Fungsi dan tanggung jawab manusia

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

1. Pengenalan

Dikalangan seluruh makluk yang Allah SWT ciptakan manusia mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan pada manusia ialah akal fikiran. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian"
 (Surah al-Tin, ayat 4) 

Bersesuaian dengan kelebihan yang Allah kurniakan kepada manusia, manusia telah diberi tanggungjawabnya yang tersendiri iaitu sebagai khalifah di muka bumi ini. Disamping menjadi khalifah manusia juga mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia termasuklah tanggungjawab terhadap Allah SWT, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. 

2. Peranan dan Tanggungjawab Terhadap Allah SWT

Setiap manusia mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri khususnya bagi orang islam iaitu tanggungjawab terhadap Allah SWT yang diasaskan terlebih dahulu dengan akidah dan keimanan. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah seperti menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat dan mengerjakan haji. Manakala bagi orang tidak beriman tidak dipertanggungjawabkan kerana mereka telah ingkar dan tempat mereka diakhirat kelak ialah neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Beberapa lelaki yang dapat dilalaikan oleh perniagaan daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, yang takut kepada hari yang berbolak-balik, hati-hati dan pandangan-pandangan. "
 (Surah al-Nur : ayat 37) 

[1]Di dalam Islam, ibadah merupakan suatu kewajipan yang harus dilakukan tanpa merasakan dan menganggap ianya sebagai suatu bebanan. [2]Manusia seharusnya menganggap bahawa ibadah ini merupakan suatu penyataan perhubungan di antara Allah Taala dengan makhluk-Nya dan ianya merupakan suatu penyataan tentang betapa mulianya manusia disisi Allah SWT kerana mereka boleh berbahagia dengan menghampirkan diri dengan Allah SWT. 
Firman Allah yang bermaksud :

"Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang bersujud"
 (Riwayat Muslim) 

[3]Menurut pengertian bahawa ibadah bermaksud patuh, taat, setia, tunduk dan mendambakan diri kepada sesuatu. Perkataan ibadah adalah berasal dari Bahasa Arab. [4]Menurut Imam Ibnu Taimiyah ibadah dapat didefinikan sebagai "suatu nama yang meliputi tiap-tiap perkara yang disukai, diredai Allah, samada melalui perkataan atau perbuatan zahir dan batin. " Ibadah merupakan suatu perkara pokok yang membolehkan seorang muslim menurutinya dan melakukannya sebagaimana yang dikehendaki di dalam Islam. Ibadah apabila dilakukan dengan ikhlas akan memperolehi kesan yang baik di dalam bentuk yang sebenar, keseronakkan berbuat taat dan kemanisan iman. [5]Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah Taala telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai anak adam, terdapat empat perkara, dimana satu untukku, satu untuk engkau, satu antara aku dan engkau dan akhirnya antara engkau dan makhlukku. Maka Perkara untukku ialah, bahawa engkau hendaklah beribadah (menyembah) kepadaku dan jangan menyekutuiku dengan sesuatu. Perkara yang menjadi milikmu ialah, bahawa amalanmu itu akan kubalas dengan yang lebih hebat dari itu. Perkara yang menjadi mulik antaraku dan engkau ialah bahawa engkau berdoa dan aku memperkenankannya. Dan milik bersama antara engkau dan makhlukku ialah berilah kepada manusia dengan apa yang engkau suka jika diberi oleh mereka. "

i) Ibadat Solat. 

Perkataan solat berasal dari [6]perkataan Arab yang bermaksud doa dan pujian. Manakala dari segi istilah solat bermaksud "menghadap jiwa kepada Allah SWT yang menimbulkan rasa keanggungNya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalan beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan Takbiratul-Ihram dan diakhiri dengan salam. Ibadah Sembahyang merupakan rukun Islam yang kedua yang dilakukan oleh setiap umat Islam lima waktu sehari semalam. Setiap umat Islam wajib bertanggungjawab mengabdikan diri dan beribadat menyembah Allah SWT. Umat Islam yang lalai dari tanggungjawab ini akan menerima balasan dari Allah dihari akhirat kelak. [7]Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) ; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) "

 (Surah al-Ankabut : Ayat 45) 


Ibadah Solat telah meninggalkan beberapa kesan antaranya adalah seperti berikut:
Daripada apa yang diterangkan di dalam ayat di atas, jelas menyatakan dengan mengerjakan solat manusia dapat menjauhkan diri dan mencegah dari melakukan perbuatan keji dan mungkar yang merugikan umat islam dan mereka akan selalu mengingati Allah SWT serta bertaqwa kepadaNya seterusnya akan menjauhkan diri dari larangan-larangan Allah SWT. 

Individu yang mengerjakan solat akan sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan tenang. [8]Ini adalah disebabkan sekiranya seseorang itu menunaikan solat (menghubungkan diri dengan Allah SWT) individu tersebut terpaksa membersihkan seluruh anggota badannya dari sebarang kekotoran dan najis iaitu dengan melakukan penyucian seluruh badan seperti mandi, beristinjak dan berwuduk. 

Ibadat solat juga melatih seseorang individu dari sentiasa taat dan patuh pada masa serta dapat menepati masa dengan sewajarnya. Waktu-waktu solat seperti solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh mempunyai masa-masanya yang tertentu dan terhad antara waktu-waktu tersebut. 

Ibadat solat juga dapat melatih individu tersebut supaya mengurus masa dengan sebaik mungkin. Secara tidak langsung dapat melatih individu dari mementingkan masa dan mempergunakan masa sebaik mungkin seperti mana yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW dan firman Allah yang bermaksud :

"Rebutlah lima peluang sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. "
dan
"Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian; melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati melakukan kebenaran dan saling menasihati bersikap sabar. "
 (al-Ashr; Ayat 1-3) 

Ibadat solat juga dapat melatih umat Islam supaya taat dengan pemimpin. 
Pemimpin dalam konteks ini ialah imam, manakala rakyatnya pula ialah makmum. 

Solat juga dapat mewujudkan perasaan hormat menghormati, persaudaraan dan kasih sayang antara satu dengan yang lain. Seterusnya dapat mengelak dari berlakunya perpecahan kaum khususnya umat Islam. 

ii) Ibadat Puasa
[9]Puasa merupakan rukun yang ketiga di dalam Rukun Islam dan ianya dilakukan pada bulan Ramadhan setiap tahun. Puasa bermaksud [10]menahan diri dari sesuatu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu kerana Allah Taala. Perintah yang mewajibkan puasa ini banyak disebut di dalam al-Quran. Antara firman Allah SWT yang bermaksud :
" wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"
 (Surah al-Baqarah ; ayat 183) 

Terdapat beberapa kesan sekiranya ibadat ini dilakukan dengan sebaik mungkin dan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah:

Berpuasa dapat melatih diri supaya tidak terlalu menurut hawa nafsu dan kejahatan. Berpuasa juga dapat menguatkan iman kepada Allah. 

Berpuasa dapat menginsafkan diri dan mengetahui bagaimana keadaan orang miskin yang menanggung kelaparan serta melahirkan perasaan tolong-menolong antara satu sama lain. Kasih sayang terhadap fakir miskin, anak-anak yatim serta orang-orang yang melarat hidupnya. 

Berpuasa juga dapat melatih diri dan bersikap sabar serta kuat menghadapi cabaran. 

Berpuasa juga dapat melatih diri supaya amanah dan mentaati segala suruhan Allah SWT. 

Berpuasa dapat menyihatkan badan dan melatih hidup berdisiplin. 

Berpuasa adalah sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah SWT kerana menurunkan nikmat dan pemberian yang tidak terhingga pada makluknya. 

Orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan ikhlas hati dan betul-betul mengharapkan keredhaan Allah akan diampuni segala dosanya yang lalu. 

Berpuasa dapat menginsafkan diri bahawa kita adalah seorang hamba yang lemah disisinya. 

Berpuasa dapat memperkuatkan kekuatan fikiran dan memberi kekuatan penglihatan mata hati (basirah). 

iii) Ibadat Zakat
Merupakan Rukun Islam yang keempat. [11]Zakat dari segi bahawa bermaksud subur, bersih dan berkembang. [12]Dari segi syarak, zakat bermaksud mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Hukum zakat ialah Fardhu Ain ke atas tiap-tiap orang islam yang cukup syaratnya. Zakat dapat dibahagikan kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. [13]Islam mewajibkan umat-umatnya yang berada supaya mengeluarkan zakat iaitu sebahagian kecil atau cukup nisabnya / sukatan / timbangan daripada simpanan atau perniagaannya / pertanian dan ternakan bagi tujuan membantu orang-orang miskin. Firman Allah yang bermaksud :
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlahn zakat"
 (Surah al-baqarah : ayat 43) 
dan
"ambillah zakat sebahagian dari harta mereka dengan zakat itu dapat mensuci dan membersihkan mereka"
 (Surah al-taubah : ayat 103) 
Kesan dari amalan berzakat ialah :
Menyucikan diri dan jiwa serta menjauhkan diri dari sifat tamak haloba dan kedekut. 
Dapat menguatkan hubungan persaudaraan sesama Islam tanpa mengira darjat dan keturunan. 
Sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan dan sentiasa mengingati orang yang susah dari kita (fakir miskin). 

iv) Ibadat Haji
Merupakan kewajipan yang kelima yang dituntut dan disyaratkan ke atas mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kesihatan untuk sampai ke Mekah dan pulang ke tanah air. [14]Pengertian Haji dari segi bahasa bermaksud pergi/menuju. Manakala dari segi istilah pula bermaksud mengunjungi Batiullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu serta dikerjakan pada masa-masa tertentu. [15]Firman Allah yang bermaksud :
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. "
 (Surah Ali-imran ; ayat 97) 

Kesan dari ibadat haji :
Dapat mengunjungi kaabah/baitullah dismaping menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah dan melihat tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT serta memperteguhkan iman dan keyakinan terhadapnya. 
Dengan perhimpunan seluruh umat Islam di seluruh dunia, akan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan. 
Dapat membentuk disiplin dikalangan umat Islam dan mencegah larangan. 
Mengetahui dan mendapat iktibar dari sejarah awal kewujudan Islam. 

Kesemua ibadah-ibadah ini harus dilakukan oleh setiap umat islam supaya dapat menjadi umat islam yang sempurna dan lengkap dengan segala keperluan yang dituntut. Untuk mendapatkan hasil yang sempurna kesemua ibadah yang dilakukan ini seharusnya dengan seikhlas hati dan niat yang betul. Sesungguhnya keikhlasan niat adalah merupakan salah satu daripada rukun-rukun ibadah, seperti [16]firman Allah yang bermaksud :
"maka barang siapa yang percaya akan pertemuan dengan TuhanNya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah menyengutukan dengan sesuatu dalam beribadah dengan Tuhannya"
 (Surah Al-kahfi; ayat 110) 

3. Peranan dan tanggungjawab terhadap diri

Setiap manusia di dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan segala kelebihan dan keistimewaan jika dibandingkan dengan makhluk lain. Jesteru itu, manusia khususnya umat Islam seharusnya menjadi sebagai seorang hamba dan khalifah Allah yang baik menurut lunas-lunas Islam yang sepatutnya. 

Di dalam hal ini ilmu memainkan peranan yang penting di dalam memantapkan diri untuk menjadi hamba dan khalifah Allah SWT dimuka bumi ini. Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah. 

a) Ilmu Fardhu Ain
Merupakan ilmu yang berkaitan dengan Allah SWT dan Rasul-rasul. Ilmu ini perlu didalami supaya mendapat kesempurnaan di dalam hubungan antara hamba dan penciptanya iaitu melalui ibadah-ibadah khusus. 

b) Ilmu Farhu Kifayah
Berkaitan dengan keduniaan dan bidang-bidangnya adalah berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. 

Selain itu setiap umat Islam juga seharusnya memelihara hak diri dari soal agama hinggalah aktiviti yang dilakukan seharian. Dengan adanya akal fikiran yang waras dan ilmu yang mendalam akan dapat mendidik individu di dalam membuat segala keputusan dan perbuatan mengikut lunas-lunas Islam yang sewajarnya. Dengan adanya ilmu Fadhu Ain, individu tersebut tidak akan melakukan perkara-perkara yang diluar batas sebagai umat Islam yang boleh membawa kepada syirik. Mereka akan sentiasa menjaga diri dan berwaspada serta menjaga maruah diri demi agama suci, iaitu agama islam. Ilmu yang mereka pelajari itu adalah sebagai batasan dan panduan di dalam menjadi umat Islam yang sempurna. Individu juga seharusnya mengelak diri dari diancam dan mengancam kententeraman diri dan umum. Bunuh-membunuh adalah perkara yang dilarang oleh Allah dan merupakan dosa yang paling besar selain dari menduakan Allah (syirik). Namun demikian hukum membunuh (hukuman qisas-membunuh balas) diharuskan sekiranya mempunyai sebab tertentu seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar"
 (Surah al-An'am; ayat 151) 
Selain itu dengan adanya ilmu pengetahuan juga setiap individu dapat membezakan yang mana baik dan buruk. Penilaian yang dibuat ini adalah penting di dalam memantapkan diri supaya menjadi umat Islam yang sebenarnya. 

Islam membenarkan dan tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Namun kekayaan yang dicari itu seharusnya menurut jalan yang betul dan mengelak dari melakukan perbuatan yang melanggar syarak seperti rasuah, mencuri dan sebagainya. 



Tanggungjawab terhadap keluarga
Struktur sesebuah masyarakat terdiri dari beberapa kelompok keluarga dan di dalam sesebuah keluarga terdiri daripada beberapa orang ahli tetap iaitu ibu, bapa, suami, isteri dan anak-anak. Setiap ahli di dalam keluarga ini mempunyai tanggungjawab dan peranannya yang tersendiri. [17] Antara tanggungjawab yang utama dan paling penting yang harus diberikan kepada ahli keluarganya ialah memberi pendidikan keagamaan yang secukupnya. Seperti mana firman Allah yang bermaksud :
"wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala) "
 (Surah al-Tahrim; ayat 6) 

Di sini jelaslah bahawa Allah telah mengingatkan setiap umat Islam supaya menyelamatkan diri dan keluarganya dari api neraka iaitu melalui cara mematuhi dan taat mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Walaupun pada dasarnya tanggungjawab ini amat berat namun ia seharusnya dilakukan dan dimulai oleh ketua keluarga dengan ini ahli-ahli keluarga yang lain akan cuba menuruti apa yang dilakukan oleh ketua keluarga ini. Selain itu, ketua keluarga juga boleh menyusuli dengan nasihat tunjuk ajar. Dengan ini secara tidak langsung ketua keluarga telah memainkan peranan dan tanggungjawab terhadapnya. 

Selain itu, ketua keluarga juga seharusnya memberi nafkah, tunjuk ajar dan memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT serta melarang melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran seperti firman Allah yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat (keluarga), dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman"
 (Surah an. Nahl ; ayat 90) 
disamping membantu mereka yang miskin, lemah dan sebagainya. 

4. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. 
Anak merupakan kurniaan Allah yang tidak terhingga bagi setiap pasangan suami dan isteri. Tanpa anak maka tidak berserilah rumahtangga pasangan berkenaan. Oleh yang demikian, di atas rahmat yang Allah kurniakan ibu dan bapa seharusnya bertanggungjawab ke atas anak-anak yang dianugerahkan itu. Antara peranan bagi setiap ibu bapa ke atas anak-anak ialah memberi pendidikan dan mengasuh anak-anak supaya menjadi anak yang soleh. Firman Allah yang bermaskud :
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu berhala"
 (Surah al-Tahrim; 6) 

Dengan adanya pengetahuan mengenai ilmu keagamaan maka mereka dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Dengan ini mereka dapat mengetahui batas-batas sebagai orang Islam dan dapat melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan segala larangannya. Begitu juga dengan pengetahuan keduniaan yang mana perlu diseimbangkan supaya mereka (anak-anak) berjaya di dunia dan di akhirat. Kasih sayang yang keterlaluan juga kadang-kadang meninggalkan kesan yang buruk kepada anak-anak. Keadaan ini wujud apabila ibu bapa tidak memberi apa teguran apabila anaknya melakukan kesalahan. Bak kata pepatah melayu; "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan. "

5. Tanggungjawab anak kepada ibu bapa
Agama Islam telah mengatur kewajipan dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Ini adalah kerana ibu dan bapa adalah manusia yang melahirkan, mendidik dan menjaga kita sejak kecil hingga dewasa. Oleh yang demikian, kita sebagai seorang anak seharusnya dan wajib membalas jasa mereka. Sebagai seorang anak kita seharusnya menjaga mereka tidak kira sama ada ketika susah atau sebaliknya. Dengan adanya kasih sayang ini secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan yang erat antara anak dengan ibu bapa. Mereka juga akan merasa lebih bahagia dengan sikap anak sebegini. Islam telah mengajar adab seseorang anak terhadap ibu bapanya. contohnya di dalam memberi pendapat, dan nasihat kepada ibu bapa yang mana ianya haruslah menggunakan cara-cara yang tertentu supaya tidak mengguris perasaan mereka. Ini bersesuaian dengan apa yang terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasai) 

Terdapat banyak firman-firman Allah yang menyebut mengenai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Dengan ini, jelaslah bahawa anak mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam memelihara kedua ibu bapa semasa mereka sedang melewati batas-batas usia. Selain dari menjaga dan memelihara ibu bapa, Islam juga memberi cara tanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang anak apabila ibu dan bapa meninggal dunia, iaitu secara berdoa dan beristigfar. Selain itu, anak-anak juga boleh membuat dan menyempurnakan perjanjian yang dilakukan oleh ibu bapa dengan orang lain semasa hayatnya. Anak-anak juga seharusnya memuliakan sahabat-sahabat ibu bapa sebagai mana yang dilakukan oleh mereka ketika mereka masih hidup dan anak-anak juga boleh menyambung silaturrahim dengan orang lain yang tidak dapat dismabung semasa hayat mereka. Di dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ada menyebut "apabila mati seorang anak adam, maka putuslah amal perbuatannya selain dari tiga perkara; iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah atau amal jariah, dan anak yang salih, yang mendoakan (kebaikan) baginya. " (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah) 

6. Tanggungjawab suami terhadap isteri. 
Seorang suami yang baik ialah suami yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin mengikut landasan Islam. Seorang suami seharusnya mempunyai sifat tanggung jawab dan memberi ilmu agama yang sewajarnya supaya dengan adanya ilmu ini pada si isteri, maka mereka dapat mengetahui batas-batas san supaya dapat menjadi sebagai seorang isteri dan ibu yang baik. Selain itu suami-suami juga harus dibertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Suami juga seharusnya memberi tempat tinggal yang sempurna, makanan dan pakaian mengikut tahap kemampuan. 

7. Tanggungjawab isteri kepada suami
Di dalam Islam seorang isteri seharusnya taat pada suami dan selalu menjaga kesuciannya. Isteri juga seharusnya berkelakuan baik demi menjaga maruah diri dan suami supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di dalam hubungan suami isteri. Selain itu isteri-isteri juga seharusnya sama bertanggungjawab mendidik anak-anak supaya menjadi Isteri-isteri dan ibu yang baik. Mereka juga seharusnya akur dan bersikap bersedia apabila suami mengkehendaki pada bila-bila masa kecuali masa yang tertentu yang dilarang di dalam Islam. 

8. Tanggungjawab terhadap masyarakat. 
[18]Konsep masyarakat di dalam Islam berasaskan sistem perhubungan dan persaudaraan. Ia diasaskan daripada firman Allah "sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara" (Surah al-Hujurat; ayat 10). Segala perintah dan larangan Allah SWT menjadi suatu tanggungjawab dan kewajipan untuk dilaksanakan dan dipatuhi oleh setiap orang yang mengaku dirinya Islam. Di dalam Islam perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan perpaduan ummah seperti memfitnah, mengumpat dan sebagainya adalah dilarang dan sekiranya dilakukan juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan masyarakat. 

Terdapat beberapa tanggungjawab yang harus dilakukan oleh setiap umat Islam di dalam masyarakat iaitu :

i) Doa mendoakan
Lafaz salam antara sesama Islam misalnya ketika berjumpa seharusnya memberi salam atau merupakan doa yang bermaksud "selamat sejahtera ke atas kamu"

ii) Sayang menyayangi
[19]Setiap umat Islam hendaklah sentiasa menyayangi sesama Islam seperti mana menyayangi dirinya sendiri ataupun membencinya seperti membenci diri sendiri. 
Seperti mana sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Bukhari dan Muslim "Orang mukminin itu diumpamakan dalam keadaan saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi; sebagaimana sekujur badan, apabila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasai demamnya dan berjaga malam"

Tidak menyakiti hati dan tidak menyebarkan keburukan kepada orang lain. 
Setiap umat Islam tidak menyakiti hati umat Islam yang lain, baik dari perbuatan mahupun lisan atau percakapan. Perbuatan yang menyakiti hati umat Islam seperti mengumpat, menghina berdusta dan sebagainya. Umat Islam juga dilarang sama sekali untuk menyebarkan keburukan orang lain ini adalah bertujuan untuk menjaga maruah individu tersebut. 

iv) Tidak sombong dan membesarkan diri
Setiap umat Islam seharusnya bersifat merendah diri dan menjauhi diri dari sifat sombong atau membesarkan diri, angkuh dan sebagainya. Allah melarang umat Islam supaya jangan bersifat sombong seperti di dalam [20]firman Allah yang bermaksud :
"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engaku tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang"
 (Surah al-Isra' ; ayat 37) 

Tanggungjawab terhadap negara
Umat Islam adalah khalifah Allah dimuka bumi ini dengan itu, sesuai dengan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh setiap individu Islam iaitu menjaga dan mempertahankan negara dari ancaman dalam dan luar negara. Mereka yang telah dilantik untuk menjadi pemimpin seharusnya lebih bersifat bertanggungjawab dan menjaga negara dari dijajah baik dari segi fizikal mahupun mental. 

Tanggungjawab terhadap alam
Alam adalah anugerah Allah. Kita sebagai Khalifah Allah seharusnya menajag dan memelihara anugerah Allah ini dengan sebaik mungkin. Misalnya di dalam melaksanakan hubungan dengan tumbuhan, kita sebagai manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menebang sesuka hati, sekiranya ianya dilakukan juga kemungkinan akan menyebabkan kemusnahan alam seperti berlakunya banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Begitu juga halnya dengan hubungan manusia dengan haiwan dimana kita seharusnya tidak menyeksa haiwan-haiwan ini. Sekiranya perlu membunuh seharusnya dilakukan dengan sebaik mungkin tanpa membuat penyeksaan ke atas haiwan tersebut. 

Kesimpulan

Setiap umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri sama ada tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, ibu, bapa, suami, isteri, anak dan sebagainya. Banyak firman-firman Allah dan hadis-hadis nabi yang menerangkan maksud tanggungjawab dan peranan ini. Kita seharusnya menjadikan firman-firman Allah dan hadis ini sebagai panduan di dalam menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya supaya tidak lari dari landasan sebagai mana yang terdapat di dalam Islam.