akan terbit atau terbenam. Dan bila ia akan hilang, kemudian kelihatan pula bulan. Semua peraturan ini sudah tertercatat dalam kekuasaan(Qodrat) dan kehendak(Irodat) Allah s.w.t.
Sambungan ayat tadi;
“Dan bulan itu, Kami menentukan pula tempat turun/naiknya. Sehinggakan kamu melihat bulan itu menjadi seperti bulan sabit. Kesemua makhluk ini; samada bintang, bulan atau matahari, mereka beredar di atas satu jangkamasa yang boleh kamu hitung(ilmu falaq). ”
Sebab itu, bila kita melihat bagaimana akibat daripada ketundukkan matahari, bulan dan bintang ini kepada kehebatan Allah s.w.t, maka barulah ahli-ahli sains boleh meletakkan jangkaan mereka. Seperti bilakah akan berlakunya gerhana matahari, bilakah akan berlakunya gerhana bulan; sehinggakan dapat disiarkan melalui media-media bahawa pada sekian-sekian tarikh; maka matahari, bulan dan bumi, akan berada di atas satu garisan, maka inilah yang dinamakan ‘gerhana matahari atau bulan’. Oleh itu, apabila ahli-ahli sains menjangkakan berlakunya pada suatu tarikh, gerhana akan berlaku, maka kita pun tunggu dan bila tiba pada tarikh yang dijangkakan, ia berlaku! Mengapakah jangkaan ahli-ahli sains itu boleh berlaku tepat pada masa yang dijangkakan? Sebab, bulan & matahari, tidak mempunyai nafsu yang menganggu gugat kepatuhan atau melanggar perintah Allah. Jadi, inilah yang menunjukkan kepatuhan/ketundukkan/penghambaan makhluk kepada Allah, maka inilah apa yang dimaksudkan dengan ‘ad-din’.
Manakala dalam hal berlawanan pula, kita akan lihat bagi orang-orang yang tidak patuh atau tidak menjadikan dirinya suatu bentuk penghambaan kepada Allah, maka nescaya kita akan dapati bahwa antara mereka, ada yang akan menjadikan nafsu pula sebagai tempat untuk mereka menghambakan diri. Perkara ini telah pun dinyatakan di dalam Al-Quran, iaitu dalam Surah Al-Qamar ayat 3 yang bermaksud;
“Dan mereka itu mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka mengikut akan hawa nafsu mereka. ”
Maksud Firman Allah itu bahawa sudahlah mereka mendustakan ayat-ayatNya, kemudian diikut pula hawa nafsu mereka sendiri. Tetapi yang paling bahayanya ialah apabila mereka tunduk kepada nafsu dalam perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Apabila kita faham betul-betul apa itu islam, maka tidaklah lagi kita ditipu oleh jin, syaitan dan manusia(munafik). Telah jelas, perbuatan syaitan untuk meragukan kita terhadap agama Allah s.w.t. Maka, inilah kesan daripada tidak lahirnya ketundukkan kepada Allah s.w.t.

Ternyata dalam dekad-dekad mutakhir ini ramai kalangan umat islam yang gagal dan tidak berupaya untuk menanggapi tasawwur islam itu secara tepat. Hal ini membawa kepada gejala salah faham terhadap islam dan membawa kepada pudarnya islam dalam pemikiran kebanyakkan masyarakat islam hari ini. Bagi mengukuhkan kembali kefahaman dan keyakinan masyarakat islam terhadap tasawwur yang sebenar tentang islam, maka perlu diperjelaskan menghuraikan secara mudah difahami apakah pengertian islam dari sudut konsepsi atau tasawwurnya. Definasi dan interpretasi seumpama ini perlu diketengahkan dalam masyarakat islam kerana wujudnya salah fahaman kian menular hari ini terutama dikalangan generasi muda akibat dari tidak jelasnya tasawwur islam yang sebenarnya.
Islam adalah ad-din yang yang bersifat global dan syumul yang pengajarannya terlalu luas. Oleh itu dalam memahami konsep ajaran yang sebenarnya ia memerlukan kepada pemahaman yang mendalam dari berbagai aspek.
Dalam Al Qur’an Allah s.w.t. telah memberikan banyak takrifan kepada islam, demikian juga Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis baginda. Pengertian islam disifatkan sebagai ad-din seperti firman Allah;
“dan Aku telah redhakan islam itu menjadi ugama untuk kamu. " Surah Al Maidah Ayat ; 3
Namun demikan rata-rata hari ini islam hanya difahami dalam bentuk perkara ibadat khusus sahaja terutama menyentuh persoalan yang terdiri dari rukun yang lima. Sesungguhnya satu kesilapan yang besar kepada sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa islam itu hanya terdiri dari rukun yang lima sahaja. Bahkan islam lebih luas dari itu yang mencakupi segenap bidang aqidah, syariah, akhlaq, mua`malah, siasah serta ibadahnya. Bagi menjelaskan dan memudahkan untuk mendapat gambaran konsep dan pengertian islam yang sebenarnya maka dipetik beberapa pentakrifan dan pengertian yang diberikan oleh para ulama islam antaranya:
Sebagai satu agama, Islam terdiri di atas asas ketundukan dan kepatuhan yang menyeluruh kepada Allah. Walaupun tafsiran ini terlalu pendek dan ringkas untuk dianggap sebagai satu tafsiran yang sempurna dan lengkap, namun ianya cukup untuk menjelaskan tasawwur bahawa islam itu ialah 'din Allah yang maha sempurna untuk manusia. Oleh itu seorang muslim yang sebenar ialah yang menjuruskan segala ketundukan dan kepatuhan serta penyerahan diri hanya kepada Allah sehaja yang dijelmakan melalui pemikiran, sikap serta tindakan dalam seluruh kehidupannya.
Al Imam As Shahid Sayyid Qutub, beliau menegaskan bahawa islam itu adalah manhaj Ilahi kepada kehidupan manusia. Sementara Afzalur Rahman pula ketika menjelaskan pengertian islam manyatakan, kalimah islam bermakna ketundukan kepada Tuhan. Ianya memberikan makna penerimaan yang menyeluruh dan perlaksanaan(implementation) kepada seluruh perintah Allah. Islam dari sudut litteralnya bermakna keamanan(peace). Oleh itu secara falsafahnya, islam menekankan kedua-dua aspek iaitu kepatuhan kepada perintah Allah dan keamanan apabila melaksanakan perintah Allah. Kepatuhan ini juga akan membuahkan ketenangan spritual(roh) kepada individu dan secara kolektifnya kepada masyarakat serta jaminan ketenangan abadi di akhirat.
Al Bayuni dalam kitabnya(Min Mahasin Al Islam), menjelaskan islam dengan erti tunduk patuh kepada Allah serta menerima rela segala dasar-dasar hukumnya. Oleh itu seorang muslim yang sebenar beramal dengan apa yang disuruh dan menjauhi segala larangan serta tunduk patuh kepada segala hukum hakamnya dan berhukum kepada-Nya dalam segala perkara. Takrifan ini dibuat berdasarkan firman Allah;
“Maka demi Tuhanmu(wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”.
Surah An Nisa ayat; 65

Dan firman Allah lagi
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat":
Surah An Nur ayat; 51
Abdul Razzaq Naufal pula memberikan takrifan yang agak umum tetapi menyeluruh iaitu islam ialah oposisi kepada Jahiliah dalam bentuk dan aspek. Islam adalah ketenangan, tunduk patuh serta keimanan yang menyeluruh kepada Allah serta beramal dengannya. Islam mengiktiraf persamaan(equality) antara manusia dari sudut hak dan kewajipannya. Islam adalah dakwah kepada kesejahteraan juga mahabbah dan bukan seruan kepada kekerasan dan perperangan. Takrifan ini dibuat berdasarkan kepada firman Allah;
“Dan hamba-hamba(Allah) Ar-Rahman(yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”.
Surah Al Furqan ayat 63. ,

Firman Allah dalam surah Fussilat
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam(yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
Surah Al-Fussilat ayat ; 33
Sebahagian definasi mengenai islam yang telah berikan oleh beberapa tokoh ulama dan intelektual islam dalam usaha mereka untuk menjelaskan tasawwur islam ynag sebenarnya. Para ulama dan intelektual islam sebenarnya telah menyedari betapa tasawwur islam itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat umum. Mereka telah menyedari betapa islam itu perlu diberi interpretasi yang menyeluruh yang dapat menjawab segala permasalahan yang berlaku dalam dunia umat islam kini.
Melalui penjelasan umum sesungguhnya pengertian yang di kemukakan tersebut saling sempurna menyempurnai antara satu dengan lain. Kalau pun kita melihat pada lahirnya takrifan tersebut berbeza, ini tidak sekali-kali bermakna para ulama juga telah gagal dalam usaha mereka untuk memahami islam. Ini kerana mereka berada pada sudut yang berlainan yang tidak menafikan pandangan dari sudut yang lain. Hakikat ini juga menyedarkan kita akan keluasan dan kesempurnaan islam itu yang tidak mampu untuk dilukis melalui ayat dan bahasa yang terhad tetapi memerlukan kepada pengkajian serta pemahaman yang tepat dan mendalam.

12) Memahami Dasar-Dasar Aqidah Islam

Sebagai ad-din yang bersifat kesejagatan, intipati ajarannya menepati ciri-ciri fitrah semula jadi manusia, oleh yang demikian maka islam mempunyai prinsip-prinsip dan dasar aqidahnya yang bersifat fundamental, tetap dan unggul yang tidak berubah dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor masa dan tempat. Dasar-dasar yang menjadi batas pemisah antara iman dan kufur, antara islam dan jahiliah. Adalah menjadi dasar utama kepada keseluruhan ajaran islam terkandung kepad 3 prinsip asas ialah;
Pertama: Pengakuan keimanan, serta keyakinan yang 'jazam' terhadap kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. Islam adalah agama tauhid yang merangkumi 'uluhiyyah' dan 'rububiyyah' Allah s.w.t. Tauhid dalam erti menafikan segala bentuk penyekutuan(syirik) dalam apa jua bentuk, keadaan dan sifatnya, samada baik dalam bentuk I'tiqad atau pun dalam bentuk pengabdian. Firman Allah
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku(di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama-(yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".
Surah Al An'am ayat ; 162-163
Allah yang Esa adalah Tuhan yang pentadbir kepada seluruh perjalanan alam dan cakerawala dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Firman Allah
“Allah, tiada Tuhan(yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan(sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat(pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari(kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki(memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah(ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi(darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar(kekuasaanNya)
Surah Al Baqarah ayat; 255
Pengakuan keimanan adalah yang bermaksud beriman kepada Allah dan para malaikatnya dan para rasulnya dan kitab-kitabnya dan hari akhirat dan beriman dengan qada dan qadarnya dengan penuh yakin. Ini bererti penafian salah satu atau sebahagian dari ketentuan Allah s.w.t itu adalah bererti penafian kepada keimanan dan keislaman itu seluruhnya. Tidak ada ruang bagi seorang muslim untuk tidak menerima salah satu atau sebahagian dari rukun yang telah ditetapkan itu, membawa implikasi penerimaan yang menyeluruh kepada seluruh ketentuan Allah s.w.t. samada dari aspek perintah-Nya mahupun larangan-Nya.
Islam adalah agama yang menjadikan seluruh matlamat dari jiwa, pemikiran, perasaan dan perlakuan tunduk di bawah peraturan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Apa yang terkandung dalam pegakuan syahadah itu ialah, bahawa sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa atas segala kejadian, pentadbir yang Maha Esa atas setiap yang berlaku, hanya Dialah yang layak disembah dan ditawjjuh dengan penuh kepatuhan dan ketaqwaan.
Kedua:Prinsip asas keduanya ialah keimanan kepada Rasul sebagai pesuruh Allah kepada sekelian manusia. Malalui keimanan dan keyakinan kepada para Rasul, Allah s.w.t mengajar dan mendidik manusia bagaimana cara melaksanakan pengabdian kepada Allah. Nabi Muhammad s.a.w adalah penutup segala nabi maka akhlak dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah merupakan ikutan yang terbaik. Rasulullah mrngajar manusia tentang apa yang mereka tidak tahu mengenai perkara ghaibiah dan syamiyat. Serta menjelaskan kepada,manusia perkara yang benar dan sesat. Firman Allah;

“Dan sesungguhnya telah dating kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan(mukjizat) kemudian kamu menyembah(patung) anak lembu setelah peniggalannya, dan kamu adalah oragn-orang yang zalim.
Surah Al Baqarah ayat; 92
Melalui para Rasul, Allah s.w.t mengajar kepada manusia apa yang mereka tidak tahu. Firman Allah;
“Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
Surah Al 'Alaq, ayat; 5
Ajaran para Rasul ini bertujuan supaya manusia bersikap dan bertindak dalam batasan ketaatan dan menjauhi segala bentuk keingkaran dan kemaksiatan. Syariat yang disampaikan kepada manusia adalah merupakan panduan neraca untuk dijadikan sebagai neraca penilai buruk baik sesuatu perkara. Oleh yang demikan keimanan kepada Rasul adalah merupakan syarat mutlak yang kedua untuk menentukan keimanan dan keislaman seseorang itu. Firman Allah;
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah(s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya(bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Surah Al Hashr, ayat; 7
Ketiga :Perinsip seterusnyn seterusnya ialah keimanan kepada kitab. Keimanan kepada kitab ini membawa implikasi penerimaan seluruh sis kandungan seperti yang telah dihujahkan sebelum ini. Firman Allah;
“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu”
Surah An Nahl ayat 89 :
Sesungguhnya dalam Al Quran telah terkandung seluruh dasar dan asas syariat Allah s.w.t itu. Di sinilah juga terkandungnya rukun-rukun iman percaya kepada malaikat, percaya kepada hari akhirat dan seterusnya percaya kepada Qada dan Qadar. Maka jelaslah betapa detail dan sempurnanya hubung kait antara kesemua rukun iman itu yang di dalamnya terkandung seluruh falsafah keislaman. Penolakkan sebahagian dari Al Qur`an akan membawa implikasi terbatalnya keimanan dan mengundang bala Allah. Allah melarang umat islam mengikut jejak umat yang lalu yang hanya beriman sebahagian dan kufur sebahagian yang lain daripada isi kitab.
Firman Allah;
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian(dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?”
Surah Al Baqarah, ayat; 85

13) Kesimpulan

Islam yang kita anuti wajar dipelajari dan difahami secara mendalam, agar segala kekeliruan dapat dibendung. Islam menghendaki supaya seluruh ummah didunia ini selamat dan sejahtera. Oleh itu marilah kita menghayati dan beramal dengan ajaran islam. Semoga kehidupan kita mendapat keredhaan disisi Allah s.w.t. Insya Allah. Wallahu Aa`lam.

No comments: