Monday, April 14, 2008

Konsep al fallah menurut islam

KONSEP AL FALAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Al – Quran menjelaskan bahawa hidup manusia akan bersambung ke alam akhirat dan kesejahteraan manusia yang hakiki pula ialah keadaan yang memenuhi dua syarat ; ia mestilah memenuhi tuntutan – tuntutan kesatuan rohani – jasmani di dunia dan sekaligus mengakibatkan ke bahagian di akhirat. Ini bererti bahawa Islam mengenakan kaedah yang sama – bukan kaedah yang berbeza – untuk mencapai hasanah fi’d –dunya(kebaikan di dunia)dan seterusnya hasanah fi’l – akhirah( kebaikan di akhirat)


Konsep ini berbeza sekali dengan sebarang anggapan bahawa kesejahteraan manusia di dunia tunduk kepada peraturan – peraturan dunia yang lahir dari pengalaman dan kebijaksanaan manusia manakala kesejahteraan manusia di di akhirat tunduk kepada tuntutan-tuntutan rohani yang dipisahkan daripada tuntutan-tuntutan jasmani. Anggapan ini pada dasarnya, menolak kesepaduan dan kesatuan nilai – nilai moral– rohani dan nilai – nilai kebendaan. Dalam pemikiran tentang pembangunan atau modenisasi, anggapan ini membuka jalan seluas-luasnya kepada proses sekularasi yang
bercanggah dengan konsep dan kaedah kesatuan rohani – jasmani dan kesatuan nilai-nilai duniawi dan ukhrawi.

Keadaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan kesatuan rohani dan jasmani di dunia dan sekaligus mengakibatkan kebahagian di akhirat di dalam Al – Quran disebut sebagai Al – Falah. Ia membawa erti kepada kejayaan, keuntungan, kesejahteraan dan kemakmuran. Menurut pengarang kamus Arabic – English Lexicon yang terkenal, iaitu Stanley Lane, ‘ Tidak ada satu perkataan dalam bahasa orang Arab yang merangkumi pengertian tentang apa yang baik dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat daripada al – Falah. Untuk menjelaskan nilai al – Falah ini, di bawah ini diberikan maksud sebahagian daripada ayat – ayat Al – Quran yang menunjukkan keluasan ruang lingkup nilai tersebut.

1. “ Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian(pula) kepada fakir dan miskin dan orang – orang yang dalam perjalanan. Itulah lebih baik bagi orang – orang yang mencari keredhaan Allah dan mereka orang – orang yang mendapat kejayaan dan kesejahteraan “.
( surah Ar – Rum : 38)
2. . “ Apabila selesai solat,maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak – banyak supaya kamu beroleh kejayaan dan kesejahteraan. “(Surah Al – Jumu’ ah : 10)


Syarat – syarat utama untuk mencapai nilai al – falah berasaskan kepada ayat –ayat di atas dan beberapa ayat lain di dalam Al-Quran ialah :

i. Iman kepada Allahlah yang membuahkan perbuatan yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat.
ii. Taqwa kepada Allah, iaitu sikap sentiasa mentaati suruhan – suruhan Allah dan berwaspada terhadap setiap larangannya.
iii. Menunaikan kewajipan Allah dan kepada sesama manusia.
iv. Menjaga diri daripada menghabiskan masa dengan sia – sia.
v. Menjauhkan diri dari perbuatan – perbuatan yang diharamkan oleh Allah, seperti minum minuman yang memabukkan, berjudi makan riba dan menaruh kepercayaan kepada selain daripada Allah.
vi. Membersihkan hati nurani dan mendisplinkan diri daripada diganggu oleh nafsu syahwat.
vii. Bekerja untuk mencari rezeki tanpa melupai Allah.
viii. Mengorbankan harta benda dan masa pada jalan Allah.


i. Setiap insan mesti mengakui bahawa ia adalah seorang hamba Allah S.W.T. Allah menjadikan kita supaya kita dapat beribadat padaNya. Kita sebagai seorang Islam sepatutnya kuat mengerjakan amal ibadah, mengerjakan yang baik dan menjauhi yang mungkar agar kita tergolong di kalangan orang – orang beriman dan bertaqwa. Sebagai orang Islam kita mempunyai tanggungjawab yang besar iaitu menegakkan Islam sebagai cara hidup. Kita perlu menegakkan Islam sebagai cara hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Kita boleh berjuang atau berjihad “fiisabilillah” dengan berbagai cara. Sekurang – kurangnya kita berdakwah kepada orang sekeliling kita seperti ahli keluarga kita, rakan – rakan dan masyarakat.
ii. Kita sebagai umat Islam hendaklah mentaati segala suruhan Allah S.W.T. Iaitu dengan berpegang kepada agama Allah. Oleh itu kita sebagai orang Islam hendaklah memahami ajaran Islam yang telah dibawa dan telah disebar oleh Rasulullah menerusi Al – Quran dan sunnah Rasulullah. Kita mesti faham dan menghayati dan mengamalkan segala ajaran dengan keikhlasan hati agar segala amalan dan perbuatan kita mendapat keredhaa Allah. Kita hendaklah meninggal segala larangan yang diperintah oleh Allah agar kita menjadi hamba yang taat kepadaNya.

iii. Kita sebagai hamba hendaklah menunaikan kewajipan sebagai umat Islam seperti sembahyang. Sembahyang merupakan rukun Islam yang paling utama selepas syahadah. Ia diibaratkan sebagai tiang agama Tanpanya runtuh agama. Kita juga hendaklah menunaikan zakat. Seorang mukmin yang berjaya hendaklah menunaikan zakat agar dapat membantu masyarakat Islam. Oleh itu ia dapat membebaskan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Kita sebaga orang Islam hendaklah menunaikan janji. Bak kata pepatah Melayu “kerbau dipegang pada talinya, manusia berpegang pada janjinya. Maka jika kita hendak berjaya kita hendaklah berpegang pada janji.

iv. Apabila mempunyai masa lapang kita perlu menggunakan dengan baik seperti beribadat kepada Allah. Kita boleh membaca Al – Quran. sembahyang sunat, atau apa saja yang boleh mendapat keredhaan dari Allah. Kita perlu menjauhi perkara seperti mengumpat, memfitnah, menipu dan merosakkan kemudahan awam. Orang yang beriman pastinya tidak mempunyai masa untuk melakukan perkara yang tidak berfeadah kerana perkara tersebut tidak akan memberi apa – apa feadah untuk kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

v. Untuk mencapai kejayaan di dunia kita perlu menjauhi dari perbuatan – perbuatan seperti menzalimi anak yatim, minum arak, berjudi dan mempercayai sesuatu selain Allah S.W.T. Banyak hadis yang menjelaskan tentang kebaikan memelihara anak – anak yatim seperti :
Barang siapa yang menanggung anak yatim Islam di rumahnya yakni ia diberi makan dan minum( sama dengan makan dan minumnya), maka Allah akan masukkannya dalam syurga, kecuali jika ia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni. (H. R Tarmizi, 300 hadis Drs. Moh Rafai 1973).


vi. Syaitan merupakan musuh utama. Selagi ada hayat dikandung badan dan an selama iman masih bertakhta di dada selama itu ia tetap merasuk. Iblis, ketua segala syaitan telah bersumpah sebagaimana di ceritakan oleh Allah di dalam Firman-Nya : Demi kemulian-Mu(Allah) akan aku perdaya mereka(anak Adam) semuanya kecuali para hamba – Mu yang ikhlas dikalangan mereka. (Surah Shaad 38:82,83)

Oleh kerana sumpah bapa segala syaitan ini, maka mukmin hendaklah berwaspada terhadap syaitan dari musuh – musuh yang lain sebab syaitan musuh yang bukan yang paling bahaya. Firman Allah S.W.T : “ Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu maka anggaplah ia benar – benar musuh. Sesungguhnya sekutu – kutunya menyeru supaya mereka dan kamu menjadi ahli neraka “. (Surah Fathir 35:6). Selain syaitan untuk membersihkan hati nurani kita hendaklah menjauhi daripada kebejatan dan keliaran nafsu yang tertanam di dalam diri sendiri. Orang yang tewas di medan pertempuran dengan nafsu sendiri tidak akan berjaya di dalam medan yang lain sebagaimana ditegaskan firman Allah S.W.T. yang bermaksud : ”Adapun orang yang yang takut akan Makam Tuhannya dan mencegah dirinya dari menurut nafsu, maka syurgalah tempat kembalinya “. (Surah An –Nazi ‘: 79:40:41). Jadi orang yang mendisiplinkan diri hendaklah memenangkan dirinya dalam peperangan dengan nafsu.

vi. Kita perlu menilai kita yang memberi kita rezeki untuk menampung keperluan diri,dan lain – lain. Kita perlu tentukan bahawa sumber rezeki dari hasil yang halal. Apayang penting dalam pekerjaan kita adalah untuk mendapat keredhaan Allah iatu kerja yang bermanfaat dan bukan kerja yang bersubahat dengan kemungkaran. Jauhkan riba, rasuah. perjudian dan lain – lain hasil haram. Makan dan memberi makan keluarga dengan hasil atau rezeki yang haram makan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Tentang rezeki yang diberikan oleh Allah, kita mesti ingat bahawa hanya sebahagian daripadanya adalah untuk menampung kehidupan kita dan keluarga dari segi makanan, pakaian dan tempat berteduh, dan sebahagiannya kita perlu simpan untuk masa hadapan, untuk perlindungan kita serta keluarga. sebahagian lain untuk keperluan modal bagi perusahaan pertanian atau perindustrian manakala sebahagian yang lain lagi bagi menanggung dan menolong orang – orang yang sakit, fakir miskin anak – anak yatim, orang – orang yang memerlukan bantuan akibat menanggung hutang. kita perlu membantu mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam, iaitu untuk berjihad “ fiisabilillah”. Melaksanakan tanggungjawab untuk berzakat dan bersedekah adalah penting dalam Islam. Kita mesti agihkan serta menguruskan kewangan kita dengan bijak supaya mendapat keredhaan Allah.
vii. Apabila berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan kita hendaklah mengorbankan segala harta pada jalan Allah. Dengan harta yang banyak kita boleh menolong orang yang memerlukan pertolongan. Ini dapat mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa dan beriman kepada Allah S.W.T.

Dalam ayat Al – Quran menunjukkan bahawa perbuatan – perbuatan zalim, kufur nikmat, mermpersekutukan kuasa – kuasa lain dengan kuasa Allah( syirik) takabbur, melanggar perintah – perintah Allah, tidak percaya kepada kekuasaan Allah, memilih jalan yang disukai oleh syaitan, melakukan segala macam kerosakan di darat, laut,dan udara dan lupa kepada Allah – semua perbuatan ini tidak akan membawa kepada Al-Falah. Sebaliknya ia akan membawa kepada khusran(kerugian yang hakiki). ( Lihat surah al-Baqarah : 64; al-An’am : 21, 21 ; Yunus : 17 ; al – Mu ‘minum : 117).

Nilai al-Falah yang lebih banyak menekankan perlakuan moral manusia ini tidak menafikan sama sekali kepentingan keperluan – keperluan manusia dalam aspek kebendaan. Ajaran Islam yang terkandung di dalam Al – Quran, hadis, dan riwayat hidup sahabat – sahabat Nabi Muhammad S.a.w memberi tempat yang wajar kepada keperluan – keperluan asas yang bersifat kebendaan dan fizikal. Tetapi Islam tidak menjadikan keperluan – keperluan itu sebagai tujuan terakhir bagi perlakuan perseorangan dan kolektif. Dari perspektif sistem nilai Islam adalah sangat keliru bila orang memperkatakan tentang kesejahteraan dan mutu hidup hanya merujuk kepada faktor – faktor pendapatan percapita, peralatan dalam rumah dan lain – lain. Islam mengakui perkara-perkara tersebut mustahak, tetapi ia tidak memisahkannya daripada persoalan – persoalan moral – kerohanian yng ditimbulkan oleh manusia.

Dari perspektif Islam, pengabdian nilai – nilai moral – rohani yang tertentu dalam persoalan – persoalan ekonomi atau politik akan mengundang akibat – akibat yang buruk dalam kehidupan manusia baik secara individu atau masyarakat kerana perbuatan itu bertentangan dengan ketentuan – ketentuan Ilahi(sunnahtullah) yang mengatur kehidupan manusia dalam semua keadaan. ( Lihat pada surah al –Ahzab(33) : 62 ; Fathir(35): Al-Falah(48) : 23). Perspektif Islam dalam hal ini hampir sama dengan pandangan Professor Jeffreys dalam bukunya Personel Values in the Modern World yang berbunyi :

“Our World is full of contradiction. If your problems were technical problems, there would be some reason for believing the millienun to are fundamentally moral problems – and moral problems of which we can for the most part see no clear solution – that life in this age is so puzzling. Material standards of living were never worse. Housing, however imperfect, has never been better ; yet for many people the home has never meant less. We have unprecedented control over our material environment, and at the same time unprecedentedanxiety about the possiblitty of rationally governing human behaviour. ”

Menurut Islam, hidup manusia di dunia ialah satu masa ujian daripada Allah. Maka Allah telah menetapkan formula yang tertentu untuk mencapai Al – Falah dan mengelakkan daripada al-Khusran dalam kehidupan, di dunia dan di akhirat. Formula itu secara ringkas ialah integrasi – integrasi nilai – nilai iman, taqwa,amal salih,bersyukur, ibadah, dan meninggalkan segala larangan Allah. Di dalam Al – Quran terdapat banyak sekali ayat – ayat yang menunjukkan kesan – kesan positif dari keredhaan Allah( ridwan Allah) dan kesan – kesan negatif dari kemurkaan Allah( ghadab Allah) di dalam kehidupan dunia. Esensi daripada peranan Allah itu dilihat daripada tiga ayat yang bermaksud seperti berikut :

1) “ Jikalau sekiranya penduduk kota – kota itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akanlimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan(ayat – ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka kerana apa yang telah lakukan. ”(Al-A’raf)(7) : 96)
2) “ Dan(ingatilah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan : ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari(nikmat – mu), maka sesungguhnya azab – Ku sangat pedih. ”(Ibrahim(14): 7)
3) “ Dan barang siapa berpaling dari peringatan –mu maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit( menyulitkan), dan Kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta. ( Taha(20) : 124)

Maka untuk mendapat keredhaan Allah, marilah kita mengamalkan konsep al-Falah dalam kehidupan seharian agar matlamat dan visi kita tercapai.

No comments: