Saturday, April 12, 2008

Tanggung Jawab Manusia Sebagai Khalifah

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH DIMUKA BUMI

PENGENALAN
Manusia adalah sejenis makhluk Allah yang teristimewa dari makhluk-makhluk lain. Diberikan kepadanya sifat-sifat khusus untuk membolehkannya menanggung amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain, walaupun makhluk-makhluk itu besar dan gagah dari manusia itu sendiri. Langit, matahari, bintang-bintang, bumi, bukit-bukau dan sebagainya adalah makhluk-makhluk Allah yang sudah jelas bentuk-bentuknya lebih agung dari manusia. Akan tetapi makhluk-makhluk itu hanya besar pada bentuknya sahaja, tetapi kecil pada kesanggupan dan kebolehan untuk menjadi makhluk Allah yang terbaik bagi menanggung amanah-Nya.

Ketika Allah s.w.t. membentangkan kepada makhluk-makhluk-Nya yang besar dan raksasa, untuk menanggung satu amanah, maka semua makhluk-makhluk itu menolak tawaran tersebut. Tiba-tiba makhluk itu bernama insan @ manusia, sanggup menerima dan menanggung amanah itu. Peristiwa pembentangan amanah tersebut telah dirakamkan di dalam wahyu Ilahi yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. seperti firman-Nya yang bermaksud:-

“ Sesungguhnya Kami telah bentangkan tanggungjawab amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-gunung (untuk memikulnya) , maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) ; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya: (ingatlah!) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pada membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. ” (Surah Al-Ahzab : Ayat 72)

Menurut apa yang tercatat dalam kitab tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat-ayat di atas; al-Qurtubi menerangkan yang bermaksud: Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. telah berfirman kepada Nabi Adam r. a. ; “ wahai Adam, Aku telah membentangkan amanah kepada langit dan bumi, akan tetapi semuanya itu tidak sanggup menerimanya. Apakah kamu sanggup menerimanya?’ Adam menjawab “ Ya hamba sanggup menerimanya. ”

Apakah dia amanah yang telah ditolak oleh langit dengan segala keagungannya untuk menerimanya?

Apakah dia bentuk amanah yang telah tidak disanggupi oleh bumi dengan segala kebesarannya untuk menunaikannya?.

Apakah dia jenis amanah yang telah menakutkan bukit-bukau dengan segala ketahanan dan kepejalannya untuk melaksanakannya; yang tiba-tiba makhluk yang bernama insan itu dengan segala kekerdilannya, sanggup menerima amanah itu dengan segala senang hati untuk ditunaikan.

Adam sebagai manusia pertama telah sanggup menerima amanah itu. Dengan penerimaan itu Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah di bumi. ” (Surah Al-Baqarah : Ayat 30)

Manusia sebagai khalifah adalah berkewajipan untuk menanggung amanah yang telah diberikan oleh Allah s.w.t.. Sifat khalifah yang digelarkan kepada makhluk yang bernama insan itu memang cocok dengan amanah yang diterima untuk dilaksanakan.

Apakah dia bentuk amanah yang tidak disanggupi oleh bumi dengan segala kebesarannya untuk menunaikannya?

Menurut Jamhur Ulama; amanah itu ialah “ kewajipan menegakkan agama Allah “ Islam” atau “ kewajipan” melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia. ”

“ Din Allah” atau agama Allah yang disebut Islam adalah satu amanah, yang telah dibentangkan kepada makhluk-makhluk selain dari manusia untuk menerima dan menunaikan tanggungjawab keagamaan tersebut dengan sebaik-baiknya. Semua makhluk itu telah menolak. Akan tetapi manusia sanggup menerimanya.

Salah satu tugas utama Rasul, yang juga insan terhadap agama Allah itu ialah menerima wahyu, yang merupakan ayat-ayat Al-Quran. Untuk menerima wahyu tersebut, menghendakkan satu kegagahan dan keupayaan yang secukupnya. Jika tidak buruk padahnya. Allah s.w.t. telah menggambarkan keadaan itu dengan firman-Nya yang bermaksud:

“ Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu dengan khusyuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah!) misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Surah al-Hashr : Ayat 21)

Mengapa bukti yang begitu gagah dengan batu-batu pejalnya dan tegak di dalam bumi tunjangnya, akan hancur berkecai apabila diturunkan al-Quran (wahyu) kepadanya. Tidak lain lagi, melainkan kerana terlampau takut kepada Allah dan kemurkaan-Nya, jika amanah dari wahyu itu tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Apabila wahyu-wahyu Allah yang merupakan suruhan dan larangan agama-Nya diturunkan kepada manusia, maka seluruh manusia dari kalangan para rasul yang ditugaskan untuk menerima wahyu itu dapat menerimanya dengan baik. Bukan sahaja Nabi Muhammad s.a.w. yang menerima wahyu-wahyu itu, malah orang-orang yang sebelumnya, iaitu pada rasul dari Adam a. s. sampailah kepada Muhammad itu telah menerima dan melaksanakan tugas sebagai penerima amanah untuk menegakkan agama Allah: Hal sedemikian itu telah dirakamkan di dalam al-Quran dengan firman Allah yang bermaksud:

“ Tuhan telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang tetapkan hukumnya-perkara yang Ia perintahkan kepada nabi Nuh, dan yang telah Kami wahyukan kepada Mu (wahai Muhammad) , dan juga yang telah Kami perintahkan dia kepada Nabi Ibrahim serta Nabi Isa, iaitu tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya. ”

Agama Allah adalah amanah Allah. Diberikan kepada manusia amanah itu, bukan sahaja untuk mereka laksanakan tugas-tugas agama itu untuk diri-sendiri, malah untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Definisi Khalifah
Menurut erti bahasa dan istilah, khalifah itu adalah pengganti Rasulullah SAW.

Khalifah secara bahasa merupakan kata bentuk dari mashdar “ takhallafa”. Seseorang itu dikatakan mengikuti (takhallafa) jika ia berada dibelakang orang lain, mengikuti dibelakang orang lain dan menggantikan tempatnya. Seseorang itu disebut menggantikan orang lain apabila ia melaksanakan fungsi yang diberikan kepadanya, baik bersama-sama orang tersebut mahupun sesudahnya. Allah s.w.t. berfirman:

“ Dan kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami gantikan sebagai gantimu di muka bumi, malaikat yang turun-temurun”. (Surah Az-Zukhruf: Ayat 43:60)

Khalifah adalah pengganti orang lain, baik kerana orangnya yang digantikan itu meninggal dunia, ketidakmampuan, mahupun alasan-alasan lain.

Menurut istilah yang berlaku di kalangan kaum muslimin, sinonimnya adalah al-imamah (kepimpinan) , yakni kepimpinan menyeluruh dalam persoalan yang berkenaan dengan masalah keagamaan dan duniawi sebagai pengganti fungsi Rasulullah s.a.w., yakni seseorang yang berfungsi untuk menjalankan undang-undang syariah dan melaraskan ajaran-ajaran agama dalam satu garis yang mesti diikuti oleh umat.

Menurut pandangan ulama, khalifah adalah pengganti fungsi Rasulullah yang disaat hidupnya menangani masalah-masalah keagamaan yang diterimanya dari Dzat Yang Maha Tinggi dan ajakannya kepada seluruh umat manusia untuk mengikuti ajarannya. Memperjelaskan hal ini, Ibnu Khaldun mengatakan “kekhilafahan adalah tanggungjawab umum yang sesuai dengan tujuan syarak yang bertujuan menciptakan pemasalahan ukhrawi dan duniawi bagi umat yang memberitahu kepadanya, kerana pemasalahan duniawi seluruhnya harus dirujuk kepada syarak kerana adanya tujuan pemasalahan ukhrawi itu. Lalu, orang yang melaksanakan fungsi itupun yang disebut sebagai khalifah dan sebutan itu adalah muncul dari kedudukannya menggantikan kepimpinan Rasulullah s.a.w. bagi umatnya. ”

Menurut para ulama, kedudukan khalifah dikalangan umatnya sepadan dengan kedudukan Rasulullah s.a.w. di tengah-tengah kaum mukminin. Ia memiliki kekuasaan menyeluruh dan memiliki hak untuk ditaati secara sempurna, memiliki hak untuk persoalan agama mereka. Dengan demikian ia mesti melaksanakan fungsinya di tengah-tengah mereka dalam batas-batas yang ditetapkan dalam agama. Kekuasaan seseorang khalifah tidak boleh ada yang menandingi dan selain dia tidak seorang pun yang boleh memegang kekuasaan untuk mengatur kaum muslimin.

Dari definisi dan kajian tentang khalifah yang yang dilakukan oleh para ulama tadi, seringkali terungkap bahawa mereka menganggap kekuasaan seseorang khalifah yang terikat oleh ketentuan syarak yang sama sekali tidak boleh dipisahkan. Dengan demikian tidak seorang pun yang boleh sesat dan menyeleweng, sementara itu khalifah sendiri tidak boleh menyimpang dan membangkang dari ketentuan yang telah digariskan.

TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI HAMBA ALLAH S.W.T.

Allah s.w.t dengan kehendak kebijaksanaan-Nya telah mencipta makhluk-makhluk yang ditempatkan di alam penciptaan-Nya. Manusia di antara makhluk Allah dan menjadi hamba Allah s.w.t..

Selaras dengan manusia sebagai hamba Allah, maka tanggungjawab manusia adalah amat luas yang meliputi semua keadaan yang dipertanggungjawabkan dan ditentukan kepadanya.

Gambaran tanggungjawab manusia secara umum adalah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

“ Semua orang dari engkau sekalian itu adalah pengembala, dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang digembalainya. Seorang pemimpin adil, akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang lelaki adalah pengembala dalam keluarganya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang isteri adalah pengembala di rumah suaminya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang khadam juga adalah pengembala dalam harta tuannya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Maka, semua orang dari kamu sekalian adalah pengembala dan akan ditanya tentang pengembalaannya.” (Muttafaq ‘ Akih)

Allah mencipta manusia ada tujuan-tujuannya yang tertentu. Manusia dicipta dan dikembalikan semula kepada Allah dan setiap manusia akan dipertanggungjawab di atas setiap usaha dan amal yang dilakukan selama ia masih hidup.

Apabila pengakuan terhadap kenyataan dan hakikat wujudnya hari pembalasan maka pelaksanaan tugas yang dipertanggungjawab terhadapnya wajib dilaksanakan.

Tanggungjawab manusia kepada Allah secara khususnya meliputi tanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan keagamaan, tanggungjawab tersebut bolehlah dirumuskan. Antara lain adalah:-

 Mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. menerusi keimanan kepada Allah dan melakukan amal soleh dalam bentuk yang paling sempurna.

 Tugas manusia yang paling besar ialah melaksanakan amanah Allah S.W.T., memelihara serta mengenal agama Allah serta ajaran-Nya berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. :-


 Ke arah melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah ini, manusia hendaklah menyedari dan memahami bahawa kewajipan berdakwah dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Islam, ke arah menegakkan syiar Islam serta meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi Allah ini. Dengan berperanan menegakkan amal makruf serta mencegah kemungkaran, Allah telah berfirman yang bermaksud:-

“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru supaya (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) . Dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) . Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”. (Surah Al-Imran: Ayat 104)

Apabila tugas menyeru kepada Islam dilakukan secara meluas dan menyeluruh serta dapat memberi kesedaran dan keinsafan nescaya akan dapat mewujudkan manusia yang faham akan tanggungjawab dan menjadi manusia yang bertanggungjawab.

 Sebagai khalifah Allah yang dimaksudkan dengan wakil Allah, maka manusia wajib menjaga agama dengan melaksanakan dua perkara:

i. Menegakkan Islam. Dengan menyatakan kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r. a. dengan menyatakan pengertian Islam kepada seluruh manusia, membuktikan kebaikan ajaran dan hukumnya di samping mempertahankannya daripada musuh.

ii. Melaksanakan Islam. Bagaimana mengamalkan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam semua urusan termasuk juga urusan bermasyarakat dan bernegara.

 Bertanggungjawab menjauh dan memelihara diri serta keluarga daripada masuk ke dalam Neraka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:-

“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala) dimana ia dikawal dan dijaga oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) , mereka tidak menderhaka kepada Allah S.W.T. dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah Al-Tahrim: Ayat 6)

Tanggungjawab yang besar dan wajib dilaksanakan oleh setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah, seterusnya kembali kepada Islam, menghayati Islam dan kembali beriman dan beramal soleh kepada Allah S.W.T. adalah tanggungjawab yang utama.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

Manusia adalah makhluk Allah SWT yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk-Nya yang lain. Ini jelas sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah SWT.

Maksudnya : sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. (Surah Al-Tin ayat 4)


Justeru kerana keistimewaan dan kesempurnaan kejadian manusia ini, maka sudah tentulah manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu dimana perlu dilaksanakan didalam memenuhi matlamat penciptaan mereka itu. Peranan dan tanggungjawab manusia ini adalah meliputi tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan terhadap:

Allah SWT
Diri sendiri
Keluarga
Masyarakat
Negara
Alam

TANGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP ALLAH SWT

Pada dasarnya tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah SWT ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepadaNya. Peranan dan tanggungjawab ini terkandung dalam firman Allah SWT.

Maksudnya: Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.
(Surah Al Zariyat, Ayat 56)

Justeru itu, semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT adalah mempunyai risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT dan menjauhi thaghut. Allah SWT telah berfiman : Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat itu seorang Rasul supaya mereka (menyerukan) : Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut. (Surah Al Nahl Ayat 36)

Beribadah kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan didalam firman Allah SWT diatas tidaklah terbatas kepada apa yang lazim difahami oleh masyarakat umum. Sesungguhnya ibadah yang dikehendaki adalah lebih luas dari itu, mencakupi kepatuhan kepada setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Ia hanya terbatas :

Ibadat solat
Ibadat puasa
Ibadat zakat
Ibadat haji.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI

Adalah menjadi tanggungjawab ke atas setiap individu terhadap dirinya sendiri untuk melakukan penyucian dan pengislahan kea rah yang lebih baik, demi untuk kesejahteraan hidup mereka didunia dan akhirat. Di antara cara-cara yang perlu dilakukan ialah menuntut ilmu dan memelihara hak-hak diri.

Ilmu adalah suatu alat yang penting untuk menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan dapat membezakan antara yang hak dan batil, baik dan buruk dan yang mana perlu didahulukan dan yang mana perlu dikemudiankan. Ilmu yang mesti diberi penekanan dalam Islam meliputi ilmu-ilmu fardhu ain dan juga ilmu fardhu kifayah.

Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya perlu didalami untuk memastikan kesempurnaan hubungan antara hamba dengan pencipta-Nya melalui ibadah-ibadah yang khusus.

Di samping mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain, umat Islam juga dikehendaki tidak meningglkan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang berhubung dengan kehidupan seharian seperti ilmu yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kedua-dua ilmu (fardhu ain dan kifayah) ini adalah penting dalam usaha untuk meraih kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Al-Quran yang menganjurkan supaya kita berdoa dan berusaha kearah kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat. Firman Allah SWT: Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kurniakan kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Al-Baqarah, Ayat 201)


Memelihara hak diri dari segi agama adalah meliputi penjagaan diri dari terjebak ke lembah syirik, melakukan amalan khurafat dan maksiat. Allah SWT berfirman tentang keburukan syirik dan menegaskan tentang dosa syirik yang tidak mungkin diampunkan sebagaimana firman Allah SWT.

Maksudnya:Sesungguhnya syirik merupakan satu dosa yang besar.
(Surah Lukman, Ayat 31)

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan dosa syirik dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa yang lain darinya.

PERANAN KELUARGA

Tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Kehidupan berkeluarga bermula dimana di dalamnya ibu bapa berhak mendapat kedudukan yang tinggi dan hak-hak yang utama. Ini dibuktikan dari ayat-ayat berikut :

“ Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendakalh kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan kamu menyatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah :

‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’. ” (Surah Al-Israa’ 17:23-24)

Di dalam Islam, hak-hak ibu bapa disebut selepas disebutkan hak-hak Allah S.W.T. Ini dibuktikan lagi oleh Al-Quran iaitu setelah ia menyebut tentang ke Esaan Allah, ia berkali-kali memerintah manusia berkelakuan baik dan mentaati ibu bapa mereka.

Apabila ibu bapa menjadi tua, kelakuan mereka berubah. Mereka menjadi lebih sensitif kerana usia mereka. Anak-anak mereka hendaklah bersedia menerima perubahan-perubahan itu dan bersabar terhadap mereka.

Ibu bapa mestilah dihormati dan disnjungi dalam semua tahap kehidupan mereka. Terutama sekali apabila mereka menjadi tua dan suka mendesak, berleter, suka mengkritik dan lain-lain. Anak-anak mestilah menjadi lebih menurut dan bertolak ansur dan selalu mengingati ayat-ayat suci yang tersebut di atas.

Anak-anak mestilah menunjukkan sikap merendah diri, sopan dan mentaati ibu bapa. Mereka hendaklah bersedia melaksanakan perintah ibu bapa mereka dan merasa selesa dengan berbuat demikian. Dalam pada itu, tanpa merasakan diri mereka bermurah hati atau berperasaan belas kasihan, mereka seharusnya merasa diri mereka dimuliakan dan bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana berpeluang

Kita hendaklah mengingatkan semasa kita masih kanak-kanak, tatkala kita terlalu bergantung kepada ibu bapa kita. Pada masa itu ibu bapa kita memberikan kepada kita kasih sayang dan cinta dan mengalami semua bentuk kesusahan. Mereka merasa gembira apabila kita gembira dan menjadi tidak senang apabila kita tercedera, walaupun sedikit. Anak-anak mestilah sentiasa mengingatkan peristiwa-peristiwa ini dalam fikiran mereka dan berdoa kepada Allah SWT




TANGGUNGJAWAB IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK

Tanggungjawab ibu bapa yang paling utama terhadap anak-anak mereka ialah untuk memastikan agar mereka beriman kepada Allah SWT dan tidak sekali-kali mengsyirikkan-Nya dengan sesuatu. Firman Allah :

Maksudnya: Wahai anakKu. Janganlah sekali-kali engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu suatu penganiayaan yang besar. (Surah Al-Tahrim, ayat 6)

Ibubapa mestilah melatih anak-anak mereka mengerjakan solat bermula dari umur mereka 7 tahun. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Ajarlah anak kamu melakukan solat bila berusia 7 tahun dan pukullah jika ia tidak solat bila berumur 10 tahun”

Akhlak yang mulia seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW perlulah disemai kedalam jiwa anak-anak. Ibubapa sewajarnya menunjukkan contoh kepada anak-anak mereka dengan mereka sendiri beramal dan berakhlak Islam didalam cara hidup mereka seharian.

Ibubapa juga mestilah memberikan pendidikan dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka, agar mereka dapat membesar dengan sempurna dan mampu menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan tanahair mereka.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa setiap manusia mempunyai tanggungjawab yang tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka tinggal dan zaman bila mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut, samaada mereka adalah hamba kepada Allah S.W.T., atau sebagai pengatur kepada diri sendiri, ibubapa, isteri, suami, anak, anggota masyarakat, rakyat kepada sesuatu negara ataupun paling tidak, makhluk Allah S.W.T. yang kerdil di muka bumi ini.

Rujukan
Manusia Dan Pendidikan : Suatu Analisa Psikologi, Filsafat Dan Pendidikan – oleh Profesor Dr. Hasan Langgulung;

Manusia Dan Alam-oleh Dr. Harun Din, Ustaz Sulaiman Yasin, Ustaz Hassan Salleh dan Drs. Sidi Ghazalba;



No comments: