Amanah manusia terhadap Allah SWT

PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk Allah SWT. yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain. Firman Allah SWT. dalam surah al-Tin ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. ”

Oleh sebab itu, sebagai khalifah Allah di muka bumi ini yang mempunyai segala keistimewaan manusia mempunyai tanggungjawabnya yang tertentu. 
Tanggungjawab ini termasuklah terhadap:
1. Allah
2. Diri sendiri
3. Keluarga
4. Masyarakat
5. Negara
6. Alam

TANGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP ALLAH SWT. 

Kenapakah aku diciptakan?Apakah tugasku di dalam kehidupan ini?Apakah risalahku di dalam kehidupan ini?

Demikian persoalan-persoalan yang wajib bagi setiap insan yang dikemukakan kepada dirinya dan di fikirkan masak-masak. 

Pada dasarnya, tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah SWT. ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepadaNya. 
Peranan dan tanggungjawab ini terkandung dalam Firman Allah SWT. yang bermaksud:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka
mengabdikan diri kepada-Ku. ”*

Kita telah mengetahui sepertimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Taimiyyah bahawa agama keseluruhannya adalah ibadat. Kita telah ketahui bahawa agama dating dengan melakarkan system manusia yang zahir mahupun batin, menentukanetika perilaku dan hubungannya berdasarkan petunjuk yang di bawa oleh “Manhaj Ilahi”. Jika kita ketahui semua itu, kita pasti juga ketahui bahawa peribadatan kepada Allah adalah meliputi seluruh kehidupan dan ia menyusun semua urusan bermula dari adab makan dan minum serta menunaikan hajat sehingga membina negara, urusan politik pemerintahan, pengurusan ekonomi, sector muamalat dan penghukuman dan prinsip-prinsip hubungan antarabangsa semasa damai atau peperangan. 
Ibadah kepada Allah bukan sahaja meliputi solat, puasa, sedekah, haji, zakat dan umrah. Tetapi, ibadat juga meliputi hubungan dengan akhlak dan tatasusila, atau peraturan dan perundangan atau adat dan budaya. 

Syiar-syiar yang agung ini serta rukun-rukun asas dalam binaan Islam ini (sekalipun kedudukan dan kepentingannya besar) hanyalah merupakan sejuzuk dari peribadatan kepada Allah. Ia bukanlah merupakan keseluruhan ibadat yang di tuntut oleh Allah dari kalangan hamba-Nya. 

Sebenarnya, skop ibadah yang merupakan tujuan Allah menjadikan manusia dan dijadikannya sebagai matlamat kehidupan serta tugasnya di atas permukaan bumi adalah lapang dan luas. Ia meliputi semua urusan manusia dan meliputi semua aspek kehidupan manusia. 

TANGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP DIRI SENDIRI

Tanggungjawab Peribadi Seseorang

Sekalian orang harus menyedari tanggungjawabnya nanti di hadapan Allah. Tanggungjawab ini nanti akan ditanya, akan diproses di pengadilan Allah, iaitu pengadilan yang akan mengadili dengan seadil-adilnya. Tiap-tiap orang itu akan mempertanggungjawabkan di hadapan Allah segala amal perbuatan yang dibuatnya di dunia ini. Tanggungjawab ini bersifat peribadi, tidak boleh di pikulkan kepada orang lain, dan tidak boleh melarikan diri. Berfirman Allah di dalam al-Qur’an :

“Jagalah dirimu, tiada orang yang sesat mendatangkan kemudaratan
kepadamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk. ”*

“Tiap-tiap orang yang berbuat dosa itu jangan (disangka bahawa dosa itu) 
tidak akan kembali kepadanya. Dan seseorang yang berdosa itu tidak
akan memikul dosanya orang lain. ”*

“Hai umat manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu dan takutlah
kamu kepada suatu hari (yang pada hari itu) bapa tidak dapat menolong
anaknya, dan sang anak pun tidak dapat menolong bapanya, sekalipun
sedikit. ”*

Dalam ayat-ayat tersebut dapat kita lihat bahawa tiap-tiap diri peribadi orang itu bertanggungjawab terhadap amal perbuatannya itu selama dia hidup dialam dunia ini. Di sana seseorang itu tidak dapat menyerahkan tanggungjawabnya itu kepada orang lain agar dia terhindar dari api neraka. 
Sebenarnya tiap-tiap orang boleh selamat dari bencana kejahatan dengan menjauhkan diri dari bencana tersebut. Begitu juga bila mana terlanjur mengerjakan kejahatan umpamanya, maka hal ini dapat dibetulkan kembali dengan taubat kepada Allah. Bilamana sudah bertaubat, maka kejahatan itu telah dihapuskan. Kita disuruh bertaubat, sama ada taubat itu diterima Allah atau tidak terserah kepada Allah. Itu bukan urusan kita. 

Hindarkanlah diri daripada kejahatan dan dosa. Lebih baik menghindarkan diri dari penyakit daripada mengubat yang sudah sakit. Apabila terjerumus kepada kepada perbuatan yang dilarang Allah, mahu tidak mahu, pasti berdosa. Lebih baik menghindarkan diri dari dosa daripada bertaubat bila terlanjur. 

Hanya diri sendirilah yang menanggung risiko perbuatan yang telah dilakukan. Akibat pembalasan dari amal baik dan perbuatan buruk di dunia hanya yang mengerjakannya yang akan menanggung akibatnya. Oleh sebab itu, tiap-tiap orang itu harus menyedari bahawa tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya di dunia harus dilaksanakan sebaik-baiknya dan tindakannya itu harus sesuai dengan perintah Allah. Tidak ada orang lain yang akan menanggung risiko perbuatan kita selain dari diri sendiri. Yang buruk diri sendiri yang akan tanggung dan yang baik diri sendiri juga yang akan tanggung. 

Selain itu, individu juga hendaklah menuntut ilmu seberapa banyak yang mungkin, tidak kira ilmu dunia mahupun ilmu akhirat. Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan dapat membezakan antara yang hak dan yang batil, baik dan buruk dan yang mana perlu di dahulukan dan dikemudiankan. Ilmu yang perlu diberi perhatian dan penekanan adalah meliputi ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP KELUARGA

1. Tanggungjawab Ibubapa Terhadap Anak-anak

A) Membesarkan Anak-anak

Pemeliharaan anak-anak menjadi kewajipan ibu, dan ayah, mereka hendaklah melaksanakan tanggungjawab ini dengan cara bekerjasama. Pemeliharaan anak-anak melibatkan dua tugas besar :
1. Memberi makan dan minum serta membesarkan anak-anak. 
2. Berbelanja dalam membesarkan mereka. 
Tugas pertama ialah menyusu, memberi makanan dan perlindungan supaya mereka boleh hidup dan membesar untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab. 
Tugas kedua pula mengkehendaki ibubapa menanggung semua perbelanjaan anak-anak mereka sehingga mereka dewasa. Ini termasuklah makanan, pakaian, 
Kesihatan, pelajaran dan lain-lain lagi. 

B) Mengasihi Anak-anak

Salah satu tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak ialah mengasihi dan memberikan sepenuh cinta dan kasih saying. Perasaan kasih kepada anak-anak telah ditanam oleh Allah SWT. dalam hati ibubapa. Ini menunjukkan betapa pemurahnya, bijaknya dan Agungnya Allah SWT. 

Dalam membesarkan anak-anak, ibubapa Muslim bukan sahaja merasakan yang ini adalah tanggungjawab semulajadi tetapi sebagai satu kewajipan “Deeniah”, satu “Sunnah”Rasullullah SAW. dan para sahabat r. a. Bagi mereka, mengasihi anak-anak bukanlah cuma hendak memenuhi keinginan mereka tetapi ini adalah cara mereka mendapat keredhaan Allah dan Rasul-
Nya, dan mendapat ganjaran di akhirat kelak. 

Ibubapa Muslim juga hendaklah tidak mengasihi anak-anak mereka secara membuta tuli. Tetapi, hendaklah berdasarkan kepada suruhan-suruhan Islam dan tidak mengambil langkah-langkah yang akan membahayakan mereka dan anak-anak mereka. 

C) Membina Akhlak Anak-anak

Untuk menjadikan anak-anak berjaya menurut prinsip-prinsip Islam, ibubapa hendaklah melatih dan mendidik mereka dengan bersungguh-sungguh. Ibubapa hendaklah melaksanakan kewajipan dengan bijaksana, kasih saying, sabar dan tekun. 

Rasullah SAW. bersabda:

“Hadiah yang paling baik yang ayah boleh berikan kepada anak-anaknya
ialah pendidikan dan akhlak yang baik. ”

Rasullah SAW. mendorong ibubapa supaya menyuruh anak-anak mereka mempelajari dan mengamalkan kitab suci al-Qur’an kerana mereka akan diberi ganjaran oleh Allah. Ini supaya tidak ada anak-anak yang kurang mendapat pendidikan Islam. 

D) Menjaga Perasaan Anak-anak

Hadzrat Abdullah bin Abbas r. a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda :

“Berbuat baiklah kepada anak-anakmu dan berilah pelajaran yang sempurna kepada mereka. ” (Ibnu Majah). 

Disini Rasulullah SAW. bukan sahaja menyuruh ibubapa memberi pelajaran dan melatih anak-anak tetapi juga berbuat baik terhadap mereka. ’Berbuat baik’ bererti kelakuan ibubapa tidak boleh mencederakan ego dan harga diri anak-anak, dan anak-anak tidak merasa yang mereka tidak berguna, keras hati, ketegasan yang melulu dan sikap pahit ibubapa menjadikan anak-anak mereka mangsa rendah diri. 

Sifat ibubapa yang tidak baik dan tidak berperasaan seringkali menjadikan anak-anak memberontak, degil dan ganas. Anak-anak seperti ini mula membenci ibubapa mereka dan bila mereka mendapat peluang menyusahkan ibubapa, mereka akan menggunakan peluang ini. Apabila besar anak-anak ini menjadi liar. Ini menunjukkan bahawa ibubapa adalah pembina dan juga peruntuh akhlak anak-anak mereka. 

E) Memberikan Pendidikan Terhadap Anak-anak

Pendidikan bermula sejak anak itu dilahirkan. Beberapa tahun pertama itu amat penting dan ini dipanggil masa pembentukan. Tujuan membacakan azan di telinga bayi yang baru dilahirkan ialah untuk menanam kebesaran dan keagungan Allah ke dalam jiwanya. 

2. Tanggungjawab Anak Terhadap Ibubapa
 (Semasa Ibubapa Masih Hidup) 

 (a). Berbakti Kepada Ibubapa

Erti berbakti kepada ibubapa ialah berbuat ihsan (berbuat baik) kepadanya dengan menyelesaikan atau menunaikan yang wajib atas si anak terhadap ibubapa, baik dari segi moral mahupun spiritual, yang sesuai dengan ajaran Islam. 
Tanggungjawab dan hak anak ke atas orang tua yang harus di penuhi ialah :
 (1) Apabila ia menghajati makanan, maka hendaklah dipenuhi. 
 (2) Apabila ia menghajati pakaian, maka hendaklah diberikan. 
 (3) Apabila ia berhajat kepada perkhidmatan, hendaklah dilaksanakan. 
 (4) Apabila ia memanggil kita, hendaklah kita menjawab (menyahut) dan kita
datang. 
 (5) Apabila ia menyuruh, hendaklah kita taati suruhannya selagi tidak
bertentangan dengan Islam. 
 (6) Lemah-lembut ketika bercakap dengannya. 
 (7) Memanggilnya dengan panggilan yang menyenangkan. 
 (8) Berjalan di belakangnya. 
 (9) Menyukai untuk keduanya apa yang kita sukai untuk kita sendiri, apabila
sesuai dengan kehendak Islam. Maksudnya segala perbuatan dan tindakan ibubapa kita, kita sukai, kita beladan kita dukung apabila tidak dalam hal maksiat kepada Allah, 
 (10) Memohonkan keampunan Allah atas segala dosa orang tua setiap kali
kita memohon keampunan kepada Allah untuk kesalahan kita sendiri. 

 (b). Berbuat baik Kepada Ibubapa

Suatu ketika Hadzrat Abdullah Bin Mas’ud r. a. meminta Rasullullah SAW. mengkhabarkan kepadanya amalan yang paling disukai Allah SWT. Rasulullah SAW. menjawab :

“Menunaikan solat tepat pada waktunya. ” (HR Bukhari dan Muslim) 

Kemudian ia meminta Rasulullah SAW. menerangkan amalan yang kedua pentingnya. Ia diberitahu :

“Berkelakuan baik kepada ibubapa. ” (HR Bukhari dan Muslim) 

Hadzrat Abdullah bertanya mengenai amaln ketiga dan ia diberitahu oleh Rasullullah SAW. :

“Mengambil bahagian dalam perang jihad kerana Allah. ”
 (HR Bukhari dan Muslim. ) 

Kepentingan berkelakuan baik terhadap ibubapa dapat diperhatikan kerana Rasullullah SAW. menekankan perkara ini beserta dengan kewajipan yang paling penting iaitu mendirikan solat. Ini menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah perkara keduniaan sahaja tetapi juga adalah kewajipan ‘Deeniah’ Allah SWT. dan Rasullullah SAW. juga telah menekankan tentang perlunya anak-anak menolong dan menyenangkan hati ibubapa mereka. Sesiapa yang tidak taat kepada ibubapa bererti mereka juga tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Anak-anak seperti ini melakukan jenayah moral dan berdosa di sisi Allah SWT. 

 (c). Menghormati Dan Memuji Ibubapa

Pada suatu masa Hadzrat Abu Hurairah r. a. salah seorang sahabat besar Rasullullah SAW. bertembung dengan dua orang. Baginda bertanya kepada salah seorang mengenai teman yang seorang lagi. Orang itu menjawab, temannya itu ialah ayahnya yang dihormati. Kemudian Abu Hurairah r. a. dengan tegas menasihati anak itu agar jangan sekali-kali memanggil ayahnya dengan namanya dan jangan berjalan mendahuluinya atau duduk di dalam majlis sebelum ayahnya berbuat demikian. (Al Adabul Mufrad) 

 (d). Membalas Jasa Ibubapa

Hadzrat Abu Hurairah r. a. berkata bahawa Rasullullah SAW. bersabda :

“Kasih sayang, penjagaan dan kesukaran yang di alami oleh ibubapa
tidak boleh di bayar ganti dengan membebaskan ibubapanya dari
perhambaan jika mereka (ibubapa) menjadi hamba. ”
 (HR Muslim, Tarmidzi & Abu Daud) 

 (e). Memberi Bantuan Kewangan

Allah SWT. berfirman :

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang apa yang
mereka harus nafkahkan. ”Maka jawablah:”Apa sahaja harta yang kamu
nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibubapa …. ”
 (Surah al-Baqarah 2:215) 

Selain berkhidmat, mematuhi dan mentaati ibubapa, Al-Qur’an dan As-Sunnah menuntut agar anak-anak tidak kikir kepada ibubapa mereka. Mereka hendaklah memberi keutamaan kepada ibubapa dalam membelanjakan wang mereka. Ibubapa juga adalah berhak mengambil wang anak-anak mereka secara paksaan dalam keadaan yang memerlukan. Adalah tidak patut jika anak-anak menyembunyikan wang dari ibubapa walaupun mereka telah mentaati ibubapa mereka. Kerana, memberi bantuan kewangan adalah termasuk ketaatan kepada ibubapa. 

 (Setelah Ibubapa Meninggal Dunia) 

 (a). Doa Untuk Ibubapa

Selepas mengerjakan solat fardhu dan pada lain-lain masa seseorang hendaklah mendoakan keampunan dosa dan keselamatan ibubapanya kepada Allah SWT. Ia hendaklah berdoa agar Allah SWT. memberi kepada ibubapanya apa yang dia berikan kepada hamba-hambaNya yang soleh. 

Menurut Hadzrat Abu Hurairah r. a. Rasullullah SAW. pernah bersabda apabila seseorang itu mati, kegiatannya berakhir. Tetapi ada 3 perkara yang boleh memberi manfaat kepadanya setelah ia mati kelak :
1. Sedekah jariah. 
2. Ilmunya yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. 
3. Doa anak-anak yang soleh. 

 (b). Menunaikan Janji-janji dan Wasiat Ibubapa

Jika anak-anak mengetahui janji-janji ibubapa mereka kepada orang lain masih belum ditunaikan semasa mereka masih hidup, mereka hendaklah berusaha menunaikan janji-janji dan wasiat tersebut untuk memberi manfaat kepada arwah ibubapa mereka. Tetapi, anak-anak hendaklah memastikan agar mereka menunaikan hanya janji-janji dan wasiat yang berkenaan, jika tidak mereka akan mencederakan ibubapa mereka dan diri mereka sendiri. 

Terdapat sebuah kisah di mana Hadzrat Abdullah r. a. seterusnya meriwayatkan bahawa Hadzrat Sa’ad bin Ubadah mengkhabarkan kepada Rasullullah SAW. bahawa ibunya meninggal dunia sebelum memenuhi nazarnya. Bolehkah ia menunaikan nazar ibunya itu?Rasullullah SAW. menjawab, ”Kenapa tidak, sempurnakan untuknya. ”

 (c). Kelakuan Terhadap Sahabat Karib Ibubapa

Cara ketiga anak-anak hendaklah berlaku baik dan menghormati orang-orang yang hampir dengannya dan disukai oleh ibubapa mereka. Mereka hendaklah dihormati sama seperti ibubapa mereka sendiri. Pendapat dan nasihat orang-orang ini hendaklah di pandang penting dan mereka hendaklah di layani dengan baik. 

Pernah seketika Rasullullah SAW. mengisytiharkan, ”kelakuan seseorang yang terpuji ialah orang yang melayani dengan baik kawan-kawan dan kenalan ayahnya. ”

 (d). Melayani Sanak Saudara

Cara keempat untuk menolong ibubapa setelah mereka meninggal dunia ialah dengan memberi layanan yang baik kepada sanak saudara mereka (ibubapa). Maksudnya di sini ialah anak-anak hendaklah berkelakuan baik terhadap emak-emak saudara. ayah-ayah saudara dan datuk-datuk. Sekiranya anak-anak itu tidak berkelakuan baik terhadap mereka, ini samalah ertinya mereka tidak berbuat baik kepada ibubapa mereka sendiri. 

Rasullullah SAW. telah menasihati orang-orang muslim :
“Jangan kamu abaikan nenek moyang kamu. Mengabaikan mereka
bererti kamu tidak bersyukur kepada Allah SWT. ”

3. Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri

Rasullullah SAW. telah bersabda, ”Lelaki yang paling baik ialah lelaki yang paling baik terhadap isterinya. ”

Kehidupan seorang suami tidak harus menumpukan sepenuh masa kepada pekerjaan dan mencari nafkah sahaja. Walaupun ia berkewajipan menyara isteri dan anak-anaknya, tetapi ia haruslah memperuntukkan masa untuk bersam dengan isterinya, melayaninya dan berhibur dengannya. 

Adalah sikap yang mulia bagi suami cuba memenuhi permintaan isterinya yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan sesungguhnya cara yang terbaik membelanjakan pendapatan ialah dengan membelanjakannya bagi kebaikan ahli keluarga sendiri. 

Walaupun tempat ibadat seorang isteri adalah di rumah, suami tidak harus menghalang isteri yang ingin pergi belajar di masjid. Kedudukan suami sebagai ketua rumah tangga mestilah tidak menyalahgunakan kuasa. Justeru itu, suami tidak boleh menyuruh isteri membuat kerja-kerja yang di luar kemampuannya atau memberinya terlalu banyak kerja. 

Suami juga tidak dibenarkan untuk meminta isterinya bekerja mencari wang. Menyara hidup isteri adalah tanggungjawab suami sahaja. 
Suami juga disuruh untuk menegur siakp isteri jika bertentangan dengan Islam. 

4. Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami

Isteri bertanggungjawab untuk taat kepada suaminya dalam perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. 

Isteri dikehendaki menjaga kehormatan dirinya dan hartanya ketika ketiadaan suaminya. Firman Allah SWT. :
“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tiada hadir bersama dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. ” (al-Nisa’ :34) 

Antara bentuk penjagaan dirinya ialah memelihara rahsia-rahsianya dan tidak mengizinkan seseorang yang dibencikan oleh suaminya dari memasuki rumahnya. Rasullullah SAW. telah menyebutkan antara sifat seorang isteri yang solehah :
“Jika suaminya tiada di sisinya, dia akan memelihara dirinya dan juga
harta suaminya. ”
 (Diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Abu Umamah, bil. 1857) 

Antara bentuk penjagaanharta suaminyaialah tidak terlalu banyak membelanjakan hartanya sehingga membazir. Tidak mengapa baginya untuk bersedekah dari harta suaminya menurut kadar yang sudah menjadi kebiasaan. Mereka berdua akan berkongsi mendapat pahala dari Allah. 

Di dalm sebuah hadith ada disebutkan:
“Jika seorang isteri menafkahkan (harta) dari rumah suaminya tanpa
sampai merosakkan (membazir), maka bagi osterinya itu pahalanya dan
baginya pula pahala dengan apa yang dihasilkannya (hartanya yang
dinafkahkannya). ”
 (Disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah, al-Lu’ Lu ’, 
Wa Al-Marjan, bil. 603) 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT

Tanggungjawab Muslim Terhadap Muslim. 
Diriwayatkan dari Abi Hurairah, Rasullullah SAW. bersabda :
Hak orang Muslim pada orang Muslim ada lima perkara :
“Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, 
memenuhi undangan dan mendoakan orang bersin. “
 (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

“Bersabda Rasullullah SAW. Hak orang Muslim pada orang Muslim ada enam perkara. Ada sahabat bertanya, ”Apakah itu, ya Rasullullah ?”Beliau menjawab :
“Apabila engkau berjumpa dengannya berilah salam kepadanya. Bila ia mengundangmu penuhilah undangannya. Bila ia bersin dan memuji Allah, doakanlah dia. Bila ia sakit, jenguklah dia. Dan bila ia mati, hantarkanlah jenazahnya. ” (Hadis Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Nasaiy) 

 (a). Menjawab Salam

Menjawab salam hukumnya wajib, kerana Allah SWT. menyuruh melakukannya. 

“Dan apabila kamu diberi salam penghormatan, mak berilah salam yang lebih baik dari itu atau jawablah dengan yang setimpal. Sesungguhnya Allah Maha Memperhitungkan segala sesuatu. ” (An-Nisa’:86) 
Dalam tafsir Qurthubi disebutkan, menjawab salam kepada ahli dzimmah hukumnya wajib seperti menjawab salam kepada kaum Muslimin, dengan memegang prinsip umumnya tersebut. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas, As-Sya’bi dan Qutadah. Salam termasuk penghormatan malaikat dan para nabi serta salam perjumpaan di syurga. 

Diriwayatkan dari Abi Hurairah dari Nabi SAW., beliau bersabda:
“Tatkala Adam a. s. diciptakan, Allah berkata kepadanya, ”Pergilah dan berilah salam kepada para malaikat itu dan dengarkan penghormatan yang mereka berikan kepadamu, kerana ia adalah penghormatanmu dan penghormatan keturunanmu. ”Adam berkata, ”Assalammualaikum. ”Para malaikat menjawab, ”Waalaikummussalam warahmatullah. ”

Memberi salam kepada semua orang, bererti tidak bersikap sombong kepada seseorang dan tidak boleh timbul kebencian antara seseorang yang menghalanginya memberi salam. Bahkan Islam mengangkat darjat seseorang dengan salam dan menjadikannya sebaik-baik Muslim. 

HUKUM SALAM
Dalam syarah Muslim (juz. 14, halaman 140) An-Nawawi berkata, memulai salam adalah sunah dan menjawabnya adalah wajib. Jika pemberi salam sekelompok orang, hukumnya adalah sunnah kifayah. Bila sebahagian dari mereka memberi salam, sunnah salam di peroleh mereka semua. 

Jika penerima salam hanya seorang, ia wajib menjawabnya. Jika mereka merupakan sekelompok orang, menjawab dari mereka Fardhu Kifayah bagi mereka. Apabila dari mereka menjawab salam, yang lain bebas dari kewajipan menjawabnya. Yang lebih utama ialah bila semuanya memulai salam dan menjawab salam. 

Diriwayatkan dari Ali bin Talib r. a dari Nabi SAW beliau bersabda :
“Cukuplah dari sekelompok orang bila seseorang dari mereka memberi salam, dan cukuplah bila seseorang dari sekelompok orang yang duduk menjawab salam. ” (Hadis Riwayat Abu Daud) 

 (b). Menjenguk Orang Sakit

Menjenguk orang Muslim yang sakit adalah salah satu dari tanggungjawab orang Muslim terhadap Muslim lainnya. Ia adalah sunat muakad menurut jumhur ulama berdasarkan perkataan Ibnu Abbas r. a :
“Menjenguk orang sakit pada hari pertama adalah sunnah, sedangkan sesudah itu adalah tathawu. ”
 (HR Thabrani dalam Al-Kabir dan Al-Ausath, dan di dalamnya terdapat An-
Madlar Abu Umar dan Hadisnya Hasan) 

Bukhari berpendapat, hukumnya wajib. Ibnu Hamdan berpendapat hukum menjenguk orang sakit adalah fardhu kifayah berdasarkan Hadith Abu Musa Al-Asy’ari, Nabi SAW bersabda :
“Berilah makan orang lapar, jenguklah orang sakit dan bebaskanlah
tawanan. ” (HR Ahmad, Bukhari dan Abu Daud) 
Termasuk dalam menjenguk orang sakit adalah merawat, menanyakan keadaannya dan bersikap lembut kepadanya. Ini memungkinkan mengembalikan semula kekuatanmereka. Dalam kemutlakan hadis terdapat dalil, menjenguk tidak terikat dengan waktu. 

TATACARA MENJENGUK
Terdapat beberapa perkara yang di sunatkan ketika menjenguk orang sakit, iaitu:

1) Dianjurkan bagi penjenguk orang sakit untuk mendoakan kesembuhannya dan menyuruhnya bersabar berdasarkan Hadith Aisyah Abi Waqqash, ayahnya berkata :
“Aku menderita sakit di Makkah, kemudian datang Nabi SAW menjengukku dan meletakkan tangannya pada dahiku, kemudian mengusap dada dan perutku. Kemudian beliau berkata :”Ya Allah, sembuhkanlah Saad dan sempurnakanlah hijrahnya. ” (HR Abu Daud, Baihaqi dan Bukhari) 

2) Dianjurkan bagi penjenguk berkata kepada orang sakit, ’Tidak apa-apa bagimu, suci insya’Allah’. 

Hal itu berdasarkan Hadith Ibnu Abbas r. a, Rasullullah SAW menemui seorang lelaki yang dijenguknya. Beliau berkata:
“tidak apa-apa, suci insya’Allah. ”Orang sakit itu berkata, ’sekali-kali tidak’. Padahal penyakitnya adalah demam yang berat pada seorang lelaki tua, hingga ia meninggal. Nabi SAW berkata, ”Baiklah, kalau begitu”. 
 (HR Bukhari) 

Perkataan ‘tidak apa-apa’, maksudnya penyakit itu menghapuskan dosa-dosa. Dan perkataan ‘suci’ maksudnya ia menyucikan dari dosa-dosa, dan itu adalah doa. Perkataan ‘baiklah kalau begitu’maksudnya bila masalahnya demikian sebagaimana kamu sangka, doa yang buruk atau berita tentang keadaan yang dialaminya. 

3) Dianjurkan bagi penjenguk agar meletakkan tangannya di tempat penyakit dan menyebut nama Allah Ta’ala serta mendoakan orang sakit seperti yang lalu. Hal ini berdasarkan perkataan Aisyah :
“Bila menjenguk orang sakit, Rasullullah SAW meletakkan tangannya di tempat yang sakit, kemudian berkata, ’Bismillah’ “. 
 (HR Abu Ya’lla dengan sanad Hassan) 

4) Dianjurkan bagi penjenguk agar menyenangkan hati orang sakit dengan memberinya makan di masa hidup dan di saat hampir sembuh. Ini berdasarkan hadith Abi Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda :
“Apabila kamu menjenguk orang sakit, berilah di harapan hidup, kerana hal itu tidak menolak sesuatu sedang hal itu menyenangkan hati orang sakit. 
 (HR Ibnu Majah dan Tarmizi) 

5) Dianjurkan bagi penjenguk agar memohon doa darinya, kerana doanya mustajab. Hal ini berdasarkan Hadith Anas, Nabi SAW bersabda :
“Jenguklah orang sakit, dan suruhlah mereka berdoa bagimu kerana sesungguhnya doa orang sakit itu dikabulkan dan dosanya diampuni. ”
 (HR Thabrani dalam Al-Ausath) 

6) Dianjurkan meringankan jengukan dan tidak mengulanginya dalam sehari, kecuali jika orang sakit itu menyukainya. Jika ia suka dilamakan atau diulang-ulang kunjungan seorang teman dan sebagainya serta tidak menimbulkan kepayahan, tidak mengapa. 

Hal ini berdasarkan Hadith urwah dari Aiasyah, ia berkata:
“Tatkala Saad Ibn Muadz terkena panah pada perang Khandaq, Nabi SAW mendirikan khemah baginya di masjid supaya mudah menjenguknya. ”
 (HR Abu Daud dan Muslim serta Bukhari) 

7) Dianjurkan bagi orang yang ingin menjenguk agar berwudhu berdasarkan Hadith Anas r. a, Nabi SAW bersabda :
“Barang siapa berwudhu dengan baik dan menjenguk saudaranya sesama Muslim kerana mengharapkan pahala, ia pun dijauhkan dari api neraka sejauh perjalanan 70 kharif”. Aku berkata, ”Hai Aba Hamzah, apakah kharif itu?”Ia menjawab, ”Tahun”. (HR Abu Daud) 

8) Dianjurkan bagi penjenguk yang diambil berkahnya oleh orang sakit agar berwudhu dan menuangkan wudhunya padanya berdasarkan perkataan Jabir:
“Aku sakit, kemudian Nabi SAW datang bersam Abu Bakar menjengukku sambil berjalan. Keduanya mendapatiku dalam keadaan pengsan. Nabi SAW berwudhu, kemudian menuangkan wudhunya padaku hingga aku siuman. Ternyata Nabi SAW berada dekatku. Aku bertanya, ”Ya Rasullullah, bagaimana harus kuperbuat terhadap hartaku, bagaimana harusku putuskan mengenai hartaku?”Beliau tidak menjawab apa-apa hingga turun ayat tentang warisan. ” (HR Bukhari) 

9) Yang lebih utama ialah berjalan ketika akan menjenguk dan boleh juga menaiki kenderaan, terutama bila untuk suatu keperluan, berdasarkan hadith Jabir :”Nabi SAW menjengukku tanpa menaiki bagal maupun kuda. ”
 (HR Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi dan Al-Hakim) 

10) Dianjurkan bagi penjenguk agar tidak makan dan minum, kerana hal itu makruh, menghilangkan pahala menjenguk, berdasarkan Hadith Abi Umamah, Nabi SAW bersabda:
“Apabila seseorang dari kamu menjenguk orang sakit, jangan makan sesuatu, kerana hal itu adalah bagiannya dari jengukannya. ”
 (HR Dailamiy dalam Musnadul Firdaus) 

Termasuk erti makan adalah minum yang biasa diminum tamu seperti kopi atau minuman lainnya. Hendaklah penjenguk menjauhinya, kecuali ayah yang menjenguk putranya, tidak dilarang melakukan itu. Hal itu berdasarkan Hadith Samurah Ibn Jundub, Nabi SAW bersabda :
“Engkau dan hartamu milk ayahmu. ” (HR Thabrani dan Al-Bazzar) 

 (c). Menghantar Jenazah
Menghantar jenazah adalah fardhu kifayah berdasarkan sunnah dan ijma’umat. Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda :
“Jenguklah orang sakit dan berjalanlah bersama jenazah, kerana hal itu mengingatkanmu kepada akhirat. ” (HR Ahmad dan Al-Bazzar) 

Dianjurkan bagi orang lelaki untuk menghantarkan jenazah sampai di kubur, dan hal itu disepakati para ulama. Dibolehkan berjalan di depan dan di belakangnya dan di manapun yang dikehendaki berdasarkan Hadith Anas Ibn Malik, Nabi SAW bersabda :
“Jika kamu menghantar jenazah maka berjalanlah di depannya di belakangnya dan di sebelah kanannya, di sebelah kirinya dan dekatnya. ”
 (HR Abul Hasan Razin Ibn Muawiyah dan disebutkan oleh Bukhari) 

Yang lebih utama menurut Malik, As-Syafii dan Ahmad serta jumhur ulama adalah berjalan di depannya berdasarkan perkataan Ibnu Umar r. a :
“Ku lihat Nabi SAW, Abu Bakar, dan Umar berjalan di depan jenazah. ”
 (HR Ahmad, Abu Daud, Tarmidzi, Nasaiy dan Ibnu Majah) 

 (d). Memenuhi Undangan

Pemenuhan undangan adalah hak yang wajib atas orang Muslim bagi saudaranya sesama Muslim. Kerana hal itu mewujudkan erti persaudaraan di antara keduanya, menambah kasih sayang dan menjamin kejernihan jiwa. Islam menyuruh melakukan itu dan menganggap penolakannya sebagai penderhaka. 

Diriwayatkan dari Jabir Ibn Abdullah r. a berkata, bersabda Rasullullah SAW :
“Apabila seseorang dari kamu diundang makan hendaklah ia memenuhinya. Jika mahu ia boleh makan dan jika tidak mahu boleh ia tinggalkan. ” (HR Muslim) 

 (e). Mendoakan Orang Bersin

Mendoakan orang bersin adalah salah satu tanggungjawab orang Muslim ke atas orang Muslim. Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Abi Hurairah r. a dari Nabi SAW, beliau bersabda :
“Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai perbuatan menguap (mengantuk). Apabila seseorang dari kamu bersin dan memuji Allah Ta’ala, haruslah setiap orang Muslim yang mrndengarnya mengucapkan kepadanya, ’Yarhamukallah’. Adapun menguap itu adalah perbuatan syaitan. Bila seseorang dari kamu menguap, hendaklah ia menolaknya sekuat tenaga kerana bila seseorang dari kamu menguap, syaitan pun tertawa. ”

Para ulama berkata, bersin itu terpuji, kerana keringanan tubuh yang timbul akibat sedikit makan dan makanan yang ringan. Ia adalah perkara yang dianjurkan, kerana melemahkan syahwat dan memudahkan ketaatan. 

 (f). Nasihat Bagi Orang Muslim

Wajib bagi kita melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan ketulusan bila diminta pendapat dan nasihat dalam suatu masalah yang ingin dilaksanakannya, atau menjalankan perkahwinan, perjalanan atau perdagangan. 

Inilah makna yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW :
“…. Apabila ia minta nasihat kepadamu, berilah ia nasihat. ”

Apabila sesama Muslim akan minta nasihat kepada kita, ini bererti ia melihat keunggulan akal dan keikhlasan kita. 

 (g). Maaf

Selain itu, adalah menjadi hak dan tanggungjawab setiap umat Islam meminta maaf dan memberi kemaafan bila-bila masa, di mana-mana dan di dalam semua keadaan apabila dipinta, menurut al-Ghazali. Inilah dia penjalin kembali atau pengikat kasih sayang setelah ia terjejas akibat daripada ketelanjuran dan ketidak-sengajaan. 

Seseorang itu diwajibkan meminta maaf. (Oleh:al-Ghazali) daripada saudaranya dan kepada Allah SWT apabila ia melanggar perintah Allah yang berkaitan dengan ibadat, sama ada ibadat dalam bentuk hubungan manusia dengan Allah atau antara manusia dengan manusia. Apabila perkara ini berlaku setiap umat Islam diwajibkan memberi nasihat dan dilarang memutuskan hubungan silaturrahim serta merta. 

 (h). Tolong-Menolong

Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk memberi pertolongan dan bergotong-royong apabila diperlukan. Hal ini adalah disebabkan dengan tolong-menolong, ikatan persaudaraan dan perpaduan dapat dicetuskan dan dipertingkatkan prestasinya. Malah amalan tolong-menolong ini merupakan nadi yang menggerak dan menghidupkan perasaan kasih sayang dan persaudaraan. Sekaligus ia dapat menyempurnakan dan meringankan segala pekerjaan umat Islam sendiri. 

Tolong-menolong yang digalakkan oleh Allah SWT ialah dalam perkara yang meningkatakan keimanan, ketaqwaan dan amal soleh, amal kebajikan dan ke arah penghapusan kemungkaran. 

Bertepatan dengan hal ini Allah SWT telah berfirman :
“Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada melakukan kejahatan. ” (surah al-Taubah : 71) 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP NEGARA

Sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab anggotanya mempertahankan negara dari segala ancaman sama ada dari musuh-musuh luar ataupun dari musuh-musuh yang sedia ada dalam negara seperti fitnah memfitnah, hasut menghasut, penindasan terhadap golongan miskin, pengabaian terhadap anak-anak yatim dan kezaliman dari orang-orang yang jahat. 

Sebagaimana Islam amat prihatin untuk membina umat yang soleh, yang mempunyai risalah Rabbaniyyah, Insaniyyah, Akhlaqiyyah dan sejagat, ia juga mahu umat ini diperintah oleh negara yang soleh untuk mencapai matlamat-matlamatnya serta mengembangkan ciri-cirinya, memelihara risalahnya serta berusaha menanamnya dari dalam dan menyebarkannya dari luar. 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP ALAM

Alam adalah suatu anugerah dari Allah SWT kepada manusia supaya ia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna sebagai khalifah dan hamba Allah SWT. Justeru itu, setiap manusia perlulah memelihara alam ini seperti memelihara dan mengendalikannya dengan baik. 

Misalnya dalam melaksanakan hubungannya dengan binatang, manusia dilarang dari membunuh dan menyiksanya sesuka hati. Jika binatang itu perlu dibunuh, maka hendaklah dibunuh dengan baik dan tidak menyiksanya terlebih dahulu. 

Menjadi tanggungjawab kepada manusia menjaga kesejahteraan alam dari pencemaran udara, bunyi, air, alam sekitar dan lain-lain lagi. Ia bertujuan untuk mrnjaga kemashlahatan manusia untuk meneruskan kehidupan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. 

KESIMPULAN

Daripada apa yang telah disebutkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa setiap manusia mempunyai tanggungjawab yang tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup dunia dan akhirat. Walau di mana kita berada sekalipun, siapa kita sekalipun kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kita oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, sebagai makhluk yang istimewa kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh keikhlasan dan jujur. 

* surah al-Zariyat, ayat :
56* surah al-Maidah, ayat :1
* surah al-Maidah, ayat :105
* surah al-An’am, ayat :1
64* surah al-Luqman, ayat :


__________________________