Fungsi dan tanggung jawab manusia

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

1. Pengenalan

Dikalangan seluruh makluk yang Allah SWT ciptakan manusia mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan pada manusia ialah akal fikiran. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian"
 (Surah al-Tin, ayat 4) 

Bersesuaian dengan kelebihan yang Allah kurniakan kepada manusia, manusia telah diberi tanggungjawabnya yang tersendiri iaitu sebagai khalifah di muka bumi ini. Disamping menjadi khalifah manusia juga mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia termasuklah tanggungjawab terhadap Allah SWT, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. 

2. Peranan dan Tanggungjawab Terhadap Allah SWT

Setiap manusia mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri khususnya bagi orang islam iaitu tanggungjawab terhadap Allah SWT yang diasaskan terlebih dahulu dengan akidah dan keimanan. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah seperti menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat dan mengerjakan haji. Manakala bagi orang tidak beriman tidak dipertanggungjawabkan kerana mereka telah ingkar dan tempat mereka diakhirat kelak ialah neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Beberapa lelaki yang dapat dilalaikan oleh perniagaan daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, yang takut kepada hari yang berbolak-balik, hati-hati dan pandangan-pandangan. "
 (Surah al-Nur : ayat 37) 

[1]Di dalam Islam, ibadah merupakan suatu kewajipan yang harus dilakukan tanpa merasakan dan menganggap ianya sebagai suatu bebanan. [2]Manusia seharusnya menganggap bahawa ibadah ini merupakan suatu penyataan perhubungan di antara Allah Taala dengan makhluk-Nya dan ianya merupakan suatu penyataan tentang betapa mulianya manusia disisi Allah SWT kerana mereka boleh berbahagia dengan menghampirkan diri dengan Allah SWT. 
Firman Allah yang bermaksud :

"Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang bersujud"
 (Riwayat Muslim) 

[3]Menurut pengertian bahawa ibadah bermaksud patuh, taat, setia, tunduk dan mendambakan diri kepada sesuatu. Perkataan ibadah adalah berasal dari Bahasa Arab. [4]Menurut Imam Ibnu Taimiyah ibadah dapat didefinikan sebagai "suatu nama yang meliputi tiap-tiap perkara yang disukai, diredai Allah, samada melalui perkataan atau perbuatan zahir dan batin. " Ibadah merupakan suatu perkara pokok yang membolehkan seorang muslim menurutinya dan melakukannya sebagaimana yang dikehendaki di dalam Islam. Ibadah apabila dilakukan dengan ikhlas akan memperolehi kesan yang baik di dalam bentuk yang sebenar, keseronakkan berbuat taat dan kemanisan iman. [5]Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah Taala telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai anak adam, terdapat empat perkara, dimana satu untukku, satu untuk engkau, satu antara aku dan engkau dan akhirnya antara engkau dan makhlukku. Maka Perkara untukku ialah, bahawa engkau hendaklah beribadah (menyembah) kepadaku dan jangan menyekutuiku dengan sesuatu. Perkara yang menjadi milikmu ialah, bahawa amalanmu itu akan kubalas dengan yang lebih hebat dari itu. Perkara yang menjadi mulik antaraku dan engkau ialah bahawa engkau berdoa dan aku memperkenankannya. Dan milik bersama antara engkau dan makhlukku ialah berilah kepada manusia dengan apa yang engkau suka jika diberi oleh mereka. "

i) Ibadat Solat. 

Perkataan solat berasal dari [6]perkataan Arab yang bermaksud doa dan pujian. Manakala dari segi istilah solat bermaksud "menghadap jiwa kepada Allah SWT yang menimbulkan rasa keanggungNya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalan beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan Takbiratul-Ihram dan diakhiri dengan salam. Ibadah Sembahyang merupakan rukun Islam yang kedua yang dilakukan oleh setiap umat Islam lima waktu sehari semalam. Setiap umat Islam wajib bertanggungjawab mengabdikan diri dan beribadat menyembah Allah SWT. Umat Islam yang lalai dari tanggungjawab ini akan menerima balasan dari Allah dihari akhirat kelak. [7]Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) ; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) "

 (Surah al-Ankabut : Ayat 45) 


Ibadah Solat telah meninggalkan beberapa kesan antaranya adalah seperti berikut:
Daripada apa yang diterangkan di dalam ayat di atas, jelas menyatakan dengan mengerjakan solat manusia dapat menjauhkan diri dan mencegah dari melakukan perbuatan keji dan mungkar yang merugikan umat islam dan mereka akan selalu mengingati Allah SWT serta bertaqwa kepadaNya seterusnya akan menjauhkan diri dari larangan-larangan Allah SWT. 

Individu yang mengerjakan solat akan sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan tenang. [8]Ini adalah disebabkan sekiranya seseorang itu menunaikan solat (menghubungkan diri dengan Allah SWT) individu tersebut terpaksa membersihkan seluruh anggota badannya dari sebarang kekotoran dan najis iaitu dengan melakukan penyucian seluruh badan seperti mandi, beristinjak dan berwuduk. 

Ibadat solat juga melatih seseorang individu dari sentiasa taat dan patuh pada masa serta dapat menepati masa dengan sewajarnya. Waktu-waktu solat seperti solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh mempunyai masa-masanya yang tertentu dan terhad antara waktu-waktu tersebut. 

Ibadat solat juga dapat melatih individu tersebut supaya mengurus masa dengan sebaik mungkin. Secara tidak langsung dapat melatih individu dari mementingkan masa dan mempergunakan masa sebaik mungkin seperti mana yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW dan firman Allah yang bermaksud :

"Rebutlah lima peluang sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. "
dan
"Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian; melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati melakukan kebenaran dan saling menasihati bersikap sabar. "
 (al-Ashr; Ayat 1-3) 

Ibadat solat juga dapat melatih umat Islam supaya taat dengan pemimpin. 
Pemimpin dalam konteks ini ialah imam, manakala rakyatnya pula ialah makmum. 

Solat juga dapat mewujudkan perasaan hormat menghormati, persaudaraan dan kasih sayang antara satu dengan yang lain. Seterusnya dapat mengelak dari berlakunya perpecahan kaum khususnya umat Islam. 

ii) Ibadat Puasa
[9]Puasa merupakan rukun yang ketiga di dalam Rukun Islam dan ianya dilakukan pada bulan Ramadhan setiap tahun. Puasa bermaksud [10]menahan diri dari sesuatu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu kerana Allah Taala. Perintah yang mewajibkan puasa ini banyak disebut di dalam al-Quran. Antara firman Allah SWT yang bermaksud :
" wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"
 (Surah al-Baqarah ; ayat 183) 

Terdapat beberapa kesan sekiranya ibadat ini dilakukan dengan sebaik mungkin dan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah:

Berpuasa dapat melatih diri supaya tidak terlalu menurut hawa nafsu dan kejahatan. Berpuasa juga dapat menguatkan iman kepada Allah. 

Berpuasa dapat menginsafkan diri dan mengetahui bagaimana keadaan orang miskin yang menanggung kelaparan serta melahirkan perasaan tolong-menolong antara satu sama lain. Kasih sayang terhadap fakir miskin, anak-anak yatim serta orang-orang yang melarat hidupnya. 

Berpuasa juga dapat melatih diri dan bersikap sabar serta kuat menghadapi cabaran. 

Berpuasa juga dapat melatih diri supaya amanah dan mentaati segala suruhan Allah SWT. 

Berpuasa dapat menyihatkan badan dan melatih hidup berdisiplin. 

Berpuasa adalah sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah SWT kerana menurunkan nikmat dan pemberian yang tidak terhingga pada makluknya. 

Orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan ikhlas hati dan betul-betul mengharapkan keredhaan Allah akan diampuni segala dosanya yang lalu. 

Berpuasa dapat menginsafkan diri bahawa kita adalah seorang hamba yang lemah disisinya. 

Berpuasa dapat memperkuatkan kekuatan fikiran dan memberi kekuatan penglihatan mata hati (basirah). 

iii) Ibadat Zakat
Merupakan Rukun Islam yang keempat. [11]Zakat dari segi bahawa bermaksud subur, bersih dan berkembang. [12]Dari segi syarak, zakat bermaksud mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Hukum zakat ialah Fardhu Ain ke atas tiap-tiap orang islam yang cukup syaratnya. Zakat dapat dibahagikan kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. [13]Islam mewajibkan umat-umatnya yang berada supaya mengeluarkan zakat iaitu sebahagian kecil atau cukup nisabnya / sukatan / timbangan daripada simpanan atau perniagaannya / pertanian dan ternakan bagi tujuan membantu orang-orang miskin. Firman Allah yang bermaksud :
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlahn zakat"
 (Surah al-baqarah : ayat 43) 
dan
"ambillah zakat sebahagian dari harta mereka dengan zakat itu dapat mensuci dan membersihkan mereka"
 (Surah al-taubah : ayat 103) 
Kesan dari amalan berzakat ialah :
Menyucikan diri dan jiwa serta menjauhkan diri dari sifat tamak haloba dan kedekut. 
Dapat menguatkan hubungan persaudaraan sesama Islam tanpa mengira darjat dan keturunan. 
Sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan dan sentiasa mengingati orang yang susah dari kita (fakir miskin). 

iv) Ibadat Haji
Merupakan kewajipan yang kelima yang dituntut dan disyaratkan ke atas mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kesihatan untuk sampai ke Mekah dan pulang ke tanah air. [14]Pengertian Haji dari segi bahasa bermaksud pergi/menuju. Manakala dari segi istilah pula bermaksud mengunjungi Batiullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu serta dikerjakan pada masa-masa tertentu. [15]Firman Allah yang bermaksud :
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. "
 (Surah Ali-imran ; ayat 97) 

Kesan dari ibadat haji :
Dapat mengunjungi kaabah/baitullah dismaping menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah dan melihat tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT serta memperteguhkan iman dan keyakinan terhadapnya. 
Dengan perhimpunan seluruh umat Islam di seluruh dunia, akan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan. 
Dapat membentuk disiplin dikalangan umat Islam dan mencegah larangan. 
Mengetahui dan mendapat iktibar dari sejarah awal kewujudan Islam. 

Kesemua ibadah-ibadah ini harus dilakukan oleh setiap umat islam supaya dapat menjadi umat islam yang sempurna dan lengkap dengan segala keperluan yang dituntut. Untuk mendapatkan hasil yang sempurna kesemua ibadah yang dilakukan ini seharusnya dengan seikhlas hati dan niat yang betul. Sesungguhnya keikhlasan niat adalah merupakan salah satu daripada rukun-rukun ibadah, seperti [16]firman Allah yang bermaksud :
"maka barang siapa yang percaya akan pertemuan dengan TuhanNya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah menyengutukan dengan sesuatu dalam beribadah dengan Tuhannya"
 (Surah Al-kahfi; ayat 110) 

3. Peranan dan tanggungjawab terhadap diri

Setiap manusia di dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan segala kelebihan dan keistimewaan jika dibandingkan dengan makhluk lain. Jesteru itu, manusia khususnya umat Islam seharusnya menjadi sebagai seorang hamba dan khalifah Allah yang baik menurut lunas-lunas Islam yang sepatutnya. 

Di dalam hal ini ilmu memainkan peranan yang penting di dalam memantapkan diri untuk menjadi hamba dan khalifah Allah SWT dimuka bumi ini. Ilmu ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah. 

a) Ilmu Fardhu Ain
Merupakan ilmu yang berkaitan dengan Allah SWT dan Rasul-rasul. Ilmu ini perlu didalami supaya mendapat kesempurnaan di dalam hubungan antara hamba dan penciptanya iaitu melalui ibadah-ibadah khusus. 

b) Ilmu Farhu Kifayah
Berkaitan dengan keduniaan dan bidang-bidangnya adalah berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. 

Selain itu setiap umat Islam juga seharusnya memelihara hak diri dari soal agama hinggalah aktiviti yang dilakukan seharian. Dengan adanya akal fikiran yang waras dan ilmu yang mendalam akan dapat mendidik individu di dalam membuat segala keputusan dan perbuatan mengikut lunas-lunas Islam yang sewajarnya. Dengan adanya ilmu Fadhu Ain, individu tersebut tidak akan melakukan perkara-perkara yang diluar batas sebagai umat Islam yang boleh membawa kepada syirik. Mereka akan sentiasa menjaga diri dan berwaspada serta menjaga maruah diri demi agama suci, iaitu agama islam. Ilmu yang mereka pelajari itu adalah sebagai batasan dan panduan di dalam menjadi umat Islam yang sempurna. Individu juga seharusnya mengelak diri dari diancam dan mengancam kententeraman diri dan umum. Bunuh-membunuh adalah perkara yang dilarang oleh Allah dan merupakan dosa yang paling besar selain dari menduakan Allah (syirik). Namun demikian hukum membunuh (hukuman qisas-membunuh balas) diharuskan sekiranya mempunyai sebab tertentu seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar"
 (Surah al-An'am; ayat 151) 
Selain itu dengan adanya ilmu pengetahuan juga setiap individu dapat membezakan yang mana baik dan buruk. Penilaian yang dibuat ini adalah penting di dalam memantapkan diri supaya menjadi umat Islam yang sebenarnya. 

Islam membenarkan dan tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Namun kekayaan yang dicari itu seharusnya menurut jalan yang betul dan mengelak dari melakukan perbuatan yang melanggar syarak seperti rasuah, mencuri dan sebagainya. 



Tanggungjawab terhadap keluarga
Struktur sesebuah masyarakat terdiri dari beberapa kelompok keluarga dan di dalam sesebuah keluarga terdiri daripada beberapa orang ahli tetap iaitu ibu, bapa, suami, isteri dan anak-anak. Setiap ahli di dalam keluarga ini mempunyai tanggungjawab dan peranannya yang tersendiri. [17] Antara tanggungjawab yang utama dan paling penting yang harus diberikan kepada ahli keluarganya ialah memberi pendidikan keagamaan yang secukupnya. Seperti mana firman Allah yang bermaksud :
"wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala) "
 (Surah al-Tahrim; ayat 6) 

Di sini jelaslah bahawa Allah telah mengingatkan setiap umat Islam supaya menyelamatkan diri dan keluarganya dari api neraka iaitu melalui cara mematuhi dan taat mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Walaupun pada dasarnya tanggungjawab ini amat berat namun ia seharusnya dilakukan dan dimulai oleh ketua keluarga dengan ini ahli-ahli keluarga yang lain akan cuba menuruti apa yang dilakukan oleh ketua keluarga ini. Selain itu, ketua keluarga juga boleh menyusuli dengan nasihat tunjuk ajar. Dengan ini secara tidak langsung ketua keluarga telah memainkan peranan dan tanggungjawab terhadapnya. 

Selain itu, ketua keluarga juga seharusnya memberi nafkah, tunjuk ajar dan memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT serta melarang melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran seperti firman Allah yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat (keluarga), dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman"
 (Surah an. Nahl ; ayat 90) 
disamping membantu mereka yang miskin, lemah dan sebagainya. 

4. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. 
Anak merupakan kurniaan Allah yang tidak terhingga bagi setiap pasangan suami dan isteri. Tanpa anak maka tidak berserilah rumahtangga pasangan berkenaan. Oleh yang demikian, di atas rahmat yang Allah kurniakan ibu dan bapa seharusnya bertanggungjawab ke atas anak-anak yang dianugerahkan itu. Antara peranan bagi setiap ibu bapa ke atas anak-anak ialah memberi pendidikan dan mengasuh anak-anak supaya menjadi anak yang soleh. Firman Allah yang bermaskud :
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu berhala"
 (Surah al-Tahrim; 6) 

Dengan adanya pengetahuan mengenai ilmu keagamaan maka mereka dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Dengan ini mereka dapat mengetahui batas-batas sebagai orang Islam dan dapat melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan segala larangannya. Begitu juga dengan pengetahuan keduniaan yang mana perlu diseimbangkan supaya mereka (anak-anak) berjaya di dunia dan di akhirat. Kasih sayang yang keterlaluan juga kadang-kadang meninggalkan kesan yang buruk kepada anak-anak. Keadaan ini wujud apabila ibu bapa tidak memberi apa teguran apabila anaknya melakukan kesalahan. Bak kata pepatah melayu; "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan. "

5. Tanggungjawab anak kepada ibu bapa
Agama Islam telah mengatur kewajipan dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Ini adalah kerana ibu dan bapa adalah manusia yang melahirkan, mendidik dan menjaga kita sejak kecil hingga dewasa. Oleh yang demikian, kita sebagai seorang anak seharusnya dan wajib membalas jasa mereka. Sebagai seorang anak kita seharusnya menjaga mereka tidak kira sama ada ketika susah atau sebaliknya. Dengan adanya kasih sayang ini secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan yang erat antara anak dengan ibu bapa. Mereka juga akan merasa lebih bahagia dengan sikap anak sebegini. Islam telah mengajar adab seseorang anak terhadap ibu bapanya. contohnya di dalam memberi pendapat, dan nasihat kepada ibu bapa yang mana ianya haruslah menggunakan cara-cara yang tertentu supaya tidak mengguris perasaan mereka. Ini bersesuaian dengan apa yang terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasai) 

Terdapat banyak firman-firman Allah yang menyebut mengenai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Dengan ini, jelaslah bahawa anak mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam memelihara kedua ibu bapa semasa mereka sedang melewati batas-batas usia. Selain dari menjaga dan memelihara ibu bapa, Islam juga memberi cara tanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang anak apabila ibu dan bapa meninggal dunia, iaitu secara berdoa dan beristigfar. Selain itu, anak-anak juga boleh membuat dan menyempurnakan perjanjian yang dilakukan oleh ibu bapa dengan orang lain semasa hayatnya. Anak-anak juga seharusnya memuliakan sahabat-sahabat ibu bapa sebagai mana yang dilakukan oleh mereka ketika mereka masih hidup dan anak-anak juga boleh menyambung silaturrahim dengan orang lain yang tidak dapat dismabung semasa hayat mereka. Di dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ada menyebut "apabila mati seorang anak adam, maka putuslah amal perbuatannya selain dari tiga perkara; iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah atau amal jariah, dan anak yang salih, yang mendoakan (kebaikan) baginya. " (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah) 

6. Tanggungjawab suami terhadap isteri. 
Seorang suami yang baik ialah suami yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin mengikut landasan Islam. Seorang suami seharusnya mempunyai sifat tanggung jawab dan memberi ilmu agama yang sewajarnya supaya dengan adanya ilmu ini pada si isteri, maka mereka dapat mengetahui batas-batas san supaya dapat menjadi sebagai seorang isteri dan ibu yang baik. Selain itu suami-suami juga harus dibertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Suami juga seharusnya memberi tempat tinggal yang sempurna, makanan dan pakaian mengikut tahap kemampuan. 

7. Tanggungjawab isteri kepada suami
Di dalam Islam seorang isteri seharusnya taat pada suami dan selalu menjaga kesuciannya. Isteri juga seharusnya berkelakuan baik demi menjaga maruah diri dan suami supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di dalam hubungan suami isteri. Selain itu isteri-isteri juga seharusnya sama bertanggungjawab mendidik anak-anak supaya menjadi Isteri-isteri dan ibu yang baik. Mereka juga seharusnya akur dan bersikap bersedia apabila suami mengkehendaki pada bila-bila masa kecuali masa yang tertentu yang dilarang di dalam Islam. 

8. Tanggungjawab terhadap masyarakat. 
[18]Konsep masyarakat di dalam Islam berasaskan sistem perhubungan dan persaudaraan. Ia diasaskan daripada firman Allah "sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara" (Surah al-Hujurat; ayat 10). Segala perintah dan larangan Allah SWT menjadi suatu tanggungjawab dan kewajipan untuk dilaksanakan dan dipatuhi oleh setiap orang yang mengaku dirinya Islam. Di dalam Islam perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan perpaduan ummah seperti memfitnah, mengumpat dan sebagainya adalah dilarang dan sekiranya dilakukan juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan masyarakat. 

Terdapat beberapa tanggungjawab yang harus dilakukan oleh setiap umat Islam di dalam masyarakat iaitu :

i) Doa mendoakan
Lafaz salam antara sesama Islam misalnya ketika berjumpa seharusnya memberi salam atau merupakan doa yang bermaksud "selamat sejahtera ke atas kamu"

ii) Sayang menyayangi
[19]Setiap umat Islam hendaklah sentiasa menyayangi sesama Islam seperti mana menyayangi dirinya sendiri ataupun membencinya seperti membenci diri sendiri. 
Seperti mana sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Bukhari dan Muslim "Orang mukminin itu diumpamakan dalam keadaan saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi; sebagaimana sekujur badan, apabila salah satu anggotanya mengaduh sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasai demamnya dan berjaga malam"

Tidak menyakiti hati dan tidak menyebarkan keburukan kepada orang lain. 
Setiap umat Islam tidak menyakiti hati umat Islam yang lain, baik dari perbuatan mahupun lisan atau percakapan. Perbuatan yang menyakiti hati umat Islam seperti mengumpat, menghina berdusta dan sebagainya. Umat Islam juga dilarang sama sekali untuk menyebarkan keburukan orang lain ini adalah bertujuan untuk menjaga maruah individu tersebut. 

iv) Tidak sombong dan membesarkan diri
Setiap umat Islam seharusnya bersifat merendah diri dan menjauhi diri dari sifat sombong atau membesarkan diri, angkuh dan sebagainya. Allah melarang umat Islam supaya jangan bersifat sombong seperti di dalam [20]firman Allah yang bermaksud :
"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engaku tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang"
 (Surah al-Isra' ; ayat 37) 

Tanggungjawab terhadap negara
Umat Islam adalah khalifah Allah dimuka bumi ini dengan itu, sesuai dengan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh setiap individu Islam iaitu menjaga dan mempertahankan negara dari ancaman dalam dan luar negara. Mereka yang telah dilantik untuk menjadi pemimpin seharusnya lebih bersifat bertanggungjawab dan menjaga negara dari dijajah baik dari segi fizikal mahupun mental. 

Tanggungjawab terhadap alam
Alam adalah anugerah Allah. Kita sebagai Khalifah Allah seharusnya menajag dan memelihara anugerah Allah ini dengan sebaik mungkin. Misalnya di dalam melaksanakan hubungan dengan tumbuhan, kita sebagai manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menebang sesuka hati, sekiranya ianya dilakukan juga kemungkinan akan menyebabkan kemusnahan alam seperti berlakunya banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Begitu juga halnya dengan hubungan manusia dengan haiwan dimana kita seharusnya tidak menyeksa haiwan-haiwan ini. Sekiranya perlu membunuh seharusnya dilakukan dengan sebaik mungkin tanpa membuat penyeksaan ke atas haiwan tersebut. 

Kesimpulan

Setiap umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri sama ada tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, ibu, bapa, suami, isteri, anak dan sebagainya. Banyak firman-firman Allah dan hadis-hadis nabi yang menerangkan maksud tanggungjawab dan peranan ini. Kita seharusnya menjadikan firman-firman Allah dan hadis ini sebagai panduan di dalam menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya supaya tidak lari dari landasan sebagai mana yang terdapat di dalam Islam. 

Dakwah menurut ajaran Islam

1. Pendahuluan

Perkataan dakwah berasal daripada perkataan Arab yang selalunya membawa erti, meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru atau melaung. Pengertian tersebut dapat dilihat di dalam beberapa ayat al-Quran, diantaranya yang bermaksud : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya ialah terdirinya langit dan bumi [dalam keadaan menakjubkan itu] dengan perintah dan penentuan takdir-Nya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan [supaya kamu bangkit hidup semula] dari bumi, kamu dengan serta merta keluar [dari kubur masing-masing]. [al-Rum: 25]

Manakala dalam ayat Yusuf pula bermaksud: Yusuf berkata, wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjaradaripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya dan jika Engkau tidak menjauhkan daripada aku tipu daya mereka, 
mungkin aku akan cenderung kepada mereka dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya. [Yusuf: 33]. 

Perkataan dakwah yang terdapat di dalam ayat daripada Surah al-Rum diatas, bererti menyeru dan yang terdapat didalam ayat didalam ayat daripada Surah Yusuf di atas pula bererti mengajak. 
Perkataan dakwah yang berasal daripada bahasa Arab itu, didalam bahasa Malaysia telah digunakan dengan membawa erti yang tertentu. Kamus Dewan memberi pengertian kepada perkataan dakwah dengna menyebut bahawa ia mempunyai dua pengertian:
i) Penyebaran agama [lazimnya disebut agama Islam]
ii) [Mengikut bahasa percakapan] mematuhi ajaran agama Islam dengan lebih sempurna. 
Dengan itu berdakwah ertinya menjalankan kegiatan menyebarkan agama [Islam] dan ajaran-ajarannya. 

2. Definisi

Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah itu? Berbagai pendapat dan pandangan telah di definisikan oleh ramai orang. Tokoh-tokoh dan ulama-ulama Islam juga telah mengemukakan jawapan dan pandangan masing-masing terhadap persoalan tersebut dimana ini adalah satu perkara yang sangat menarik. Muhammad al-Ghazali, seorang ulama yang terkenal telah menyebutkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan dakwah ialah satu kurikulum dan perancangan yang lengkap, yang mana setiap peringkat mengandungi semua ilmu penegetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang membawa pertunjuk dan hidayat bagi mereka. 
Dr. Yusof Qardhawi, juga seorang ulama yang termasyhur mengatakan bahawa dakwah itu bermakna atau memepunyai erti, berusaha membawa orang lain kepada agama Allah, mengikut petunjuk-Nya, melaksanakan ketetapan Allah dibumi ini, menentukan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat setia kepada-Nya sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan taghut [yang bukan dari Allah] yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditetapkan haknya oleh allah, menafikan hak pada orang yang dinafikan hak nya oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran serta berjihad pada jalan-Nya. 
Manakala Adam Abdullah al-Aluri pula menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah. ia merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya. 
Daripada pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh berbagai orang dan tokoh didalam bidangnya seperti diatas itu, dapatlah diambil satu kesimpulan iaitu dakwah ialah usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan untuk membawa manusia kepada Allah dan keredaan-Nya. 
Pada asalnya perkataan dakwah itu tidak berdiri bersendirian dimana ia diikuti pula oleh perkataan Islamiah di belakangnya, menjadikan frasa lengkapnya ialah Dakwah Islamiah. Maka dakwah dalam penggunaan tersebut asalnya ialah Dakwah Islamiah. Bagaimanapun dalam penggunaan hariannya, sesuai dengan sebutannya yang menjadi lebih ringkas, orang selalunya menyebut Dakwah sahaja dan meninggalkan perkataan Islamiah. Namun apa yang dimaksudkan oleh perkataan tersebut tetap juga dalam pengertian asalnya iaitu dakwah Islamiah. Daripada beberapa pengertian dakwah sebagaimana yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh diatas tadi, dapatlah disimpulkan bahawa dakwah itu bukan sahaja laungan dan seruan yang tiada hujung pangkalnya. Dakwah merupakan satu seruan yang teratur dan rapi yang mempunyai strateginya yang tersendiri. 
Dakwah bukan sahaja semata-mata mengajar ilmu yang diturunkan oleh Allah melalui wahyu atau apa yang selalu disebutkan oleh banyak pihak sebagai ilmu agama tetapi ia lebih daripada itu. Dakwah mengajarkan ilmu-ilmu yang boleh memberi faedah, manafaat dan kegunaan serta kesempurnaan hidup seseorang manusia atau insan yang menjadi hamba Allah dan hidup serta bermastautin untuk sementara berpindah ke alam yang kekal dan abadi iaitu di akhirat. 
Dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah tetapi mestilah disertakan dengan bentuk dan tatacara yang baik bagi mempengaruhi manuisa yang ingin berdakwah ke jalan Allah. Dakwah bukanlah bererti agama itu sendiri tetapi merupakan usaha untuk membawa manusia kepada Allah dan agamanya. Oleh itu, dakwah ialah satu usaha yang dirancang dengan baik, teratur dan sisitematik untuk membawa manusia kepada matlamat kenapa mereka dilahirkan ke dunia ini iaitu bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

3. Kewajipan Berdakwah
[1]Manusia memerlukan pimpinan dan bimbingan yang dapat membawa mereka ke jalan kebenaran. Mereka yang memimpin manusia terdiri daripada golongan para nabi dan rasul yang menjadi pendakwah dan mengajak manusia ke jalan kebenaran. 
Tetapi setelah berlalunya zaman para nabi dan rasul masyarakat manusia masih lagi memerlukan pemimpin. Di sinilah terletaknya tanggungjawab umat Islam, betapa pentingnya pula lapangan ini untuk membimbing masyarakat umum supaya dapat diawasi akidah serta amalan perbuatan dan akhlak ummah. Oleh itu dakwah amatlah diperlukan. Amar makruf dan nahi mungkar adalah sebagai asas dakwah dalam Islam. 
Seperti dalam firman Allah dalam surah ali-imran; ayat 104. Didalam surah ini jelas menunjukkan bahawa dakwah Islamiah dituntut oleh agama. Tuntutan ini ditujukan kepada muslimin seluruhnya dan dilaksanakan berperingkat-peringkat. 
Kaum muslimin seluruhnya ditugaskan memilih dan membentuk kumpulan pendakwah. Mereka yang dipilih secara langsung hendaklah bertugas menjalankan dakwah. Umat Islam ialah pendukung amanah Allah untuk meneruskan risalah Islam dengan dakwah, samada sebagai umat kepada umat yang lain atau selaku orang perseorangan, walau dimana mereka berada mengikut kemampuan masing-masing. 
Dakwah dalam erti kata amar makruf dan nahi mungkar ialah merupakan syarat mutlak untuk kesempurnaan dan keselamatan hidup masyarakat. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab pada kaum muslimin seluruhnya sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menjalankan dakwah seperti didalam firman Allah dalam surah al’Ashr; ayat 1 – 3. 
Kewajipan menjalankan dakwah bukan hanya terletak pada individu umum masyarakat Islam tetapi kewajipan itu juga diatas bahu pemerintah. Pemerintah wajib menjalankan, menyusundan mengatur perjalanan dakwah supaya terjamin kejayaannya. Kerajaan dalam sesebuah negara Islam wajar mengambil berat dalam perkara yang berhubung dengan dakwah kerana di tangan pemerintahlah terletaknya segala kemudahan yang ada seperti radio dan televisyen yang memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah. 
Mengikut ijmak ulama pula menyampaikan dakwah itu adalah wajib iaitu wajib kifa’i dan wajib ayni. Wajib kifa’i sekiranya telah ada segolongan umat Islam yang melakukan tugas dakwah, maka gugurlah kewajipan itu kepada golongan yang lain pula. Manakala wajib ayni ialah sekiranya seseorang itu mendpati dirinya seorang sahaja yang beragama Islam. Contohnya, seorang muslim yang tinggal bersama kumpulan orang yang bukan Islam atau seorang muslim yang tinggal di negara yang bukan Islam. Maka pada waktu itu kewajipan berdakwah menjadi wajib ayni dan yang demikian hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan ilmu dan tenaganya. 
Sabda rasulullah SAW yang bremaksud: Sampaikanlah apa yang [kamu terima] daripada ku walaupun satu ayat. Banyak ayat al-Quran yang menunjukkan nabi Muhammad SAW disuruh berdakwah. Namun demikian umat Islam bertanggungjawab seperti juga Rasulullah SAW dalam tugas dakwahnya. Ayat-ayat yang menyuruh Rasulullah SAW berdakwah adalah juga meliputi semua orang Islam kerana apa yang dihadapkan oleh Allah kepada rasul-Nya pada asalnya termasuk semua umatnya melainkan ada perkara yang dikecualikan. Ternyata dari segi ini umat Muhammad SAW tiada pengecualiannya. 
Berdasarkan kepada al-Quran dan hadith nabi, dari segi tanggungjawab seorang muslim, dakwah Islamiah adalah wajib daripada aspek pengertian dakwah makruf dan nahi mungkar, berdakwah adalah wajib bagi individu muslim seluruhnya. 
Gerakan dakwah Islamiah ke jalan Allah ialah suatu tugas suci yang menjadi tanggungjawab setiap orang Islam. Tujuannya ialah untuk menyebarkan ajaran Islam ke arah keseluruh dunia supaya cahaya ilahi yang suci ini terus memainkan peranannya memerangi syirik dan kufur serta segala kemungkaran yang sentiasa menyerang fitrah manusia. Sehubungan perkara ini, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah. 

4. Ciri-ciri Pendakwah
[2]Pendakwah atau da’i mestilah memiliki sifat-sifat berikut untuk memastikan dakwahnya lebih berkesan kepada masyarakat. Antara sifat-sifatnya ialah seperti yang berikut:

4. 1 Memahami maksud al-Quran dan Hadith
Hukum syarak perlu diketahui sekadar yang cukup untuk menjalankan tugas serta rahsia tasyrik kemudian mengenengahkannya dengan jujur. Dengan itu dapatlah diberi pengajaran yang betul serta memberi kepuasan hati kepada orang yang bertanya. 
Al-Hassan al-Basri berkata, “ Orang yang beramal dengan tidak ada pegetahuan sama seperti orang yang berjalan tidak diatas jalan yang betul dan orang yang berpengetahuan dengan tidak ada amal akan lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki. Manakala kata Hukamak pula, “ Sesiapa menuruti sesuatu jalan dengan tidak ada alamat [dalil] maka dia akan tersesat dan sesiapa berpegang dengan sesuatu pegangan yang tidak ada asalnya maka dia akan tergelincir. 
Firman Allah dalam surah al-Nahl; ayat 16 yang bermaksud: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu. “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-ngadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah SWT. tidak akan berjaya [mereka hanya mendapat] sedikit kesenangan [di dunia] dan mereka pula akan memperolehi azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Sesungguhnya orang yang membuat dusta terhadap Allah tidak akan beruntung. 

4. 2 Beramal dan berilmu
Perbuatan da’i tidak sekali-kali boleh mendustakan perkataannya. Iaitu perbuatan yang bertentangan dengan kata-katanya, zahirnya berlainan dengan batinnya. Seseorang pendakwah itu tidak boleh menyuruh orang lain membuat kebaikan atau meninggalkan keburukan selagi dia sendiri tidak berbuat demikian dan dia tidak boleh melarang sesuatu selagi dia sendiri tidak meniggalkannya supaya segala kata-katanya memberi manafaat dan diikuti oleh orang lain. 
Malik bin Dinar berkata sekiranya ada orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya, maka akan tergelincirlah [menyimpang dan tidak berkesan] wa’az [nasihat agamanya] daripada setiap hati sebagaimana perangsang supaya berhias dengan kemuliaan padahal dirinya kosong daripadanya ataupun menyuruh menjauhkan kehinaan tetapi dirinya bergelumang dengan dosa. Maka kata-kata itu akan menjadi sia-sia sahaja dan hanya menimbulkan rasa jijik di kalangan orang awam dan juga ejekkan dari golongan intelek
Firman Allah dalam surah al-Shaf; ayat 2 – 3 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. 
Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu sedangkan kamu tidak melakukannya. 
Ayat di atas menyuruh seseorang pendakwah mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya kerana jika pendakwah tersebut mengerjakannya terlebih dahulu maka orang ramai pasti akan mengikutnya. 

4. 3 Sabar
Sabar menjadi tanda kesempurnaan ilmu pengetahuan. Perkataan dan tutur kata yang lemah lembut menjadi kunci kepada segala hati. Seseorang itu dapat mengubati penyakit jiwa dengan keadaan tenang dan tidak cepat menjadi marah. 
Hati seseorang pendakwah itu adalah tenang dan tidak mudah dikuasai oleh perasaan marah, tidak tergesa-gesa dan sentiasa bertindak dengan waras dan wajar serta sentiasa senyum yang boleh menambat hati seseorang. 

4. 4 Berani kerana benar
Seseorang pendakwah itu hendaklah berani dan tidak gentar kepada sesiapa melainkan Allah untuk mengemukakan yang hak [benar] juga tidak terhalang kerana dicaci dan dicela demi menyampaikan pengajaran agama Allah. Di samping itu tidak pula berdiam diri apabila melihat kemungkaran. Ketika berhujah untuk menentang lawan, hendaklah mengemukakan hujah yang bernas, tidak dengan maki hamun atau secara kasar samada dengan sindiran atau secara langsung. 


4. 5 Mulia diri dan tidak mengambil harta orang
Bersih diri, tidak tamak dan tidak terpengaruh dengan apa yang ada pada diri orang lain. Seseorang yang tidak berhajat kepada sesuatu yang dimiliki oleh orang lain akan dikasihani manusia dan dipandang mulia. 

4. 6 Sederhana
Pendakwah yang menyintai dunia akan mendorong orang lain supaya menyintai dunia seperti dirinya. Apabila keadaan ini berlaku, maka dia akan menjadi perosak dunia dan bukannya orang yang memperbaikinya dan mereka bukanlah orang yang menjadi penyeru kepada Allah. 
Kedudukan seseorang ulama terletak pada sifatnya yang sederhana dan juga kepada dunia ini. Begitu juga pandangan orang ramai terhadap nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberikannya. Sama ada mereka menolak, mempercayai atau sebaliknya. 

4. 7 Kuat hujah dan fasih lidah
Pendakwah yang tidak mempunyai hujah yang kuat dan lidah yang fasih kata-katanya tidaklah dapat memberi kesan yang sepenuhnya. Bahkan akan menyebabkan kecacatan bagi kerja-kerja tablighnya. Kekuatan hujah dan kefasihan lidah amatlah bersar kesannya kepada manusia. Petah dan fasih bercakap boleh menawan dan menarik hati orang yang mendengar. 
Nabi Musa a. s pernah berdoa kepada Allah SWT sebelum berjumpa dengan Firaun. Doanya seperti dalam surah Thala; ayat 25-28 yang bermaksud: Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untuk ku dada ku dan mudahkanlah urusan ku dan lepaskanlah kekakuan daripada lidah ku, supaya mereka mengerti perkataan ku. ”

4. 8 Kuat kepercayaan kepada janji Allah
Dapat membangkitkan hemahnya serta dapat mengambil segala peluang untuk menjayakan seruannya dengan hati yang penuh yakin bahawa sekiranya seruannya tidak mendatangkan kesan pada hari itu maka akan mendatangkan kesan pada hari esok. Serta percaya bahawa batil [palsu] tetap akan hancur, iaitu akan tiba bagi kebenaran untuk mengatasi kepalsuan. 

5. Methodologi dakwah
[3]Methodologi berasal dari perkataan metod yang bererti cara melakukan sesuatu atau sistem. Ia berasal dari perkataan Inggeris [method] yang bererti sistem, aturan atau kaedah. Seseorang yang hendak berdakwah mestilah mengetahui teknik berdakwah kerana tanpanya masyarakat akan menolak dan menerima secara negatif. 
Al-Quran merupakan faktor utama sebagai rujukan dakwah dan ia banyak mengemukakan methodologi dakwah untuk menjadi rujukan. Terdapat beberapa ciri berdakwah, diantaranya ialah:-
i) Hikmah
Maksud hikmah ialah kebijaksanaan para pendakwah dalam meyakinkan dan menghilangkan kesangsian terhadap masyarakat tentang ajaran yang disampaikan dengan memasukkan kata-kata dan contoh yang boleh diterima akal. 

ii) Nasihat
- memberi nasihat, peringatan dan teguran yang baik. 
Teknik yang digunakan ialah bercakap dengan lemah lembut tentang kejahilan yang terdapat di dalam diri manusia itu serta sentiasa berhubung rapat dengan mereka dalam memperluaskan ajaran agama Islam. 

iii) Berdailog dengan cara yang baik

Berhujah dengan berlandaskan kepada ilmu yang hak [benar] dan pengalaman merupakan satu cara dakwah yang paling berkesan. Ceramah-ceramah yang berkaitan dengan dakwah ini boleh dijalankan dalam bentuk ceramah, diskusi, dialog, seminar, forum dan kelas-kelas bimbingan. 


5. Tribulasi dakwah
[4]Sejak zaman Rasulullah SAW, Islam berdepan dengan berbagai-bagai ancaman, halangan, sekatan dan cabaran dalam menyebarkan dakwah. Namun, Islam terus memancarkan cahayanya ke segenap pelusuk dunia. Kebangkitan Islam wujud di serata tempat laksana air bah yang sentiasa melepasi benteng, suara azan terus bergema di pusat-pusat pengajian dan juga jumlah pelajar yang memasuki sekolah agama semakin meningkat. Badan-badan dakwah bergerak dengan cergas untuk melanjutkan eksistensi Islam di bumi Allah ini. Namun, dalam fenomena tersebut Islam sentiasa ke depan dengan pencabar-pencabarnya yang datang dari dua arah iaitu dalaman dan luaran. Contoh yang dapat kita ambil dari cabaran yang telah berlaku pada zaman Nabi dan Rasul ialah Rasulullah SAW telah berdakwah selama dua puluh tiga tahun iaitu di Makkah tiga belas tahun dan di Madinah sepuluh tahun. Baginda menghadapi berbagai rintangan dalam memperkembangkan agama Islam. 

6. Kesimpulan
[5]Kesimpulan yang boleh didapati di dalam kenyataan ini ialah melaksanakan penyiaran agama Allah kepada semua umat manusia dengan bijaksana amatlah penting. Janganlah menggunakan kekerasan apalagi mencela secara yang tidak sopan dalam menjalan tugas tersebut. Dalama menyampaikan ajaran dakwah seseorang itu mestilah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. 

2 Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Nur Niaga Sdn. Bhd., hal. 19 - 22
[2] Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hal. 42 - 46
[3] Ghazali Darusalam, (1996), Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hal. 28
[4] Ghazli Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 
Selangor, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hal. 128
[5] Ghazali Darusalam, [1996], Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 

Budaya kerja cemerlang menurut Islam

PENGENALAN
Budaya kerja ditakrifkan sebagai etika kerja yang di dalamnya terangkum berbagai-bagai perkara yang diperlukan di dalam rangka mencapai matlamat sesebuah organisasi. Budaya kerja ini termasuklah mencapai matlamat, penggunaan sumber-sumber dan faktor pengeluaran mengikut peraturan-peraturan dalaman dan luaran yang telah dikanunkan hubungan manusia di dalam organisasi, hubungan di antara pekerja dengan pihak pengurusan, perlaksanaan hak dan tanggungjawab, peraturan bekerja, kelahiran suasana bekerja yang kondusif, peranan disiplin di dalam menentukan kestabilan organisasi dan sebagainya. 
Pada masa-masa yang lalu, persoalan budaya kerja ini tidak dibicarakan secara serius. Bagi kita terutamanya orang-orang melayu Islam, bekerja merupakan satu perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari atau sebagai satu “routine” yang tidak melibatkan perancangan, etika, peningkatan mutu dan sebagainya. Dengan itu kerja pada kebanyakan orang kita bolehlah dilakukan ala-kadar sahaja, malah ada yang beranggapan bahawa kerja merupakan satu perkara yang boleh dibuat atau tidak buat ditangguhkan dahulu, dibuat secukupnya. Contohnya memenuhi pepatah “kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang” ¹ dan mungkin orang yang terlalu kuat bekerja itu akan dianggap sebagai orang yang terlalu ghairah mengejar sesuatu atau berkorban lebih dari had yang sepatutnya. 

¹ Kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang: = orang yang terlalu daif, yang hanya mampu menyara hidupnya sahaja. 

Di dalam Islam telah ditetapkan beberapa ciri budaya kerja cemerlang. Di antaranya ialah:
1) Niat kerana Allah SWT. 
Bekerja dalam islam memerlukan niat yang baik dan hasil yang baik itu menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab. ‘ Niat yang ikhlas kerana Allah’º menjadikan pekerja itu bersikap jujur dan tidak berputus asa atau merasa kecewa dengan halangan dan cabaran yang ditemuinya, tidak mudah berpuas hati dengan pencapaiannya malah akan berusaha mencapai hasil yang lebih baik dan akan bertindak sebagai penyumbang kepada pihak lain, bukan hanya menerima bantuan dari orang lain kerana sebagai seorang yang dinamik, menyumbang kepada kebajikan dan matlamat orang lain dan kerjanya haruslah bersih dan suci dari sebarang unsur-unsur negatif dan haram. 

2) Seseorang yang jujur dan beramanah
Menurut Agama Islam, bekerja adalah satu tuntutan dan satu keperluan. Jika kerja itu menepati beberapa syarat tertentu, bekerja itu menjadi satu ibadat yang dituntut oleh Allah SWT. dan seharusnya dilaksanakan dengan penuh jujur, amanah dan bertanggungjawab supaya tanggungjawab dan ‘amanah’ ¹ yang ditunaikan dengan baik itu dibalas dengan balasan baik di hari akhirat nanti. Dalam masa yang sama, kerja yang dilaksanakan sebagai tanggungjawab ibadat ini juga menjadi tugas dan kewajipan suci dan tidak lagi menjadi tugas peribadi di mana individu itu
boleh menolak atau menerimanya. 

¹ Amanah: salah satu daripada sifat mahmudah yang terdapat dalam diri orang-orang yang bertaqwa. 
º Niat kerana Allah: Nawaitu seseorang pekerja atau pengurus ialah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. 

3) Berdisiplin
Oleh kerana bekerja merupakan tugas yang tidak dapat dielakkan dan merupakan tanggungjawab agama, maka pekerja ini pula haruslah mematuhi ‘disiplin’ ¹, nilai dan etika kerja yang tertentu. Pekerja juga haruslah mempunyai sikap dan penilaian yang positif dalam melaksanakan tugasnya pekerja juga haruslah menentukan objektif kerjanya di antara mencapai hasil kebendaan dalam bentuk rezeki untuk dirinya sendiri dan orang – orang di bawah tanggungannya dan habuan tertentu untuk masyarakatnya. Pekerja juga harus mengimbangi di antara kepentingan peribadinya dan kepentingan orang-orang lain di dalam masyarakatnya. Bekerja dalam konteks ini pula tidaklah terhad untuk kelompok-kelompok tertentu atau jenis tertentu sahaja. Malahan bekerja adalah menjadi tugas lelaki dan perempuan seperti firman Allah SWT. 

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”
surah Al-Nahl, ayat 97. 

¹ Disiplin : Taat atau patuh kepada arahan pengurus atau majikan. 

4) Objektif kehidupan dunia berhubungkait dengan objektif kehidupan akhirat
Di dalam apa sahaja yang dilakukan seseorang pengurus dan pekerja mesti dapat menghubungkait di antara objektif kehidupan dunia iaitu untuk menunaikan keperluan-keperluan kehidupan seharian dengan º ‘objektif ’ kehidupan akhirat iaitu mendapatkan keredhaan Allah SWT. Setiap apa yang dilakukan berada di bawah pengawasan Allah S W T. Perasaan sentiasa merasakan kewujudan ketuhanan menyebabkan seseorang itu merasai pentingnya melakukan sesuatu di tahap yang terbaik daripada Allah. Jika terdapat pengurus dan pekerja yang cuba memisahkan kehidupan dunia dan kehidupan akhirat dalam ertikata mementingkan kehidupan dunia dan mengesampingkan kehidupan akhirat, sesungguhnya tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak Allah. Al-Quran menyanggah sikap sedemikian :

“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal”

surah Al-A`alaa ayat 16-17. 

Adalah menjadi suatu perkara yang tidak sejajar dengan islam seandainya seorang pengurus atau pekerja terlalu mementingkan kehidupan akhirat sehingga meninggalkan tuntutan dunia. Jika ini berlaku umat islam akan berada di dalam keadaan kerugian lantaran meninggalkan tuntutan dunia dan keperluan keduniaan. Adalah menjadi keperluan bagi umat Islam maju dalam semua lapangan seperti pendidikan, pelbagai kajian saintifik, perindustrian dan perkilangan, pertanian dan ternakan dan sebagainya. Seorang pengurus atau pekerja bukan sahaja bertanggungjawab menentukan tertunainya kehendak dan keperluan diri dan keluarga, tetapi juga tuntutan dan keperluan masyarakat dan ummah. Semakin produktif seseorang pengurus dan pekerja, maka semakin produktiflah masyarakat dan ummah. Berikutan dengan itu, semakin bermaknalah kehidupan seseorang pengurus atau pekerja di dalam masyarakatnya dan juga di dalam amalan keIslamannya. 

5) Menyedari kepentingan nilai moral dan agama di dalam pekerjaan. 
Di dalam Islam tiap-tiap satu pekerjaan yang dilakukan mempunyai nilai moral dan
¹ ‘agama’ yang mesti sentiasa disedari. Bekerja bukanlah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan material tetapi yang lebih penting lagi adalah merupakan tuntutan atau obligasi moral dan agama yang dilakukan semata-mata bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah telah menyediakan semua keperluan manusia untuk hidup di muka bumi ini. Manusialah yang seharusnya mencari, mengusaha dan menggunakan sumber-sumber keperluan tersebut daripada berbentuk bahan mentah hinggalah ke peringkat barangan yang dapat dimanfaatkan. Segala usaha yang dilakukan akan dicatitkan sebagai amal soleh atau amal jariah yang akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. 
Kebaikan dan nilai sesuatu pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah banyak disebutkan di dalam hadith. Salah satu daripada hadith tersebut berbunyi:

“Barangsiapa yang di waktu petangnya merasakan kelelahan sebab kerja tangannya, maka diwaktu petang itulah ia terampuni dosanya”
º Objektif : Tujuan atau matlamat yang ingin dicapai. 
¹ Agama : Ad-Din iaitu agama Allah yakni Islam. 


6) Penggunaan masa di peringkat optima
Islam memberi penghargaan yang tersangat tinggi kepada masa. Umur manusia merangkumi tahun, bulan, jam, minit dan saat yang kesemuanya menggambarkan masa yang dibahagi-bahagi mengikut bahagian tertentu. Masa adalah barangan atau modal yang semestinya dimanfaatkan secara baik-baiknya dan tidak sekali-kali boleh disia-siakan. 

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. ”
 (surah Al-Asr ayat 1-3) 

Setiap pekerja juga hendaklah memulakan kerja tepat atau sebelum pada masa yang ditetapkan, bekerja keras dan tidak melibatkan diri di dalam perkara-perkara yang boleh membawa mereka kepada melakukan perbuatan pembaziran masa seperti menghabiskan masa di kantin, melayan panggilan telefon yang tidak perlu atau melaksanakan perkara-perkara lain yang tidak menggambarkan rasa tanggungjawab di dalam menggunakan masa. Perlaksanaan amal ibadah pada masa dan ketika yang tertentu seperti yang tersebut di atas hendaklah diterjemahkan ke dalam suasana pekerjaan iaitu mengendalikan pekerjaan pada masa-masa yang ditetapkan dengan tepat pada waktunya tanpa ditangguh-tangguhkan. Penangguhan tugas bererti kecuaian dan kelalaian dan ini boleh menggambarkan setakat mana kita dapat mengendalikan kerja mengikut susunan keutamaan yang sepatutnya. Perkara yang sepatutnya dilakukan dengan segera hendaklah dilakukan dengan segera dan begitulah seterusnya. Sebagai contoh, surat-surat yang diterima hendaklah diberikan jawapan dengan segera. Sekiranya jawapan yang segera tidak dapat diberikan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, sekurang-kurangnya nota tanda penerimaan surat hendaklah dilayangkan. 

7) Menghayati sifat-sifat Mahmudah
Setiap pengurus dan pekerja harus setiap masa dan ketika berusaha memahami dan menghayati melalui proses pengibadatan ‘sifat-sifat mahmudah’ º di samping berusaha mengikiskan sifat-sifat mazmumah di dalam kehidupan seharian termasuk di dalam suasana bekerja. Sifat-sifat ini tidak mungkin dapat diterapkan tanpa proses mujahadah khususnya memerangi kehendak nafsu syahwat yang tidak terbatas itu. Cabaran dan ancaman yang terbesar yang dihadapi oleh pengurus dan pekerja adalah cabaran menyekat kehendak nafsu syahwat. Setiap manusia perlu menghadapi cabaran ini dengan penuh keinsafan dan waspada kerana syaitan dan iblis yang menjadi musuh utama manusia begitu bijak tipu helah mereka dalam usaha mereka untuk menipu helah manusia. 

8) Sentiasa menilai dan membaiki pekerjaan
Untuk menjadi pengurus dan pekerja yang baik mereka seharusnya memperuntukkan masa dan kesempatan untuk menilai dan seterusnya membaiki tugas dan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Di peringkat individu mereka harus dapat memeriksa diri mereka untuk mencari kelemahan yang boleh dibaiki dan mereka harus dapat menilai penghasilan dan produktiviti yang diusahakan berbanding dengan tanaman modal tenaga dan pemikiran yang telah disumbangkan. Perkara yang berhubung dengan penilaian, keberkesanan sumbangan seseorang individu dan pekerjaan yang dilakukan boleh dilihat daripada aspek yang lebih luas meliputi syarikat, badan-badan korporat dan juga badan-badan kerajaan dan separa kerajaan. Dari semasa ke semasa kajian perlu dibuat atas urusan pengendalian tugas dan tanggungjawab ataupun pengeluaran dan penghasilan dari sudut setakat mana keberhasilan, kerberkesanan dan kecekapan sesuatu tugas atau kerja yang diusahakan. 

9) Tidak Membenarkan Amalan Pilih Kasih
Budaya kerja Islam mahukan setiap pengurus dan pekerja menentukan bahawa pekerja-pekerja dilayan dengan adil, bebas dari amalan ‘pilih kasih’ ¹. Islam sentiasa menekankan keperluan mempertahankan keadilan dan memusuhi penindasan. Dalam Al-Quran ada sepotong ayat yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pekerjaan. ”
 (An-Nahl:90) 
Pekerja-pekerja hendaklah dilayan dengan penuh rasa kasih sayang dan kemesraan serta simpati. Mereka mesti dapat merasakan rasa kehormatan diri dan tidak pernah merasakan rasa rendah diri walaupun mereka berada di tahap pekerja bawahan. Mereka mesti dibimbing dan diasuh supaya dapat merasakan bahawa mereka adalah penting dan tanpa mereka organisasi tidak mungkin menjadi kukuh. 

º Sifat-sifat mahmudah : Sifat-sifat terpuji yang disukai oleh Allah. 
¹ Pilih kasih : salah satu daripada sifat-sifat yang dibenci oleh Allah
10) Sentiasa Memberi Perhatian Kepada Keperluan Pekerja
Pihak yang bertanggungjawab seharusnya menyediakan kemudahan-kemudahan asasi kepada setiap pekerja seperti menyediakan tempat dan suasana bekerja yang kondusif. Pihak pengurusan hendaklah sentiasa mendengar dan menimbangkan sebarang rungutan dan aduan dengan penuh rasa simpati dan seboleh-bolehnya menyelesaikan rungutan dan aduan tersebut dengan segera. Pekerja-pekerja pula hendaklah sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan dengan tidak mengambil tindakan yang terburu-buru yang akan melemahkan organisasi dan akhirnya melemahkan ummah. Pada masa ini ramai wanita-wanita yang diambil bekerja dan pihak pengurusan mestilah sentiasa memberi perhatian istimewa kepada kumpulan pekerja yang seperti ini lantaran mereka memerlukan layanan dan keperluan yang agak berbeza daripada pekerja lelaki. Pada setiap masa dan ketika faktor moral dan akhlak hendaklah menjadi asas utama dalam memberi layanan dan menunaikan kehendak dan permintaan pekerja-pekerja wanita. Pihak pengurusan haruslah juga membina suasana kehormatan kepada kaum wanita kerana kehormatan kepada kaum wanita adalah merupakan asas terpenting di dalam mewujudkan kestabilan akhlak dan moraliti. 

11) Gaji Yang Berpatutan Dan Pembayaran Yang Segera
Islam mensyaratkan setiap pekerja diberi ‘gaji’ º yang berpatutan dan upahan dibayar dengan seberapa segera yang mungkin. Majikan juga perlu memikirkan faktor-faktor lain seperti rawatan hospital, pampasan hilang keupayaan dan jaminan kehidupan selepas bersara. 
Islam menganggap upah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan adalah sebagai pemerasan yang menyentuh hak asasi manusia. Islam mengutuk perbuatan sedemikian. 
Untuk menggambarkan sanjungan Islam kepada tenaga yang telah dicurahkan, ajaran Islam mengkehendaki supaya pekerja-pekerja dibayar upah mereka sebaik-baiknya setelah mereka selesai melakukan kerja yang diperuntukkan itu. Menangguh-nangguhkan bayaran upah tanpa sebab yang munasabah adalah dianggap sebagai penindasan dan kezaliman. Nabi Muhammad SAW. mengajar kita dengan sabdanya :

“Jelaskanlah upah pekerja itu sebelum kering peluh mereka. ” (Riwayat Ibn Majah) 

12) Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap ¹
Ketekunan adalah satu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing sekiranya mereka tekun. Rasulullah SAW. 
bersabda :

“Sesungguhnya Allah amat suka seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun. ”

Hadith ini menunjukkan bahawa sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Komitmen yang tidak berbelah bagi kepada pekerjaan yang dilakukan dalam konteks membesarkan Allah SWT. adalah merupakan suatu perkara yang kurang dihayati oleh pengurus dan pekerja muslim. Prinsip kesungguhan dan ketekunan hendaklah menjadi landasan kepada falsafah bekerja bagi memungkinkan penghasilan dan produktiviti para pekerja sentiasa meningkat. 

º Gaji : iaitu satu imbuhan atau bayaran yang dikenakan selepas tenaganya dikerah
¹ Tekun dan cekap: Salah satu daripada sifat mahmudah yang harus dimiliki oleh setiap pekerja. 

13) Amalan Al-Shura
Islam menggalakkan umatnya sentiasa memberi dan menerima pendapat dan membuat sesuatu keputusan dengan terlebih dahulu meninjau pendapat mereka yang berkenaan supaya keputusan yang dibuat dapat mengambil kira keperluan setiap orang dalam kumpulan. Dalam hubungan ini mesyuarat dan konsultasi di kalangan pengurus dan pekerja amat dialu-alukan. Sebaik-baiknya setiap unit-unit ‘Al-Shura’ ¹ samada untuk menyelesaikan masalah di peringkat unit ataupun menyelesaikan masalah di peringkat organisasi. Allah memerintahkan manusia supaya mengamalkan prinsip Al-Shura

“Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkal kepada Allah menyukai kepada orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. ”

Sementara itu Nabi telah menjanjikan bahawa seseorang yang sentiasa bermesyuarat di dalam mengendalikan urusannya dengan izin Allah ia tidak akan binasa daripada tindakan yang diambilnya. Ini dijelaskan oleh sebuah hadith berbunyi : Tidak mungkin seseorang binasa sesudah bermesyuarat. ”
14) Pembahagian Tugas Berdasarkan Kepakaran dan Kebolehan
Bidang ilmu pengetahuan amatlah luas. Setiap individu tidak mungkin menguasai sebahagian besar daripada cabang-cabang ilmu yang terdapat di dalam Islam. 
Bagi mendapatkan tenaga dan kemahiran yang kena pada tempat dan masanya Islam memberi perhatian yang istimewa kepada kebolehan dan ‘kepakaran’ º seeorang pekerja. Pihak pengurusan hendaklah bijak menyusun tugas dan menentukan tugas itu dikendalikan oleh mereka yang benar-benar arif di dalam bidang tersebut. Tindakan menyerahkan sesuatu tugas dan tanggungjawab yang tidak sejajar dengan kebolehan, kemampuan dan kemahiran seseorang pekerja boleh menimbulkan kesan yang buruk serta akan menjejaskan prestasi individu tersebut yang akhirnya menjejaskan organisasi. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, tunggulah masanya (kehancuran). ” (Riwayat Muslim) 

¹ Al-shura : iaitu satu mesyuarat yang diadakan untuk berbincang hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan. 
º Kepakaran : iaitu kehebatan atau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang individu dalam sesuatu bidang. 

RUMUSAN


Budaya kerja ini jelas memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi oleh setiap individu samada pengurus atau pekerja. Ia bukan sahaja memerlukan peningkatan mutu kerja dan produktiviti, tetapi juga perlu meningkatkan nilai-nilai moral dan mencari jalan supaya pekerja-pekerja mempunyai kesedaran untuk hidup beramanah dan bertanggungjawab secara jujur serta peka kepada kesejahteraan masyarakat dan negara umumnya. 

Proses mendidik masyarakat mengamalkan budaya kerja yang sihat mestilah dilaksanakan oleh semua pihak. Sebenarnya proses pendidikan masyarakat tentang budaya kerja ini merangkumi berbagai-bagai program dan kempen-kempen kesedaran dan nilai-nilai murni agama serta ketuhanan merupakan satu unsur penting dan berkesan dan seharusnya dihayati dan diamalkan. Oleh itu, pandangan agama, nilai-nilai agama yang berbentuk universal, nilai taqwa dan iman haruslah diberikan perhatian dan tekanan yang sewajarnya


_
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com

Asas jatidiri seorang muslim

PENDAHULUAN

Seorang insan yang sejati mempunyai jatidiri, dihiasi dengan akhlak yang tinggi. dan akan lahirl dalam reality apabila adanya asas-asas yang sejati. 

1. 1. 1: PENGERTIAN. 

Jatidiri bermaksud diri yang tulen, diri yang murni. Dari segi istilah jatidiri ialah sikap atau perangai murniyang telah sebati dengandiri seseorang sama ada berbentuk luaran atau dalaman. 
Melayu beerti nama suatu bangsa dan bahasa (di semenanjung malaysia) ; masuk melayu beerti mengikut cara hidup orang melayu atau masuk Islam. Melayu ialah yang beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan melayu –Islam
Melayu juga diertikan sebagai seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, mengikut adat istiadat Melayu dan lahir atau berdomisil di Persekutuan atau Singapura. 
Hamka pula menakrifkan Melayu sebagai setiap orang yang berbahasa Melayu. 
Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Bangsa Melayu wujud dan berkembang atas landasan Islam. Mereka yang menolak Islam akan tersisih dari masyarakat Melayu. 

1. 1. 2: MELAYU DARI SUDUD PERLEMBAGAAN

Dalam bahagian 11, Ceraian 12 (3) ada menyebut : seseorang itu tidak akan dipaksa mendapat pengajaran dalam agama atau ikut serta dalam sesuatu upacara perlaksanaan ajaran sesuatu agama lain daripada agamanya sendiri. 
Islam tidak menggalakkan penganutnya memaksa orang lain memasuki Islam dengan kekerasan sebagaimana firman Allah yang bermaksud, tidak ada paksaan dalam Islam. 
Dalam bahagian 1V, ceraian 34 (1) menyebut: yang di-Pertuan Agong tidak akan menjalankan tugas Sultan dari negeri-negeri bahagian melainkan tugas-tugas selaku ketua dari agama Islam. 
Keseluruhannya undang-undang Islam belum lagi dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia, tetepi kita boleh berusaha memastikan undang-undang ini dapat dilaksanakan dengan baik dan adil. 

PENGETAHUAN YANG MENCUKUPI DAN KEFAHAMAN YANG TEPAT. 

Pengetahuan yang mencukupi bermaksud memiliki ilmu yang perlu untuk membolehkan seseorang mengetahui sesuatu yang perlu dalam kehidupannya, seperti ilmu tentang Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang boleh membawa dirinya mengenali Allah sebagai Rabb’ dan akan menjadikan Allah sebagai Illahnya. 

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :

“Orang yang paling baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain. ”

Antara ilmu yang perlu untuk melayakkan seseorang itu memiliki pengetahuan yang luas ialah bahasa Arab. Dengan menguasai bahasa Arab seseorang itu dapat memahami al-Quran dan al-Sunnah dengan baik dan lebih menepati maksudnya yang sebenar. Selain itu bahasa Arab juga adalah bahasa yang digunakan dalam ibadah solat yang merupakan tiang agama. Solat adalah salah satu amalan atau tarbiah yang paling berkesan untuk membentuk insane yang berakhlak dan berkualiti. 

Ilmu lain seperti ulum al-Quran, Ulum al-Hadith, sirah Rasulullah, sejarah islam, ilmu Fiqh, dan ilmu yang berkaitan dengan ilmu agama amat penting dalam membentuk kepada asas jatidiri seorang muslim. 
Selain itu ilmu lain seperti Teknologi Maklumat, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan sebagainya juga penting. 

Dengan ilmu yang mencukupi dapatlah memandu seseorang memahami Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dengan cara ini dapatlah mereka menghadapi dan berdepan dengan pelbagai ideology dan aliran pemikiran yang wujud dengan mudah. 

Asas – asas yang perlu ada pada seseorang muslim, 

“ Hendaklah mendalami ilmu agama serta berusaha untuk menambahnya dan memahami masalah – masalah yang berlaku di kalangan orang Islam serta sentiasa menyebarkan pengetahuan dan kepakarannya dan hendaklah memantapkan bidang pengkhususannya. ” (Mustafa Mashur) 

Petikan diatas menjelaskan bahawa seorang muslim perlu kepada ilmu agama yang mendalam serta berusaha mempertingkatkannya. Ia juga perlu memahami reality yang berlaku dalam masyarakat, khususnya umat Islam. Seorang muslim juga perlu mempertingkatkan bidang kepakaran masing –masing serta memberi khidmat kepada masyarakat. 

Tanpa asas ilmu yang mencukupi, manusia tidak mampu menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenar. Ini beerti kehidupannya jauh dari cirri-ciri manusia yang berkualiti dan mempunyai jatidiri seperti yang diharapkan. 

PENGETAHUAN DAN KEFAHAMAN ASAS JATIDIRI

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah berkaitan dengan perintah supaya “MEMBACA. ”
Firman Allah yang bermaksud, 
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan engkau yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia mencipta manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dan mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui. ”

RUMUSAN AYAT
Membaca adalah perintah Allah yang pertama kpd. Nabi Muhammad yang menunjukkan betapa pentingnya membaca untuk memehami dan mengetahui sesuatu. 
Perkara pertama yang perlu diketahui manusia ialah mengenali Allah sebagai Rabb al-Alamin. Allah sebagai punca dan sumber bagi segala makhluk yang wujud. 
Allah sebagai sumber ilmu. Allah mengajar Adam dan manusia seluruhnya sesuatu yang mereka tidak ketahui. Untuk memperolehi ilmu, manusia memerlukan peralatan yang sesuai atau wasilah tertentu. Allah menyebut dalam ayat diatas ialah qalam. 
Ayat diatas menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan sebagai asas yang perlu dimiliki oleh manusia untuk melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah di bumi. 

Tidak sama orang yang berilmu dengan mereka yang jahil. Firman Allah yang bermaksud :
"katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama antara mereka yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui. "

Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan golonganyang jahil. Untuk menjadi seorang muslim sejati, tidak mungkin untuk memperolehinya tanpa ilmu dan kefahaman. 

Orang yang berilmu mempunyai pandangan dan kefahaman yang tepat. 
"Allah telah menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, demikian juga dipersaksikan oleh para malaikat dan mereka yang memiliki ilmu…. "

Ayat diatas menunjukkan bahawa orang yang berilmu dapat memahami dan mengenali Allah dengan kefahaman yang betul dan seterusnya mempersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah. Mereka yang jahil terdedah kepada kekeliruan dan tidak dapat mengenali Allah. Sedangkan mengenali Allah adalah perkara yang paling utama dan pertama. Sesiapa yang tidak mengenali Allah, dialah orang yang benar-benar jahil. 

Seorang penyair telah berkata :
"Si jahil itu telah mati walau ajal belum menjemputnya. tubuhnyan itulah kuburnya meskipun ia belum dikebumikan. "

Orang yang baik dan berkualiti adalah mereka yang dipilih oleh Allah. Pilihan Allah ini dikurniakan dengan asas dan kefahaman. 
Sabda Rasulullah yang bermaksud :
"sesipa yang Allah inginkan kebaikan padanya ia akan diberi kefahaman tentang agama. "

Hadith di atas antara lain bermaksud bahawa kefahaman tentang agama adalah antara perkara asas dan syarat untuk seseorang itu menjadi muslim yang baik dan diiktiraf oleh Allah. 

. Rasullullah adalah contoh manusia terbaik. Baginda memiliki segala kualiti diri yang diperlukan bagi menjadi insan mithali. Antara asas penting yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah wahyu yang mengandungi segala macam ilmu pengetahuan dan kefahaman. 

Rasulullah mendidik para sahabat dengan memberi ilmu pengetahuan dan membentuk akhlak yang tinggi. Antara sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kefahaman yang tinggi dan tepat ialah Omar al-Khattab. Rasulullah pernah bermimpi baginda dibawa segelas susu lalu baginda meminumnya dan mengalir tumpahan susu itu melalui celah-celah jari baginda. kemudian baginda beri tumpahan itu kepada Omar. Sahabat bertanya, apakah tafsir mimpi tersebut, baginda menjawab itulah ilmu. (AL-Bukhari, Sohih al-bukhari, (TRJ YADIM), jilid 1, 1994, h. 91) 

Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah saw adalah manusia yang sangat banyak ilmunya yang dikurniakan oleh Allah dan dari limpahan ilmu baginda, ia dapat dirasai oleh para sahabat. Dalam konteks hadith di atas disebut oleh Omar al-Khattab. Omar sendiri merupakan seorang yang tinggi kefahaman agamanya, bijak dan adil dalam pemerintahannya. 
Beliau berkata:
" Hendaklah memahami dahulu sebelum kamu memimpin. " (Ibid, h. 83) 

ilmu adalah syarat utama yang perlu di dahulukan sebelum amal Al-Qaradawi meletakkan satu tajuk ' keutamaan Ilmu Bagi Sesuatu Amalan '. dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyat. Di dalam tajuk ini dijelaskan keutamaan ilmu sebelum melakukan sesuatu. 
"Sesiapa melakuan sesuatu perkara tanpa ilmu, ia lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan. " (Omar Abd. Aziz. ) 
KE ARAH PENGUASAAN ILMU DAN KEFAHAMAN YANG TEPAT

Ilmu dan kefahaman adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah kurniakan ilmu kepada seseorang melalui sebab-ssebab tertentu seperti belajar bersungguh-sungguh, kuliah, pembacaan buku, kajian, dan sebagainya. Ringkasnya, ilmu yang diberikan oleh Allah kepada seseorang adalah disebabkan oleh usaha dan faktor-faktor tertentu. 
Justeru manusia perlu menyusun strategidan pelan tindakan untuk mencapai objektif tersebut. antaranya ialah, 

Menyedari bahawa menuntut ilmu itu wajib. Tanpa ilmu seseorang itu tidak mungkin menjadi muslim yang sebenar. 
Berusaha mencari guru yang mampu memberi pengajaran dan kefahaman serta pendidikan yang sebenarberdasarkan model Rasulullah bersama dengan para sahabat sebagai generasi contoh. 
Membuat perancangan strategik dalam pembelajaran dan pendidikan. 
Mencari kawan yang baik dan pintar serta sentiasa mewujudkan suasana pembelajaran dan tarbawi. 
Memilih dan membaca buku-buku yang sesuai. 
Memperbetulkan diri dengan islam melalui mujahadah al-Nafs dan mujahadah al-Syaitan. 
Meninggalkan dosa dan sentiasa melakukan perkara yang wajib. 
Menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber utama. 
Sentiasa berdoa
Bertawakkal kepada Allah. 

KEIMANAN YANG TINGGI
PENGERTIAN IMAN
"Rasulullah apabila ditanya oleh Malaikat Jibril tentang pengertian iman, 
baginda menjawab, "Iman ialah engkau beriman dengan Allah, beriman akan
bertemu dengan Allah, para rasul, hari kebangkitan dan beriman dengan Qada' dan Qadar sepenuhnya. " (riwayat muslim) 

Ibnu Mas'ud berkata :
"Yakin itu adalah iman keseluruhannya. " (al-Bukhari) 


menurut Dr. Yusoff al-Qaradawi :
" iman ialah kepercayaan yang meresap dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh baru bagi pandangan hidup, tingkahlaku dan perubatan sehari-hari. Justeru iman bukanlah semata-mata ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan juga bukan hanya merupakan pengetahuan tentang rukun-rukun iman ". (Al-Qaradawi, Iman dan Kehidupan) 

Iman bukan sekadar pengakuan lidah semata-mata, sedangkan hati menolak. 
Iman bukan semata-mata melakukan perbuatan atau amalan dan syiar yang biasa dilaksanakan oleh orang-orang yang beriman, sedangkan didalam hatinya kosong dari rasa kebaikan dan keikhlasan. 
Iman bukan semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana ramai dari kalangan manusia yang mengetahuinya tetapi menolak. 
Iman memerlukan kefahaman dan keyakinan yang teguh tanpa ada keraguan. 
Iman melahirkan semangat bekerja dan berkorban. 
Iman melahirkan akhlak yang tinggi dengan hati yang kusyuk dan kehidupan yang teratur serta sentiasa melakukan amal yang berguna. 

ASAS-ASAS KEIMANAN

Para ulamak merumuskan bahawa iman mempunyai enam asas iaitu rukun iman iaitu :

1) beriman kepada Allah
_ meyakini tentang kewujudan Allah. 
_ mengenali Allah
_ faham dan yakin dengan wahyu Allah
_ mengesakan Allah dari segi Rububiyah dan UluhiyahNya dan melaksanakan
tuntutan kedua-duanya dalam aspek kehidupan


2) beriman kepada malaikat
_ malaikat berfungsi sebagai kakitangan Allah yang memegang berbagai-bagai
jawatan dan tugas-tugas tertentu seperti membawa wahyu, menjaga Arasy, 
mengambil nyawa, menjaga pintu langit dan sebagainya. 

3) beriman dengan kitab
_yang merupakan wahyu Allah yang disampaikan kepada rasul untuk disebarkan
kepada umatnya sebagai panduan dalam kehidupan mereka contohnya Suhuf, 
Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. 

4) beriman kepada Rasul
_ setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa Allah telah mengutuskan
bagi setiap umat, rasul untuk menyeru manusia menyembah Allah (dengan
mengikut cara hidup Islam) dan menjauhi serta meninggalkan taghut. 
_ firman Allah yang bermaksud:
" dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan bagi setiap umat seorang rasul untuk mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhi taghut ". 

5) beriman dengan hari akhirat
_setiap muslim mesti mengetahui dan yakin bahawa selepas kehidupan dunia akan terdapat satu lagi kehidupan iaitu akhirat. Manusia akan dibangkitkan semula selepas kematian. Mati adalah perpindahan dari alam dunia ke alam akhirat. 

6) beriman dengan qada dan qadar Allah
_ orang mukmin sepatutnya mengetahui, memahami, dan meyakini konsep takdir Allah. Allah takdirkan manusia ada ynag lelaki, perempuan berbangsa melayu, arab, cina dan sebagainya. Justeru itu orang mukmin harus terima takdir Allah samada baik atau buruk. Mungkin sesuatu yang buruk pada pandangan manusia, mempunyai hikmah di sisi Allah dan demikianlah sebaliknya. 
Terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang qada’ dan qadar Allah, antaranya ialah :
“dan sesuatu di sisi Allah ada ketentuannya. ” (al-Ra’d : 8) 

CARA-CARA BERHADAPAN DENGAN TAKDIR ALLAH
Redha dengan takdir Allah samada baik atau buruk. sesungguhnya Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. 
Bersyukur seandainya menerima takdir yang baik. 
Bersabar sekiranya ditakdirkan dengan sesuatu yang tidak baik (pada pandangan kita). Mungkin terdapat hikmah disebaliknya. 
Sentiasa berusaha dan berwaspada. Sifat ini adalah cara hidup Islam dan ia merupakan ibadah. 
Sentiasa berdoa
Bertawakkal

Tidak sah iman seseorang sekiranya ia menolak salah satu daripada asas-asas tersebut. 

TAKWA DAN HUBUNGANNYA DENGAN IMAN
Takwa adalah satu kualiti iman yang tinggi yang dianugerahkan oleh Allah kepada sesiapa yang layak. Ramai di kalangan orang Islam memiliki keimanan, tetapi tidak sampai kepada takwa. iman seperti ini sering terdedah dan jatuh ke lembah dosa dan penyelewengan. 
Firman Allah yang bermaksud :
“ wahai orang–orang yang beriman ! telah difardhukan kepada kamu berpuasa seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertakwa. ” (surah al-Baqarah, ayat 183) 

Ayat diatas adalah salah satu contoh panduan dan arahan Allah agar orang-orang yang beriman mempertingkatkan iman mereka sehingga ke tahap takwa. Dalam ayat di atas, ibadah puasa apbila dilakukan dengan sempurna ia akan meningkatkan iman dan boleh sampai ke darjat takwa. 

Ibn. Omar berkata :
“ seseorang itu tidak akan mencapai hakikat takwa sehingga ia meninggalkan rasa bersalah yang terbayang di hatinya. ” (al-BUKHARI, sahih al – Bukhari. ) 

IMAN DAN TAKWA ASAS JATIDIRI
Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ Islam bahawa iman dan takwa adalah asas penting bagi kehidupan seseorang insan. tanpa iman dan takwa tidak akan wujud sahsiah Islamiah yang sebenar. 
Ayat-ayat al-Quran di awal peringkat penurunannya (ayat Makkiyah) memberi penumpuan sepenuhnya kepada persoalan iman. Ini adalah untuk membina asas yang kuat kepada generasi contoh, iaitu Rasulullah dan para sahabat baginda. Syed Qutb memberi gelaran kepada mereka sebagai “ Generasi al-Quran yang Unggul. ” dan mereka merupakan generasi yang baik dalam sejarah dunia. (syed Qutb, Ma’ alim Fi al-Tariq) 
Hati merupakan tempat bertapaknya iman. sekiranya hati yang penuh dengan kesyirikkan dan kekotoran, akan lahir amalan, percakapan dan tindakan yang tidak baik sesuai dengan apa yang tersembunyi di dalam hati dan begitulah sebaliknya, jika hati bersih dan dipenuhi dengan cahaya keimanan dan ketakwaan, akan terkeluar ucapan dan tindakan yang selaras dengan tuntutan keimanan dan sifat ketakwaan yang ada pada diri. 
Iman melahirkan ketenangan dan kelapangan di dada. ini adalah unsur penting bagi kehidupan seseorang. 
Firman Allah yang bermaksud :
“Dia yang menurunkan rasa ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin. ” (Surah al-Fath, ayat 4) 

“…. dan sesiapa yang hendak dibiarkan sesatoleh Allah, dijadikan dadanya sesak dan sempit seperti orang yang sedang memanjat tempat yang tinggi (al-Sama’). ” (surah al-An’am, ayat 125). 

Antara cirri utama dalam keimanan ialah hubungan hati dengan Allah. Orang mukmin sentiasa mengingati Allah. Justeru ia sentiasa merasa tenang, lapang dan kuat tetapi sebaliknya orang yang lemah iman sentiasa lupa kepada Allah dan menyebabkan kehidupan mereka menjadi sempit dan sukar. 
“ Dan sesiapa yang berpaling dari mengingatiKu, kehidupannya akan menjadi sempit. ” (surah Taha, ayat 124) 

Iman dan takwa melahirkan insan yang sanggup berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan. 
Iman dan takwa membentuk akhlak yang unggul. Rasulullah adalah orang yang paling tinggi iman dan takwanyadan dialah orang yang paling unggul akhlaknya. 
Orang yang beriman dan bertakwa ilmunya semakin bertambah. Allah akan mengajar dan memberi ilmu kepada mereka. 
Iman dan takwa melahirkan insane yang berani. 
Iman dan takwa melahirkan manusia yang mempunyai panduan hidup yang jelas. 
Iman dan takwa meletakkan seseorang di tempat yang tinggi. 
Iman dan takwa melahirkan sahsiah yang terpuji, suka melakukan kebajikan kerana iman adalah segala kebaikan
Iman melahirkan insane yang benar, amanah, ikhlas, sabar, rajin, mempunyai pendirian hidup, berdisiplin dan sebagainya. 

ILTIZAM DENGAN ISLAM SEBAGAI ASAS JATIDIRI
Iltizam dengan Islam adalah sifat yang sangat dikasihi oleh Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Agama yang paling Allah kasihi ialah ibadah yang dilakukan secara berterusan. ”

keiltizaman terhadap islam akan menambahkan ilmu dan kefahaman disamping mempertingkatkan imsn seseorang kerana ilmu, iman dan amal adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. 
Orang yang iltizam dengan islam, akan bertambah kualitinya dalam semua aspek, dari sudut disiplin, pengurusan masa, pengalaman, ketabahan, keikhlasan, amanah dan sebagainya. 
Tidak ada iltizam, maka tiada sifat jatidiri. justeru itu islam menggabungkan ilmu, iman, dan amal. 

KESIMPULAN
Tiada jalan lain untuk membentuk jatidiri, kecuali dengan cara memiliki asas –asasseperti yang telh dijelaskan, dan tidak ada cara lain untuk memperolehi asas-asas tersebut melainkan dengan merujuk kepada panduan atau manhaj Allah SWT dan petunjuk Rasulullah saw. 


__________________________