Dakwah menurut ajaran Islam

1. Pendahuluan

Perkataan dakwah berasal daripada perkataan Arab yang selalunya membawa erti, meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru atau melaung. Pengertian tersebut dapat dilihat di dalam beberapa ayat al-Quran, diantaranya yang bermaksud : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya ialah terdirinya langit dan bumi [dalam keadaan menakjubkan itu] dengan perintah dan penentuan takdir-Nya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan [supaya kamu bangkit hidup semula] dari bumi, kamu dengan serta merta keluar [dari kubur masing-masing]. [al-Rum: 25]

Manakala dalam ayat Yusuf pula bermaksud: Yusuf berkata, wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjaradaripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya dan jika Engkau tidak menjauhkan daripada aku tipu daya mereka, 
mungkin aku akan cenderung kepada mereka dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya. [Yusuf: 33]. 

Perkataan dakwah yang terdapat di dalam ayat daripada Surah al-Rum diatas, bererti menyeru dan yang terdapat didalam ayat didalam ayat daripada Surah Yusuf di atas pula bererti mengajak. 
Perkataan dakwah yang berasal daripada bahasa Arab itu, didalam bahasa Malaysia telah digunakan dengan membawa erti yang tertentu. Kamus Dewan memberi pengertian kepada perkataan dakwah dengna menyebut bahawa ia mempunyai dua pengertian:
i) Penyebaran agama [lazimnya disebut agama Islam]
ii) [Mengikut bahasa percakapan] mematuhi ajaran agama Islam dengan lebih sempurna. 
Dengan itu berdakwah ertinya menjalankan kegiatan menyebarkan agama [Islam] dan ajaran-ajarannya. 

2. Definisi

Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah itu? Berbagai pendapat dan pandangan telah di definisikan oleh ramai orang. Tokoh-tokoh dan ulama-ulama Islam juga telah mengemukakan jawapan dan pandangan masing-masing terhadap persoalan tersebut dimana ini adalah satu perkara yang sangat menarik. Muhammad al-Ghazali, seorang ulama yang terkenal telah menyebutkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan dakwah ialah satu kurikulum dan perancangan yang lengkap, yang mana setiap peringkat mengandungi semua ilmu penegetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang membawa pertunjuk dan hidayat bagi mereka. 
Dr. Yusof Qardhawi, juga seorang ulama yang termasyhur mengatakan bahawa dakwah itu bermakna atau memepunyai erti, berusaha membawa orang lain kepada agama Allah, mengikut petunjuk-Nya, melaksanakan ketetapan Allah dibumi ini, menentukan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat setia kepada-Nya sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan taghut [yang bukan dari Allah] yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditetapkan haknya oleh allah, menafikan hak pada orang yang dinafikan hak nya oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran serta berjihad pada jalan-Nya. 
Manakala Adam Abdullah al-Aluri pula menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah. ia merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya. 
Daripada pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh berbagai orang dan tokoh didalam bidangnya seperti diatas itu, dapatlah diambil satu kesimpulan iaitu dakwah ialah usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan untuk membawa manusia kepada Allah dan keredaan-Nya. 
Pada asalnya perkataan dakwah itu tidak berdiri bersendirian dimana ia diikuti pula oleh perkataan Islamiah di belakangnya, menjadikan frasa lengkapnya ialah Dakwah Islamiah. Maka dakwah dalam penggunaan tersebut asalnya ialah Dakwah Islamiah. Bagaimanapun dalam penggunaan hariannya, sesuai dengan sebutannya yang menjadi lebih ringkas, orang selalunya menyebut Dakwah sahaja dan meninggalkan perkataan Islamiah. Namun apa yang dimaksudkan oleh perkataan tersebut tetap juga dalam pengertian asalnya iaitu dakwah Islamiah. Daripada beberapa pengertian dakwah sebagaimana yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh diatas tadi, dapatlah disimpulkan bahawa dakwah itu bukan sahaja laungan dan seruan yang tiada hujung pangkalnya. Dakwah merupakan satu seruan yang teratur dan rapi yang mempunyai strateginya yang tersendiri. 
Dakwah bukan sahaja semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan oleh Allah melalui wahyu atau apa yang selalu disebutkan oleh banyak pihak sebagai ilmu agama tetapi ia lebih daripada itu. Dakwah mengajarkan ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah, manafaat dan kegunaan serta kesempurnaan hidup seseorang manusia atau insan yang menjadi hamba Allah dan hidup serta bermastautin untuk sementara berpindah ke alam yang kekal dan abadi iaitu di akhirat. 
Dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah tetapi mestilah disertakan dengan bentuk dan tatacara yang baik bagi mempengaruhi manuisa yang ingin berdakwah ke jalan Allah. Dakwah bukanlah bererti agama itu sendiri tetapi merupakan usaha untuk membawa manusia kepada Allah dan agamanya. Oleh itu, dakwah ialah satu usaha yang dirancang dengan baik, teratur dan sisitematik untuk membawa manusia kepada matlamat kenapa mereka dilahirkan ke dunia ini iaitu bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

3. Kewajipan Berdakwah
[1]Manusia memerlukan pimpinan dan bimbingan yang dapat membawa mereka ke jalan kebenaran. Mereka yang memimpin manusia terdiri daripada golongan para nabi dan rasul yang menjadi pendakwah dan mengajak manusia ke jalan kebenaran. 
Tetapi setelah berlalunya zaman para nabi dan rasul masyarakat manusia masih lagi memerlukan pemimpin. Di sinilah terletaknya tanggungjawab umat Islam, betapa pentingnya pula lapangan ini untuk membimbing masyarakat umum supaya dapat diawasi akidah serta amalan perbuatan dan akhlak ummah. Oleh itu dakwah amatlah diperlukan. Amar makruf dan nahi mungkar adalah sebagai asas dakwah dalam Islam. 
Seperti dalam firman Allah dalam surah ali-imran; ayat 104. Didalam surah ini jelas menunjukkan bahawa dakwah Islamiah dituntut oleh agama. Tuntutan ini ditujukan kepada muslimin seluruhnya dan dilaksanakan berperingkat-peringkat. 
Kaum muslimin seluruhnya ditugaskan memilih dan membentuk kumpulan pendakwah. Mereka yang dipilih secara langsung hendaklah bertugas menjalankan dakwah. Umat Islam ialah pendukung amanah Allah untuk meneruskan risalah Islam dengan dakwah, samada sebagai umat kepada umat yang lain atau selaku orang perseorangan, walau dimana mereka berada mengikut kemampuan masing-masing. 
Dakwah dalam erti kata amar makruf dan nahi mungkar ialah merupakan syarat mutlak untuk kesempurnaan dan keselamatan hidup masyarakat. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab pada kaum muslimin seluruhnya sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menjalankan dakwah seperti didalam firman Allah dalam surah al’Ashr; ayat 1 – 3. 
Kewajipan menjalankan dakwah bukan hanya terletak pada individu umum masyarakat Islam tetapi kewajipan itu juga diatas bahu pemerintah. Pemerintah wajib menjalankan, menyusundan mengatur perjalanan dakwah supaya terjamin kejayaannya. Kerajaan dalam sesebuah negara Islam wajar mengambil berat dalam perkara yang berhubung dengan dakwah kerana di tangan pemerintahlah terletaknya segala kemudahan yang ada seperti radio dan televisyen yang memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah. 
Mengikut ijmak ulama pula menyampaikan dakwah itu adalah wajib iaitu wajib kifa’i dan wajib ayni. Wajib kifa’i sekiranya telah ada segolongan umat Islam yang melakukan tugas dakwah, maka gugurlah kewajipan itu kepada golongan yang lain pula. Manakala wajib ayni ialah sekiranya seseorang itu mendpati dirinya seorang sahaja yang beragama Islam. Contohnya, seorang muslim yang tinggal bersama kumpulan orang yang bukan Islam atau seorang muslim yang tinggal di negara yang bukan Islam. Maka pada waktu itu kewajipan berdakwah menjadi wajib ayni dan yang demikian hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan ilmu dan tenaganya. 
Sabda rasulullah SAW yang bremaksud: Sampaikanlah apa yang [kamu terima] daripada ku walaupun satu ayat. Banyak ayat al-Quran yang menunjukkan nabi Muhammad SAW disuruh berdakwah. Namun demikian umat Islam bertanggungjawab seperti juga Rasulullah SAW dalam tugas dakwahnya. Ayat-ayat yang menyuruh Rasulullah SAW berdakwah adalah juga meliputi semua orang Islam kerana apa yang dihadapkan oleh Allah kepada rasul-Nya pada asalnya termasuk semua umatnya melainkan ada perkara yang dikecualikan. Ternyata dari segi ini umat Muhammad SAW tiada pengecualiannya. 
Berdasarkan kepada al-Quran dan hadith nabi, dari segi tanggungjawab seorang muslim, dakwah Islamiah adalah wajib daripada aspek pengertian dakwah makruf dan nahi mungkar, berdakwah adalah wajib bagi individu muslim seluruhnya. 
Gerakan dakwah Islamiah ke jalan Allah ialah suatu tugas suci yang menjadi tanggungjawab setiap orang Islam. Tujuannya ialah untuk menyebarkan ajaran Islam ke arah keseluruh dunia supaya cahaya ilahi yang suci ini terus memainkan peranannya memerangi syirik dan kufur serta segala kemungkaran yang sentiasa menyerang fitrah manusia. Sehubungan perkara ini, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah. 

4. Ciri-ciri Pendakwah
[2]Pendakwah atau da’i mestilah memiliki sifat-sifat berikut untuk memastikan dakwahnya lebih berkesan kepada masyarakat. Antara sifat-sifatnya ialah seperti yang berikut:

4. 1 Memahami maksud al-Quran dan Hadith
Hukum syarak perlu diketahui sekadar yang cukup untuk menjalankan tugas serta rahsia tasyrik kemudian mengenengahkannya dengan jujur. Dengan itu dapatlah diberi pengajaran yang betul serta memberi kepuasan hati kepada orang yang bertanya. 
Al-Hassan al-Basri berkata, “ Orang yang beramal dengan tidak ada pegetahuan sama seperti orang yang berjalan tidak diatas jalan yang betul dan orang yang berpengetahuan dengan tidak ada amal akan lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki. Manakala kata Hukamak pula, “ Sesiapa menuruti sesuatu jalan dengan tidak ada alamat [dalil] maka dia akan tersesat dan sesiapa berpegang dengan sesuatu pegangan yang tidak ada asalnya maka dia akan tergelincir. 
Firman Allah dalam surah al-Nahl; ayat 16 yang bermaksud: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu. “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-ngadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah SWT. tidak akan berjaya [mereka hanya mendapat] sedikit kesenangan [di dunia] dan mereka pula akan memperolehi azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Sesungguhnya orang yang membuat dusta terhadap Allah tidak akan beruntung. 

4. 2 Beramal dan berilmu
Perbuatan da’i tidak sekali-kali boleh mendustakan perkataannya. Iaitu perbuatan yang bertentangan dengan kata-katanya, zahirnya berlainan dengan batinnya. Seseorang pendakwah itu tidak boleh menyuruh orang lain membuat kebaikan atau meninggalkan keburukan selagi dia sendiri tidak berbuat demikian dan dia tidak boleh melarang sesuatu selagi dia sendiri tidak meniggalkannya supaya segala kata-katanya memberi manafaat dan diikuti oleh orang lain. 
Malik bin Dinar berkata sekiranya ada orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya, maka akan tergelincirlah [menyimpang dan tidak berkesan] wa’az [nasihat agamanya] daripada setiap hati sebagaimana perangsang supaya berhias dengan kemuliaan padahal dirinya kosong daripadanya ataupun menyuruh menjauhkan kehinaan tetapi dirinya bergelumang dengan dosa. Maka kata-kata itu akan menjadi sia-sia sahaja dan hanya menimbulkan rasa jijik di kalangan orang awam dan juga ejekkan dari golongan intelek
Firman Allah dalam surah al-Shaf; ayat 2 – 3 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. 
Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu sedangkan kamu tidak melakukannya. 
Ayat di atas menyuruh seseorang pendakwah mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya kerana jika pendakwah tersebut mengerjakannya terlebih dahulu maka orang ramai pasti akan mengikutnya. 

4. 3 Sabar
Sabar menjadi tanda kesempurnaan ilmu pengetahuan. Perkataan dan tutur kata yang lemah lembut menjadi kunci kepada segala hati. Seseorang itu dapat mengubati penyakit jiwa dengan keadaan tenang dan tidak cepat menjadi marah. 
Hati seseorang pendakwah itu adalah tenang dan tidak mudah dikuasai oleh perasaan marah, tidak tergesa-gesa dan sentiasa bertindak dengan waras dan wajar serta sentiasa senyum yang boleh menambat hati seseorang. 

4. 4 Berani kerana benar
Seseorang pendakwah itu hendaklah berani dan tidak gentar kepada sesiapa melainkan Allah untuk mengemukakan yang hak [benar] juga tidak terhalang kerana dicaci dan dicela demi menyampaikan pengajaran agama Allah. Di samping itu tidak pula berdiam diri apabila melihat kemungkaran. Ketika berhujah untuk menentang lawan, hendaklah mengemukakan hujah yang bernas, tidak dengan maki hamun atau secara kasar samada dengan sindiran atau secara langsung. 


4. 5 Mulia diri dan tidak mengambil harta orang
Bersih diri, tidak tamak dan tidak terpengaruh dengan apa yang ada pada diri orang lain. Seseorang yang tidak berhajat kepada sesuatu yang dimiliki oleh orang lain akan dikasihani manusia dan dipandang mulia. 

4. 6 Sederhana
Pendakwah yang menyintai dunia akan mendorong orang lain supaya menyintai dunia seperti dirinya. Apabila keadaan ini berlaku, maka dia akan menjadi perosak dunia dan bukannya orang yang memperbaikinya dan mereka bukanlah orang yang menjadi penyeru kepada Allah. 
Kedudukan seseorang ulama terletak pada sifatnya yang sederhana dan juga kepada dunia ini. Begitu juga pandangan orang ramai terhadap nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberikannya. Sama ada mereka menolak, mempercayai atau sebaliknya. 

4. 7 Kuat hujah dan fasih lidah
Pendakwah yang tidak mempunyai hujah yang kuat dan lidah yang fasih kata-katanya tidaklah dapat memberi kesan yang sepenuhnya. Bahkan akan menyebabkan kecacatan bagi kerja-kerja tablighnya. Kekuatan hujah dan kefasihan lidah amatlah bersar kesannya kepada manusia. Petah dan fasih bercakap boleh menawan dan menarik hati orang yang mendengar. 
Nabi Musa a. s pernah berdoa kepada Allah SWT sebelum berjumpa dengan Firaun. Doanya seperti dalam surah Thala; ayat 25-28 yang bermaksud: Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untuk ku dada ku dan mudahkanlah urusan ku dan lepaskanlah kekakuan daripada lidah ku, supaya mereka mengerti perkataan ku. ”

4. 8 Kuat kepercayaan kepada janji Allah
Dapat membangkitkan hemahnya serta dapat mengambil segala peluang untuk menjayakan seruannya dengan hati yang penuh yakin bahawa sekiranya seruannya tidak mendatangkan kesan pada hari itu maka akan mendatangkan kesan pada hari esok. Serta percaya bahawa batil [palsu] tetap akan hancur, iaitu akan tiba bagi kebenaran untuk mengatasi kepalsuan. 

5. Methodologi dakwah
[3]Methodologi berasal dari perkataan metod yang bererti cara melakukan sesuatu atau sistem. Ia berasal dari perkataan Inggeris [method] yang bererti sistem, aturan atau kaedah. Seseorang yang hendak berdakwah mestilah mengetahui teknik berdakwah kerana tanpanya masyarakat akan menolak dan menerima secara negatif. 
Al-Quran merupakan faktor utama sebagai rujukan dakwah dan ia banyak mengemukakan methodologi dakwah untuk menjadi rujukan. Terdapat beberapa ciri berdakwah, diantaranya ialah:-
i) Hikmah
Maksud hikmah ialah kebijaksanaan para pendakwah dalam meyakinkan dan menghilangkan kesangsian terhadap masyarakat tentang ajaran yang disampaikan dengan memasukkan kata-kata dan contoh yang boleh diterima akal. 

ii) Nasihat
- memberi nasihat, peringatan dan teguran yang baik. 
Teknik yang digunakan ialah bercakap dengan lemah lembut tentang kejahilan yang terdapat di dalam diri manusia itu serta sentiasa berhubung rapat dengan mereka dalam memperluaskan ajaran agama Islam. 

iii) Berdailog dengan cara yang baik

Berhujah dengan berlandaskan kepada ilmu yang hak [benar] dan pengalaman merupakan satu cara dakwah yang paling berkesan. Ceramah-ceramah yang berkaitan dengan dakwah ini boleh dijalankan dalam bentuk ceramah, diskusi, dialog, seminar, forum dan kelas-kelas bimbingan. 


5. Tribulasi dakwah
[4]Sejak zaman Rasulullah SAW, Islam berdepan dengan berbagai-bagai ancaman, halangan, sekatan dan cabaran dalam menyebarkan dakwah. Namun, Islam terus memancarkan cahayanya ke segenap pelusuk dunia. Kebangkitan Islam wujud di serata tempat laksana air bah yang sentiasa melepasi benteng, suara azan terus bergema di pusat-pusat pengajian dan juga jumlah pelajar yang memasuki sekolah agama semakin meningkat. Badan-badan dakwah bergerak dengan cergas untuk melanjutkan eksistensi Islam di bumi Allah ini. Namun, dalam fenomena tersebut Islam sentiasa ke depan dengan pencabar-pencabarnya yang datang dari dua arah iaitu dalaman dan luaran. Contoh yang dapat kita ambil dari cabaran yang telah berlaku pada zaman Nabi dan Rasul ialah Rasulullah SAW telah berdakwah selama dua puluh tiga tahun iaitu di Makkah tiga belas tahun dan di Madinah sepuluh tahun. Baginda menghadapi berbagai rintangan dalam memperkembangkan agama Islam. 

6. Kesimpulan
[5]Kesimpulan yang boleh didapati di dalam kenyataan ini ialah melaksanakan penyiaran agama Allah kepada semua umat manusia dengan bijaksana amatlah penting. Janganlah menggunakan kekerasan apalagi mencela secara yang tidak sopan dalam menjalan tugas tersebut. Dalama menyampaikan ajaran dakwah seseorang itu mestilah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. 

2 Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Nur Niaga Sdn. Bhd., hal. 19 - 22
[2] Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hal. 42 - 46
[3] Ghazali Darusalam, (1996), Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hal. 28
[4] Ghazli Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hal. 128
[5] Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah,