Asas jatidiri muslim

PENGERTIAN. 

JATIDIRI-Ertinya diri yang tulen, diri yang murni, (Kamus Dewan, 1994:520). Dari segi istilah ialah sikap atau perangai murni yang telah sebati dengan diri seseorang sama ada berbentuk luaran atau dalaman

MELAYU-Ertinya nama suatu bangsa dan bahasa (terutamanya di Semenanjung Malaysia) ; mengikut cara hidup orang Melayu atau masuk Islam (Kamus Dewan, 1994:874) Melayu ialah yang beragama Islam dan mengamalkankebudayaan Melayu-Islam. (Siddiq Fadil, 1993:4). 

Hamka pula mentafsirkan Melayu sebagai setiap orang yang berbahasa Melayu, berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu. 

Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Bangsa Melayu wujud dan berkembang atas landasan Islam. Mereka yang menolak Islam akan tersisih dari masyarakat Melayu. 

ASAS-Ertinya dasar, pangkal digunakan sebagai panduan, asas atau bukti untuk sesuatu pengiraan. 

MUSLIM-Ertinya Islam, seseorang yang menganut agama Islam (muslim). 

ISLAM[1]-Ertinya tunduk dan patuh terhadap perintah Allah dan membenarkan ajaran yang disampaikan oleh utusannya iaitu nabi Muhammad SAW. 

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Perlembagaan Persekutuan telah mendaulatkan Islam dalam ayat : “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, tersebut dalam Part 1 bahagian 3 (1). Ia merupakan satu hikmah kekuatan tertinggi, justeru itu, sekaligus syahadah membatalkan undang-undang dan hukuman buatan manusia. 

Ahmad Ibrahim (1995:22) menyebut tentang bukti kedudukan istimewa Islam terdapat dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Fasal (1) memperuntukkan bahawa :”Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya”. 

Perkara 12 Fasal (2) pula memperutukkan :” Adalah sah bagi Persekutuan dan sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggarakan institusi Islam dan mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang diperlukan bagi maksud itu”. 

Semenjak negara Malaysia mencapai kemerdekaan Perlembagaan Persekutuan TanahMelayu telah dikuatkuasakan dan banyak mendasarkan kepada bentuk-bentuk pemerintah yang bercorak Islam (Abdul Rahman Nawas, 1995:241). 

Selain itu, dalam bahagian 1 ceraian 3 (2) telah menyebut sultan-sultan adalah ketua agama dinegeri masing-masing tetapi Melaka dan Pulau Pinang adalah dibawah Yang Di Pertuan Agong. 

ASAS –ASAS JATIDIRI DAN CARA PEMBINAANNYA. 

Pendahuluan

Sebatang pokok yang menjadi sumber kebajikan kepada makhluk, samada dari kalangan manusia atau pun binatang, ia tumbuh melalui benih yang baik, kemudian menjadi akar tunjang yang kuat. Itulah asas penting bagi tumbuhnya sepohon pokok. Demikianlah perbandingan seorang insan yang berkualiti, punya jatidiri, dihiasi dengan akhlak yang tinggi, akan lahir dalam realiti apabila adanya asas-asas yang sejati. 

Tajuk ini akan menjelaskan tntang asas-asas jatidiri bagi seorang insane yang sejati yang menjadi idaman setiap diri. Berikut adalah asas-asasnya sertacara pembinaanya berdasarkan sumber-sumber yang berkualiti iaitu Al-Quran dan hadith Nabi serta huraian dan penjelasan daripada ulamak sejati. 

1. 0 Pengetahuan Yang Mencukupi dan Kefahaman Yang Tepat. 

1. 1 Maksud pengetahuan yang mencukupi dan kefahaman yang tepat. 

Pengetahuan yang mencukupi bermaksud memiliki ilmu yang perlu untuk membolehkan seseorang mengetahui sesuatu yang perlu dalam kehidupannya seperti ilmu tentang Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang boleh membawa dirinya mengenali Allah sebagai Rabb1 dan akan menjadikan Allah sebagai Ilah2nya. Rasulullah SAW bersabda :

“Orang yang paling baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. 3

Antara ilmu yang perlu untuk melayakkan seseorang memiliki pengetahuan yang luas ialah bahasa Arab4. Dengan menguasai bahasa Arab seseorang itu dapat memahami al-Quran dan al-Sunnah dengan baik dan lebih menepati maksudnya yang sebenar. Ia dapat merujuk kitab –kitab tafsir muktabar yang hampir kesemuanya dalam bahasa Arab. Selain dari itu bahasa Arab juga adalah bahasa yang digunakan dalam ibadah-Solat yang merupakan tiang agama. Sembahyang tidak boleh dilakukan dalam bahasa selain dari bahasa Arab. Bagaimana seorang ingin menjadi manusia yang berkualiti, punya jatidiri, kalau solatnya pun tidak berkualiti. Sedangkan solat adalah salah satu amalan atau tarbiah yang paling berkesan untuk membentuk insane yang berakhlak dan berkualiti. 

Ilmu-ilmu lain yang perlu dikuasai ialah seperti ulum al-Quran, Ulum al-Hadith, sirah Rsulullah, Sejarah Islam, Ilmu Fiqh yang berkaitan dengan hokum hakam dalam Islam, bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, bahasa Cina, Tamil (dalam konteks Malaysia) dan seumpamanya. Selain dari itu ilmu-ilmu lain dalam pelbagai bidang seperti Teknologi Maklumat, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan seumpamanya. 5

Dengan ilmu yang mencukupi diharapkan dapat memandu seseorang memahami Islam sebagaimana yang di bawa oleh Rasulullah SAW, berdasarkan sumber yang betul iaitu al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah SAW. Dengan itu diharapkan mereka tidak terkeliru berhadapan dengan pelbagai ideologi dan aliran pemikiran yang wujud. 

Kefahaman yang tepat adalah kefahaman yang menepati apa yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, seperti apa yang difahami oleh Rasulullah SAW, bukan kefahaman salah dan keliru seperti yang dibawa oleh musuh-musuh Islam atau pun yang diasaskan asas kejahilan manusia itu sendiri. 

Ilmu dan kefahaman adalah pemberian Allah SWT. Allah berfirman dalam al-Quran :

“Maka Kami telah memberi faham kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat) dan Kami kurniakan kepada mereka berdua (Daud dan Sulaiman) kebijaksanaan dan ilmu”. 6

Mustafa Mashur ketika menjelaskan asas-asas yang perlu ada pada seorang Muslim
Contoh, antara lain beliau mengatakan :

“Ia hendaklah mendalami ilmu agama serta berusaha untuk menambahnya dan memahami masalah-masalah yang berlaku dikalangan orang Islam serta sentiasa menyebarkan pengetahuan dan kepakarannya. Ia hendaklah memantapkan bidang pengkhususannya…. ” 7

Petikan diatas antara lain menjelaskan bahawa seorang muslim contoh perlu kepada ilmu Agama yang mendalam serta sentiasa mempertungkatkannya. Ia juga perlu memahami realiti yang berlaku dalam masyarakat, khususnya umat Islam. Seorangmuslim contoh juga perlu mempertingkatkan bidang kepakarannya serta memberi khidmat kepada masyarakat. 

Tanpa asas ilmu yang mencukupi, manusia tidak mampu menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenarnya. Ini bererti kehidupannya jauh dari ciri-ciri manusia yang berkualiti dan mempunyai jatidiri seperti yang diharapkan. 

1. 2 Pembahagian Ilmu;

Sebilangan besar ulamak Islam membahagikan ilmu kepada dua, iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Antara ulamak Islam yang mewakili pembahagian ini ialah Imam al-Ghazali. 

Ilmu Fardhu Ain ialah ilmu-ilmu asas yang perlu dipelajari dan di fahami oleh setiap muslim. Antaranya termasuklah al-Quran, al-Sunnah, Sirah al-Rasul, Ilmu akidah, Bahasa Arab, memahami konsep Islam, ilmu berkaitan hukum hakam dalam Islam, memahami konsep jahiliyah dan seumpamanya yang dikira sebagai pengetahuan dan kefahaman asas yang perlu ada pada setiap Muslim

Ilmu Fardhu Kifayah pula ialah ilmu-ilmu bidang pengkhususan yang menjadi keperluan untuk maslahah masyarakat Islam dan kerajaan Islam seperti ilmu kejuruteraan, perubatan, perakaunan, matematik, dan seumpamanya. Ia perlu dipelajari oleh sebilangan dari kalangan orang Islam untuk kepentingan masyarakat Islam seluruhnya. 

Sering berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam tentang konsep ilmu fardhu Ain. Mereka beranggapan bahawa ilmu fardhu Ain hanya yang menyentuh beberapa perkara sahaja dalam fiqh Islam seperti berkenaan dengan mempelajari cara-cara mengambil wuduk, Solat, haid dan nifas serta hal-hal seperti itu sahaja. Adapun memahami konsep Islam, memahami kandungan al-Quran dan al-Sunnah bukan, tidak dirasakan sebagai ilmu fardhu Ain. Fahaman seperti inilah yang menyebabkan umat Islam melihat agama tidak penting dalam kehidupan mereka. Ia sekadar permasalahan peribadi yang sangat sempit peranannya dalam kehidupan. Kefahaman seperti ini adalah bertentangan dengan konsep Islam yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Akibatnya amat buruk sekali iaitu menyebabkan orang Islam tidak mahu mempelajari Islam kerana dirasakan telah mencukupi lantaran sudah pandai mengambil wuduk dan telah menghafal surah al-Ikhlas untuk dibaca dalam solat. Inilah antara wajah layu yang pernah menimpa umat Islam. Tidak hairanlah kalau mereka menjadi umat yang mundur dalam segala aspek akibat tidak memiliki ilmu yang mencukupi dan kefahaman yang tepat. 

Ada sebilangan yang lain pula mempelajari ilmu fardhu kifayah sampai ke peringkat yang tinggi, tetapi jahil murakkab dalam ilmu-ilmu asas Islam. Akibatnya mereka ini menimbulkan masalah bagi masyarakay apabila di kalangan mereka ada yang memegang jawatan penting dalam negara. Mereka akan bercakap berasaskan kejahilan dan pemikiran yang diambil dari musuh-musuh Islam. Seterusnya lahirlah tindakan dan sistem yang bertentangan dengan Agama Islam. 

2. 0Pengetahuan dan Kefahaman Asas jatidiri. 

2. 1 Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. membaca, dengan firmannya :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan engkau yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia mencipta manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dan mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui. ” 8

2. 2 Antara perkara yang dapat difahami dan dirumuskan dari ayat di atas ialah :

a. Membaca adalah antara perintah Allah yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan betapa pentingnya membaca untuk mengetahui dan memahami sesuatu. 
b. Perkara pertama yang perlu diketahui oleh manusia ialah mengenali Allah SWT, sebagai Rabb al-Alamin. Allah sebagai punca dan sumber bagi segala makhluk yang wujud. 
c. Allah sebagai sumber ilmu. Allah mengajar Adam dan manusia seluruhnya sesuatu yang mereka tidak ketahui. Untuk memperolehi ilmu, manusia memerlukan peralatan yang sesuai atau wsilah tertentu. Allah menyebut di dalam ayat di atas ialah qalam. Hari ini manusia menggunakan peralatan tertentu seperti komputer, multimedia, internet, video dan seumpanya. 
d. Ayat di atas menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai asas yang perlu dimiliki oleh manusia untuk melaksanakan tugas mereka sebagai Khalifah di bumi. 

2. 3Tidak sama orang yang berilmu dengan mereka yang jahil. Antara lain Allah berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad), apakah sama antara mereka yang mengetahui dengan
oranng-orang yang tidak mengetahui”?9

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan golongan yang jahil. Untuk menjadi seorang Muslim sejati, tidak mungkin untuk memperolehinya tanpa ilmu dan kefahaman. 

Orang yang berilmu mempunyai pandangan dan kefahaman yang tepat :

“Allah telah menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, demikian juga dipersaksikan oleh para malaikat dan mereka yang memiliki ilmu…”10

Ayat di atas antara lain menunjukkan bahawa orang yang berilmu dapat memahami dan mengenali Allah SWT Dengan kefahaman yang betul dan seterusnya mempersaksikan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Disini Menunjukkan bahawa mereka yang jahil terdedah kepada kekeliruan dan tidak dapat mengenali Allah. Sedangkan mengenali Allah adalah perkara yang paling utama dan pertama. Sesiapa yang tidak mengenali Allah, dialah orang yang benar-benar jahil walau pun mempuyai ijazah yang tinggi. 

Seorang penyair telah berkata :


“Si jahil itu telah pun mati walau pun ajal belum menjemputnya. Tubuhnya
itulah kuburnya meskipun ia belum dikebumikan”
11
2. 3. 1 Orang yang baik dan berkualiti adalah mereka yang dipilih oleh Allah. Pilihan Allah ini di kurniakan
Dengan asas ilmu dan kefahaman. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, ia akan di beri kefahaman tentang Agama “12

Hadith di atas antara lain bermaksud bahawa kefahaman tentang agama adalah antara perkara asas dan syarat untuk seseorang yang ingin menjadi muslim yang baik dan di iktiraf oleh Allah SWT
2. 3. 2 Rasulullah SAW adalah contoh manusia terbaik. Baginda memiliki segala kualiti diri yang di perlukan bagi menjadi insan mithali. Antara asas penting yang di anugerahkan Allah kepadanya ialah wahyu yang mengandungi segala macam ilmu pengetahuan serta kefahaman. 

Rasulullah SAW mendidik para sahabat. Mereka diberi ilmu pengetahuan dan membentuk akhlak yang tinggi. Antara sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kefahaman yang tinggi dan tepat ialah Omar al-Khattab. Rasulullah pernah bermimpi baginda di bawa segelas susu lalu baginda meminumnya dan mrngalir tumpahan
Susu tersebut sehingga mengalir tumpahan susu tersebut sehingga mengalir melalui celah-celah jari baginda. Kemudian baginda beri tumpahan tersebut kepada Omar al-Khattab. Sahabat bertanya, apakah takbir mimpi Tersebut, baginda menjawab itulah ilmu. 13


Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat banyak ilmunya yang di Kurniakan oleh Allah dan dari limpahan ilmu baginda, ia dapat di rasai oleh para sahabat. Omar sendiri Merupakan seorang yang tinggi kefahaman agamanya, bijak dan adil dalam pemerintahannya. Beliau berkata:

“Hendaklah memahami dahulu sebelum kamu memimpin “14

3 Ilmu adalah syarat pertama dan menjadi lebih utama di dahulukan sebelum amal. Al-Qaradawi Meletakkan satu tajuk ‘ Keutamaan Ilmu Bagi Sesuatu Amalan ‘dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyat Di dalam tajuk ini di jelaskan keutamaan ilmu sebelum melakukan sesuatu. Beliau juga membawa Kata-kata Omar Abd. Aziz :”Sesiapa melakukan sesuatu perkara tanpa ilmu, ia lebih banyak Membawa kerosakan dari kebaikan”15

Berasaskan kepada apa yang telah di kemukakan, jelas menunjukkan bahawa ilmu dan kefahaman adalah asas dan syarat penting bagi kehidupan insan yang berkualiti dan sebagai muslim hakiki. 

3. 0 Ke Arah Penguasaan Ilmu dan Kefahaman Yang Tepat. 

Ilmu dan kefahaman adalah pemberian Allah SWT kepada sesiapa yang dia kehendaki. Allah kurniakan ilmu kepada seseorang melalui sebab-sebab tertentu seperti belajar bersungguh-sungguh, melalui kuliah-kuliah, pembacaan buku-buku, melalui kajian-kajian, dan sebagainya. Ringkasnya, ilmu yang diberikan oleh Allah kepada seseorang adalah disebabkan oleh usaha dan faktor-faktor tertentu. Justeru manusia perlu menyusun strategi dan pelan tindakan untuk mencapai objektif tersebut. Antara langkah yang perlu dilakukan:


i. Menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib. Tanpa ilmu seseorang itu tidak mungkin boleh menjadi muslim dalam erti kata yang sebenarnya. 
ii. Berusaha mencari guru yang mampu memberi pengajaran dan kefahaman serta pendidikan yang sebenarnya berdasarkan model Rasulullah bersama dengan para sahabat sebagai generasi contoh. 
iii. Membuat perancangan strategik dalam pembelajaran dan pendidikan. 
iv. Mencari kawan-kawan yang baik dan pintar serta sentiasa mewujudkan suasana pembelajaran dan tarbawi. 
v. Memilih dan membaca buku-buku yang sesuai dengan merujuk kepada penulis-penulis yang muktabar. 
vi. Memperbetulkan diri dengan Islam melalui mujahadah al-Nafs dan mujahadah al-Syaitan. 
vii. Meninggalkan dosa dan sentiasa melaksanakan yang wajib, seperti solat berjemaah dan seterusnya iltizam dengan Islam. 
viii. Mencari pelbagai wasilah / cara dan teknik pembelajaran dan pendidikan untuk mencapai objektif. 
ix. Mempelajari dan menguasai bahasa Arab (Bahasa Islam) dan Bahasa Inggeris (Bahasa teknologi masa kini) sebagai alat penting seorang muslim. 
x. Menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama. 
xi. Sentiasa berdoa. 
xii. Bertawakkal kepada Allah. 

4. 0 Keimanan Yang Tinggi. 

4. 1 Pengertian Iman. 

“ Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Malaikat Jibril tentang pengertian iman, baginda menjawab, ” Iman ialah engkau beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab daripada Allah, beriman akan bertemu dengan Allah, para Rasul, Hari kebangkitan dan beriman dengan qadar sepenuhnya. ”16

Ibnu Masud berkata : “yakin itu adalah iman keseluruhannya. ”17. Omar Abd. Aziz pernah menulis surat kepada Adiy bin Adiy, katanya “Sesungguhnya iman itu mempunyai beberapa kewajipan, peraturan, batas-batas dan cara-caranya. Sesiapa yang dapat memenuhinya sempurnalah imannya. Sesiapa yang tidak dapat memenuhinya, tidak sempurnalah imannya “. 18

Menurut Dr Yusof al-Qaradawi :

“Iman ialah kepercayaan yang meresap kedalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampr syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari…Justeru itu iman bukanlah semata-mata ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan juga bukan hanya merupakan penge-tahuan tentang rukun-rukun iman. ”19

Berdasarkan kepada beberapa pengartian di atas dapatlah di rumuskan bahawa iman adalah satu keyakinan terhadap perkara-perkara pokok dalam agama iaitu bermula dengan keimanan kepada Allah, MalaikatNya, kitabNya, para rasulNya, Hari Akhirat dan beriman dengan konsep takdir. Seterusnya keimanan ini mestilah di buktikan dengan ucapan dan perbuatan. 

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat Allah yang menjelaskan tentang ciri-ciri keimanan dan orang mukmin yang sebenar. Antaranya :

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu serta berjihad dengan harta dan diri mereka pada jalan Allah. Mereka itulah golongan yang sebenarnya beriman. ”20

Ayat di atas antara lain menunjukkan bahawa iman yang sebenar ialah keyakinan yang tidak bercampur dengan keraguan. Iman seperti ini akan lahir buktinya dalam bentuk tindakan selaras dengan apa yang di yakini. 

Al-Qaradawi dalam menghuraikan hakikat iman yang sebenarnya, merumuskan seperti berikut :21

I. Iman bukan sekadar pengakuan lidah semata-mata, sedangkan hatinya menolak. Orang-orang munafik, mereka mengaku beriman, tetapi hakikat sebenarnya tidak. 22
II. Iman bukan semata-mata melakukan perbuatan atau amalan syiar yang biasa di laksanakan oleh orang-orang yang beriman, sedangkan di dalam hatinya kosong dari rasa kebaikan dan keikhlasan. 23
III. Iman bukan semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana ramai dari kalangan manusia yang mengetahui tetapi menolak. 24
IV. Iman memerlukan kefahaman dan keyakinan yang teguh tanpa ada keraguan. 25
V. Iman melahirkan kepatuhan dan ketundukan dengan rela hati tanpa rasa berat serta menerima apa yang di putuskan oleh Allah dan Rasul. 26dan mereka tidak akan memilih yang lain selain dari apa yang di putuskan oleh Allah dan Rasul. 27
VI. Iman melahirkan semangat bekerja dan berkorban. 28
VII. Iman melahirkan akhlak yang tinggi dengan hati yang khusyuk dan kehidupan yang teratur serta sentiasa melakukan amal yang berguna. 29

4. 2 Asas-Asas Keimanan. 

Para ulamak merumuskan, bahawa iman mempunyai 6 asas, mereka juga menamakannya sebagai rukun-rukun iman, iaitu :

i. Beriman kepada Allah. Ia merupakan perkara yang pertama dan paling penting. Antara perkara yang perlu dalam konsep beriman kepada Allah ialah :

a. Meyakini tentang kewujudan Allah. 
b. Ma’rifatullah (mengenali Allah). 
c. Faham dan yakin dengan wahyu Allah. 
d. Mengesakan Allah dari segi Rububiyah (Tauhid Rububiyah) dan Uluhiyahnya. (Tauhid Uluhiyah) dan melaksanakan tuntutan kedua-duanya dalam semua aspek kehidupan. 
ii. Beriman tentang adanya para Malaikat Allah. Konsepnya ialah di mana Allah mempunyai para malaikat yang berfungsi sebagai kakitangan Allah yang memegang berbagai-bagai jawatan dengan tugas-tugas tertentu. Ada yang bertugas sebagai pembawa wahyu kepada Rasul, seperti Jibril alaihissalam, asa yang menjaga Arasy, mengambil nyawa, menjaga pintu langit, menjaga syurga, Neraka dan seumpamanya. Malaikat di jadikan dari nur. Ia boleh berupa dengan berbagai bentuk, seperti cahaya, manusia dan sebagainya. 
iii. Beriman dengan kitab-kitab Allah. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa Allah telah menurunkan kitab-kitabnya kepada para Nabi dan Rasul. Nama-nama yang biasa di sebut seperti suhuf, kitab dan sebagainya. Kitab-kitab ini adalah merupakan wahyu Allah yang di sampaikan kepada Rasul untuk di sebarkan kepada umatnya sebagai panduan dalam kehidupan mereka. Contoh kitab-kitab tersebut seperti Suhuf yang di turunkan kepada Nabi Ibrahim, Taurat kepada Musa, Injil kepada Isa dan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan berkaitan dengan kitab, antaranya :

“Seluruh manusia adalah umat yang satu. Kemudian Allah mengutuskan
Nabi-Nabi sebagai pembawa berita gembira dan menyampaikan peringatan
, juga di turunkan bersama mereka kebenaran supaya ia dapat memberikan
keputusan apa yang menjadi pertikaian di kalangan manusia. ”30


iv. Beriman dengan para Rasul. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa Allah SWT telah mengutuskan bagi setiap umat, Rasul untuk menyeru manusia menyembah Allah (dengan mengikut cara hidup Islam) danmenjauhi serta meninggalkan taghut. 31Allah berfirman :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan bagi setiap uma seorang Rasul untuk mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhi taghut”. 32


v. Beriman dengan Hari Akhirat. Setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa selepas kehidupan dunia akan terdapat satu lagi kehidupan, iaitu Akhirat. Manusia akan di bangkitkan semula selepas kematian mereka. Mati adalah perpindahan dari alam dunia ke Alam Akhirat. Selepas seseorang mati, rohnya akan dibawa naik bertemu dengan Allah melalui pintu langit pertama sehinggalah melepasi langit ke-7. Roh yang baik di terima oleh Allah dan di perintah untuk dicatat dalam buku sebagai ahli syurga. Selepas itu roh tersebut diperintah dibawa ke dalam kubur sehinggalah Hari Kebangkitan ia dibangkitkan. Adapun bagi orang kafir dan jahat, roh mereka tidak diterima Allah. Malaikat yang menjaga pintu langit enggan membuka pintu langit. 

Sesi-sesi di Akhirat adalah seperti berikut :

a. Alam Kubur. 33
b. Hari Kebangkitan. (Yawm al-Ba’th) 
c. Hari manusia dihimpunkan. (Yawm al-Hasyr) 
d. Hari pembentangan amalan (Yawm al-‘Arad) 
e. Hari perhitungan / timbang amalan (yawm al-Hisab /Yawm al-Mizan) 
f. Hari Pembalasan. (Yawm al-Jaza’) 

Demikian susunan dari a-f adalah tertib perjalanan di akhirat. Walaupun dalam perkataannya di sebut hari, namun ia bukan bermakna satu hari, tetapi lebih tepat kepada maksud satu tempoh yang panjang. 

vi. Beriman dengan qadar daripada Allah. Orang mukmin sepatutnya mengetahui, memahami dan meyakini konsep takdir Allah. Allah takdirkan manusia ada yang lelaki, perempuan ada berbangsa Melayu, Arab, Cina dan sebagainya. Allah takdirkan dari kalangan manusia ada yang cacat ada yang panjang umur dan ada yang pendek dan demikianlah takdir Allah SWT. Dia Maha Mengetahui sesuatu yang manusia tidak tahu. Allah Maha Adil dan Maha Suci Allah dari sifat yang tidak layak bagiNya. Justeru itu orang mukmin manerima takdir Allah samada baik atau buruk. Mungkin sesuatu yang buruk pada pandangan manusia, mempunyai hikmah hikmah tertentu disisi Allah dan sebaliknya. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang berkaitan dengan kadar Allah, antara lain :

“dan setiap sesuatu di sisi Allah ada ketentuannya”. 34


4. 3 Cara-cara berhadapan dengan takdir Allah :

a. Redha dengan takdir Allah samada baik atau buruk. Sesungguhnya Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. 
b. Bersyukur seandainya menerima takdir baik. 
c. Bersabar sekiranya ditakdirkan dengan sesuatu yang tidak baik (pada pandangan kita). Mungkin terdapat hikmah tertentu di sebaliknya. 
d. Sentiasa berusaha dan berwaspada. Ianya cara hidup Islam dan ibadah. 
e. Sentiasa berdoa. 
f. Bertawakkal. 

6 asas keimanan diatas sangatlah penting bagi seseorang. Tanpanya manusia tidak dikatakan beriman. Tidak sah iman seseorang itu seandainya ia menolak salah satu daripada asas-asas tersebut. Dari satu sudut yang lain, penolakan kepada salah satu rukun iman bererti menolak sebahagian dari kandungan al-Quran dan al-Sunnah, kerana perkara ini di jelaskan oleh Allah samada dalam al-Quran/sunnah. 

4. 4 Iman dan takwa asas jatidiri. 

I. Tidak ada khilaf dikalangan ulamak Islam bahawa tanpa iman dan takwa tidak akan wujud sahsiah Islamiah yang sebenar, 
II. Ayat al-Quran diperingkat awal (Makkiyah) memberi tumpuan kepada persoalan Iman. Ini adalah untuk membina asas yang kuat kepada generasi contoh iaitu Rasulullah dan para sahabat baginda. 
III. Hati merupakan tempat bertapaknya iman. sekiranya kotor maka akan lahirlah amalan, percakapan yang jahat dan demikianlah sebaliknya. 
IV. Iman melahirkan ketenangan dan lapang dada. 
V. Iman dan takwa melahirkan insan yang sanggup berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan. 
VI. Iman dan takwa membentuk akhlak yang unggul. 
VII. Ilmu orang yang beriman dan bertakwa sentiasa bertambah. 
VIII. Iman dan takwa melahirkan manusia yang berani. 
IX. Iman dan takwa melahirkan manusia yang mempunyai neraca dan panduan hidup yang jelas. 
X. Ia meletakkan seseorang di tempat yang tinggi. 
XI. Melahirkan sahsiah yang terpuji, suka melakukan kebajikan kerana iman adalah segala kebaikan. 
XII. Iman melahirkan insan yang benar, amanah, ikhlas, sabar, berdisiplin dan seumpamanya, 

Iman dan takwa merupakan salah satu jatidiri yang amat penting. 

4. 5 Iltizam dengan Islam sebagai Asas jatidiri. 

i. Iltizam dengan islam adalah sifat yang sangat di kasihi Allah. 
ii. Keiltizaman dalam Islam akan menambahkan ilmu dan kefahaman disamping mempertingkatkan iman seseorang. 
iii. Orang yang iltizam dengan Islam akan bertambah kualitinya dalam semua aspek. 
iv. Tiada iltizam bermakna tiada sifat jatidiri. Justeru itu Islam menggabungkan Ilmu, Iman, dan Amal. 

5. 0 KESIMPULAN. 

Tidak ada jalan lain untuk membentuk jatidiri, kecuali dengan memiliki asas-asasnya seperti yang telah dijelaskan, dan tidak ada cara lain untuk memperolehi asas-asas tersebut melainkan dengan merujuk kepada panduan atau pun manhaj Allah SWT dan petunjuk Rasulullah SAW. 

1 Antara lain bermakna, pencipta, pemilik, penguasa, pemerintah, penjaga, pemberi rezeki dan seumpamanya. 
2 Ilah bermaksud sesuatu yang dipuja dan disembah. Bagi insan sejati yang punya jati diri hanya sanya memuja dan menyembah Allah. Dia tidak akan memuja dan menyembah yang lain samda manusia atau jin atau apa saja selain dari Allah. 
3 Riwayat al-Bukhari. 
4 Musuh Islam sentiasa merancang, menyusun strategi dan pelan tindakan untuk menjauhkan umat Islam dari al-Quran dan antaranya ialah ialah menjauhkan umat Islam dari bahasa Arab. Dikalangan orang Islam sendiri ramai yang brranggapan bahawa bahasa Arab tidak lebih dari sekadar salah satu bahasa asing bagi mereka (bagi bangsa bukan Arab) Justeru itu mereka tidak melihat sebagai bahasa utama bagi umat Islam tanpa mengira bangsa. 
5 Bidang pengkhususan, di kalangan ulamak Islam disebut sebagai ilmu Fardhu Kifayah, iaitu yang diwajibkan kepada sebilangan orang Islam. Tetapi bagi mereka mestilah menguasai ilmu-ilmu asas seperti Bidang pengkhususan, di kalangan ulamak Islam disebut sebagai ilmu Fardhu Kifayah, iaitu yang diwajibkan kepada sebilangan orang Islam. Tetapi bagi mereka mestilah menguasai ilmu-ilmu asas seperti
al-Quran, a-Sunnah, konsep Islam yang sebenarnya, hukum hakam dalam agama dan seumpamanya yang dikategorikan oleh ulamak Islam sebagai ilmu Fardhu Ain. 
6 Maksud surah al-Anbia. 
7Al-Ustadh Mustafa Masyhur, Suri Teladan di Sepanjang Jalan Dakwah, (Trj. Mudasir Rosdet) Dewan Pustaka Fajar, K. Lumpur, 1989, h 109. 
[2] Rujukan :

Abdullah Alwi Hassan (2000). ”Pertumbuhan Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia, Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur Dewan Bahasa Dan Pustaka. 

Abdul Rahman Al-Ahmadi (2000). ”Pendidikan Islam di Malaysia. Pembinaan Intelek Agama “, Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Abdul Rahman Nawas, dll. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur :Pustaka Haji Abdul Majid. 

8 al-Alaq : 1-5. 
9 al-Zumar, ayat 9. 
10 Ali-Imran, Ayat 18. 
11 Di petik dari buku Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama dan Wasiat Iman, (Trj. Syed Ahmad Semit, Pustaka Nasional, Singapura) cet. 5, 1995, h. 104. 
12 Riwayat al-Bukhari. 
13 Al-Bukhari, Sohih al-Bukhari, (TRJ YADIM), jilid 1, 1994, h. 91
14 Ibid, h, 83. 
15 al-Qaradawi, Fi fiqh al-Awlawiyat, Maktab Wahbah, cet. 2, 1996. h. 85. 
16 Riwayat Muslim (hadith ini terdapat beberapa riwayat yang berbeza dari segi teks Arabnya) 
17 al-Bukhari, Sahih Bukhari, (TRJ YADIM), cet. 2, 1994, h 19. 
18 Ibid. 
19 Al-Qaradawi, Iman dan kehidupan (Trj. H. Fachruddin Hs) Bulan Bintang Jakarta, 1977, h. 25. 
20 Maksud A-Quran, Al-Hujurat, 15. 
21 Op. Cit. h. 25-29. 
22 Lihat Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 8-9. 
23 Lihat Al-Qur an, Surah Al-Nisa’, ayat 142. 
24 Lihat surah al-Naml, ayat 14 dan al-Baqarah 146

25 Lihat surah al-Hujurat ayat 15. 
26 Lihat surah al-Nisa’, Ayat 65 dan An-Nur, 51
27 Lihat surah al-Ahzab, ayat 36. 
28 Lihat surah al-Anfal. ayat 2-4. 
29 Lihat surah al-Mu’minun, ayat 1-5. 
30 al-Baqarah :213. 
31 Taghut ialah sesuatu, biasanya yang mempunyai kuasa, samada manusia atau jin yang mengajak manusia ke arah selain dari Allah. 
32 al-Nahl :36. 
33 Ada sebilangan buku disebut bahawa akhirat bermula dengan hari kebangkitan. 
34 al-Ra’d :8. 

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com