Budaya kerja cemerlang menurut Islam

PENGENALAN
Budaya kerja ditakrifkan sebagai etika kerja yang di dalamnya terangkum berbagai-bagai perkara yang diperlukan di dalam rangka mencapai matlamat sesebuah organisasi. Budaya kerja ini termasuklah mencapai matlamat, penggunaan sumber-sumber dan faktor pengeluaran mengikut peraturan-peraturan dalaman dan luaran yang telah dikanunkan hubungan manusia di dalam organisasi, hubungan di antara pekerja dengan pihak pengurusan, perlaksanaan hak dan tanggungjawab, peraturan bekerja, kelahiran suasana bekerja yang kondusif, peranan disiplin di dalam menentukan kestabilan organisasi dan sebagainya. 
Pada masa-masa yang lalu, persoalan budaya kerja ini tidak dibicarakan secara serius. Bagi kita terutamanya orang-orang melayu Islam, bekerja merupakan satu perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari atau sebagai satu “routine” yang tidak melibatkan perancangan, etika, peningkatan mutu dan sebagainya. Dengan itu kerja pada kebanyakan orang kita bolehlah dilakukan ala-kadar sahaja, malah ada yang beranggapan bahawa kerja merupakan satu perkara yang boleh dibuat atau tidak buat ditangguhkan dahulu, dibuat secukupnya. Contohnya memenuhi pepatah “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang” ¹ dan mungkin orang yang terlalu kuat bekerja itu akan dianggap sebagai orang yang terlalu ghairah mengejar sesuatu atau berkorban lebih dari had yang sepatutnya. 

¹ Kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang: = orang yang terlalu daif, yang hanya mampu menyara hidupnya sahaja. 

Di dalam Islam telah ditetapkan beberapa ciri budaya kerja cemerlang. Di antaranya ialah:
1) Niat kerana Allah SWT. 
Bekerja dalam islam memerlukan niat yang baik dan hasil yang baik itu menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab. ‘ Niat yang ikhlas kerana Allah’º menjadikan pekerja itu bersikap jujur dan tidak berputus asa atau merasa kecewa dengan halangan dan cabaran yang ditemuinya, tidak mudah berpuas hati dengan pencapaiannya malah akan berusaha mencapai hasil yang lebih baik dan akan bertindak sebagai penyumbang kepada pihak lain, bukan hanya menerima bantuan dari orang lain kerana sebagai seorang yang dinamik, menyumbang kepada kebajikan dan matlamat orang lain dan kerjanya haruslah bersih dan suci dari sebarang unsur-unsur negatif dan haram. 

2) Seseorang yang jujur dan beramanah
Menurut Agama Islam, bekerja adalah satu tuntutan dan satu keperluan. Jika kerja itu menepati beberapa syarat tertentu, bekerja itu menjadi satu ibadat yang dituntut oleh Allah SWT. dan seharusnya dilaksanakan dengan penuh jujur, amanah dan bertanggungjawab supaya tanggungjawab dan ‘amanah’ ¹ yang ditunaikan dengan baik itu dibalas dengan balasan baik di hari akhirat nanti. Dalam masa yang sama, kerja yang dilaksanakan sebagai tanggungjawab ibadat ini juga menjadi tugas dan kewajipan suci dan tidak lagi menjadi tugas peribadi di mana individu itu
boleh menolak atau menerimanya. 

¹ Amanah: salah satu daripada sifat mahmudah yang terdapat dalam diri orang-orang yang bertaqwa. 
º Niat kerana Allah: Nawaitu seseorang pekerja atau pengurus ialah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. 

3) Berdisiplin
Oleh kerana bekerja merupakan tugas yang tidak dapat dielakkan dan merupakan tanggungjawab agama, maka pekerja ini pula haruslah mematuhi ‘disiplin’ ¹, nilai dan etika kerja yang tertentu. Pekerja juga haruslah mempunyai sikap dan penilaian yang positif dalam melaksanakan tugasnya pekerja juga haruslah menentukan objektif kerjanya di antara mencapai hasil kebendaan dalam bentuk rezeki untuk dirinya sendiri dan orang – orang di bawah tanggungannya dan habuan tertentu untuk masyarakatnya. Pekerja juga harus mengimbangi di antara kepentingan peribadinya dan kepentingan orang-orang lain di dalam masyarakatnya. Bekerja dalam konteks ini pula tidaklah terhad untuk kelompok-kelompok tertentu atau jenis tertentu sahaja. Malahan bekerja adalah menjadi tugas lelaki dan perempuan seperti firman Allah SWT. 

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”
surah Al-Nahl, ayat 97. 

¹ Disiplin : Taat atau patuh kepada arahan pengurus atau majikan. 

4) Objektif kehidupan dunia berhubungkait dengan objektif kehidupan akhirat
Di dalam apa sahaja yang dilakukan seseorang pengurus dan pekerja mesti dapat menghubungkait di antara objektif kehidupan dunia iaitu untuk menunaikan keperluan-keperluan kehidupan seharian dengan º ‘objektif ’ kehidupan akhirat iaitu mendapatkan keredhaan Allah SWT. Setiap apa yang dilakukan berada di bawah pengawasan Allah S W T. Perasaan sentiasa merasakan kewujudan ketuhanan menyebabkan seseorang itu merasai pentingnya melakukan sesuatu di tahap yang terbaik daripada Allah. Jika terdapat pengurus dan pekerja yang cuba memisahkan kehidupan dunia dan kehidupan akhirat dalam ertikata mementingkan kehidupan dunia dan mengesampingkan kehidupan akhirat, sesungguhnya tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak Allah. Al-Quran menyanggah sikap sedemikian :

“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal”

surah Al-A`alaa ayat 16-17. 

Adalah menjadi suatu perkara yang tidak sejajar dengan islam seandainya seorang pengurus atau pekerja terlalu mementingkan kehidupan akhirat sehingga meninggalkan tuntutan dunia. Jika ini berlaku umat islam akan berada di dalam keadaan kerugian lantaran meninggalkan tuntutan dunia dan keperluan keduniaan. Adalah menjadi keperluan bagi umat Islam maju dalam semua lapangan seperti pendidikan, pelbagai kajian saintifik, perindustrian dan perkilangan, pertanian dan ternakan dan sebagainya. Seorang pengurus atau pekerja bukan sahaja bertanggungjawab menentukan tertunainya kehendak dan keperluan diri dan keluarga, tetapi juga tuntutan dan keperluan masyarakat dan ummah. Semakin produktif seseorang pengurus dan pekerja, maka semakin produktiflah masyarakat dan ummah. Berikutan dengan itu, semakin bermaknalah kehidupan seseorang pengurus atau pekerja di dalam masyarakatnya dan juga di dalam amalan keIslamannya. 

5) Menyedari kepentingan nilai moral dan agama di dalam pekerjaan. 
Di dalam Islam tiap-tiap satu pekerjaan yang dilakukan mempunyai nilai moral dan
¹ ‘agama’ yang mesti sentiasa disedari. Bekerja bukanlah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan material tetapi yang lebih penting lagi adalah merupakan tuntutan atau obligasi moral dan agama yang dilakukan semata-mata bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah telah menyediakan semua keperluan manusia untuk hidup di muka bumi ini. Manusialah yang seharusnya mencari, mengusaha dan menggunakan sumber-sumber keperluan tersebut daripada berbentuk bahan mentah hinggalah ke peringkat barangan yang dapat dimanfaatkan. Segala usaha yang dilakukan akan dicatitkan sebagai amal soleh atau amal jariah yang akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. 
Kebaikan dan nilai sesuatu pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah banyak disebutkan di dalam hadith. Salah satu daripada hadith tersebut berbunyi:

“Barangsiapa yang di waktu petangnya merasakan kelelahan sebab kerja tangannya, maka diwaktu petang itulah ia terampuni dosanya”
º Objektif : Tujuan atau matlamat yang ingin dicapai. 
¹ Agama : Ad-Din iaitu agama Allah yakni Islam. 


6) Penggunaan masa di peringkat optima
Islam memberi penghargaan yang tersangat tinggi kepada masa. Umur manusia merangkumi tahun, bulan, jam, minit dan saat yang kesemuanya menggambarkan masa yang dibahagi-bahagi mengikut bahagian tertentu. Masa adalah barangan atau modal yang semestinya dimanfaatkan secara baik-baiknya dan tidak sekali-kali boleh disia-siakan. 

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. ”
 (surah Al-Asr ayat 1-3) 

Setiap pekerja juga hendaklah memulakan kerja tepat atau sebelum pada masa yang ditetapkan, bekerja keras dan tidak melibatkan diri di dalam perkara-perkara yang boleh membawa mereka kepada melakukan perbuatan pembaziran masa seperti menghabiskan masa di kantin, melayan panggilan telefon yang tidak perlu atau melaksanakan perkara-perkara lain yang tidak menggambarkan rasa tanggungjawab di dalam menggunakan masa. Perlaksanaan amal ibadah pada masa dan ketika yang tertentu seperti yang tersebut di atas hendaklah diterjemahkan ke dalam suasana pekerjaan iaitu mengendalikan pekerjaan pada masa-masa yang ditetapkan dengan tepat pada waktunya tanpa ditangguh-tangguhkan. Penangguhan tugas bererti kecuaian dan kelalaian dan ini boleh menggambarkan setakat mana kita dapat mengendalikan kerja mengikut susunan keutamaan yang sepatutnya. Perkara yang sepatutnya dilakukan dengan segera hendaklah dilakukan dengan segera dan begitulah seterusnya. Sebagai contoh, surat-surat yang diterima hendaklah diberikan jawapan dengan segera. Sekiranya jawapan yang segera tidak dapat diberikan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, sekurang-kurangnya nota tanda penerimaan surat hendaklah dilayangkan. 

7) Menghayati sifat-sifat Mahmudah
Setiap pengurus dan pekerja harus setiap masa dan ketika berusaha memahami dan menghayati melalui proses pengibadatan ‘sifat-sifat mahmudah’ º di samping berusaha mengikiskan sifat-sifat mazmumah di dalam kehidupan seharian termasuk di dalam suasana bekerja. Sifat-sifat ini tidak mungkin dapat diterapkan tanpa proses mujahadah khususnya memerangi kehendak nafsu syahwat yang tidak terbatas itu. Cabaran dan ancaman yang terbesar yang dihadapi oleh pengurus dan pekerja adalah cabaran menyekat kehendak nafsu syahwat. Setiap manusia perlu menghadapi cabaran ini dengan penuh keinsafan dan waspada kerana syaitan dan iblis yang menjadi musuh utama manusia begitu bijak tipu helah mereka dalam usaha mereka untuk menipu helah manusia. 

8) Sentiasa menilai dan membaiki pekerjaan
Untuk menjadi pengurus dan pekerja yang baik mereka seharusnya memperuntukkan masa dan kesempatan untuk menilai dan seterusnya membaiki tugas dan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Di peringkat individu mereka harus dapat memeriksa diri mereka untuk mencari kelemahan yang boleh dibaiki dan mereka harus dapat menilai penghasilan dan produktiviti yang diusahakan berbanding dengan tanaman modal tenaga dan pemikiran yang telah disumbangkan. Perkara yang berhubung dengan penilaian, keberkesanan sumbangan seseorang individu dan pekerjaan yang dilakukan boleh dilihat daripada aspek yang lebih luas meliputi syarikat, badan-badan korporat dan juga badan-badan kerajaan dan separa kerajaan. Dari semasa ke semasa kajian perlu dibuat atas urusan pengendalian tugas dan tanggungjawab ataupun pengeluaran dan penghasilan dari sudut setakat mana keberhasilan, kerberkesanan dan kecekapan sesuatu tugas atau kerja yang diusahakan. 

9) Tidak Membenarkan Amalan Pilih Kasih
Budaya kerja Islam mahukan setiap pengurus dan pekerja menentukan bahawa pekerja-pekerja dilayan dengan adil, bebas dari amalan ‘pilih kasih’ ¹. Islam sentiasa menekankan keperluan mempertahankan keadilan dan memusuhi penindasan. Dalam Al-Quran ada sepotong ayat yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pekerjaan. ”
 (An-Nahl:90) 
Pekerja-pekerja hendaklah dilayan dengan penuh rasa kasih sayang dan kemesraan serta simpati. Mereka mesti dapat merasakan rasa kehormatan diri dan tidak pernah merasakan rasa rendah diri walaupun mereka berada di tahap pekerja bawahan. Mereka mesti dibimbing dan diasuh supaya dapat merasakan bahawa mereka adalah penting dan tanpa mereka organisasi tidak mungkin menjadi kukuh. 

º Sifat-sifat mahmudah : Sifat-sifat terpuji yang disukai oleh Allah. 
¹ Pilih kasih : salah satu daripada sifat-sifat yang dibenci oleh Allah
10) Sentiasa Memberi Perhatian Kepada Keperluan Pekerja
Pihak yang bertanggungjawab seharusnya menyediakan kemudahan-kemudahan asasi kepada setiap pekerja seperti menyediakan tempat dan suasana bekerja yang kondusif. Pihak pengurusan hendaklah sentiasa mendengar dan menimbangkan sebarang rungutan dan aduan dengan penuh rasa simpati dan seboleh-bolehnya menyelesaikan rungutan dan aduan tersebut dengan segera. Pekerja-pekerja pula hendaklah sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan dengan tidak mengambil tindakan yang terburu-buru yang akan melemahkan organisasi dan akhirnya melemahkan ummah. Pada masa ini ramai wanita-wanita yang diambil bekerja dan pihak pengurusan mestilah sentiasa memberi perhatian istimewa kepada kumpulan pekerja yang seperti ini lantaran mereka memerlukan layanan dan keperluan yang agak berbeza daripada pekerja lelaki. Pada setiap masa dan ketika faktor moral dan akhlak hendaklah menjadi asas utama dalam memberi layanan dan menunaikan kehendak dan permintaan pekerja-pekerja wanita. Pihak pengurusan haruslah juga membina suasana kehormatan kepada kaum wanita kerana kehormatan kepada kaum wanita adalah merupakan asas terpenting di dalam mewujudkan kestabilan akhlak dan moraliti. 

11) Gaji Yang Berpatutan Dan Pembayaran Yang Segera
Islam mensyaratkan setiap pekerja diberi ‘gaji’ º yang berpatutan dan upahan dibayar dengan seberapa segera yang mungkin. Majikan juga perlu memikirkan faktor-faktor lain seperti rawatan hospital, pampasan hilang keupayaan dan jaminan kehidupan selepas bersara. 
Islam menganggap upah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan adalah sebagai pemerasan yang menyentuh hak asasi manusia. Islam mengutuk perbuatan sedemikian. 
Untuk menggambarkan sanjungan Islam kepada tenaga yang telah dicurahkan, ajaran Islam mengkehendaki supaya pekerja-pekerja dibayar upah mereka sebaik-baiknya setelah mereka selesai melakukan kerja yang diperuntukkan itu. Menangguh-nangguhkan bayaran upah tanpa sebab yang munasabah adalah dianggap sebagai penindasan dan kezaliman. Nabi Muhammad SAW. mengajar kita dengan sabdanya :

“Jelaskanlah upah pekerja itu sebelum kering peluh mereka. ” (Riwayat Ibn Majah) 

12) Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap ¹
Ketekunan adalah satu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing sekiranya mereka tekun. Rasulullah SAW. 
bersabda :

“Sesungguhnya Allah amat suka seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun. ”

Hadith ini menunjukkan bahawa sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Komitmen yang tidak berbelah bagi kepada pekerjaan yang dilakukan dalam konteks membesarkan Allah SWT. adalah merupakan suatu perkara yang kurang dihayati oleh pengurus dan pekerja muslim. Prinsip kesungguhan dan ketekunan hendaklah menjadi landasan kepada falsafah bekerja bagi memungkinkan penghasilan dan produktiviti para pekerja sentiasa meningkat. 

º Gaji : iaitu satu imbuhan atau bayaran yang dikenakan selepas tenaganya dikerah
¹ Tekun dan cekap: Salah satu daripada sifat mahmudah yang harus dimiliki oleh setiap pekerja. 

13) Amalan Al-Shura
Islam menggalakkan umatnya sentiasa memberi dan menerima pendapat dan membuat sesuatu keputusan dengan terlebih dahulu meninjau pendapat mereka yang berkenaan supaya keputusan yang dibuat dapat mengambil kira keperluan setiap orang dalam kumpulan. Dalam hubungan ini mesyuarat dan konsultasi di kalangan pengurus dan pekerja amat dialu-alukan. Sebaik-baiknya setiap unit-unit ‘Al-Shura’ ¹ samada untuk menyelesaikan masalah di peringkat unit ataupun menyelesaikan masalah di peringkat organisasi. Allah memerintahkan manusia supaya mengamalkan prinsip Al-Shura

“Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkal kepada Allah menyukai kepada orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. ”

Sementara itu Nabi telah menjanjikan bahawa seseorang yang sentiasa bermesyuarat di dalam mengendalikan urusannya dengan izin Allah ia tidak akan binasa daripada tindakan yang diambilnya. Ini dijelaskan oleh sebuah hadith berbunyi : Tidak mungkin seseorang binasa sesudah bermesyuarat. ”
14) Pembahagian Tugas Berdasarkan Kepakaran dan Kebolehan
Bidang ilmu pengetahuan amatlah luas. Setiap individu tidak mungkin menguasai sebahagian besar daripada cabang-cabang ilmu yang terdapat di dalam Islam. 
Bagi mendapatkan tenaga dan kemahiran yang kena pada tempat dan masanya Islam memberi perhatian yang istimewa kepada kebolehan dan ‘kepakaran’ º seeorang pekerja. Pihak pengurusan hendaklah bijak menyusun tugas dan menentukan tugas itu dikendalikan oleh mereka yang benar-benar arif di dalam bidang tersebut. Tindakan menyerahkan sesuatu tugas dan tanggungjawab yang tidak sejajar dengan kebolehan, kemampuan dan kemahiran seseorang pekerja boleh menimbulkan kesan yang buruk serta akan menjejaskan prestasi individu tersebut yang akhirnya menjejaskan organisasi. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, tunggulah masanya (kehancuran). ” (Riwayat Muslim) 

¹ Al-shura : iaitu satu mesyuarat yang diadakan untuk berbincang hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan. 
º Kepakaran : iaitu kehebatan atau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang individu dalam sesuatu bidang. 

RUMUSAN


Budaya kerja ini jelas memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi oleh setiap individu samada pengurus atau pekerja. Ia bukan sahaja memerlukan peningkatan mutu kerja dan produktiviti, tetapi juga perlu meningkatkan nilai-nilai moral dan mencari jalan supaya pekerja-pekerja mempunyai kesedaran untuk hidup beramanah dan bertanggungjawab secara jujur serta peka kepada kesejahteraan masyarakat dan negara umumnya. 

Proses mendidik masyarakat mengamalkan budaya kerja yang sihat mestilah dilaksanakan oleh semua pihak. Sebenarnya proses pendidikan masyarakat tentang budaya kerja ini merangkumi berbagai-bagai program dan kempen-kempen kesedaran dan nilai-nilai murni agama serta ketuhanan merupakan satu unsur penting dan berkesan dan seharusnya dihayati dan diamalkan. Oleh itu, pandangan agama, nilai-nilai agama yang berbentuk universal, nilai taqwa dan iman haruslah diberikan perhatian dan tekanan yang sewajarnya


_
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com